Pesan untuk Gadis berusia 22 tahun

Auni B / January 18, 2018, 12:01:25 pm

 

Masa

Hai gadis. Kau bukan lagi kanak-kanak yang boleh bebas bermain ria. Tanpa peduli waktu berlalu, tanpa peduli keadaan yang lain. Usiamu sudah bertambah. 21 tahun sudah pun berlalu dan terkubur dipotong pedang waktu. Kini, kau hanya ada masa sekarang. Ya sekarang pada saat hembusan nafasmu masih berselang-seli; menarik nafas ke dalam dan menghembus nafas ke luar.

Masa depanmu penuh dengan ketidakpastian. Adakah ajalmu bakal tiba sesaat lagi atau masih bertahun-tahun jaraknya? Kau juga tidak pasti masa lalumu itu penuh dengan amal soleh yang ikhlas, kelalaian yang melampau atau dosa-dosa yang tak terhitung? Jadi, fokusmu harus ke masa sekarang. Apa yang sedang kau buat sekarang? Berbaloikah masa emasmu dihabiskan untuk sesuatu perkara itu atau tidak?

Tanggungjawab

Hai gadis. Bila menginjak dari alam remaja ke alam dewasa, badanmu juga semakin kuat, akalmu semakin cerdas dan pergaulanmu semakin luas. Segala bentuk kekuatan yang kau peroleh ialah sebahagian daripada  nikmat Allah. Dengan bertambahnya kekuatan, bertambah juga tanggungjawab di pundakmu.

1.Ilmu

Pada masa muda dan bujang begini, umumnya, prioriti utama haruslah ilmu. Apa jua bidang pun, kau harus cuba untuk berusaha sebaik mungkin untuk menguasai bidangmu; fokus dalam kelas, rajinkan diri buat nota, hadamkan ilmu bukan sekadar menelan, bertanya jika tidak faham dan fikir bagaimana ilmu itu boleh beri manfaat kepada kehidupanmu dan masyarkat. Hidupkan ilmu. Usah biarkan ia hanya kaku di helaian buku dan sekadar perkataan yang dihafaz tanpa kefahaman. Kalau kau hanya menghafaz membabi buta, gajet pintar juga boleh jadi lebih pintar daripadamu.

Kau juga harus sentiasa beringat untuk menjaga keberkatan ilmu dengan pertamanya menjaga adabmu dengan guru. Walau sebosan mana pun cara pengajarannya, cuba untuk bersabar, kekal beradab dan cari alternatif untuk faham. Kedua, kau harus bersikap amanah terhadap ilmu yang telah kau pelajari. Setiap hari, tanyakan pada diri; “Apakah ilmu yang telah aku amalkan hari ini?” Apakah manfaat ilmu jika hanya tersimpan di akal tapi tak termanifestasi dengan amal? Bila ilmu tidak digunakan, ia akan luntur dan hilang.

Ilmu itu bukan sahaja daripada menadah ilmu dari guru dalam kelas yang wajib. Cari peluang untuk hadiri kelas-kelas pengajian tambahan untuk mantapkan kefahaman agama, sama ada kuliah-kuliah harian di masjid dan kelas pengajian bersiri lain. Kau juga mungkin akan bertemu dengan teman-teman baru yang mempunyai semangat sepertimu. Selain itu, kau perlu cakna tentang isu-isu semasa dalam masyarakat dan dunia. Ambil peluang untuk hadir ke ceramah atau ‘talk’, simposium atau konvensyen di kampus. Banyak sekali yang percuma! Hmm, jika kau tidak punya kemewahan majlis-majlis ilmu di kampus, cuba lah pula cari melalui internet. Zaman sudah maju, ada banyak ceramah atas talian di laman Youtube dan Facebook Live serta rakaman audio atau podcast untuk didengar pada waktu lapang.

2. Keluarga

Bila usiamu bertambah, usia orang di sekelilingmu juga bertambah. Ibu bapamu, datuk nenekmu dan adik-beradikmu. Ibu bapa dan datuk nenek semakin memerlukan perhatianmu, baik dari segi fizikal, mental, emosi, spiritual dan kewangan. Tubuh mereka semakin lemah; pandangan semakin kabur, pendengaran semakin lemah dan kekuatan akal juga makin menumpul. Mungkin kau mulai perasan, ibu bapamu mulai merungut tentang sakit belakang, sakit lutut dan lupa-lupa. Kau pula yang akan ambil alih peranan sebagai pemandu, tukang masak dan penjaga mereka separuh atau sepenuh masa. Bersabarlah dengan mereka sebagaimana mereka bersabar dengan kerenahmu sewaktu kecil dulu.

Gadis, adik-beradikmu juga sedang membesar. Mereka sedang menginjak alam remaja dan berhadapan dengan banyak cabaran zaman moden. Pengaruh buruk hanya di hujung jari. Rajin-rajinkanlah bertanya khabar dan pantau keadaan mereka, walaupun berjauhan. Kau juga harus main peranan dengan menjadi pembimbing untuk adik-adik. Mereka memerlukan model dan rakan yang baik sebagai rujukan kehidupan seharian. Siapa lagi, kalau bukan kamu? Kakak mereka yang lebih dewasa.

3. Masyarakat

Hai gadis. Ini masanya untuk kau mula memerhati dan meneroka keadaan masyarakat.  Kau tidak boleh selamanya hanya memikirkan tentang dirimu sendiri; kebahagiaanmu, kesusahanmu, pokoknya hanya berkisar kepompongmu. Masyarakat juga memerlukan perhatianmu. Cuba selami kehidupan mereka. Bagaimanakah rasanya jika kamu di tempat mereka? Bila kau sudah tahu apakah kesusahan mereka, kemudian carilah peluang untuk menjadi sebahagian daripada solusi.

Ada begitu banyak platform yang tersedia. Kau hanya perlu memilih sahaja mana yang paling sesuai dengan potensi dan cita rasamu. Persatuan pelajar di kampus? Organisasi kebajikan? Badan dakwah? Aktivis seni dan sastera? Terserah kepadamu, gadis. Asalkan kau tahu mengapa kau sertainya, berpegang pada prinsip asas hidup sebagai Muslim dan mampu menyeimbangkan tanggungjawabmu yang lain. Perjalanan akan perit dan menghimpit. Tapi tak mengapa, ini peluang untuk kau belajar, gadis. Asah dirimu hari ini supaya di kemudian hari kau berkilau seperti permata.

Sudah panjang coretan ini. Kau pasti lenguh membacanya. Aku rasa cukup sekadar ini. Suatu masa nanti, jika kau merasa lemah, malas dan tidak produktif, belek kembali coretan ini. Semoga kau mampu kembali fokus, perteguh jiwa dan terus melangkah. Sesungguhnya, jarum masa akan tetap berjalan, tanpa mengira kau sudah rebah terhenti atau masih berlari. Semoga berjaya, gadis!