Syifa

Miefa Mohar / July 20, 2018, 13:07:18 pm

“Ada sesiapa yang jawab selain daripada ini? Kalau ada, sila bangun dan jawab.” Guru lelaki itu bertanya pada seluruh kelas. Riak wajahnya yakin sekali bahawa semua anak muridnya mempunyai pandangan yang serupa. Sekiranya benar, dia adalah guru yang paling bahagia sekali kerana pelajar-pelajarnya masih ingin memelihara warisan Melayu.

 

“Cikgu, Syifa jawab tak wajar!” Guru itu terkejut. Ada juga pelajar yang menjawab selain daripada wajar? Bukankah jawapannya agak jelas bahawa sememangnya tarian tradisional wajar dipelihara kerana ia merupakan warisan bangsa?

 

Hari ini merupakan giliran untuk kelas karangan bagi subjek Bahasa Malaysia di kelas 6 Budiman iaitu kelas pertama bagi keseluruhan darjah 6. Subjek ini dibahagikan kepada dua komponen iaitu pemahaman dan penulisan jadi setiap minggu akan bergilir-gilir antara kedua-dua komponen itu. Cikgu Rosli yang telah 13 tahun mengajar di sekolah itu memberikan karangan bertajuk “Wajarkah tarian tradisional di Malaysia dipelihara? Berikan sebab anda.” dan menyuruh anak muridnya berbincang sesama rakan sebelum membentangkan idea masing-masing dan menulisnya dalam bentuk karangan. Umumnya, Cikgu Rosli yakin bahawa anak-anak muridnya mempunyai akal budi yang serupa.

 

Tumpuan Cikgu Rosli kembali pada seorang pelajar bernama Syifa yang duduk di belakang bersama rakan-rakannya. Syifa merupakan seorang pelajar yang baru berpindah pada tahun ini. Dia seorang yang agak pendiam dan jarang bersuara ketika proses pembelajaran berlangsung. Maka, apabila jawapan sedemikian lahir dari butir pemikirannya, Cikgu Rosli terkejut.

 

“Syifa, kenapa awak jawab macam tu? Cuba awak kongsikan dengan kelas.” Cikgu Rosli cuba membuang nada prejudis dan ayat yang menjurus ke arah paksaan untuk menerima ideologinya. Mungkin anak muridnya ini mempunyai pandangan yang berbeza atas dasar yang berbeza. Amat menarik untuk dikaji cara pemikiran manusia yang berbeza-beza terutamanya jika kita mengetahui latar belakangnya, cara dia dibesarkan, mutu pembacaannya dan juga pergaulan hariannya.

 

Syifa kelihatan teragak-agak. Dia memandang rakan yang menyebut namanya sebentar tadi dengan riak geram kemudian pandangan dialihkan pada Cikgu Rosli yang menunggu jawapan. Satu kelas memandang Syifa. Gugup, namun kerusi perlahan-lahan ditolak dan akhirnya Syifa berdiri namun kepalanya masih menunduk. Segan.

 

“Kenapa awak jawab tidak wajar, Syifa? Jadi awak fikir tarian hip-hop dan sebagainya itu adalah lebih baik untuk mengganti tarian tradisional sedia ada?” Cikgu Rosli cuba bertanya soalan agar Syifa lebih mudah untuk menjawab berdasarkan huraian yang lebih spesifik berbanding soalan umum.

 

“Bagi saya, err.” Bicaranya teragak-agak kerana gugup.

 

Dia menarik nafas panjang.

 

“Bagi saya, kalau dah ada benda baru yang menggantikan yang lama, apa salahnya? Mungkin saja yang baru itu boleh jadi yang lebih baik. Mungkin saja yang lama itu sudah tidak relevan lagi. Kalau yang lama ada unsur yang tidak baik, apa salahnya jika ditinggalkan saja? Lagipun, lecehlah zaman sekarang nak memelihara warisan lama. Mempelajari benda baru adalah lebih mudah berbanding memelihara kerana jika apa yang dipelihara hilang atau tidak lagi diterima orang, kita akan sedih. Zaman berubah sentiasa. Apa yang memberi makna pada kita dahulu mungkin tidak sama atau tiada makna bagi generasi akan datang. Sebab itu saya rasa tidak wajar tarian tradisional dipelihara. Kita harus belajar maju ke hadapan dan bukannya berpegang pada satu perkara saja.”

 

Sunyi sepi. Kelas 6 Budiman yang sering mendapat gelaran kelas paling ceria itu hanya dihingari dengan bunyi bilah-bilah kipas yang saling berkejaran. Cikgu Rosli tergamam di hadapan kelas. Satu kelas ternganga. Syifa yang baru saja menyedari kelantangan suaranya, malu sendiri. Dia duduk perlahan dan menunduk menekuni lantai.

