Perkongsian Pengalaman: Metamorfosis Diri – kembali kepada Nya

Anneeza Zainal / March 17, 2018, 11:03:28 am

 

 

Setiap kita adalah umpama seekor beluncas yang menanti-nanti akan saat yang sesuai untuk bermetamorfosis ke peringkat yang seterusnya, ke peringkat yang mendewasakan minda dan fikiran kita untuk mengiakan yang benar, menidakkan yang salah dan kekal berada pada landasan yang lurus. Setiap antara kita punya ‘struggle’ tersendiri. Ada perkara kita berbesar hati untuk berhijrah dan berubah, namun ada sesetengah perkara yang kita seboleh-bolehnya tidak mahu tetapi terpaksa menurut. Tiada kebetulan dalam kehidupan, Semua adalah ketentuan-Nya. Dan setiap yang termaktub adalah terbaik untuk diri kita.

 

Sebagai seorang yang dilahirkan beragama Islam, peringkat pertama pengenalan kepada agama Islam adalah pendedahan dengan kitab panduan hidup yang dikenali sebagai Al-Quran. Alhamdullillah, saya telah didedahkan dengan Al-Quran seawal usia 5 tahun. Ada seorang ustadza akan datang ke rumah hampir setiap malam untuk mengajar kami, saya dan kakak, membaca huruf-huruf hijaiyah. Alhamdullillah, di tahun berikutnya saya telah mampu untuk mengenal huruf-huruf tersebut dan berupaya untuk membaca surah-surah pendek. Selain membaca Al-Quran, kami juga diajar bersolat, dan setiap kali masukknya waktu Maghrib, kami akan bersolat berjemaah, dengan berimamkan ayah.

 

Pengetahuan saya tentang Islam, dan hubungan saya dengan Al-Quran pada awalnya boleh diibaratkan sebagai hubungan yang hadir tanpa perasaan. Ia umpama kewajiban yang perlu saya lunaskan sebagaimana kewajiban solat 5 kali sehari dan berpuasa di bulan Ramadan. Di benak fikiran cuma ada pesan Ustadza, “Jika nak masuk syurga, solat 5kali sehari jangan tinggal, dan kena baca Quran selalu”. Saya pegang dan akur tanpa banyak soal tanya. Adakala nya saya seperti menjadikan aktiviti membaca Quran ini sebagai escapism di rumah – taktik mengelak diri daripada mambantu emak dengan kerja-kerja rumah, kerana emak biasanya akan tidak mengganggu saya jika dia mendengar saya sedang mengalunkan bacaan Al-Quran.

 

Tamat Tingkatan 5, saya berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Di sinilah, bermula satu kehidupan baru, metamorfosis sulung dari telur menjadi beluncas. Pertama kali berjauhan dengan keluarga dan duduk di asrama. Saya kekok,  suasana nya sangat berbeza. Kawan-kawan pula kebanyakan berasal dari latar belakang sekolah berasrama, mereka senang beradaptasi, dan jelas dengan motif untuk ke Universiti. Manakala saya masih terkial-kial untuk menetapkan matlamat hidup saya. Alhamdulillah, pusat matrikulasi kami bersebelahan dengan sebuah masjid, dan untuk melarikan diri daripada tekanan belajar dan persekitaran yang rata-rata sahabat sibuk dengan buku pelajaran, setiap kali azan berkemandang, saya akan bersiap segera berjemaah ke masjid. 15 minit di masjid tu, adalah sangat melapangkan fikiran. Curi waktu prep, jauh dari kawan-kawan yang sibuk berbincang tentang nota kuliah, kerja rumah dan assignment. Hubungan saya dengan Al-Quran juga semakin bertambah akrab. Hampir setiap hari selepas solat maghrib (sementara menanti masuk waktu Isyak) saya akan duduk membaca Al-Quran, namun begitu, sejujurnya, saya tidak faham apa yang saya baca kerana saya membaca mushaf tanpa terjemahan.

 

