Perkongsian Pengalaman: Selagi Jasad Masih Bernyawa

Auni B / July 14, 2018, 11:07:17 am

Kelas Tafsir Ustaz Safwan

Pada jam 9.30 pagi, aku sudah siap berjubah biru gelap dan berskaf biru polka dot. Aku ingin mengikuti Maktok ke kelas pengajian tafsir al-Quran oleh Ustaz Safwan. Ini rasanya kali kedua aku hadir ke kelas tafsir ustaz itu. Lokasi pengajian ialah sebuah rumah semi-D dua tingkat di Petaling Jaya. Ruangan hadapannya yang berkarpet telah pun disusun dengan barisan meja lipat dan kerusi plastik. Persis seperti sebuah kelas, ruangan itu juga dilengkapi dengan papan putih, sedikit rak-rak buku dan pendingin hawa.

 

Ketika sampai, Maktok bersalaman dengan beberapa orang kawan beliau sambil memperkenalkan aku sebagai cucunya. Aku gembira melihat keterujaan Maktok menemui kawan-kawan beliau. Setelah memerhatikan persekitaranku, seperti biasa , aku pelajar termuda dalam kelas itu. Para hadirin wanita bertaraf nenek dan makcik kepadaku memenuhi empat per lima daripada ruangan kelas. Hanya dua orang atuk yang ada. Mereka sudah berambut putih, berkedut seribu dan bertongkat. Namun begitu, mereka masih lagi bersemangat waja untuk menuntut ilmu.

 

Latar Belakang Komuniti Warga Emas Kampung T

Kata Ibu, kawasan Kampung T di Petaling Jaya ini, suatu ketika dahulu ialah kawasan elit dan tempat tinggal pegawai-pegawai kerajaan yang bergaji besar. Daripada audiens hari itu, terserlah kebenarannya. Makcik pakcik, atuk nenek yang ke kelas itu bukan sembarangan orang. Ada yang berpangkat Datuk, Datin, Tan Sri dan sebagainya. Ada yang bergaya bersahaja, ada yang terserlah glamornya dari kerlipan batu permata di baju, tudung malah kadang kala di tali kaca mata.

 

Nenek atuk yang mampu bertutur Bahasa Inggeris dengan fasih itu merupakan pegawai-pegawai atasan kerajaan pada zaman muda mereka. Selagi jasad mereka masih sihat, mereka bertungkus-lumus untuk menghabiskan usia pasca pencen mereka sebaik mungkin. Aku kagum dengan kesatuan usaha mereka menubuhkan beberapa kelas agama untuk orang dewasa dan warga emas di kawasan Petaling Jaya. Ada kelas tafsir biasa, tafsir harfiah, hadith, malah balaghoh. Maktok siap ada jadual seminggu pengajian, wlaupun kepadatannya sudah berkurang berbanding sebelum ini.

 

Selain itu, mereka juga kebanyakannya masih memandu sendiri ke kelas pengajian. Setiap kelas diadakan di rumah yang berbeza mengikut perancangan. Kadang-kadang merisaukan juga apabila melihat Maktok aku memandu sendiri ke mana-mana. Tapi Maktok selalu menyedapkan hati aku dengan berkata, “Takpe Maktok boleh drive sendiri, dekat je.”

 

Dulu-dulu sewaktu aku masih bersekolah, aku pernah juga mengikuti kelas Bahasa Arab mereka. Maju! Kelas mereka mempunyai modul dan buku latihan yang mereka usahakan sendiri. Seorang daripada mereka merupakan bekas guru bahasa Arab. Beliau yang sukarela menubuhkan modul-modul nota dan latihan bahasa Arab khusus untuk kelas tersebut. Modul tersebut ditaip dan disusun mengikut topik. Sebagai contoh, dalam i’rab, ada modul marfu’, majrur dan mansub.

 

Bayangkan seorang atuk yang sudah kabur penglihatannya, gigih belajar menaip huruf Arab di komputer semata-mata untuk pembikinan modul itu. Memandangkan sebelum ini, Maktok aku juga mengajar Bahasa Arab, Maktok selalu bagi aku nota, modul dan kamus Arab secara percuma.

 

Kadar kelajuan pengajaran dalam kelas pula ialah sekadar yang mampu dihadam oleh warga emas. Bohonglah kalau aku tidak pernah bosan atau mengantuk tersengguk-sengguk dalam kelas orang-orang tua.Tetapi pengalaman melihat dan bergaul dengan komuniti warga tua yang aktif sebegini sememangnya mahal.

