Perkongsian Pengalaman: “Ustazah, ustazah bagi tak kalau suami ustazah nak berpoligami?”

NorNur / August 19, 2018, 17:08:41 pm

Senyap sunyi kelas sebaik sahaja soalan panas tersebut dilontarkan. Pada hari tersebut, hanya lebih kurang 10 orang pelajar perempuan yang hadir ke kelas Fiqh Wanita. Mereka semua berusia dalam lingkungan 20-an dan masih belum berkahwin. Disebabkan tidak ramai yang hadir, kami bersembang santai. Saya sudah lupa, apakah yang menyebabkan timbulnya soalan ini ketika sesi soal jawab antara saya dan para pelajar. Apa yang pasti, soalan ini sangat kuat melekat dalam memori. Mana mungkin lupa, kalau soalannya sudah sepanas ini, belum lagi jawapannya.

Pelajar yang bertanya hanya tersengih-sengih apabila disiku oleh rakan di sebelah. Nampaknya semua pelajar ternanti-nantikan jawapan daripada saya. Saya hanya tersenyum sambil memilih kata untuk berbicara.

“Baiklah, sebelum ustazah jawab, sama ada ustazah bagi atau tidak kalau suami ustazah nak berpoligami, ustazah nak tanya dulu beberapa soalan. Boleh?”

“Boleh!” Hampir serentak mereka menjawab.

 

Suami Isteri Pertama

“Cuba teka, siapakah suami isteri yang pertama sekali diciptakan?” Saya mengajukan soalan.

“Adam dan Hawa!” Hampir seluruh peajar menjawab dengan semangat.

“Tepat sekali!” Saya mengangkat ibu jari.

“Soalan seterusnya, Hawa bagi tak Nabi Adam berpoligami?”

Para pelajar kelihatan terpinga-pinga.

“Eh, ustazah. Hawa seorang je kan wanita yang Allah ciptakan? Mana ada perempuan lain lagi masa tu.” Salah seorang pelajar memberikan jawapan. Saya tertawa mendengarnya.

“Betul tu. Jadi asalnya, suami isteri pertama hidup dalam perkahwinan monogami, iaitu satu suami dan satu isteri. Setuju?”

Para pelajar mengangguk sambil tersenyum-senyum.

 

Isteri yang Bersedia Dimadu

“Sekarang, cuba teka, siapakah Nabi yang isterinya menghadiahkan isteri lain untuk suaminya?”

“Nabi Ibrahim. Sarah hadiahkan Hajar.” Pelajar yang lain pula cepat-cepat menjawab mendahului rakan-rakannya yang lain.

Saya tersenyum dan mengangkat ibu jari tanda jawapan yang diberikan adalah tepat. Pelajar tersebut tersenyum lebar.

Saya mengimbas kembali kisah yang diriwayatkan dalam Kitab Sahih al-Bukhari daripada Rasulullah -sallallahu ‘alaihi wasallam- berkenaan Nabi Ibrahim -‘alaihissalam- dan Sarah ketika datang ke satu tempat yang dikuasai oleh seorang Penguasa yang zalim. Sarah merupakan seorang wanita yang sangat cantik dan Penguasa tersebut berniat jahat terhadap Sarah. Dipendekkan cerita, Allah -subhanahu wa ta’ala- melindungi Sarah lalu Penguasa tersebut membebaskan Sarah dan menghadiahkan Sarah seorang hamba wanita yang bernama Hajar. Kemudian, Sarah pula menghadiahkan Hajar kepada Ibrahim setelah Sarah merasakan bahawa dirinya tidak mungkin boleh mengandung.

Dalam kitab Fathul Bari ada dinukilkan bahawa apabila Sarah menghadiahkan Hajar kepada suaminya Ibrahim, Sarah meletakkan syarat supaya Hajar dikahwini sebagai seorang isteri dan bukan hanya djadikan sebagai hamba wanita.

“Ma sha Allah, ustazah! Baiknya hati Sarah!” Salah seorang pelajar bersuara.

