Syaitan Yang Mengajarkan Taubat

Afdholul Rahman Che Ani / June 3, 2017, 00:06:47 am

Yusuf a.s. datang kepada ayahnya, Yaaqub a.s., mengadukan bahawa dirinya telah bermimpi akan segala kebesaran di langit tunduk sujud kepadanya. Bulan, bintang dan matahari yang ternyata di antara makhluk hebat di cakerawala tunduk kepadanya.

Di balik kehebatan mimpi sedemikian, baginda Yaaqub a.s. mengetahui ada urusan besar sedang diatur oleh Allah s.w.t. untuk anaknya itu.

Lalu dipesannya, “Jangan kau ceritakan mimpi kau itu kepada saudara-saudara kau, nanti mereka merancang makar untukmu.”

Pesanan itu bertali pada ayat yang seterusnya dengan ingatan dari Allah s.w.t. “Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia.”

Apa kaitan makar saudaranya Yusuf dengan syaitan?

“Boleh jadi syaitan itu,” kata Al-Qurtubi, “yang membawa mereka kepada bermaksud sesuatu yang buruk terhadapmu (Yusuf).”

Kalau saja terhadap orang semulia Yusuf yang mendapatkan mimpi sehebat kebesaran alam yang bersujud padanya itupun syaitan berniat hasad dan mahu bermakar padanya, pasti sesuatu yang tidak menghairankan kalau orang sekerdil kita ini lebih kuat desakan syaitan semisal itu pada diri.

Lubang syaitan itu bukan satu. Sering tersangka pada ramai orang, lubangnya syaitan itu hanya melalui pintu kejahatan yang nampak secara langsung. Syaitan juga sudah begitu berpengalaman dengan lama umurnya dan tidaklah begitu bodoh untuk menusuk ke dalam hati manusia hanya melalui jalan kejahatan.

Beransur-ansur melalui jalan kebaikan, ia menukarkan kiblat kita sedikit demi sedikit kepada kejahatan, membuat kita terkeluar hanya 1 darjah saja dari permulaan landasan yang lurus, 1 darjah itu akhirnya tak disedari, hari demi hari membuatkan 1 darjah itu kian membesar menjadi 90 darjah dan seterusnya kita melencong tersesat tanpa sedar.

Ia tidak harus bersusah payah menyuruh orang baik minum arak, cukuplah dengan hanya berbangga dengan amalnya, ia merosakkan kebaikan tersebut. Ia tidak harus bersusah payah menyuruh orang rajin ke masjid berhenti solat, cukuplah dengan hanya menghantar susuk gadis menggodanya atas alasan meminta nasihat dari seorang yang dirasakannya soleh, yang akhirnya di situ punya potensi kembang biak menjadi maksiat yang menjauhkannya dari Tuhan. Ia tidak harus bersusah payah menyuruh lelaki perempuan bercouple bermaksiat, cukup dengan hanya menyuntik mereka melalui jalan yang dilihat baik seperti study berdua, saling bermesej tazkirah, akhirnya satu pakej lengkap maksiat terangkum di dalamnya bagi mereka yang terpengaruh dengan bisikan syaitan itu.

 

Kesesatan Nyata VS Iman Yang Tidak Nyata

Syaitan tidak bodoh.

Kita pula tidaklah terlalu bijak.

Kita justeru telah mengetahui lama bahawa jalan syaitan itu adalah kesesatan yang nyata, tetapi berapa ramai yang langsung terpengaruh. Barangkali kesesatan yang nyata dihadapi oleh iman yang tidak nyata, maka seringlah iman yang tidak nyata itu tertewas.

Iman yang tidak nyata, yang masih banyak berbelah baginya, yang masih banyak berkira-kira dengan Tuhan di kala Tuhan tidak berkira-kira memberi anugerah-Nya, memilih-milih dalam ibadah yang dirasakan senang dan suka bagi dirinya, bersikap sambilewa dan tidak bersungguh dalam menjejak kaki di atas kebenaran, selalu senang berada dalam keadaan lalai dan leka, akhirnya kita terperangkap dalam nyatanya perangkap kesesatan syaitan.