Guru sebagai Pemandu Arah

Lamunan aku dipecahkan dengan ucapan salam daripada Ustaz Safwan yang baru tiba di kelas. Rambutnya sudah memutih diselindung sedikit oleh kopiah putihnya. Matanya sepet seperti orang Cina dan kulitnya cerah. Badannya masih tegap walaupun aku jangkakan umurnya dalam lingkungan 50-an. Ustaz Safwan berasal dari Indonesia. Maka, jelas sekali kedengaran slanga Indonesia beliau apabila berkata-kata.

 

Ustaz Safwan mengajar dengan menyebut perkataan satu per satu dengan jelas. Kaedah begitu sesuai dengan kemampuan para pelajarnya yang mungkin tidak boleh menangkap sebutannya jika percakapannya terlalu laju. Kadang kala penerangan beliau diselangi dengan lawak ringan untuk menghilangkan rasa mengantuk pelajar.

 

“Iya lah dah tua-tua ni, cepat mengantuk,” seloroh Ustaz Sawan sambil tersenyum.  Ada juga lawak yang tidak aku fahami, mungkin kerana perbezaan generasi dan umur. Tapi aku senyum sahaja lah. Nampaknya Ustaz Safwan bijak menyesuaikan kaedah penyampaian beliau dengan keadaan para pelajarnya.

 

Walau bagaimanapun, aku juga tidak tahan untuk senyum sendiri apabila melihat beberapa nenek atau atuk yang tak dapat menahan diri daripada tersengguk-sengguk. Mujurlah Ustaz memahami. Fitrah sebagai warga emas tidak mampu dielakkan.

 

Selain itu, beliau banyak menggunakan kaedah tafsir al-Quran dengan al-Quran yang membuatkan aku nampak kaitan yang jelas antara satu ayat al-Quran dengan yang ayat yang lain. Sesungguhnya aku amat merasakan kepentingan hafazan al-Quran ketika itu. Ustaz Safwan dengan begitu lancar memetik ayat al-Quran tanpa melihat kepada mushaf; lengkap dengan nama surah, nombor ayat dan muka surat. Terkial-kial para audiens hendak membelek mushaf untuk mencari ayat yang berkenaan.  Aku juga yang  malu sendiri dengan kehebatan  ingatan ustaz yang berusia itu.

 

Suatu ilham tiba-tiba mengetuk mindaku dek terinspirasi dengan suasana kelas tafsir itu. Al-Quran itu umpama peta yang sudah terbentang dengan nyata. Segala titik lokasi sudah tertanda padanya. Namun, gurulah yang dapat memandu kita untuk memahami kaitan antara satu sama lain dan tiba pada satu kefahaman dengan lebih mudah. Jika kita cuba memahami isinya membabi buta dan secara rawak, kemungkinan besar, kita boleh sesat walaupun peta sudah jelas di depan mata. Mungkin itu merupakan  satu daripada sebab para warga emas ini rajin benar menapak ke kelas-kelas pengajian. Mereka sedar akan kepentingan belajar secara berguru.

 

Minda, emosi dan sosial

Sememangnya jelas, kelas-kelas sebegini baik untuk kognitif warga emas kerana minda mereka dilatih untuk kekal aktif berfikir dan menelaah pelajaran. Minda yang dibiarkan kaku dan tidak dirangsang boleh merosot dengan lebih pantas, lebih-lebih lagi seiring dengan proses penuaan.

 

Aku juga berpendapat bahawa kelas-kelas pengajian sebegini bukan sahaja baik untuk minda atau kognitif warga emas, malah baik untuk aspek emosi dan sosial mereka juga. Maktok sering berkata bahawa beliau gembira dapat berjumpa dengan kawan-kawan seusianya di kelas. Mungkin dengan cara begini, Maktok atau mana-mana warga emas dapat menghilangkan rasa sunyi di rumah.

 

Kebanyakan nenek atuk itu tinggal dengan pasangan masing-masing (jika masih hidup) bersama pembantu rumah. Anak-anak yang sudah dewasa tinggal di rumah berasingan dengan keluarga masing-masing. Dengan sedikit nikmat harta yang Allah kurniakan kepada mereka, mereka beruntung untuk mendapatkan pembantu rumah untuk membantu dalam pengurusan hidup mereka secara fizikal. Bukan semua orang mampu menggajikan seorang pembantu rumah. Namun tidak dapat dinafikan, mana mungkin perhatian daripada pembantu rumah semata-mata mampu menggantikan kasih sayang dan perhatian daripada seorang anak.

 

Aku benar-benar berharap lebih banyak inisiatif ilmiah begini diwujudkan untuk warga emas. Namun, aku faham bahawa setiap komuniti warga emas mempunyai ciri-ciri tersendiri yang perlu diambil kira; tahap pendidikan, sosio-ekonomi dan lain-lain. Apa pun, selagi jasad masih bernyawa, masih banyak yang kita boleh lakukan.

Selamat berbakti.