“Tapi ustazah, bukan ke Sarah tak suka pada Hajar? Sarahlah yang suruh Nabi Ibrahim halau Hajar ke padang pasir kalau tak silap saya.” Pelajar yang lain pula bertanya.

Saya tersenyum.

“Bagus soalan ni. Sememangnya dalam kisah-kisah Israeliyyat menggambarkan Sarah membenci Hajar. Namun, kisah-kisah ini tidak boleh dipercayai kerana bertentangan dengan hadith yang sahih. Dalam hadith sahih disebutkan bahawa Sarah cemburu namun tidaklah sampai Sarah mencederakan dan menghalau Hajar. Sarah dan Hajar merupakan wanita yang sangat baik dan mulia akhlaknya lagi terpilih. Sehinggakan dalam al-Qur’an ada diceritakan bagaimana para malaikat datang bertamu ke rumah Ibrahim dan Sarah untuk menyampaikan berita gembira khusus untuk Sarah yang baik hati. Cuba teka, apakah berita gembira tersebut?” Saya menyelitkan lagi soalan.

“Ishaq!” Jawab mereka beramai-ramai.

“Ya, betul. Setelah bertahun-tahun lamanya, Nabi Ibrahim dan Sarah sudah pun sangat tua. Sarah diberikan khabar gembira bahawa beliau akan melahirkan seorang anak bernama Ishaq. Malah, dalam surah Hud, ayat 71-72, ditambah lagi dengan berita gembira akan kehadiran cucunya pula bernama Ya’qub! Malah, bukan sekadar anak dan cucu biasa, tetapi anak dan cucu yang soleh yang bakal menjadi Nabi lagi.”

Para pelajar mengangguk-angguk. Kedengaran juga bunyi ‘oh’ yang panjang.

“Kalau kita sendiri pun, adakah kita sampai hati nak halau madu yang baik hati ke tanah gersang yang tak ada orang?” Saya memberikan provokasi.

Beberapa pelajar menggelengkan kepala. Manakala yang lain pula yang hanya tersengih-sengih.

“Tengok, kita wanita yang biasa-biasa ni pun ada juga yang tak sampai hati. Inikan pula Sarah, wanita yang sangat baik hati dan dipuji pula dalam al-Qur’an. Sebenarnya, kisah Hajar ditinggalkan di padang pasir bersama anaknya Ismail yang masih bayi itu adalah atas perintah Allah. Bukan perintah Sarah. Allah perintah begitu dengan hikmah yang sangat besar. Sehinggakan ibadah Haji dan Aidil Adha sangat berkait rapat dengan Hajar. Teka apa kaitan antara Hajar dan ibadah Haji?”

“Ulang-alik buat Sa’ie antara Safa dan Marwah!”

“Air zam-zam!”

Tiba-tiba, ada yang mengangkat tangan.

“Cemburu tu biasalah kan, ustazah? Tidak salah cemburu, sebab itu fitrah manusia. Cuma jangan melampaui batas sampai mencederakan dan memudaratkan. Betul tak, ustazah?” Dia memberikan komentar.

Giliran saya pula yang mengangguk dan tersenyum.

 

Berbeza Tahap Cemburu

“Pernah dengar isteri-isteri Nabi yang bermadu dan juga berkawan rapat?” Saya menyoal lagi.

“Aisyah dan Hafsah kan, ustazah?” Seorang pelajar menjawab.

“Tepat!” Saya mengangkat ibu jari.

Saya menceritakan serba sedikit sebab turun ayat surah al-Tahrim, ayat 1-5. Bagaimana Hafsah menceritakan satu rahsia kepada Aisyah dan Allah menegur mereka berdua dan meminta mereka berdua supaya bertaubat. Ayat ini secara tidak langsung menunjukkan betapa rapatnya mereka berdua walaupun bermadu.

“Maksudnya, ada madu yang boleh berkawan rapat ye, ustazah?” Seorang pelajar meminta kepastian.

