Perkongsian Pengalaman: “Perempuan ada air mani ke ustazah?”

NorNur / April 20, 2018, 21:04:04 pm

“Ustazah, bagaimana kita nak bezakan air mazi dan air mani wanita?”

“Kalau keluar air mazi, kita kena mandi wajib tak?”

“Air mani lelaki dan air mani wanita ada beza tak?”

“Perempuan ada air mani ke ustazah?”

Hampir dalam setiap kelas Fiqh Wanita, apabila masuk sahaja bab ‘Sebab-sebab yang Mewajibkan Mandi’ dengan subtopik ‘Keluar air mani’,  saya akan menerima soalan-soalan lebih kurang sama seperti di atas. Tidak kira oleh pelajar di surau, masjid, mahupun di universiti.

 

Mencari Jawapan

Untuk mendapatkan jawapan kepada beberapa persoalan di atas, saya merujuk kepada pensyarah-pensyarah saya di universiti dan juga kepada doktor-doktor perubatan yang saya kenali.

Ada doktor yang berpendapat bahawa wanita hanya mengeluarkan air mazi dan wanita tiada air mani. Apabila saya menyebutkan hadith sahih daripada Ummu Sulaim berkenaan air mani, doktor-doktor yang saya temui mengaku bahawa mereka sendiri tidak pasti apa yang dimaksudkan oleh air mani dalam hadith tersebut. Ini kerana istilah perubatan mungkin berbeza.

Hasil rujukan daripada para pensyarah saya dalam bidang pengajian al-Qur’an dan as-Sunnah mahupun Fiqh dan Usul-Fiqh pula, ada yang mengatakan air mani wanita keluar ketika berlaku klimaks bersama ovum. Namun, bukankah ovum hanya keluar sekali dalam satu kitaran haid? Bagaimana pula air mani boleh dikaitkan dengan pengeluaran ovum?

Keliru dan mahukan lebih kepastian, maka saya mencari sendiri kitab-kitab berbahasa Arab seperti Kitab al-Majmu’ oleh Imam al-Nawawi dan Kitab Fath al-Bari oleh Imam Ibn Hajar  yang terkandung dalam ‘al-Maktabah al-Shamilah’. Hadith Ummu Sulaim di bawah menjadi kata kunci utama pencarian saya:

جَاءَتْ أُمُّ سُلَيْمٍ امْرَأَةُ أَبِي طَلْحَةَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ لَا يَسْتَحْيِي مِنْ الْحَقِّ هَلْ عَلَى الْمَرْأَةِ مِنْ غُسْلٍ إِذَا هِيَ احْتَلَمَتْ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَعَمْ إِذَا رَأَتْ الْمَاءَ

“Ummu Sulaim, isteri Abi Talhah telah datang bertemu Rasulullah -sallallahu ‘alaihi wasallam- lalu berkata: Wahai Rasulallah, sesungguhnya Allah tidak malu daripada kebenaran (Allah tidak menyuruh kita malu untuk bertanya demi mengetahui kebenaran). Adakah wajib ke atas wanita untuk mandi apabila dia bermimpi (mimpi berlaku jima’)? Maka sabda Rasulullah -sallallahu ‘alaihi wasallam-: Ya, apabila dia melihat air (mani).” (Hadith Muttafaq ‘alaih – Hadith Sahih yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim).

Berdasarkan carian tersebut, saya dapati terdapat dua pandangan utama berkenaan air mani wanita. Pertama, sebahagian ‘Ulama’ menganggap bahawa ada wanita yang mengeluarkan air mani dan ada pula yang tidak. Pandangan pertama ini disokong oleh kajian perubatan.

Kedua, air mani wanita keluar daripada faraj sebagaimana keluarnya darah haid dan nifas. Sayangnya, pandangan kedua ini bertentangan dengan sains perubatan.