Pada bulan Ramadan ketika di tahun 2 pengajian, tergerak hati saya untuk mengetahui apa sebenarnya yang saya baca ini. Kebetulan di ruang legar tempat perhimpunan siswa, terdapat jualan buku-buku keagamaan bersempena bulan Ramadan. Saya memang suka dengan Pesta Buku, lantas meluangkan masa mencari Quran dengan terjemahan dalam Bahasa Melayu. Saya tiba di satu gerai, saya lihat beraneka jenama Quran terjemahan, belek satu persatu, saya jadi keliru. “Apa beza quran terjemahan ini dengan yang lain-lain ni ya?” tanya saya kepada penjual di gerai tersebut. Sekilas dia pandang muka saya, dan menjawab, “Miss cari yang bagaimana? Jika Miss mahu terjemahan sahaja, saya syorkan yang ini. Ini lebih senang sebab tiada ayat Al-Quran”. “Saya berminat dengan yang ada ayat Al-Quran. Setidak-tidaknya saya tahu makna ayat yang saya baca”, balas saya. Berkerut wajah penjual buku tersebut memandang saya, lantas berkata, “Oh, maaf sebab saya sangka Miss bukan muslim tadi.” Saya tersenyum tawar. Memang acapkali saya disangka bukan Muslim kerana, ya, saya tidak memakai imej seorang muslimah – saya tidak bertudung. Saya sedar akan kejahilan saya nan satu ini, namun berkeras hati dengan prinsip tidak mahu bertudung. Pada waktu itu, pada kefahaman saya, memakai tudung bukan lah kewajipan seorang muslimah. Emak tidak bertudung, makcik-makcik juga ramai yang tidak bertudung, dan nenek pula memakai skarf yang sekadar menutup kepala. “Cover uban”, ujar nenek bila ditanya. Maka saya tidak punya apa-apa perasaan apabila ditegur soal tudung. Saya jaga solat 5 waktu, saya puasa wajib dan sunat (terutama di akhir semester apabila wang belanja semakin hampir tiada), dan bacaan Al-Quran saya maintain tak alpa. Saya rasa saya ok. Saya sudah Islam. Pada waktu itu, saya tidak sedar yang ilmu saya sebenarnya sangat cetek. Tidak tahu yang menutup aurat itu adalah kewajipan seperti yang dinyatakan dalam surah An-Nur, 24:31

 

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.

 

Semoga Allah mengampuni dosa di atas kejahilan saya pada ketika itu.

 

Berbalik kepada kisah Al-Quran terjemahan yang saya beli tersebut, Alhamdullillah, saya berjaya menghabiskan bacaan nya namun, disebabkan membaca tanpa referral dengan sumber yang lain, saya masih tidak dapat menjiwai apa yang saya baca. Faham mungkin lah secara amnya, namun mengapa Allah swt kata begitu atau begini tidak saya selidiki secara mendalam.

 

Namun saya terus kekal membaca Al-Quran. Al-Quran umpama kawan baik yang berlainan bahasa dengan saya. Walaupun bicara kami seperti ayam dan itik, saya tetap suka membacanya kerana saya ingat sangat dengan pesan Ustazah saya di sekolah menengah, jika mahu ketenangan jiwa, bacalah Al-Quran.

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan “zikrullah” (mengingati Allah). Ketahuilah dengan “zikrullah”, tenang tenteramlah hati manusia.”

(Ar-Ra’d 13:28)

 

Makanya, saya baca, dan semakin dekat dengan musim peperiksaan, makin banyak saya baca. Ya, saya temui ketenangan dengan Al-Quran. Sepanjang 4 tahun pengajian, Alhamdullilah, hampir 4 kali juga saya khatam Al-Quran. Namun begitu, memandangkan saya tidak faham dengan apa yang saya baca, saya tidak dapat beramal dengan Al-Quran tersebut.

 

4 tahun untuk sebuah metamorfosis awal. Alhamdullillah saya berjaya mengenggam kertas bertulis Ijazah Sarjanamuda Sains, menjurus bidang Mikrobiologi. Keputusan akhir peperiksaan adalah sekadar ada. Malu nak cerita, saya tinggalkan universiti dengan keputusan yang sangat tidak cemerlang – bahana terlalu mengikut jiwa yang suka memberontak, dan rasa keasingan dalam diri. Ya, pada kebanyakan situasi, acapkali saya berasa terasing. Orang ramai, suasana bising, tetapi entah, saya macam tenggelam dalam jeritan suara sendiri. Walaupun keputusan saya tidak begitu cemerlang, namun rezeki untuk beralih ke persada yang seterusnya adalah sangat terbuka luas. Satu per satu peluang tiba ke muka pintu.

 

Pertama sekali saya dipanggil untuk ditemuduga jawatan Guru di MRSM. Alhamdullillah, beberapa minggu selepas proses temuduga, saya dihubungi oleh pihak MARA, menawarkan saya untuk mengisi kekosongan jawatan Guru Biologi dan Sains di MRSM Lenggong. Alhamdulillah, saya terima tawaran jawatan tersebut dengan berbesar hati. Kehidupan di Lenggong cukup menggembirakan. Pelajar-pelajar amat baik dan menghormati saya walaupun beza umur kami dalam 5 tahun sahaja. Namun, entah mengapa, setiap kali memandang sijil ijazah saya, hati diasak rasa kecewa. “I should have done better than this,” bisik hati kecil yang tak pernah puas dengan apa yang ada di tangan. Saya mula merasakan yang saya perlu memperbaiki kelayakan saya. Saya perlu belajar ke peringkat yang lebih tinggi lagi untuk menebus kembali keputusan Ijazah Sarjanamuda yang sangat mengecewakan itu. Allah, As-Samii’, mendengar permohonan hati saya, lantas saya diketemukan dengan iklan Tawaran Kemasukan Ke Peringkat Sarjana dan PhD dari Universiti Teknologi MARA.

