Perkongsian Pengalaman: Soal-jawab Wanita di bulan Ramadhan

NorNur / June 2, 2018, 10:06:15 am

Kelas Fiqh Wanita masih diteruskan dalam bulan Ramadhan. Hadirin bersalaman. Beberapa orang turut mengucapkan, “Ramadhan Karim, ustazah.”

“Allahu akram.” Saya membalas dengan ucapan yang bermaksud -Allah lebih mulia-. Ucapan yang sudah ada skema jawapannya.

“Ustazah, seronok saya rasa ada kelas bulan Ramadhan. Pahala berlipat ganda.” Seseorang berkata dengan nada teruja.

“Hari ni kita buka untuk soal-jawab, boleh ustazah?”

Saya hanya mengangguk sambil tersenyum.

Jemaah yang ramah dan suka bertanya. Kalau di universiti, pasti mereka sudah dapat markah penuh untuk ‘penglibatan dalam kelas’ kerana sikap suka bertanya dan suka belajar.

Teringat saya akan seorang pensyarah saya yang suka berjenaka. Katanya, semasa mengambil Diploma Pendidikan di Universiti ‘Ain Shams, Mesir, beliau pernah diminta untuk mengajar kelas yang dipenuhi orang Arab. Guru beliau akan menilai sejauh mana beliau dapat mengawal kelas yang penuh dengan pertanyaan.

“Masa tu cabaran untuk saya ialah macam mana nak buat pelajar diam. Semua pelajar kalau boleh nak bercakap. Ada yang nak bertanya, ada pula yang nak bagi pendapat. Sekarang di Malaysia, pelajar semua diam. Cabaran saya sekarang, macam manalah nak buat kamu semua mahu bercakap. Emas penuh dalam mulut!”

Kami para pelajar Malaysia ketawa mendengar sindiran berhemah beliau.

Malah, ada juga pensyarah yang memberi setengah markah bagi setiap soalan yang ditanya di dalam kelas. Cukup 20 soalan, barulah pelajar akan dapat 10/10 bagi markah ‘penglibatan dalam kelas’.

Akhirnya, markah yang diberikan bagi setiap soalan hanyalah ganjaran duniawi. Sekadar menjadi motivasi pelajar untuk memaksa diri agar ‘jangan malu bertanya’. Hakikatnya, ganjaran daripada Tuhanlah yang sepatutnya menjadi dambaan hati.

“Bayangkan, disebabkan soalan kita, kita dapat ilmu baru, orang lain juga dapat ilmu baru. Ilmu bercambah, pahala pun bertambah-tambah. Boleh buat bekalan selepas mati. Jadi, tanya, jangan tak tanya.”

Itulah ayat yang sering saya gunakan untuk menggalakkan para hadirin bertanya.

 

Pelembap bibir dan gincu

“Ustazah, boleh tak nak pakai ‘lip balm’ atau ‘lipstick’ masa puasa?” Seorang hadirin bertanya.

“Ya lah, ustazah. Ada rasa bila pakai. Lagi-lagi ‘lip balm’ yang berperisa macam ‘strawberry’ ke oren ke,” sampuk yang lain pula.

“Bagus soalan tu.”

Saya mengangkat ibu jari. Dua orang yang bertanya tadi tersenyum lebar.

“Soalan ini pernah ditanya kepada Mufti Wilayah, Dr. Zulkifli al-Bakri. Dalil-dalil dan perinciannya puan-puan boleh tengok sendiri dalam web rasmi Mufti Wilayah. Ada satu edisi khas Ramadhan.” Saya melihat wajah-wajah di hadapan saya. Ada yang terangguk-angguk, ada pula yang tidak sabar mengetahui jawapannya.

“Jawapannya boleh, tiada masalah walaupun ada rasa. Asal jangan kita pula yang ‘over’ pergi jilat-jilat bibir yang ada pelembap bibir atau gincu tu sudahlah.”

Hadirin ketawa mendengar jawapan tersebut.

Di sini, saya sertakan jadual untuk menambahkan kefahaman.

 

Soalan ‘Lip balm’ dan ‘Lipstick’
Bolehkah pakai masa puasa? Boleh
Adakah pemakainnya dianggap berhias berlebihan yang diharamkan? ‘Lip balm’ biasanya dipakai untuk mengelakkan rekahan kulit bibir, maka harus hukumnya.

Cuma pemakaian ‘lip balm’ dan juga ‘lipstick’ yang berwarna perlu secara bersederhana. Jangan berlebihan dan jangan pula dengan niat untuk menunjuk dan berhias diri kepada lelaki ‘ajnabi’.