 

“Bagus jawapan awak, Syifa. Ada lagi tak yang lain jawab tidak wajar?” satu kelas menggeleng.

 

“Baik, siapkan karangan kamu dan hantar bila habis kelas nanti. Kalau tak sempat, letak atas meja saya sebelum balik.”

 

***

“Syifa, Cikgu Rosli kata nak jumpa kau di bilik guru.”

 

‘Aduh, takkan sebab jawapan aku tadi Cikgu Rosli nak marah aku?’ gumam Syifa tidak puas hati. Apa salahnya jika dia menjawab lain dari yang lain? Tiada siapa kata jawapan yang betul adalah wajar. Itu merupakan soalan justifikasi dan pandangan. Tiada yang betul atau salah. Kerana itu Syifa gemarkan subjek Bahasa Melayu penulisan. Akalnya bebas meneroka segala kemungkinan seiring pen yang dilarikan di atas kertas.

 

Syifa sengaja mengatur langkah perlahan sambil membuang pandang ke tingkat bawah. Kelihatan pelajar sesi petang sedang seronok berlari-lari dan saling berkejaran. Walaupun Syifa baru berusia 12 tahun, tapi tingkahnya matang. Fikirannya tidak seperti rakan sebayanya. Maka, dia jarang ingin bermain bersama rakan-rakannya kerana merasakan dia sudah dewasa dan tidak sesuai lagi untuk bermain seperti itu.

 

Akhirnya langkah Syifa berhenti di hadapan pintu bilik guru. Dia menarik nafas sebelum masuk dan mencari meja Cikgu Rosli. Pencarian itu tidak lama kerana Cikgu Rosli seakan dapat menghidu kehadirannya lantas memanjangkan leher bagi dirinya mudah dinampak. Syifa melemparkan senyuman sopan kepada guru-guru yang berselisih dengannya.

 

“Assalamualaikum, cikgu.”

“Waalaikumussalam. Duduklah.” Cikgu Rosli mempelawa Syifa duduk di kerusi Cikgu Anida yang terletak bersebelahan kerusi Cikgu Rosli.

 

“Ada apa ya cikgu nak jumpa saya? Saya ada buat salah ke tadi? Cikgu tak suka jawapan saya?” Syifa tidak berani menentang mata Cikgu Rosli. Gentar.

 

“Tak, tak ada yang salah dengan jawapan awak tadi. Malah, cikgu kagum dan suka. Cikgu saja nak berkenalan dengan awak. Menarik cara pemikiran awak tu.”

 

“Oh. Jadi?” Menjadi seorang introvert, Syifa tidak gemar berbicara dengan panjang lebar. Percakapannya ringkas namun tepat.

 

Cikgu Rosli tersenyum. Tangannya mencapai tangan Syifa. Terkejut, Syifa menarik tangannya kembali. Tindakan refleks itu seolah-olah sudah dijangka Cikgu Rosli menyebabkan tindakannya selepas itu lebih pantas dari tarikan tangan Syifa. Dia menarik kembali tangan mulus itu dan mengenggamnya kuat. Syifa seakan ingin meronta namun tertahan-tahan.

 

“Cikgu, apa ni?” nada suaranya ditahan agar tidak terlalu kuat. Air matanya bergenang di tubir mata namun di ketap bibir untuk menahannya daripada jatuh. Jantungnya berdebar dengan maha hebat. Apa yang sedang berlaku ni???????! Jiwanya menjerit.

 

“Takda apa lah. Kenapa takut sangat ni? Hei, cikgu cuma nak memuji kebijaksanaan awak saja. Jangan takut. Tenang.”Cikgu Rosli masih mengenggam tangan Syifa dengan kuat agar gadis cilik itu tidak dapat melarikan diri. Jemari kasar itu mengusap-usap kekura tangan Syifa dengan lembut. Bulu roma Syifa menegak. Dia benar-benar ketakutan. Dahinya mula berpeluh.

 

“Cikgu suka gadis yang pandai dan matang macam Syifa. Syifa nak kahwin dengan cikgu tak?” Guru yang berusia awal 30-an itu tersenyum gatal. Syifa menunduk sambil cuba untuk melepaskan tangannya. Mata guru muda itu langsung tidak mahu ditatapnya. Dia jijik!

 

“Eh, ni kenapa ni? Syifa, Cikgu Rosli, semua baik-baik saja ke?” Cikgu Anida menegur sambil meletakkan buku-buku latihan di atas mejanya. Syifa yang meminjam kerusi Cikgu Anida segera bangun setelah genggaman tangannya dilepaskan oleh Cikgu Rosli.

