Perkongsian Pengalaman: “Ustazah, wanita haid, nanti selepas suci, ada kena qadha’ solat ke?”

NorNur / August 6, 2018, 17:08:32 pm

“Ustazah, betul ke ni? Ada orang kata, kalau kita mula datang haid waktu Asar, belum sempat solat Asar, nanti bila dah berhenti haid, kita kena qadha’ Asar dan waktu Zuhur juga?”

Terkebil-kebil saya mendengar soalan tersebut.

“Apa soalannya? Qadha’ Zuhur kalau mula datang haid waktu Asar atau berhenti daripada haid waktu Asar ye?” Saya bertanya kembali meminta kepastian.

“Mula datang haid, ustazah. Itulah, biasa saya dengar, wanita haid kalau berhenti haid waktu Asar, baru kena qadha’ Zuhur kan? Ini terbalik pula. Betul ke, ustazah?” Dahinya turut berkerut.

“Eh, ustazah! Wanita haid, nanti selepas suci, ada kena qadha’ solat ke?” Sampuk yang lain pula terpinga-pinga.

“Bukan wanita haid tak perlu qadha’ solat ke, ustazah? Puasa baru kena qadha’ kan?” Seorang jemaah di bahagian belakang pula menambah.

Suasana dalam kuliyah Dhuha pagi itu menjadi hingar-bingar seketika.

Mungkin ada pembaca yang turut keliru cuba memahamkan soalan di atas. Maafkan saya kalau anda terpaksa membaca berulang kali soalan tersebut. Saya cuba menjawab persoalan ini dengan bahasa yang mudah, biiznillah.

 

Beza antara Berhenti dan Bermulanya Haid

“Dalam mazhab Syafi’ie, wajib bagi wanita yang berhenti haidnya pada waktu Asar atau Isyak untuk menunaikan solat fardhu tersebut serta mengqadha’kan solat fardhu yang sebelumnya yakni solat Zuhur atau Maghrib, jika mereka sempat berada dalam waktu kedua itu yakni Asar atau Isyak, sekadar takbiratul ihram, bukannya bagi wanita yang baru datang haid.”

“Kalau mula haid waktu Asar, tak perlu qadha’ Zuhur kan, ustazah? Kalau berhenti haid waktu Asar sahaja yang kena qadha’ Zuhur kan? Betul tak ustazah?” Penyoal yang merupakan orang pertama sekali bertanyakan isu ini meminta kepastian.

Saya tersenyum memandangnya. Terselit rasa berterima kasih atas soalannya sebentar tadi. Rupanya masih ramai yang keliru, malah tidak tahu menahu berkenaan isu qadha’ solat wanita haid selepas suci. Disebabkan soalan beliau, ramai pula yang mendapat ilmu baru. Pasti pahala daripada soalannya itu berganda-ganda pula.

“Tepat sekali. Kalau seorang wanita itu mula datang haid waktu Asar, maksudnya dia kan dah solat Zuhur sebab masih suci masa Zuhur. Jadi tak timbul isu kena qadha’ waktu pertama -yakni Zuhur dan Maghrib- jika mula datang haid waktu kedua -yakni Asar dan ‘Isyak-. Isu qadha’ hanya timbul apabila berhentinya haid waktu kedua -yakni Asar dan ‘Isyak-, maka kenalah qadha’ juga waktu pertama -yakni Zuhur dan Maghrib-.”

Saya memandang wajah-wajah di hadapan saya. Berkerut-kerut dahi majoriti mereka. Maka saya pun segera ke papan putih untuk membuat jadual dengan harapan isu ini difahami dengan lebih jelas. Wabillahittaufiq.

 

Contoh Waktu Solat Apakah solat yang perlu dilakukan setelah mandi wajib?
Berhenti haid jam 5 petang Waktu solat kedua: Asar.

Waktu solat pertama yang telah berlalu: Zuhur

Solat Asar secara tunai

kemudian solat pula Zuhur secara qadha’.

 

Berhenti haid jam 9 malam Waktu solat kedua: Isyak

Waktu solat pertama yang telah berlalu: Maghrib

Solat Isyak secara tunai kemudian solat pula Maghrib secara qadha’.

 

Berhenti haid jam 7 malam Waktu solat kedua: Asar

Waktu solat pertama yang telah berlalu: Zuhur

Jika Maghrib masuk jam 7.20 malam.

 

Sempat mandi wajib dan kemudian solat Asar secara tunai. JIka ketika solat Asar, azan Maghrib berkumandang, teruskan solat seperti biasa (usah gelabah dan membatalkan solat tersebut :D). Kemudian boleh pilih antara qadha’ solat Asar atau solat Maghrib secara tunai terlebih dahulu.

