Perkongsian Pengalaman: Pantang Larang ketika Haid

NorNur / July 15, 2018, 23:07:36 pm

“Ada tak sebenarnya pantang larang ketika haid?” Saya bertanya.

“Tak ada!”

Jawab mereka beramai-ramai.

“Eh, siapa kata tak ada? Ada!”

Pelajar-pelajar perempuan di hadapan saya kelihatan terpinga-pinga. Ada yang berkerut dahi. Ada pula yang terkebil-kebil memandang saya yang masih tersenyum. Baru beberapa slaid sebelum ini saya bercerita mengenai mitos-mitos pantang larang ketika haid. Mitos pantang larang minum ais, mitos pantang larang makan nenas dan mitos pantang mandi. Mengikut pakar-pakar perubatan, semua pantang larang tersebut tidak wujud sebenarnya. Saya ada berkongsi di pautan ini: https://www.langitilahi.com/haid-dan-sains-perubatan/

“Apa pantang larang yang Allah sendiri larang wanita haid daripada melakukannya?” Saya mengubah soalan.

Satu dewan dipenuhi bunyi ‘oh’ dan ‘lah’ dengan harakat yang panjang. Giliran saya pula tertawa.

 

Lima Pantang Larang yang Disepakati Ulama’

                “Solat!”

“Ya, betul. Pantang larang pertama yang disepakati oleh semua ialah wanita haid dilarang menunaikan solat. Selepas suci, adakah kita perlu qadha’ atau ganti solat yang telah kita tinggalkan ketika haid?”

“Tak perlu!”

Jawab para pelajar beramai-ramai.

“Seronokkan, Allah bagi cuti pada wanita haid.”

Kami semua tersengih lebar.

“Untunglah, sesiapa yang masa dia sedang suci daripada haid, solat fardhunya penuh, siap ada tambah solat sunat seperti solat sunat Dhuha, Tahajjud dan Witir. Kemudian ketika datang haid, dia meninggalkan semua solat tersebut kerana mentaati perintah Allah yang melarangnya daripada solat. Cuti-cuti semasa haid pun pahala bagi semua solat tu dia akan dapat juga. Kenapa? Sebab masa suci dia rajin solat. Kalau masa suci tak solat, rugilah kan?” Saya tersenyum memandang para pelajar yang terangguk-angguk.

“Seterusnya, puasa. Wanita haid dilarang berpuasa. Tapi wajib qadha’ puasa. Puasa apa yang wajib qadha’?” Tanya saya cuba menguji.

“Puasa Ramadhan!”

Jawab mereka beramai-ramai.

“Bagus! Tepat sekali! Lagi? Apa lagi yang dilarang?”

Seisi dewan terdiam. Ada beberapa yang cuba menjawab, namun perkara yang disebutkan ialah perkara yang menjadi khilaf dalam kalangan ulama’.

“Betul, tapi itu ada khilaf. Sekarang kita sebut dulu yang tiada khilaf. Pertama tadi, solat. Kedua, puasa. Ketiga ialah tawaf. Keempat, jima’ iaitu persetubuhan. Kelima, cerai iaitu suami diharamkan menceraikan isterinya yang dalam keadaan haid.”

Saya menyebut secara ringkas lima perkara yang disepakati oleh para ulama’ sekadar untuk pengetahuan mereka. Memandangkan pelajar yang berada di hadapan saya adalah terdiri daripada pelajar sekolah menengah, yang mana ada dalam kalangan mereka yang belum pun didatangi haid. Malah, ditambah pula masa sangat cepat berlalu (masa hanya tinggal lebih kurang 30 minit sahaja lagi), saya memilih untuk tidak memanjangkan perbincangan kecuali jika ada yang bertanya lanjut.

 

Pantang Larang yang Terdapat Perbezaan Pendapat Ulama’ Mengenainya

                “Baiklah, sekarang kita masuk kepada topik pantang larang yang ada khilaf dalam kalangan ulama’. Mari kita perhatikan jadual di hadapan.” Saya mengalihkan fokus para pelajar kepada jadual yang telah disediakan.

 

Pantang Larang yang Terdapat Khilaf Ulama’ Isu-isu berkaitan
 

Masuk dan duduk di dalam masjid

 

1. Masuk sekadar lalu atau ada keperluan dan diyakini tidak akan mengotori masjid adalah dibolehkan.

Contohnya Yasmin mencari Aminah di dalam masjid kemudian keluar semula sedangkan Yasmin dalam keadaan haid. Dibolehkan dengan syarat Yasmin meyakini haidnya tidak akan bocor dan mengotori masjid.