“Benar. Tahap cemburu berbeza bagi setiap orang. Ada orang cemburunya sangat tinggi kepada orang ini, tapi dengan yang ini tidak cemburu mana. Aisyah dan Zainab binti al-Jahsyi contohnya, sangat cemburu. Tetapi Aisyah dengan Hafsah tidaklah cemburu mana. Siap boleh berkawan dan berkongsi rahsia!”

 

Suami yang Memilih Monogami

“Ada seorang Nabi, diberikan ujian tidak mempunyai anak sehingga sudah tua, sama juga seperti Nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim berpoligami, namun, Nabi ini memilih untuk kekal monogami yakni beristeri satu. Siapakah dia?”

Para pelajar berkerut dahi. Ada yang memandang rakan sebelah dan ada pula yang membelek-belek buku. Saya menambah lagi,

“Nabi ini tidak putus-putus berdoa, sehingga doanya dirakamkan oleh Allah di dalam al-Qur’an..”

“Nabi Zakaria!” Salah seorang pelajar memberikan jawapan.

“Tepat sekali!” Saya mengangkat ibu jari.

“Isteri Nabi Zakaria tak bagi Nabi Zakaria berpoligami ke, ustazah?” Salah seorang pelajar mengangkat tangan.

“Wallahu a’lam. Ustazah pun tidak tahu. Tidak pula diceritakan sama ada isteri baginda bagi atau tidak. Dalam surah al-Anbiya’, ayat 90, al-Qur’an menceritakan bahawa Allah memakbulkan doa Nabi Zakaria dan membaikkan isteri baginda yang mandul. Malah, Allah memuji mereka suami isteri kerana mereka suka bersegera melakukan kebaikan, sering berdoa dengan penuh harap dan takut serta sangat khusyuk dan merendah diri kepada Allah.” Saya menerangkan.

“Kiranya, berpoligami atau tidak, atas pilihan masing-masing kan, ustazah?” Pelajar lain pula bertanya cuba memastikan.

“Ya, betul. Pilihan dan juga ujian dalam masa yang sama. Ustazah, teringat kata-kata guru ustazah. Guru ustazah kata, walaupun isteri Nabi Zakaria mandul, namun Nabi Zakaria tetap memilih untuk kekal beristeri satu dan terus-menerus bersabar dan berdoa. Walaupun isteri Nabi Nuh dan Nabi Lut merupakan isteri yang jahat, namun Nabi Nuh dan Nabi Lut tidak pula menceraikan isteri masing-masing dan tidak pula berpoligami. Ini kerana mereka tahu bahawa perkahwinan adalah tanggung jawab dan amanah yang berat. Oleh itu, kemandulan isteri atau kejahatan isteri bukanlah menjadi kemestian seorang suami itu perlu berpoligami. Masng-masing ada latar belakang dan ujian yang berbeza. Ada orang yang memang tidak sanggup berpoligami.”

“Maksud ustazah, poligami ni pilihan dan tanggungjawab dan juga ujian kan?”

“Betul. Ada Nabi yang berpoligami, ada Nabi yang tidak berpoligami. Berpoligami atau tidak, bukan menunjukkan seorang itu lebih baik daripada yang lain. Nabi Muhammad -sallallahu ‘alaihi wasallam sendiri, memilih untuk tidak berpoligami ketika Khadijah -radhiallahu ‘anha- masih hidup.”

“Maksudnya, kalau nak berpoligami, seeloknya isteri pertama mati dulu ke, ustazah?”

Satu kelas tergelak mendengar soalan tersebut.

“Tidak juga. Kalau tengok pada kisah Nabi Ibrahim, Sarah masih hidup ketika Nabi Ibrahim berkahwin dengan Hajar. Itu yang ustazah kata, setiap orang lain kisah hidupnya, lain ujiannya, lain pula pilihannya.”

 

Pilihan

                “Kalau ustazah pula?” Pelajar yang mula-mula bertanya tadi mengangkat tangan sekali lagi. Kawan di sebelah menyiku sambil membulatkan mata kepadanya.

