Terima kasih atas cintamu

Nurul Husna Nur 'Izzat / January 18, 2018, 12:01:29 pm

“Ummi tak nak pergi mesyuaratlah. Muka ummi sakit sangat.. nanti orang tanya nak cakap apa?”
Jari mulus ummi sudah bersedia menaip mesej di telefon bimbitnya. Mohon keuzuran agar terkecuali menghadiri mesyuarat.

 

Rahmah meneliti dengan lebih dekat kulit muka ummi yang mengelupas. Dia sendiri buntu bagaimana ingin mengurangkan ketegangan kulit itu. Pelbagai krim dan minyak telah disapu, namun kesan matahari Pulau Langkawi seminggu lalu masih mengeringkan lapisan-lapisan kulit.

 

“Okay ummi.. kalau nak Rahmah hantar, cakap je. Rahmah boleh bawa kereta”
Kepala Rahmah di angguk-angguk demi menambah keyakinan ummi terhadapnya. Dia tahu posisi ummi dalam mesyuarat, bukan sebarang posisi yang boleh ditukar ganti oleh sesiapa pun. Namun malangnya, pelawaan Rahmah ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Riak wajah ummi seperti memikirkan agenda lain.

 

Kepala ummi serta merta mendongak ke arah jam dinding.
“Allah, dah jam lapan lebih.. lewatnya..!!”

 

“Eh, nak pergi ke? Kan ummi tak sihat. Takpelah..”
Di sebalik rasa berat untuk menyokong ibunya tidak hadir mesyuarat, jauh di sudut hati, dia dilemma mengenangkan kondisi kesihatan ibunya.

 

“Tak boleh, tak boleh. Ummi tak sampai hati.” Niatnya memohon keuzuran diabaikan begitu sahaja.

 

“Cepat-cepat siap”, arah ummi.

 

Dia bingkas bangun. Bak lipas kudung, memilih baju dan tudung. Anak tangga yang banyak, dia langkah besar ketika naik dan turun. Mujur dia cekap melangkah, kalau tidak sudah tergolek jatuh tanggalah jawabnya.

“Ok jom!”

____
Sepanjang perjalanan ke Bangi, telinga Rahmah dipasang baik-baik untuk mendengar celoteh ummi. Cerita anak-anak murid, kawan-kawan sekerja dan perihal-perihal rumah menjadi penyeri perbualan sepanjang kereta mereka meluncur dari Klang ke Bangi.

 

Sebaik sampai di hadapan bangunan lima tingkat, pandangan ummi menjengah ke luar sambil melihat-lihat keluasan jalan raya yang semakin sempit.
“Ok ke parking sini? Macam tengah-tengah je”

 

“Hm, okay kot. Jomlah, kita dah lambat ni”, jawab Rahmah.

 

Tidak sampai seminit dia menoleh untuk membuka pintu,
“Rahmah tolong. Kaki ummi berat!”

 

‘Berat? Ummi gurau ke? Tadi elok je bercerita dan ketawa’.

 

“Kaki ummi. Kaki ummi”. Tubuh ummi disandarkan di pintu kereta.

 

‘Hah, kenapa dengan kaki?’ Rahmah kaku beberapa ketika melihat ummi dari sisi belakang. Sebelah kakinya tersangkut di dalam dan sebelah lagi tersorok dalam kain. Tubuhnya menyendeng ke daun pintu.

 

Melihat situasi itu, Rahmah bingkas bangun pergi ke pintu pemandu. Ruang antara pintu keretanya dan kereta sebelah agak kecil. Pintu tidak boleh dikuak luas.

 

Ketika Rahmah masuk ke lorong itu, lutut ummi hampir-hampir merapat ke bumi.
“Ummi?”. Langkahnya laju menyambut tubuh ummi. Berat. Dia menahan.

 

“Eh, jangan duduk sini. Ini jalan tar. Duduk di kerusi dalam kereta ni”. Nafasnya sedikit lelah. Tubuh ummi berat, melebihi kudratnya untuk mengangkat. Rahmah mengangkat tangan ibunya. Spontan jatuh tanpa sempat dia genggam.

