Tadabbur Surah al-Qadr Untuk Menghargai Malam Yang Lebih Baik Daripada Seribu Bulan

Hakim Darno / June 7, 2018, 08:06:48 am

Jika kita nak tahu betapa hebatnya al-Quran, tadabburlah Surah al-Qadr. Surah ini akan memperkenalkan kepada kita bahawa betapa pentingnya nilai harga al-Quran. Betapa tingginya kedudukan al-Quran sehingga penurunannya sahaja menjadikan malam itu lebih baik daripada seumur hidup manusia atau lebih baik daripada seribu bulan.

 

Jika Hari Raya, Hari Lahir, Hari Guru, Hari Ibu dan apa sahaja hari, kita akan menyambutnya dengan meriah bagi memperingati jasa yang telah dibuat oleh seseorang sebagai tanda terima kasih. Ini kan pula al-Quran. Sudah pasti Hari Penurunan al-Quran lebih utama berbanding hari-hari yang lain.

 

 

Turun Pada Malam Lailatul Qadar

 

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Malam Lailatul Qadar. Surah al-Qadr (97) : 1.

 

Pada ayat pertama ini Allah nak beritahu kepada kita bahawa Allah telah mengangkat malam ini menjadi malam yang mulia disebabkan oleh turunnya al-Quran. Ada pendapat lain pula mengatakan malam itu memang malam yang mulia, namun bila turunnya al-Quran, malam itu menjadi bertambah mulia.

 

Berdasarkan ayat pertama ini juga, kita dapat mengetahui bahawa ada dua peringkat penurunan al-Quran. Pertama, al-Quran turun sekaligus daripada Lauh Mahfuz ke langit dunia (Baitul Izzah). Kedua, al-Quran turun secara berperingkat-peringkat daripada Baitul Izzah kepada Nabi Muhammad SAW selama 23 tahun.

 

Agak-agak kenapa Allah tak turunkan al-Quran sekaligus kepada Nabi Muhammad SAW?

 

Pertama, itu semua merupakan kehendak Allah. Kedua, jika kita fikirkan secara logik sudah pasti kita akan terbeban apabila menerima terlalu banyak ilmu dalam satu-satu masa.

 

 

Apa Itu Malam Lailatul Qadar?

 

Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul Qadar itu? Surah al-Qadr (97) : 2.

 

Menurut seorang ulama tafsir, apabila Allah bertanya tentang sesuatu, ini menunjukkan perkara itu sangat penting.

 

“Kalimah ini merupakan istifhaam (pertanyaan) yang bertujuan untuk membesarkan dan mengagungkan malam al-Qadar.” Dr. Wahbah al-Zuhaili.

 

Maksud ayat ini ialah apa yang kita tahu mengenai malam al-Qadr, sama ada mengenai keadaannya, kemuliaannya atau keagungannya.

 

 

Malam Lailatul Qadar Lebih Baik Daripada Seribu Bulan?

 

Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Surah al-Qadr (97) : 3.

 

Ayat tiga ini merupakan jawapan kepada persoalan yang terdapat pada ayat kedua bahawa malam al-Qard adalah malam yang kalau kita buat amal soleh pada malam tersebut, seolah-olah kita telah melakukan ibadah selama 83 tahun.

 

Para ahli tafsir berkata: “Maksudnya, amal soleh yang dikerjakan pada malam al-Qadr lebih baik daripada amal soleh yang dikerjakan selama seribu bulan yang tidak ada Lailatul Qadarnya.” Al-Baghawi dalam Maalim al-Tanzil.

 

Ini merupakan nikmat yang tertinggi diberikan kepada umat Nabi Muhammad SAW. Bayangkan umur kita sahaja tidak sampai 83 tahun. Tetapi tiba-tiba Allah membuka peluang kepada kita untuk dapat pahala seperti beribadah selama 83 tahun hanya pada satu malam sahaja.

 

Betapa rahmatnya Allah beri kepada kita.

 

 

Siapakah Malaikat Yang Lebih Mulia Berbanding Malaikat Yang Lain?

 

Pada malam itu, turun para malaikat dan Jibril, dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara. Surah al-Qadr (97) : 4.

 

Mungkin kita tertanya-tanya mengapa Allah mengasingkan para Malaikat dan Jibril. Bukankah Jibril juga termasuk para malaikat? Kenapa tidak disekalikan sahaja? Kita kena faham bahawa Allah tidak melakukan sesuatu perkara dengan sia-sia hatta menggunakan perkataan di dalam al-Quran.

 

Jawapannya ialah kerana Allah nak beritahu kepada kita bahawa Jibril lebih mulia berbanding dengan malaikat yang lain.

 

“Menyebutkan sesuatu yang khusus setelah yang umum dengan menyebutkan Jibril setelah para malaikat. Ini bertujuan untuk menunjukkan kemuliaan Jibril di antara para malaikat yang lain.” Dr. Wahbah al-Zuhaili.

 

Antara kelebihan Malaikat Jibril ialah, Nabi SAW bersabda:

 

Maksudnya: Aku melihat dirinya (Jibril) turun dari langit. Besar tubuhnya memenuhi antara langit dan bumi.” HR Muslim, Ahmad, Abu Daud dan al-Tirmizi.

 

Selain itu, menurut Abdullah bin Mas’ud:

 

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah melihat Jibril dalam keadaannya yang asal. Ia memiliki 600 sayap yang menutupi ufuk. Dari setiap sayapnya berguguran mutiara dan permata yang berwarna warni yang hanya diketahui oleh Allah.” HR Ahmad dalam Musnadnya.

 

Pada malam inilah para malaikat diberitahu oleh Allah tentang apa yang akan terjadi pada tahun itu dengan terperinci sehingga malam al-Qadr pada tahun berikutnya. Allah menjelaskan tentang ajal, rezeki, kemiskinan, kekayaan, kesuburan, kesihatan, kesakitan, peperangan, gempa dan semua yang terjadi pada itu sebagaimana yang telah ditetapkan.

 

 

Para Malaikat Memberi Salam Kepada Manusia

 

Sejahteralah malam (yang) berkat itu hingga terbit fajar. Surah al-Qadr (97) : 5.

 

Berkata al-Syanqiti, ada ulama mengatakan; “Kalimah ‘salamun’ (sejahteralah) maksudnya adalah para malaikat memberikan salam kepada setiap orang beriman yang mereka jumpainya. Ada juga ulama mengatakan: Maksud ‘salamun’ adalah setiap perintah di dalamnya terdapat kesejahteraan sehingga seseorang tidak ditimpa keburukan.”

 

Maksudnya malam ini merupakan malam yang aman daripada syaitan dan aman daripada segala kejahatan sehingga ke waktu Fajar.

 

 

Kesimpulan

 

Jika kita lihat keseluruhan surah ini, Allah telah memulakan dengan cerita tentang penurunan al-Quran, tentang malam al-Qadr, penurunan para malaikat dan ditutup dengan kesejahteraan. Mudah-mudahan setelah mengetahui sedikit tentang poin-poin yang disebutkan di atas, mampu melonjakkan kita untuk memburu malam Lailatul Qadar.

 

Semoga Allah beri kekuatan kepada kita untuk menghargai malam Lailatul Qadar pada tahun ini dan juga pada tahun-tahun yang akan datang.

 

Beramal lah mengikut kemampuan kita, beramal lah mengikut keutamaan, jika tak mampu melakukan amalan sunat yang banyak, pastikan kita istiqamah menjaga amalan yang wajib.