 

Jika selepas mandi wajib, anda tidak sempat solat Asar, waktu Maghrib sudahpun masuk, maka anda boleh tunaikan solat Maghrib secara tunai dan solat Asar dan juga Zuhur secara qadha’.

Berhenti haid jam 5.30 pagi Waktu solat kedua: Isyak

Waktu solat pertama yang telah berlalu: Maghrib

Jika Subuh masuk jam 5.40 malam.

 

Sempat mandi wajib dan kemudian solat Isyak secara tunai. JIka ketika solat Isyak, azan Subuh berkumandang, teruskan solat Isyak seperti biasa (usah gelabah dan membatalkan solat tersebut :D). Kemudian boleh pilih antara qadha’ solat Maghrib pula atau solat Subuh secara tunai terlebih dahulu.

 

Jika selepas mandi wajib, anda tidak sempat solat Isyak dan waktu Subuh sudahpun masuk, maka anda boleh tunaikan solat Subuh secara tunai dan solat Isyak dan juga Maghrib secara qadha’.

 

“Jadi, isu qadha’ solat kedua bersama dengan solat pertama adalah berkait dengan berhenti haid, bukan bermula haid. Ini kerana apabila seorang wanita itu bermula haidnya pada waktu Asar, sedangkan dia sudah menunaikan solat fardu Zuhur, maka dia hanya wajib untuk menunaikan solat fardhu Asar, atau mengqadhanya selepas suci jika dia tidak sempat solat Asar sebelum datangnya haid. Begitu juga jika dia sudah melaksanakan solat Asar, kemudian datang haid pada waktu Asar juga, maka dia tidak perlu mengqadha solat Zuhur dan Asar kerana dia sudah selesai melaksanakan kedua-duanya. Tidak menjadi syarat sah suatu solat itu mesti sah juga solat fardu selepasnya, atau datang penghalang (seperti haid dan gila) pada waktunya sedangkan solat-solat fardu itu sudah pun dilaksanakan.”

Jemaah di hadapan saya mengangguk. Namun, masih ada yang berkerut dahi. Tiba-tiba ada yang mengangkat tangan.

“Ustazah, ini pertama kali saya dengar pasal qadha’ solat Zuhur dan Asar, Maghrib dan Isyak. Ini dalam mazhab Syafi’e ke, ustazah?” Seorang wanita dalam lingkungan 30-an bertanya.

Saya tersenyum dan mengangguk.

 

Tulisan Mufti Wilayah

                “Mari kita lihat apa yang Mufti Wilayah tulis berkenaan isu ini.” Saya membuka laman web rasmi Mufti Wilayah.

                Kata Imam al-Nawawi Rahimahullah: “Yang sahih di sisi kami (mazhab al-Syafie) bahawa mereka yang uzur wajib untuk melaksanakan solat Zuhur jika dia sempat melaksanakan apa yang wajib dengannya dalam solat Asar (apabila hilang uzurnya). Inilah pendapat Abdurrahman bin Auf, Ibn Abbas, ahli fiqh Madinah yang tujuh, Ahmad, dan selain mereka. Manakala kata al-Hasan, Qatadah, Hammad, al-Thauri, Abu Hanifah dan Malik, tidak wajib ke atas orang itu.)”Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (3/66).

Ini kerana waktu Asar adalah waktu uzur bagi solat Zuhur dan waktu Isyak adalah waktu uzur bagi solat Maghrib. Waktu uzur di sini boleh diertikan sebagai ‘waktu kecemasan’ yakni waktu yang dibenarkan penangguhan solat fardu ke waktu solat fardu yang lain disebabkan suatu keuzuran dan kepayahan seperti musafir. Dalam konteks haid dalam soalan di atas, wajib qadha waktu pertama bukan hanya bersifat afdhal (lebih baik) tetapi wajib kerana waktu kedua adalah waktu uzur bagi solat pertama.

Buktinya seperti kata Imam al-Syirazi Rahimahullah dalam kitab al-Muhazzab: “Dalilnya ialah bahawa waktu Asar bersama waktu Zuhur, dan waktu Isyak bersama waktu Maghrib adalah hak orang yang uzur yakni musafir. Maka, mereka yang berada dalam kategori uzur (seperti wanita berhaid apabila suci, orang gila apabila sedar dan lain-lain), waktu kedua itu adalah waktu solat pertama di sisi mereka.”

