Suatu permulaan

Mohamad Hazrul Fitri / January 18, 2018, 11:01:44 am

Mungkin kepada segelintir orang, bahasa kita adalah bahasa yang tidak ‘maju’, bahasa yang mudah diperlekehkan. Itulah pandangan aku kepada bahasa melayu seketika dahulu. Tak pernah aku membangga-banggakan bahasa ibunda kita, mungkin kerana fenomena genre muzik melayu yang terlalu ‘jiwang’ dan terlalu tradisional, seperti zapin dan semacamnya. Begitulah aku mengenal bahasa ibunda kita. Di sekolah pula, sudah termaktub bahawa bahasa melayu adalah bahasa keduaku, kerana di Singapura yang dititikberatkan adalh bahasa inggeris, kerana ia mempermudahkan komunikasi antara bangsa kita dan bangsa-bangsa lain. Tidak dinafikan bahawa bahasa inggeris adalah penting dalam kehidupan kita hari ini, kerana dalam era globalisasi, bahasa inggerislah yang menjadi perantaraannya. Jadi mulalah pengembaraanku dalam memperdalami bahasa inggeris. Topik kegemaranku adalah sastera, ataupun ‘literature’; aku begitu kagum dengan teraturnya jalan sebuah cerita dan bagaimana kata-kata diletakkan dalam tempatnya. Masih segar lagi dalam ingatanku apabila satu hari, ketika guruku menyuruh kami menyumbangkan kata-kata baru yang kita telah jumpa dalam pembacaan buku kita, aku pun berilah kata ‘mesmerize’. Reaksi guruku?

“Very good Hazrul. I know he can give these kind of words because he’s reading a good book.” Jelasnya kepada seluruh kelas. Pada waktu itu, aku tidak tahu bagaimana untuk tindak balas kepada kata-katanya itu.

Buku itu adalah buku “To kill a mockingbird”, kisah seorang peguam yang adil dan penuh hikmah yang cuba menyelamatkan seorang bangsa kulit hitam dari disalah hukum. Diceritakan pula dari kacamata anaknya yang bongsu, dan penulis buku itu memberikan sebuah gambaran yang jelas kepada situasi yang sedang berlaku pada zaman penulis itu.

Mungkin itulah yang aku azamkan, menjadi seorang yang pandai mengetengahkan sebuah masalah yang sedang dihadapi oleh sebuah bangsa dan rakyat dengan menulis. Bercerita supaya mereka dapat menghubung kait antara realiti dan imaginasi.

Dan langkah pertama yang harus aku lakukan? Baca, baca, dan baca.

Tetapi sejak kebelakangan ini, terdetik dalam hatiku – mengapa engkau tidak memperbaiki bahasa melayu engkau?

Setelah sekian lama disindir dan diejek oleh ahli keluarga kerana kelemahanku dalam bahasa melayu, aku pun mula mencari bahan membaca. Yang pertama sekali aku lakukan, aku berpaling kepada suratkhabar kerana pada sangkaanku ia menggunakan bahasa yang mudah difahami. Tetapi suratkhabar tidaklah seronok dan hatiku perlukan sesuatu yang lebih menarik dan mencabar.

Aku tidak tahu mengapa, tetapi mungkin pada saat aku berdiam diri di masjid, kitab berjilid Tafsir Al-Azhar yang ada di rak-rak buku selalu menarik perhatianku. Nama Buya Hamka tidaklah terlepas daripada perbualan orang Melayu kita. Di mana sahaja anda berada, tentu namanya akan disebut.

Suatu malam, setelah kiat ingin mengenal lebih dalam tentang Buya Hamka, aku bertanya kepada Abahku.

“Abah, abah ada tak buku-buku Hamka?”

“Ada, tengok di dalam kotak atas almari bilik abah,” ujarnya.

“Banyak buku-buku lama tersimpan dalam kotak itu. Semua buku itu abah bacanya ketika abah bujang. Tapi buku Hamka tu lah yang abah belajar dengan berguru dahulu.”

Falsafah hidup. Itulah buku pertama Hamka yang membuat aku minat bahasa melayu.

Aku akui bahasa yang digunakan dalam penulisan ini tidaklah sebagus penulis-penulis lain di dalam kumpulan ini. Tujuan menyertai program ini pun bukanlah semata-mata untuk menerbit sebuah buku; setelah lama memikirkan niatku, aku sedar bahawa menerbitkan sebuah buku adalah impian setiap penulis idamkan, tetapi menulis dan memperbaiki bahasa lebih penting bagiku pada saat ini. Kerana aku percaya, dengan mempelajari selok belok dalam menggunakan bahasa mengajarkan seseorang untuk meluruskan fikirannya supaya dia dapat berdikari dalam memikir dan bertindak untuk berbuat sesuatu.

Aku harap, banyak lagi akan ditulis dalam masa akan datang.