 

“Semua baik-baik saja, cikgu. Syifa ni ada masalah sikit tadi. Dia bercerita dengan saya. Sekarang saya harap awak dah kembali tenang ya Syifa?” Cikgu Rosli menjeling Syifa yang sedang berdiri di sebelah Cikgu Anida dan menekur lantai. Cikgu Anida mengalihkan pandangan pada Syifa. Dia cuba mencari anak mata gadis itu. Nalurinya dapat mengesan sesuatu yang lain. Hatinya tidak tenang.

 

“Kalau awak dah tenang, awak boleh balik Syifa. Kalau ada apa-apa lagi nanti, bagitahu saya saja.” Cikgu Anida menolak sedikit tubuh Syifa agar dia segera pulang. Cikgu Rosli pura-pura sibuk dan seolah-olah tidak mempedulikan sesiapa lagi. Syifa berjalan laju seperti hampir berlari keluar dari bilik guru. Dia tak mampu berfikir sekarang. Hati kecilnya keliru apa yang baru saja berlaku. Adakah perbuatan itu salah? Normalkah layanan dan kata-kata seperti itu dilemparkan dari seorang yang bergelar guru? Syifa tidak tahu. Langkahnya tidak teratur. Sekejap dia naik tangga kemudian turun kembali. Cikgu Anida yang menuruti Syifa memanggilnya. Syifa menghampiri Cikgu Anida.

 

“Awak okey tak Syifa?” Cikgu Anida memegang bahu Syifa. Syifa mengangguk dalam keadaan menunduk.

 

“Cikgu Rosli ada buat apa apa pada awak ke tadi?” Syifa mengetap bibir. Apa yang harus aku lakukan, bisik hatinya.

 

“Cikgu Rosli…err..dia…”

“Dia buat apa, Syifa?” nada Cikgu Anida tegas.

“Dia ramas tangan saya. Dan dia kata, dia…”

“Lagi? Dia buat apa pada awak?”

“Dia kata dia suka gadis yang pandai dan matang seperti saya. Dia nak kahwin dengan saya!” usai mengucapkan kata-kata itu, tangisan yang ditahan sedari tadi akhirnya terhambur. Syifa menangis semahunya di bahu Cikgu Anida.

“Ini adalah gangguan seksual, Syifa. Saya akan bantu awak laporkan pada guru besar, ya. Awak jangan risau.” Syifa mengangguk. Jiwanya sedikit tenang.

 

Cikgu Anida membawa Syifa bertemu guru besar yang kebetulan mempunyai masa lapang pada waktu itu. Dia menceritakan segala-galanya dan diakui oleh Syifa. Guru besar itu mencatit segala keterangan dan berjanji akan mengambil tindakan lanjut.

 

Keesokan harinya, Syifa demam selama tiga hari. Sebaik saja dia hadir ke sekolah, ternyata berita tentang Cikgu Rosli telah tersebar luas.

 

“Cikgu Rosli dipindahkan ke sekolah lain.” Cikgu Anida memaklumkan kepada Syifa. Wajahnya kosong, seperti tawar hati.

 

“Saya ingat dia kena buang.” Syifa teragak-agak melontarkan kata-kata.

 

“Sepatutnya. Tapi, entahlah. Guru besar bertindak memindahkan dia ke sekolah lain saja. Dia telah melakukan gangguan seksual terhadap pelajar bawah umur. Sepatutnya hukumannya lebih keras. Saya memang tak berpuas hati.” Cikgu Anida bebas meluahkan ketidakpuasan hatinya pada Syifa kerana kematangan anak gadis itu membuatkan dia selesa berbicara seperti dewasa.

 

“Di sekolah lain nanti, dia boleh melakukan perkara yang sama.” Pendek saja respon Syifa.

“Takpalah Syifa. Yang penting, sekarang awak dah selamat. Saya harap Cikgu Rosli dah tak buat lagi perkara terkutuk macam ni. Awak fokus pada pelajaran dan apa-apa masalah, awak boleh percayakan saya. Cerita saja pada saya. Kalau boleh bantu, saya bantu.”

 

“Terima kasih, cikgu.”

 

Pedofilia, seseorang yang telah dewasa namun mempunyai nafsu seksual terhadap kanak-kanak. Barah yang kian merebak dalam kalangan masyarakat hari ini. Perlakuan jijik itu disulami dengan gangguan seksual bermula dengan memegang tangan dan akhirnya ke perlakuan sumbang atau seks terhadap kanak-kanak sekiranya tidak dibendung. Bahkan, tanda-tanda gangguan seksual itu juga menimbulkan kekeliruan bagi kanak-kanak bawah umur yang tidak mengetahui apakah perbuatan yang menjurus pada gangguan seksual dan apa yang normal. Pada tangan siapakah kita meletakkan nasib generasi yang akan datang?