 

‘Aku tetap akan mengangkatmu, ummi. Tak rela aku melihat tubuhmu mencecah bumi’
Kelihatan tangan ummi cuba menggengam besi kereta. Namun, besi itu terlepas dan tangannya jatuh. Matanya lesu tak bermaya dan tubuhnya menolak Rahmah untuk terus rebah.

 

“Allahu akbar! Kuatkan semangat, ummi.. istighfar.. kenapa macam ni..?”
Sedaya upaya Rahmah berusaha meninggikan posisi ummi dari sebelumnya. Paling kurang, ummi boleh duduk di atas kerusi semula. Rahmah bergelut.

 

“Sikit lagi, ummi.. Sikit lagi nak sampai atas kerusi”
Malangnya, tubuh ummi terlepas dari dakapan dek tangan kanannya yang bergetar lemah. Namun syukur, tangan kirinya masih memaut tubuh ummi. Setelah beberapa minit, dia terpaksa meletakkan tubuh ummi di atas kedua-dua pehanya, lalu menolak pehanya ke atas.

 

“Bantu diri ummi.. zikir.. Allahhh”

Akhirnya, ummi berjaya juga didudukkan di kerusi pemandu kereta. Rahmah kembali berdiri. Kelihatan dua orang lelaki yang dikenali lalu di sebelah kereta dan melemparkan senyum, namun lidahnya kelu untuk menyatakan bahawa dia memerlukan pertolongan. Wajahnya tidak menggambarkan sebarang kepayahan yang dia lalui sebentar tadi. Peluh sudah membasahi baju. Kereta mereka terus meluncur jauh, hilang dari pandangan.

______
Kedudukan ummi masih di hujung kerusi dan seolah-olah ingin jatuh kembali. Dia menolak sekuat daya.
“Masuk ke dalam sikit, ummi. Takkan nak duduk bawah lagi?!” Suaranya sudah mula meninggi.

 

Sekilas dia terlihat wajah ummi, bibirnya sedikit mengherot. Rasa serba salah menghujani diri.
“Allah.. strok ke ni?” Dia memeluk ummi sekuat daya, menggerakkan tubuhnya sedikit demi sedikit sehinggalah masuk ke dalam kereta beberapa inci. Dia menyangka tubuh ummi semakin stabil apabila dibaringkan dalam kereta, namun meleset. Tubuh ummi menyendeng ke kerusi sebelahnya pula.

 

‘Ummi?! Kenapa macam takde tulang?’, dia menarik tubuhnya kembali, menurunkan kerusi dan memasukkan kakinya ke dalam kereta. Pintu bahagian pemandu akhirnya berjaya ditutup rapi.

_______
‘Nah, apa aku nak buat sekarang ni? Nak bawa kereta, ummi duduk di tempat pemandu. Takkan nak angkat ummi sekali lagi? Sudah, sudah, aku tak mampu. Aku perlukan bantuan orang lain.’

 

Jantungnya berdenyut laju. Sambil mundur mandir, muncul wajah beberapa orang lelaki dalam mindanya. Dia ragu. Malu atau perlu. Dia malu sebenarnya memohon bantuan lelaki mengangkat ummi, malah ummi juga pastinya terkejut apabila terpaksa diangkat oleh lelaki. Dalam masa yang sama, dia masih merasakan perlunya hadir seorang lelaki saat ini. Gawat.

 

Dia memandang wajah ummi sejenak dari tingkap kereta. Wajah keletihan dan tidak bermaya masih jelas kelihatan. Dia memegang telefon bimbit untuk membuat panggilan mana-mana kenalan lelakinya.
‘Tak boleh, tak boleh. Ramai lagi perempuan di dunia ini kalau nak minta pertolongan. Tapi… siapa ya?’