 

2. Duduk di dalam masjid kerana ada keperluan.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi membolehkan dengan dalil-dalilnya selagi mana diyakini tidak akan mengotori masjid seperti duduk untuk mendengar majlis ilmu dan seumpamanya.

Namun, adalah lebih baik untuk tidak berada di kawasan solat. Wanita haid boleh duduk di bahagian belakang atau kawasan khusus untuk wanita haid yang disediakan oleh masjid jika ada.

 

Memegang dan membawa Mashaf al-Qur’an

 

1. Tafsir dan al-Qur’an terjemahan adalah dibolehkan. Hanya mashaf al-Qur’an tanpa apa-apa terjemahan yang dilarang. Namun, ada ulama’ yang membenarkan untuk mereka yang belajar dan mengajar al-Qur’an.

 

2. Jika mashaf al-Qur’an terjatuh dan hanya wanita haid berada di situ, maka boleh mengangkatnya dengan berlapik untuk menjaga adab dengan al-Qur’an.

 

Membaca al-Qur’an

 

1. Ayat-ayat al-Qur’an yang berbentuk zikir dan doa seperti ‘bismillah’ sebelum makan, membaca ayat Kursi sebelum tidur, membaca 3 Qul dan seumpamanya adalah dibolehkan kepada wanita haid untuk membacanya.

 

2. Adapun ayat-ayat al-Qur’an lain, maka tidak dibolehkan membacanya tanpa keperluan. Ulama’ seperti ulama’ mazhab Maliki membenarkan membaca al-Qur’an dengan tujuan belajar dan mengajar begitu juga bagi penghafal al-Qur’an.

Sebahagian ulama’ mazhab Syafi’e mensyaratkan wanita haid berniat untuk zikir apabila ada keperluan membaca al-Qur’an seperti ketika peperiksaan al-Qur’an dan seumpamanya.

 

Setelah selesai menerangkan isi kandungan jadual dengan terperinci, saya melepaskan nafas lega. Lega kerana dapat menyampaikan segala yang saya rasakan penting dalam masa 2 jam yang diberikan.

Eh, 2 jam?

Ya, 2 jam, dan sebenarnya banyak masa telah dihabiskan dalam perkongsian sebelum ini: https://www.langitilahi.com/haid-dan-sains-perubatan/

Saya memandang para pelajar di hadapan saya.

“Inilah antara isu yang ustazah boleh kongsikan supaya nanti para pelajar sekalian tidak terkejut jika melihat ada yang mempunyai pendapat yang berbeza. Sebab, kalau kita tak tahu ada perbezaan pendapat, boleh terkejut beruk nanti!” Saya membuat aksi ‘terkejut beruk’.

Macam mana tu? Em, ibaratnya apabila saya terkejut dan terlompat sebaik sahaja nampak katak dalam kasut!

Satu dewan pecah dengan ketawa. Saya hanya senyum selamba. Maklumlah, hanya pelajar wanita yang berada di dalam dewan ini.

“Ada apa-apa soalan sebelum kita akhiri ceramah untuk hari ini?”

Namun, tiada sesiapa yang mengangkat tangan untuk bertanya.

Saya sebenarnya agak terkilan apabila tidak menerima sebarang soalan daripada mereka. Saya akui, ini akibat kelemahan saya juga yang tidak berpengalaman memberikan penyampaian kepada pelajar-pelajar sekolah menengah. Berbeza apabila saya mengajar Fiqh Wanita yang dihadiri oleh orang dewasa di universiti, masjid dan surau, di mana saya akan dihujani dengan soalan dan komentar mereka.

Apapun, saya doakan pelajar-pelajar di hadapan saya ini maju jaya dan terus rajin menimba ilmu. Semoga mereka menjadi lebih berani untuk menyuarakan pendapat dan bertanya suatu hari nanti.

 

Akan Datang

Setakat ini dulu yang mampu saya coretkan. Insya-Allah, perkongsian akan datang akan berkisar berkenaan wanita haid dan isu-isu qadha’ solat setelah suci.

Eh, ada solat yang kena qadha’ ke? Bukan tadi kata tak perlu qadha’?

Ya, asalnya solat yang ditinggalkan ketika haid tidak perlu kepada qadha’. Namun, ada beberapa perbincangan ulama’ berkenaan solat yang perlu diqadha’kan oleh wanita setelah suci daripada haid. Mohon doa para pembaca sekalian. Semoga Allah mudahkan dan berkati perkongsian ini. Amin, amin ya Rabb.