Tirulah Macam Talut!

Hakim Darno / July 31, 2018, 22:07:23 pm

Dan apabila mereka (yang beriman itu) keluar menentang Jalut dan tenteranya, mereka berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir”.

Surah al-Baqarah (2) : 250.

 

 

Tentera Talut VS Tentera Jalut

 

Kisah pertembungan di antara tentera Talut dan tentera Jalut ada dirakamkan di dalam al-Quran. Bermula daripada ayat 246 sehingga ayat 251 Surah al-Baqarah. Doa ini dipanjatkan oleh tentera Talut yang menghadapi situasi genting apabila melihat tentera Jalut yang  ramai serta lengkap dengan senjata.

 

Kisah ini bermula ketika Bani Israil mahu merampas kembali negaranya iaitu Palestin. Setelah mereka bermesyuarat, mereka telah bersatu hati memilih Talut sebagai individu yang akan mengetuai misi ini.

 

Menurut pendapat para ulama, tentera mereka seramai lapan puluh ribu orang yang terdiri daripada pemuda Bani Israil.

 

Jadi memandangkan pada waktu itu cuaca sangat panas, Talut yang bijaksana ingin menguji para tenteranya yang benar-benar mahu pergi berperang. Seolah-olah Talut ingin beritahu bahawa peperangan ini sangat penting, kita tidak mahu berbangga dengan ramainya tentera, tetapi kita mahu membawa tentera yang benar-benar berkualiti.

 

Berapa Ramai Yang Tidak Mengikut Arahan Talut?

 

Talut memberitahu kepada tenteranya, dalam perjalanan nanti kita akan bertemu dengan sebatang sungai,

 

“Barangsiapa yang minum air sungai itu, mereka bukanlah dari kalangan aku, barangsiapa yang tidak minum air sungai itu mereka adalah dari kalangan aku. Namun barangsiapa yang mahu minum sekadar ingin membasahi tekaknya atau menghilangkan dahaga, maka mereka juga termasuk dalam kalangan aku.”

 

Seperti yang dijangkakan oleh Talut, ramai di kalangan tentera yang ingkar dengan arahan tersebut kerana Bani Israil memang terkenal dengan tabiat mereka yang selalu melanggar perintah nabi dan betapa lemahnya iman mereka.

 

Reaksi Apabila Berjumpa Dengan Tentera Jalut

 

Hanya sebahagian sahaja yang melepasi ujian ini. Ada pendapat ulama yang menyatakan jumlah mereka lebih kurang empat ribu orang.

 

Setelah mereka melepasi sungai tersebut, mereka bertembung dengan tentera Jalut. Lalu ada sebahagian tentera Talut yang berbincang sesama mereka menyatakan,

 

“Kita tidak akan mampu memerangi musuh kita, lebih-lebih lagi mengharap untuk mengalahkan mereka.”

 

Manakala sebahagian yang beriman pula meyakini dengan pertemuan dengan Allah dan balasan yang akan mereka dapat di akhirat nanti. Mereka pun berkata,

 

“Kamu semua jangan gentar melihat besarnya jumlah tentera musuh, kerana seringkali kelompok yang jumlahnya kecil berjaya mengalahkan kelompok yang besar kerana berkat kekuatan iman mereka dengan izin Allah SWT.”

 

Setelah itu mereka pun memanjatkan doa ini,

 

“Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir”.

Surah al-Baqarah (2) : 250.

 

Menurut Dr. Wahbah al-Zuhaili, doa ini merupakan doa yang luar biasa kerana diungkapkan ketika menghadapi situasi yang sangat tegang. Doa ini mengandungi kebijaksanaan dan kecerdasan kerana kesabaran adalah sebab keteguhan dan keteguhan adalah sebab kemenangan.

 

Allah ingin beritahu kepada kita bahawa apabila kita memiliki iman yang benar-benar mantap, ikhlas dan benar-benar berserah diri kepada Allah, maka Allah akan memberi kemenangan kepada orang yang beriman.

 

Pada waktu inilah muncul watak Daud (waktu ini belum dilantik menjadi nabi) yang hanya membaling batu ke arah Jalut dan terkena pada kepalanya lalu jatuh.

 

Daud pun mendekati Jalut dan memenggal kepalanya lalu bawa menghadap Talut.

 

Akhirnya tentera Talut berjaya mengalahkan tentera Jalut.

 

Tadabbur : Bagaimana Umat Islam Mahu Menang Hari Ini?

 

Umat Islam hari ini dalam keadaan lemah. Banyak tetapi seperti buih-buih di lautan. Umat Islam ramai tetapi ramai yang tidak berkualiti. Bukalah mata kita. Lihatlah saudara-saudara kita di Palestin, Syiria dan Rohingya, sejauh mana kita telah memainkan peranan? Sejauh mana kita telah melaksanakan tanggungjawab kita sebagai saudara seagama?

 

Malah, kita lemah pula daripada pelbagai segi seperti politik, ekonomi dan kesatuan fikrah. Kita bergaduh sesama sendiri. Keadaan ini menyebabkan musuh kita semakin berani menekan, melakukan pelbagai penindasan dan kekejaman terhadap Umat Islam.

 

Ayuh kita bangkit! Sudah sampai masanya untuk kita bertindak! Walau apa pun keadaan Umat Islam hari ini, kita kena bermula. Mulakanlah dengan mencontohi kisah Talut dan tenteranya.

 

Pertama, umat Islam harus bersatu padu memilih pemimpin yang adil dan berani. Pemimpin yang berkualiti bukanlah pemimpin yang hanya mempunyai pengaruh dan kekayaan, tetapi seorang pemimpin mesti seorang yang mempunyai ilmu, pengalaman, kemampuan dan keperibadian yang mulia.

 

Kedua, syarat utama untuk kita menang adalah harus benar-benar patuh kepada arahan pemimpin. Kita juga boleh ambil pelajaran yang berlaku kepada para sahabat yang mengingkari arahan Nabi Muhammad SAW dalam Perang Uhud.

 

Ketiga, kisah ini mengajar kita bahawa doa yang dipanjatkan ketika menghadapi bahaya dan di tengah pertempuran sangat mustajab kerana doa adalah bukti iman dan membantu manusia untuk istiqamah bersama Allah SWT. Sekiranya kita dalam keadaan terdesak, takut dan tidak ada tempat berlindung selain daripada Allah maka kita amalkanlah doa ini.

 

Akhir sekali, kita semua kena yakin bahawa berkat iman yang mantap, kesabaran, keteguhan dan kepatuhan kepada pemimpin mampu memberi kemenangan kepada kita.

 

Kita kena yakin dengan pertemuan dengan Allah. Kita kena yakin dengan pahala yang besar. Kita kena yakin dengan kedudukan tinggi yang akan kita dapat bagi orang-orang yang mati syahid di Syurga.