Refleksi Ramadhan

RAMADHAN: ANTARA IBADAH DAN HADIAH

Hafizul Faiz / June 15, 2017, 17:06:03 pm

“Kesian kat kawan-kawan ni, mereka dok sedih. Ramadhan dah nak masuk tapi tak boleh puasa.” Begitu cerita isteri saya. Dan saya tahu, begitulah juga rungutan perempuan-perempuan di luar sana ketika memikirkan nasib terpaksa cuti di awal Ramadhan dan merasakan lagi malang bila terpaksa cuti hujung Ramadhan.

 

“Puasa mungkin tak dapat dah, tapi Ramadhan masih dapat,” balas saya pula.

 

“Aik. Macam mana tuh bang?” soalnya terus.

 

“Cuba lihat ayat 183 Surah al-Baqarah itu semula.” Dia pun membuka al-Quran segera menerusi aplikasi di telefon bimbit. [1]

 

“Ayat itu bercakap tentang puasa ke tentang Ramadhan?” soal saya. Dia masih meneliti ayat tersebut, membaca terjemahannya.

 

“Tentang puasa. Tapi kita kan memang berpuasa pada bulan Ramadhan? Apa yang bezanya?” tanyanya.

 

“Betul. Tapi kenapa Allah bercakap pula tentang bulan Ramadhan di ayat 185? Dua ayat selepasnya? Kenapa Allah tak cantumkan sahaja ayat tentang kewajipan berpuasa dan Ramadhan ini sekali?” Saya membuka persoalan.

 

“Firman Allah, …bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Permulaan ayat ini sangat penting untuk ditekuni. Allah hanya bercakap semata-mata tentang keistimewaan Ramadhan secara spesifik.” [2]

 

Suhu di Edinburgh mula meningkat. Tak perlu lagi kami pasang pemanas di rumah. Dan di petang-petang begini, enak sahaja duduk berbual sambil ditemani secangkir teh.

 

“Apabila Allah memisahkan ayat ini, bererti ia membawa mesej yang tersendiri. Berpuasa ialah ibadah. Tetapi Ramadhan bukan ibadah, sebaliknya hadiah. Berpuasa dan Ramadhan mempunyai makna berbeza, objektif berbeza, tetapi datang dalam satu tempoh yang sama.” Secawan teh dihirup penuh nikmat.

 

“Mereka mungkin tak dapat menunaikan ibadah, tetapi mereka masih layak untuk menerima hadiah… hadiah sebuah barakah.” Saya menyimpulkan dengan mudah.

 

“Tapi ayat ini juga selepas itu Allah bercakap tentang puasa,” pintasnya segera. Memang peka sekali orangnya.

 

“Betul. Mari kita lihat lagi ayat ini. Dalam ayat 184, Allah mengatakan bahawa barangsiapa yang tak dapat berpuasa atas sebab-sebab tertentu, mereka didenda. Dalam ayat 185 pula, setelah Allah bercakap tentang istimewanya bulan Ramadhan, Allah bercakap tentang pengecualian ini tetapi diakhiri dengan… “Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.”  Isinya sama tapi jika dilihat konteksnya sangat berbeza. Ini bererti, ayat 185 bukan sahaja bercakap tentang penetapan hukuman puasa, tetapi makna di sebaliknya yang lebih mendominasi. Penetapan sudah selesai. Sekarang mari kita telusuri keindahan, keistimewaan dan kehebatannya… seolah-olah begitulah maksudnya.” Saya membebel lagi.

 

“Jadi, ayat 183 lebih kepada penetapan hukum. Ayat 185 pula lebih kepada hadiah di sebalik hukum, iaitu makna dan hikmah?” Dia menyimpulkan.

 

“Tepat,” balas saya.

 

“Walaupun kami orang perempuan ini tak boleh beribadah, tapi kami tetap mendapat hadiah, iaitu keistimewaan Ramadhan yang penuh barakah. Wah!” simpulnya mudah, tepat dan indah.

 

Selamat berpuasa dan menyambut Ramadhan 2017 ini buat semua yang membaca. Daripada saya Mohd. Hafizul Faiz Bin Hashim dan isteri Nur Dayana Binti Mohamed Ariffin.

 

 

[1] يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

 

Terjemahannya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (2:183)

 

[2] شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

 

Terjemahannya:  Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. (2:185)

 

Boleh baca juga di www.hafizulfaiz.com
#ProjekRefleksiRamadan
#RamadanBulanCinta
#HafizulFaiz