Kata Imam al-Nawawi Rahimahullah  menghuraikan: “Sekiranya solat yang sempat itu adalah Subuh, Zuhur, atau Maghrib maka tidak wajib solat melainkan solat itu sendiri. Sekiranya solat Asar dan Isyak, maka wajib melaksanakan solat Zuhur dengan Asar, dan solat Isyak dengan Maghrib tanpa khilaf (dalam mazhab al-Syafie).” Pendapat yang azhar (tepat) bahawa waktu solat yang sempat itu ialah seseorang itu berada dalam suatu waktu solat tidak kurang masanya daripada kadar takbiratul ihram, manakala pendapat lain ialah satu rakaat. Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (3/65)

Untuk memudahkan faham, kami nyatakan dengan contoh. Fatimah datang haid pada 1 haribulan Mac jam 6.00 petang sedangkan dia masih belum menunaikan solat fardu Asar. Maka, apabila Fatimah suci kelak, dia wajib mengqadha’ solat fardhu Asar yang dia luputkan pada 1 haribulan itu. Fatimah tidak wajib mengqadha’kan solat fardhu Zuhur yang sudah selesai dia tunaikan pada hari itu. Pada 7 haribulan Mac, jam 6.00 petang, Fatimah sudah suci daripada haid dan mandi wajib. Maka dia wajib untuk mengqadhakan solat fardhu Asar bagi 1 haribulan yang lalu dan solat fardhu Zuhur pada hari ini, dan menunaikan solat fardhu Asar secara tunai pada waktunya.

 

Tidak pernah qadha’

“Ada soalan?” Saya bertanya cuba memastikan tahap kefahaman jemaah di hadapan saya.

“Ustazah, macam mana ye? Saya ni sejak pertama kali datang haid dulu tak pernah qadha’ macam yang ustazah terangkan ni. Pertama kali saya tahu pasal ni.” Seorang wanita dalam usia 40-an mengangkat tangan bertanya.

“Ye lah, ustazah. Saya pun.” Beberapa jemaah lain turut mengiyakan.

“Jangan risau. Islam agama yang mudah dan tidak menyusahkan ummatnya. Isu ini pun memang isu khilaf seperti yang telah diterangkan. Mazhab Hanafi dan Maliki berpendapat, tidak wajib qadha’ solat yang pertama, walaupun sempat berada dalam waktu solat yang kedua. Mereka pun ada dalil dan hujjah mereka. Kita hormati pandangan semua ulama’ muktabar. Apa yang dah lepas, kira sudah lepas.”

“Ustazah, wajib ke saya qadha’ semula semua solat yang dah tertinggal tu? Berdosa ke kalau tak qadha’?” Tanya yang lain pula.

“Kalau tanya ustazah soalan ni, ustazah cenderung menjawab dengan pendapat para ulama’ yang berpegang dengan konsep ‘yassiru wa la tu’assiru, bashshiru wa la tunaffiru’. Maksudnya: mudahkanlah jangan susahkan, berilah khabar gembira, bukan membuatkan orang lari menjauh. Tak berdosa kerana kita tidak tahu sebelum ni. Lagipun macam ustazah dah cakap, ini isu khilaf yang masih ada ruang untuk kita beramal dengan pendapat yang tidak mewajibkan. WAllahu a’lam.”

“Ada soalan lagi?” Sekali lagi saya bertanya.

Jemaah hanya menggelengkan kepala sambil tersenyum.

 

Menjawab sekadar apa yang diketahui

Begitulah serba sedikit isu qadha’ solat bagi wanita haid selepas suci yang dapat saya kongsikan di sini. Sebenarnya, saya juga tiada ilmu berkenaan hal ini sehinggalah saya membaca jawapan yang disebutkan oleh Dr. Zulkifli al-Bakri sendiri di pautan ini: http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2324-al-kafi-718-adakah-wajib-solat-zuhur-sekiranya-haid-datang-pada-waktu-asar

Saya memohon maaf jika saya ada tersilap kata, tersilap bahasa sepanjang menjawab segala persoalan. Mohon ditegur jika ada kesalahan dan kekhilafan yang berlaku. Saya akui, boleh jadi, jawapan untuk soalan yang ditujukan kepada saya hari ini berbeza dengan jawapan untuk soalan yang sama pada minggu depan atau bulan depan. Ini kerana apa yang saya ketahui hari ini mungkin berbeza dengan apa yang saya ketahui pada minggu dan bulan seterusnya. Akhirnya, saya hanya menjawab dan berkongsi sekadar apa yang saya tahu.

 

Akan Datang

                Perkongsian akan datang mungkin agak ‘panas’ sedikit. Ini kerana saya ada menerima soalan daripada pelajar saya berkenaan poligami. Poligami? Ya, mereka bertanyakan soalan ‘cepu emas’: “Ustazah, ustazah bagi tak kalau suami ustazah nak berpoligami?” Ha, lebih kurang begitulah soalannya! Ingin tahu jawapannya? Teruskan mengikuti website Langit Ilahi. Semoga Allah memberkati masa para pembaca yang sudi meluangkan masa membaca coretan ini. Amin, amin ya Rabb.