Saya tertawa melihat ulah mereka berdua.

“Eh, ustazah kan perempuan. Ustazah mana boleh berpoligami.” Saya bergurau sambil ketawa.

“Alah ustazah ni. Kalau suami ustazah lah, nak berpoligami, ustazah bagi ke?” Tersengih-sengih dia mengulang soalan dengan susunan ayat yang berbeza.

Tiba-tiba, entah mengapa, kelas menjadi sunyi. Orang dulu-dulu ibaratkan macam ada malaikat lalu. Saya memandang mereka semua sambil tersenyum.

“Rasa-rasanya?” Saya masih mahu meneka mereka.

“Tak bagi kot!”

Beberapa pelajar cuba meneka. Pelajar-pelajar yang lain pula hanya diam menanti jawapan yang akan keluar daripada mulut saya sendiri.

“Kalau ustazah, ustazah tiada halangan. Ustazah bagi je. Suami ustazah yang kena bertanggungjawab dan suami ustazah yang kena buat pilihan untuk diri dia sendiri.”

Satu kelas gempar seketika. Ada macam-macam bunyi yang mampu ditangkap oleh telinga saya. ‘Ha!’ ‘Wow!’ ‘Ish!’ ‘Ustazah..’ semua bergabung, sahut-menyahut.

“Wah! Apa yang buatkan ustazah bagi?” Bulat matanya memandang saya.

Saya memandang dia dan seluruh pelajar di hadapan saya. Saya tersenyum sambil berfikir untuk menyusun bicara.

 

Kebaikan Budi Mencairkan Hati

“Alhamdulillah, selama ustazah kahwin dengan suami, ustazah menjadi saksi kebaikan budi dan kemuliaan hati suami. Suami ustazah tak merokok. Bertanggungjawab. Rajin pula bantu ustazah bila di rumah. Sapu sampah, buang sampah, basuh pinggan, basuh baju, lipat kain baju, sental bilik air, mop lantai, basuhkan berak kencing anak, mandikan anak, tolong masak. Apa lagi ye? Ha, kalau butang baju tercabut ke, ada koyak kat mana-mana ke, suami ustazah jahit sendiri. Pernah juga ustazah tak sempat gosok tudung ustazah, suami ustazah tolong gosokkan tudung ustazah. Ha, isteri mana yang tak cair kan..”

“Ala ‘sweet’nya suami ustazah!”

“Ada lagi ke suami yang macam tu?”

Lagi sekali kelas menjadi hingar-bingar.

“Ustazah suka baca karya ustazah Noraslina Jusin, isteri pertama Dr. Zaharuddin Abd. Rahman. Beliau banyak menulis tentang perkahwinan, poligami dan rumah tangga. Beliau juga selalu memuji madu dan suami beliau yang baik budi. Benarlah, kebaikan budi mampu mencairkan hati.”

Saya menyambung lagi.

“Tapi tidak bermakna, kalau ada isteri yang tidak izinkan dan tak benarkan suami dia kahwin lain itu, tak baik atau suami dia tak baik. Solehahnya seorang isteri itu bukanlah diukur dengan dia membenarkan suami berpoligami atau tidak. Ingatlah yang paling mulia di sisi Allah ialah yang paling bertakwa. Tahap ketakwaan seseorang itu kita tidak tahu, hanya Allah yang tahu. Lagipun, lain orang, lain cara fikirnya, lain pula ujian hidupnya. Kan?”

Para pelajar mengangguk-anggukkan kepala sambil tersenyum.

Inilah sedikit sebanyak yang dapat saya kongsikan di sini. Sekadar berkongsi pengalaman saya disoal dengan soalan ini, bukan berniat menyinggung perasaan mana-mana pihak. Saya akui, ada ramai wanita yang dilukai suami kerana berpoligami, lebih-lebih lagi oleh suami yang curang dan miang. Ketahuilah, saya termasuk mereka yang menentang poligami oleh mereka yang tidak bertanggungjawab!