 

Perlahan-perlahan dia membuka daun pintu dan berbisik ke telinga ummi,
“Ummi.. Rahmah nak minta tolong orang ni. Siapa agak-agak boleh tolong ya? Ummi tau kan siapa kawan-kawan ummi yang ada di atas? Ada tak yang Rahmah boleh call?”

Tergambar riak wajah yang amat sukar menuturkan jawapan. Bibirnya tegang, seolah ada urat yang tertarik dari belakang. Selang beberapa minit, akhirnya terpacul satu nama dari mulut ummi.
“Makcik Sal”

 

Rahmah segera menghubungi beliau memohon bantuan. Makcik Sal datang bersama Kak Ummu Hani. Wajah Makcik Sal begitu runsing mendengar penerangan tentang ummi. Mana tidaknya, beliaulah kawan baik ummi sejak bertahun-tahun lalu. Nama ummi Siti Salwa, dipanggilnya Ti.

 

“Kenapa ni Ti… letih sangat ke..? Istighfar banyak-banyak ye..” Tangan mulus Makcik mengusap-usap kepala dan tubuh ummi. Ummi berusaha untuk bangun dan mengangkat tangannya, namun tidak mampu. Kelihatan air mata mula mengalir dari kelopak mata ummi, sambil suaranya lemah menyebut,
“Lesu..”

 

“Saya panggil misi hospital ye” Spontan Kak Ummu Hani memohon keizinan sebaik melihat situasi ummi yang tidak dapat dibantu. Telinga Rahmah seperti disambar petir. Dia tahu ummi bukan orang yang mudah-mudah dibawa ke hospital. Sejak dia kecil lagi, ummi akan berusaha merawat dirinya sebelum pergi ke mana-mana hospital.

 

Apabila melihat kerusi roda telah sampai di sebelahnya, segera Rahmah membisikkan di telinga ummi,
“Ummi.. Rahmah minta maaf… Kita pergi hospital ye..”

 

Waktu itu, misi hospital telah mendekati ummi di pintu kereta dan dia terlindung di belakangnya. Melihat gelagat misi itu seperti acuh tak acuh, dia terpanggil untuk mengangkat ummi sendiri. Dia menduga misi itu masih belum dapat menggambarkan bagaimana dia perlu bergelut untuk mengangkat ummi. Dengan lafaz bismillah, dia memaut tubuh ummi sekuat daya. Bibirnya digetap sekuat mungkin, menahan beban yang dia tanggung.

 

Kerusi roda di hadapannya terasa amat jauh, walaupun jaraknya hanyalah selangkah kaki.
“De..dekatkan sikit….”

 

Matanya terpejam. Lafaz Allahu akbar menguatkan hati. Alhamdulillah, akhirnya ummi berjaya didudukkan atas kerusi roda. Kak Ummu Hani segera memintanya mengiringi ummi ke hospital dan beliau akan mengalihkan kereta di tempat yang lebih selamat.

 

Langkahnya laju mengejar misi yang sudah jauh menolak kerusi roda ummi. Sebaik sampai di dalam hospital, ummi sudah tidak kelihatan. Mereka telah membawa ummi masuk ke bilik kecemasan untuk dibaringkan di atas katil. Kak Ummu Hani dan Makcik Sal datang mendekatinya yang duduk di bangku. Saat ini, baru dia terasa signal kekejangan otot di kedua-dua tangan dan kaki. Dia diam membisu, sambil menjatuhkan pandangan ke lantai.

 

‘Ummi.. Rahmah mohon maaf. Rahmah kurang cakna menjaga kesihatan ummi. Maafkan Rahmah kerana tinggi suara dan terlalu kuat memegang tubuh ummi tadi’. Kolam matanya hampir pecah, namun dikawal emosinya sebaik mungkin. Dia segan dengan Makcik Sal dan Kak Ummu Hani.

 

“Rahmah, nanti apa-apa berlaku, telefon akak ye. Akak nak naik bilik mesyuarat untuk caj fon. Fon nak habis bateri pula. Makcik nak cari tandas. Nah, ni nombor telefon akak”. Kertas putih yang tertera nombor telefon berpindah tangan. Dia mengangguk-angguk tanpa sepatah kata. Kini, dia bersendiri di kerusi ruang menunggu.