 

Pakar Sakit Tuan dan Pakar Sakit Puan

Jawapan yang saya kira benar-benar menjawab persoalan di atas hanya berjaya ditemui setelah saya membaca buku “Wanita, Isteri dan Rahsia Seksual” karya Prof. Emeritus Dr. Mohd Ismail Tambi, seorang pakar Sakit Tuan dan konsultan Kesihatan Seksual dan Reproduktif. Begitu juga setelah meneliti perkongsian di facebook Imelda Balchin seorang Professor, konsultan dan pakar sakit puan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Daripada mereka berdua, saya mengetahui bahawa air mani wanita tidak keluar melalui faraj sebagaimana keluarnya darah haid atau nifas. Air mani wanita dihasilkan oleh kelenjar Skene atau sekarang lebih dikenali sebagai kelenjar Prostat wanita, lalu keluar melalui Urethra (lubang kencing). Air mani adalah jauh berbeza dengan air mazi. Ini kerana air mazi dihasilkan oleh kelenjar Bartholin untuk membasahi permukaan faraj ketika terdapat ransangan syahwat.

Sila perhatikan gambar di bawah seperti yang dikongsikan oleh Prof. Imelda Balchin dalam facebook beliau:

Jawapan

“Perempuan ada air mani ke ustazah?”

Ya, ada. Cuma tidak semua wanita mengalami ejakulasi air mani apabila klimaks atau dengan kata lain hanya sebahagian wanita mengeluarkan air mani apabila berlaku orgasma.

“Air mani lelaki dan air mani wanita ada beza tak?”

Ya, ada. Air mani lelaki mengandungi sperma. Manakala, air mani wanita hanya air mani yang dihasilkan oleh kelenjar Prostat wanita tanpa mengandungi sperma mahupun ovum.

“Ustazah, bagaimana kita nak bezakan air mazi dan air mani wanita?”

Kita mampu membezakan antara air mazi dan air mani apabila mengetahui tempat keluarnya yang berbeza. Air mani wanita keluar daripada lubang kencing apabila klimaks. Oleh itu, akan ada rasa seperti terkencing walaupun itu sebenarnya bukan air kencing. Inilah ejakulasi air mani oleh wanita.

“Macam mana pula, kalau bangun-bangun saja daripada tidur dah ada macam basah? Kita pula tak pasti tu air mazi ke air mani?”

Mudah. Apabila ada ketidakpastian, apabila ada saja rasa syak, maka saya cenderung kepada pendapat ‘ulama’ yang mengatakan ia adalah air mazi. Ini kerana, kebiasaannya, wanita mengeluarkan air mazi dan hanya sebahagian sahaja yang mampu mengeluarkan air mani.

“Kalau keluar air mazi, kita kena mandi wajib tak?”

Tidak perlu. Ini kerana air mazi membuatkan kita berhadath kecil sepertimana kencing dan berak. Perlu bersihkan kawasan najis, kemudian berwudu’ sahaja sebelum menunaikan solat.

Jadual di bawah diharap dapat memberikan tambahan jawapan kepada soalan-soalan yang diutarakan:

 

Soalan Air Mazi Air Mani
Daripada manakah ia terhasil? Kelenjar Bartholin yang menghasilkan lendiran dan cairan dan cairan dan lendiran ini akan bertambah apabila ada ransangan syahwat. Kelenjar Skene (nama lama) atau sekarang dikenali sebagai kelenjar Prostat wanita yang berada berhampiran Urethra atau lubang kencing.

 

Apakah warna dan baunya? Cecair jernih seperti air liur.

Bau air mazi cenderung mengikut apa yang dimakan atau diminum. Jika wanita itu makan petai, maka air mazinya juga berbau petai dan begitulah seterusnya.

Cecair keruh, cerah dan kekuningan. Jika banyak akan menjadi putih pekat. Terdapat sedikit bau ‘ammonia’ dan kadangkala, mungkin sedikit air kencing akan terkeluar dan menyebabkan cecair yang terpancut berbau hancing.

Tanpa pencampuran air kencing, air mani wanita tidak memberikan bau yang ketara.

 

Apakah dikira hadath besar atau kecil? Hadath kecil: Hanya perlu berwudhu’ untuk solat Hadath besar: Perlu mandi wajib untuk solat

 

Adakah dikira najis atau tidak apabila terkena pakaian contohnya?

 

Najis mutawassitah (pertengahan).

Perlu dibasuh sehingga bersih.

Khilaf (Ada perbezaan pandangan)

Saya cenderung kepada pendapat yang mengatakan perlu dibasuh sehingga bersih.