Adapun pemakaian dengan niat untuk berhias diri kepada pasangan, adalah sunat dan berpahala.

 

 

Rasa Makanan

“Bulan puasa ni, nak masak untuk berbuka, boleh kan ustazah kita rasa sikit? Cuma jangan telan kan ustazah? Lepas dah siap rasa, kita ludah keluar. Boleh kan ustazah?”

“Ya, boleh,” jawab saya.

“Itulah, saya pernah dengar, ustaz kata, boleh. Cuma tak pa ka, ustazah, lepas dah ludah keluar, dah kumur-kumur, lekat lagi rasa tu?” Puan yang bertanya mula berkerut-kerut.

“Ish, hang masak apa berbuka sampai susah nak hilang?” Rakan di sebelah menyampuk.

“Ala, kari ka, tomyam ka, asam laksa ka, semua lagu tu la,” jawabnya kepada rakan yang bertanya. Hadirin yang mendengar ada yang tertawa geli hati.

Kemudian, beliau menyambung lagi soalan.

“Walaupun ada lagi rasa, tak pa ka telan air liur yang ada rasa tu, ustazah? Kira sama macam pakai ‘lip balm’ yang perasa oren dan strawberi tu, kan ustazah? Walaupun ada rasa, tetapi tak batal posa.”

“Ya, betul tu. Tepat sekali.” Saya mengangguk sambil tersenyum.

Beliau sudah tahu, cuma mahukan lebih kepastian. Sangat bagus sikap begitu. Malah, mungkin ada dalam kalangan hadirin yang ingin bertanya, tetapi malu, turut mendapat manfaat daripada soalan beliau.

Jadual di bawah, diharap dapat menambahkan lagi kefahaman kita.

 

Soalan Rasa Makanan
Bolehkah merasa makanan ketika berpuasa? Harus hukumnya bagi orang yang mempunyai keperluan untuk berbuat demikian (seperti tukang masak dan lain-lain) untuk merasa makanan dengan syarat tidak menelannya. Berkumurlah selepas merasa makanan tersebut.

 

Bagaimana jika masih terdapat rasa makanan walaupun selepas berkumur? Tiada masalah. Ia hanya rasa dan kesan yang tertinggal pada lidah, bukan ‘ain atau makanan itu sendiri. Air liur boleh ditelan seperti biasa. Begitu juga halnya dengan rasa ubat gigi yang masih tertinggal walaupun setelah berkumur-kumur.

 

Bolehkah merasa makanan bagi mereka yang tiada keperluan untuk merasanya? Sekadar suka-suka, kemudian meludahnya. Makruh hukumnya. Perbuatan sekadar suka-suka tanpa ada keperluan ini dibenci dalam agama kerana termasuk hal yang sia-sia. Malah, boleh membawa kepada haram apabila melibatkan pembaziran.

 

 

 

Korek Hidung dan Telinga          

“Ustazah, betul ke korek hidung, korek telinga tak batal puasa?” Berkerut-kerut dahi seorang makcik bertanya.

Walaupun nada soalan berbunyi serius, tetapi sudah kedengaran jemaah ketawa mengekek. Saya hanya tersenyum dan memujinya kerana bertanya.

“Bagus soalan makcik ni.”

Bukan apa, saya percaya hadirin perlu diberikan galakan untuk bertanya. Pujian atas pertanyaan yang dibuat, harap dapat memberikan semangat kepada hadirin untuk tidak malu bertanya walau ditertawakan.

Dulu, ketika masih menuntut di universiti, saya pernah bertanyakan soalan di dalam kelas, lalu seisi kelas tertawa kelucuan. Saya pula hanya terpinga-pinga dan rasa malu mula menebal. Lalu, pensyarah terus berkata, “Bagus, soalan kamu! Pertama sebab tiada soalan bodoh. Semua soalan adalah tanda seseorang itu pandai berfikir lalu bertanya. Kedua, soalan itu bagus kerana membuatkan orang lain tertawa dan kelas menjadi ceria.”

Kata-kata beliau itu memberikan satu kelegaan dan membuatkan hati saya berbunga-bunga. Walaupun saya sudah lupa apakah soalan yang telah saya tanyakan, namun kata-kata pensyarah saya masih segar dalam ingatan. Kini, saya pula yang menyampaikan apa yang pernah dikatakan oleh pensyarah saya itu kepada hadirin. Kemudian, barulah saya menjawab pertanyaan makcik tersebut.