 

Beberapa kali pintu bilik kecemasan di hadapannya dibuka, matanya terintai-intai ingin melihat di mana katil ummi. Doktor masih belum mencarinya. Pendaftaran pesakit belum dibuat, bayarannya juga dia tidak tahu berapa. Dibuka zip dompetnya, terlihat not duit RM100 dan kad bank di sebelahnya. Hatinya lega.

________
Sambil memicit tangannya yang lenguh, dia teringat firman Allah swt dalam Surah Luqman ayat 14 yang bermaksud:
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)”

 

‘Kelemahan yang aku rasakan tika ini tidaklah sama seperti lemahnya ummi membawaku selama sembilan bulan di dalam rahim. Sembilan bulan itu tempoh yang panjang melebihi masa yang aku perlukan untuk bergelut mengangkat ummi tadi. Apalah sangat peluh yang bercucuran dan sakit yang aku rasakan berbanding ummi yang penat berkali-kali, malah berbulan lamanya. Nak tidur susah, nak solat payah, nak ke mana-mana pun bukanlah mudah. Selepas mengandung, menyusukan aku pula. Orang lain menyusu dua tahun, aku menyusu lima tahun. Haha, dasar anak manja!’

 

Rahmah tersenyum sendiri mengenangkan segala jasa ummi. Sebak dan syukur bersilih ganti mempunyai ummi seperti ini. Dia tidak dibuang di tepian jalan, tetapi dijaga rapi sehinggalah membesar sihat, berpendidikan dan cantik seperti hari ini. Jika dahulu, ummi yang memegang erat, memeluk dan memenuhi segala yang dia inginkan, biarlah saat ini dialah yang melakukan semua itu untuk ummi. Tanpa hadirnya ummi, mungkin dia tidak boleh hidup seperti sekarang ini. Doa ikhlas ummi dan air matanya yang penuh pengharapan telah menghantarkan dia sampai titik ini. Dia mungkin tidak boleh membalas semua pengorbanan, perjuangan dan jasa yang telah diberikan oleh ummi. Namun, setidaknya ummi terasa dihargai dengan hadirnya anak yang telah dilahirkan.

____
‘Rahmah nak peluk ummiii!!’, hatinya menjerit dari dalam.

 

“Cik, cik waris kepada ibu tadi ke?”, tiba-tiba keluar seorang misi dari bilik kecemasan. Berkelip-kelip mata Rahmah memandang misi itu.

 

“Ha ah. Ye saya. Saya dah boleh tengok ibu saya ke?”. Terpancar raut gembira dan senang hati di wajahnya.

 

“Ye, boleh. Katil hujung sana ye”

 

“Ok terima kasih!”

Rahmah segera bangun menuju ruang katil yang ditutup dengan langsir berwarna merah jambu. Dia melangkah dengan penuh hati-hati memasuki ruang itu kerana bimbang rehat ummi terganggu dengan kehadirannya. Mata ummi terpejam. Kelihatan tangan ummi sudah dicucuk dan titisan air sedang mengalir melalui tiub yang dicucuk itu. Dia membiarkan dirinya berdiri di sebelah ummi memandangkan tiada kerusi yang disediakan.

 

Tiba-tiba, jari-jari ummi bergerak seperti mencari sesuatu. Rahmah menggenggam tangan lembut yang sering mengajarnya erti kasih sayang itu. Dengan mata yang masih tertutup, ummi sedar kehadirannya.
“Anakku sayang, terima kasih”

 

Genggaman tangan bertambah erat. Lirih suara ummi membuat dia terpana. Seolah masuk ke alam deja vu. Kehangatan cintanya benar-benar membenam di jiwa. Kalimat yang teramat mahal itu ummi lafazkan. Senyuman di bibir ummi akhirnya menjuraikan butir-butir jernih dari kelopak matanya. Terima kasih ummi atas cintamu.