Ini kerana, air mani biasanya akan tercampur dengan air mazi.

 

Adakah lelaki dan wanita mengalaminya? Ya, dialami oleh lelaki dan wanita Ya, dialami oleh lelaki dan wanita.

 

Namun, mengikut kajian, tidak semua wanita mampu mencapai ejakulasi dan mengeluarkan air mani ketika dalam keadaan klimaks (kemuncak), walaupun kebanyakan wanita mampu mencapai klimaks atau orgasma.

 

Adakah sama ciri-cirinya antara lelaki dan wanita Ya, hampir sama. Cuma bau air mazi berbeza antara individu tidak kira lelaki atau wanita mengikut apa yang dimakan.

Contohnya, jika makan petai maka baunya akan seperti petai.

Ya, kedua-duanya ialah cecair yang dihasilkan oleh kelenjar Prostat.

Cuma air mani lelaki mengandungi sperma, manakala air mani wanita tidak mengandungi sperma.

 

 

Persoalan Lanjutan

“Ustazah, kalau wanita yang tak ada air mani tu, tak boleh mengandung ke?”

Baik, soalan yang bagus. Perlu dijelaskan sekali lagi bahawa air mani wanita tidak mengandungi ovum (benih wanita). Ovum dihasilkan oleh ovari dan tidak berkait dengan air mani. Oleh itu, sama ada wanita itu mampu mengeluarkan air mani (ejakulasi wanita) atau tidak, adalah tidak berkaitan dengan keupayaan seseorang wanita itu untuk mengandung atau tidak.

“Ustazah, macam mana nak dapatkan buku Prof. Ismail tu?”

“Mahal tak buku ni, ustazah?”

Sesungguhnya, saya sangat menggalakkan semua pembaca untuk mendapatkan buku “Wanita, Isteri dan Rahsia Seksual”, lebih-lebih lagi kepada yang bakal atau telah berkahwin. Cara mendapatkannya juga mudah. Saya mendapatkan buku ini di laman web Telaga Biru dengan harga RM 20 yang saya rasa sangat murah dengan tambahan kos pos yang saya sudah lupa berapa nilainya.

Begitu juga, saya menganjurkan para pembaca untuk ‘follow facebook’ Imelda Balchin dan para pembaca boleh melihat sendiri perkongsian-perkongsian beliau.

“Ustazah, kenapa ada doktor yang tidak tahu berkenaan air mani wanita?” Soalan yang lain pula mencelah.

Ya, memang ada sebahagian doktor yang tidak mengetahuinya. Adik saya sendiri seorang doktor perubatan dan tidak mengetahui berkenaan air mani wanita apabila saya bertanya kepadanya. Maka, saya tersenyum sendiri menginsafi bahawa saya juga sangat banyak yang tidak tahu berbanding tahu. Apa yang saya tahu berkenaan air mani wanita ini pun, sekadar merujuk kepada buku dan facebook.

Jika anda bertanya saya: “Ustazah, ustazah tahu tak pasal pembahagian harta pusaka?”

Saya pasti akan menjawab, tidak. Ya, saya tidak tahu kecuali yang sangat asas.

“Pasal zakat? Pasal kewangan Islam?”

Sama juga. Saya tidak tahu, kecuali hal-hal yang sangat asas.

Maka, soalan yang sama boleh ditanya: “Eh, kenapa ada ustazah yang tak tahu pasal harta pusaka, pasal zakat dan kewangan Islam?”

Jawapan yang sama, kerana kita banyak yang tidak tahu berbanding tahu.

Ya, sebagai manusia, kita semua sangat banyak kelemahan. Ilmu yang kita ada terlalu sedikit kerana kita akhirnya hanyalah insan yang faqir. Hanya Dia yang Maha Kaya lagi Maha Mengetahui. Oleh itu, kita saling memerlukan antara satu sama lain. Kita perlu saling melengkapi dan berkongsi apa yang kita tahu, sekadar yang kita mampu.

Maka, saya di sini, adalah sekadar berkongsi apa yang saya tahu, sekadar apa yang saya mampu. Insya-Allah, dalam perkongsian akan datang, saya akan kupas pula berkenaan air wadi dan keputihan. Mohon doa para pembaca dan semoga bermanfaat.