Iman yang tidak nyata, tidak kuat untuk mendepani kesesatan yang telah nyata.

Meski terbukti dan jelas-jelas di depan mata, bahawa yang di depan kita itu adalah sebuah kesesatan, tetapi kerana iman yang tidak nyata, bergolak di antara hidup, sakit atau matinya iman, membuatkan kesesatan yang nyata itu pun dilihat indah sebagai jalan yang lurus.

 

Syaitan Bermakar Melalui Jalan Taubat

Sepertimana saudara bersepuluh yang telah bermakar ke atas Yusuf, apakah mereka tidak mengetahui ketikamana mereka bermakar itu, makar mereka itu ternyata adalah suatu kesesatan?

Tidak. Mereka bahkan mengetahui.

Itu adalah kerana makar mereka itu berhasil dari bisikan syaitan. Mereka itu bukan sebarangan orang, mereka adalah anaknya Nabi Yaaqub a.s. Namun, iman tidak membeza-beza anak Nabi atau bukan, keturunan Nabi atau tidak.

Iman tidak diwarisi sebagaimana harta dan takhta sang monarki.

Kalau imannya tidak nyata, maka makar syaitan yang lebih nyata itu akan memenangi ke atas dirinya.

Begitulah sebagaimana yang dirancang oleh mereka. Syaitan bermakar kepada mereka melalui jalan taubat.

“Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu daerah supaya perhatian ayahmu tertumpah kepadamu saja,”kata mereka, lalu disambung lagi, “dan sesudah itu, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang soleh.”

Buatlah jahat semahu kalian, selepas ini, bertaubatlah. Pintu taubat itu terbuka luas untuk kalian. InsyaAllah, masih punya kesempatan taubat selepas berbuat jahat ini. Seakan-akan itulah bisikan syaitan ke atas mereka.

Syaitan bahkan mengajarkan taubat kepada mereka, mengajar tentang bagaimana menjadi soleh. Namun, itu pastinya ajaran yang tidak percuma dan tidak beres.

Ia adalah talbis iblis. Tipu daya iblis.

Ia bersenandung di baliknya bisikan jahat, bukan untuk sampai kepada tujuan taubat itu, kerana akhirnya bisikan syaitan itu permulaannya akan membawa kepada pakej kejahatan berantaian yang lengkap dalam hidup insan sekiranya insan itu tidak segera kembali dan benar-benar bertaubat.

Siapakah yang punya jaminan terhadap hidupnya sesaat selepas dia melakukan dosa dalam kesengajaan dia mengetahui bahawa dosa itu adalah satu dosa? Siapakah yang punya jaminan bahawa dia masih bisa bernafas lagi untuk kembali bertaubat setelah dia memilih melakukan dosa dalam keadaan dia mengetahui itu adalah suatu yang salah?

Justeru, tidak siapa pun punya jaminan sedemikian melainkan Allah s.w.t. Sesiapa yang memilih menangguh taubatnya kerana mendahulukan dosanya yang diketahuinya salah, maka ia telah terjatuh ke dalam perangkap syaitan yang nyata.

 

Penutup : Persiapkan Iman

Dalam senggang-senggang ruang yang ada, syaitan tidak pernah berputus asa menipu daya kita.

Tidak berjaya dengan jalan yang terang-terang menyuruh berbuat jahat, dimakarnya kita dengan jalan kebaikan.

Tidak berjaya dengan jalan yang besar, dipilihnya denai-denai kecil.

Tidak berjaya dengan jalan dosa, atas nama jalan taubat pun boleh menjadi perangkapnya.

Sentiasalah syaitan itu tidak berhenti bekerja. Ia jelas, di atas kesesatannya yang nyata itu, apa yang ingin dicapainya terhadap manusia.

Kita, dengan iman kepada Allah s.w.t., yang telah jelas sebenarnya bagi kita akan kebenaran jalan Allah s.w.t. ini, apakah kita sejelas dan sekuat itu kita bekerja untuk akhirat kita, untuk Islam kita?

Persiapkanlah iman yang nyata.