“Ya, betul tu makcik. Korek hidung dan telinga tidak membatalkan puasa. Begitu juga jika menitiskan ubat ke dalam hidung, telinga ataupun mata. Mufti Wilayah ada sentuh pasal isu ni dalam laman web rasmi beliau.”

Tiba-tiba saya teringat satu kata-kata lucu:

“Ustaz saya pernah kata, sesiapa yang korek hidung atau korek telinga memang tidak batal puasa, kecuali…” Saya berhenti seketika, memandang para hadirin dan melihat reaksi mereka. Mereka kelihatan tertanya-tanya apakah dia pengecualian tersebut.

“Kecuali, kecuali apa? Kecuali, jika selepas dia korek hidung atau telinga tu, dia pergi makan tahi hidung atau tahi telinga dia.”

Kedengaran bunyi geli-geleman “eeii” dan “eiew” menguasai suasana. Saya pula yang tertawa.

 

 

Soalan Korek Hidung dan Telinga
Bolehkah mengorek hidung dan telinga ketika berpuasa? Harus hukumnya. Malah, sunat membersihkan hidung daripada kotoran menggunakan air seperti ketika berwudhu’. Cuma air yang dimasukkan ke dalam hidung jangan berlebihan sehingga masuk ke kerongkong.

 

Bolehkah menitiskan ubat hidung, mata atau telinga ketika berpuasa walaupun terkadang ada rasa pahit di tekak apabila berbuat demikian?

 

Boleh, tiada masalah. Ia hanya rasa dan kesan ubat, bukan ‘ain atau ubat itu sendiri.

 

Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi mengatakan, selagi mana ubatan yang diberikan atau ujian yang dilakukan oleh doktor bertindak sebagai ubat dan untuk tujuan kesihatan – bukan bertindak sebagai makanan dan minuman -, maka ia dibolehkan dan tidak membatalkan puasa. Termasuklah menyedut nab, ubat semburan untuk penyakit lelah, suntikan vaksin, derma darah, ambil darah untuk pemeriksaan dan lain-lain.

 

Mandi Wajib

                “Ustazah, kalau kita belum mandi wajib, tapi kita bersahur dan niat untuk berpuasa. Lepas tu dalam jam 6.15 pagi macam tu, baru mandi wajib dan solat Subuh, sah tak puasa kita, ustazah?” Tanya seorang wanita berusia lingkungan 30-an.

“Sebelum jawab, ustazah kena tanya semula, mandi wajib sebab suci daripada haid atau sebab ‘janabah’?”

“Kalau sebab bersama suami?” Tanyanya malu-malu.

“Oh, itu dalam bahasa Arab dipanggil ‘janabah’. Jawapannya sah puasa. Sebab puasa ni syarat sahnya tak berkait dengan sudah mandi wajib atau belum. Sudah mandi wajib ni bukan syarat sah untuk puasa. Dengan kata lain, puan mandi wajib untuk membolehkan puan menunaikan solat Subuh. Puasa tetap sah walaupun belum mandi wajib ketika azan Subuh,” jawab saya sambil tersenyum.

Puan yang bertanya mengangguk faham.

“Ustazah, kalau sebab haid atau nifas macam mana pula?” Tanya yang lain.

“Kalau sebab haid atau nifas, kena pastikan betul-betul dulu, bilakah waktu suci? Kalau seorang wanita tu cek tengok dalam jam 5 pagi memang dah suci dah. Lepas tu dia bersahur. Kemudian lepas dah azan Subuh, dalam 6.15 pagi macam tu, baru mandi wajib, maka sah juga puasanya. Kenapa? Sebab sucinya ialah sebelum Subuh lagi. Ini kerana antara syarat sah puasa ialah suci daripada haid dan nifas daripada terbit fajar (Subuh) sehingga terbenam matahari (Maghrib). Bilakah waktunya sesorang itu mandi wajib, tidak berkait dengan sah atau batalnya puasa. Sebab mandi wajib hanya untuk membolehkan seseorang solat, bukan untuk membolehkan seseorang berpuasa. Jelas tak?” Tanya saya pula sambil memandang wajah hadirin.

Ada yang mengangguk dan ada pula yang masih berkerut-kerut. Mungkin cuba menghadam maklumat yang diberi.

“Ustazah, kalau kita cek sebelum tidur dalam jam 11 malam macam tu, masa tu tengok ada lagi sikit kuning. Lepas tu bangun-bangun je dah jam 7 pagi, ustazah. Cek tengok dah suci dah. Nak kena puasa ke?” Yang lain pula mengangkat tangan bertanya.

“Bagus soalan tu. Oleh sebab sebelum tidur tu kita tak ada niat nak puasa lagi, cuma dalam hati terdetik, kalau suci kena puasa, kalau tak suci tak perlu puasa. Maka, bila ada ‘kalau’ itu bermakna niat puasa belum sah lagi. Jadi, tak perlu berpuasa. Hari tersebut tetap dikira sebagai hari puasa yang perlu diganti nanti selepas Ramadhan. Cuma selepas mandi wajib, qadha’ atau gantilah solat Subuh yang tertinggal untuk langkah berhati-hati. Ini kerana boleh jadi masa Subuh tadi dah suci dah. Jelas tak?” Tanya saya kepada yang bertanya.

Beliau mengangguk sambil menjawab, “Jelas, ustazah.”

 

Rapatkan Saf

“Ustazah, satu lagi masalah dalam bulan puasa ni, masa solat Terawih, ustazah. Susah benar nak rapatkan saf. Sebenarnya nak rapatkan ke kanan atau ke kiri, ustazah? Orang kanan saya tarik saya, yang belah kiri pun tarik saya juga,” adunya sambil mengerutkan dahi.

“Jadi rebutan pun susah tu, ustazah,” usik rakannya pula disambut dengan ketawa yang lain.

“Jadi rebutan okeylah juga. Ni saya ni, ustazah. Orang kanan dan kiri saya dua-dua pun tak nak bergerak, ustazah. Saya keliru nak pilih, nak rapatkan saf ke mana satu. Kalau saya rapatkan ke kanan, belah kiri saya kosong, kalau rapatkan ke kiri, belah kanan pula yang kosong. Tak khusyu’ solat saya dibuatnya,” adu yang lain pula.

Juga disambut dengan gelak-ketawa hadirin. Sememangnya, hari yang ceria. Tidak terasa lapar dan dahaga walaupun berpuasa.

“Macam-macam ye. Apa yang penting janganlah sampai bergaduh sebab saf. Ukhuwwah kena jaga, lagi-lagi di bulan Ramadhan yang mulia. Janganlah sebab saf jadi bermasam muka.” Saya membuat pendahuluan sambil tersenyum sebelum menjawab soalan.

“Asalnya kita kena rapatkan ke kanan untuk rapatkan saf. Tapi kalau ada seorang atau dua orang saja sebelah kanan kita, yang sebelah kiri kita panjang dah safnya. Kita rapatkan arah kiri, arah yang lebih ramai. Lebih mudah sebab tak perlu ramai-ramai nak kena bergerak rapatkan saf. Tapi katalah, orang sebelah tak nak bergerak walaupun kita dah rapatkan ke sebelah yang ramai. Tak apalah, kita ‘husnuzzon’, bersangka baik, mungkin dia tak tahu, atau memang sedang khusyu’ solat sampai tak perasan yang sebelah dah kosong. Bulan puasa ni kita berkasih-sayang, tolong-menolong dan banyakkan senyuman. Senyum tu kan sedekah. Berganda-ganda pula pahalanya dalam bulan Ramadhan. Yang penting, janganlah sebab saf jadi gaduh-gaduh, masam muka, marah-marah. Boleh kan?”

Hadirin hanya mengangguk-angguk sambil tersenyum simpul.

 

Soalan Rapatkan Saf
Bergerak ke kiri atau ke kanan? Ke kanan

 

Jika sebelah kiri lebih ramai?

 

Rapatkan ke kiri
Jika ada jemaah yang duduk di atas kerusi? Rapatkan ke arah jemaah yang berkerusi

 

Boleh tak nak marah orang sebelah yang tak rapatkan saf lepas solat? Janganlah marah-marah. Nanti orang sebelah dah tak nak datang solat jemaah T.T

 

 

Akan Datang

Banyak lagi sebenarnya soal-jawab yang ingin saya kongsikan. Rasanya, cukup dulu setakat ini yang mampu saya tulis dan coretkan untuk tatapan pembaca sekalian. Insya-Allah akan datang, saya akan berkongsi tentang “adakah ‘lipstick’, ‘lip balm’, krim muka dan lain-lain ‘make-up’ menghalang air daripada sampai ke kulit?” Ini kerana saya menerima banyak pertanyaan, terutama ketika musim perayaan Aidilfitri, berkenaan hal ini. Maklumlah, ramai agaknya yang ingin berhias dan mengenakan ‘make-up’ pelbagai jenis di hari raya yang meriah dengan rumah terbuka. Mohon doa para pembaca dan semoga bermanfaat. ‘Amin, amin ya rabb.’