 

Dengan keputusan Ijazah Sarjanamuda yang tidak seberapa itu, berbekal doa dan harapan, saya hantar borang permohonan. Sebulan kemudian, saya dipanggil untuk hadir ke Fakulti Sains Gunaan, untuk ditemuduga dan juga membentangkan proposal penyelidikan. Proses temuduga dan pembentangan proposal berlangsung selama lebih kurang 30 minit. Terdapat lebih daripada 5 orang panel penilai, dan di fikiran saya selepas 30 minit yang mendebarkan itu adalah, “Alhamdullillah ala kulli hal – ada rezeki, sambung belajar. Jika tiada, kekal mengajar di MRSM”.

 

Minggu-minggu kemudiannya, saya terima sepucuk surat dengan ‘letter head’ Universiti Teknologi MARA. Berdebar dada membuka surat tersebut. Sekilas terpandang perkataan Tahniah. Alhamdullillah, permohonan saya untuk melanjutkan pelajaran ke Peringkat Sarjana diterima. Tersenyum, saya mula membaca surat tersebut ayat demi ayat. “Anda diterima masuk dengan tajaan penuh (biasiswa) daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (MOSTE) “. Baris ayat tersebut saya baca berkali-kali. Allah, Allah, Allah… ia bagai hadiah berganda-ganda daripada-Nya. saya cuma memohon untuk melanjutkan pelajaran, berniat untuk membaiki keputusan lalu yang tidak cantik, tetapi Allah yang Maha Baik bukan sahaja memperkenankan permohonan itu, malah diberinya saya kemudahan untuk belajar dengan percuma berserta dengan wang poket untuk menanggung perbelanjaan sepanjang tempoh 2 tahun pengajian tersebut. Berjurai air mata saya menerima berita gembira itu. Alhamdullillah, sesungguhnya Allah itu Maha Baik. Malangnya kita yang selalu terlupa dan leka dalam memanjat syukur kepada-Nya.

 

Entah mengapa, di ketika itu, saya selalu beranggapan bahawa saya cuma bernasib baik sahaja. Keputusan ijazahnya tidak lah sebagus mana, namun, habis belajar terus dapat tawaran kerja, selepas itu dapat pula tawaran Master. Saya berkongsi anggapan saya ini dengan sahabat baik saya di matrikulasi, dan dia membalas, “Tak Neeza. Semua ni bukan sebab kau bernasib baik. Sepanjang aku kenal kau, walaupun mula-mula tu aku risau juga nak kawan dengan kau sebab kau tak bertudung, tapi lepas tu aku tengok perwatakan kau, aku jadi respek. Kau jaga solat, kau rajin mengaji. Kau jaga Allah, jadi Allah jaga kau jugak”. MasyaAllah, quwataillabillah. Dan iya, saya akui, tiada kebetulan, kerana rezki dari Allah itu telah ditetapkan.

Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).

(Hud 11:6)

 

 

*****

 

Jun 2002. Dengan hati berkobar-kobar, saya melangkah mendaftar diri ke UiTM, Shah Alam, melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana. Saya tanam harapan untuk membaiki kesilapan lalu, kali ini perlu lebih serius dalam menuntut ilmu. Tidak alpa dan memberontak tak tentu hala. Tanpa saya sedari, Allah meletakkan sesuatu di hadapan saya. Sesuatu yang lebih bermakna.

 

Kehidupan sebagai pelajar post-grad ternyata berbeza dengan kehidupan sebelumnya. Jika dahulu saya duduk menginap di kolej kediaman di dalam kampus, kini saya tinggal menyewa di luar kampus dengan kawan-kawan, yang berstatus pekerja, bukan pelajar seperti saya. Terasa hidup begitu sibuk sekali: pagi kena bergegas mamasuki kampus, yang sekiranya terlewat tiba, aduh, sukarnya untuk mencari ruang parkir kereta, adakala berpusing-pusing hampir 1jam di kawasan fakulti, kerja-kerja makmal yang cukup remeh dan memerlukan ketelitian, bakteria bahan ujikaji yang sangat sensitif kepada persekitaran yang jika tidak dijaga molek akan mudah mati, kertas kerja, perbentangan dan segala macam lagi yang merengut kehidupan saya. Pada waktu itu, saya merasa diri tidak seperti gadis normal berusia 22 tahun yang bebas menerokai dunia, bergembira bersama teman-teman dan pacar. Saya senang dengan personaliti diri sendiri dan tidak menampakkan sebarang masalah berhubung dengan karektor saya. Namun teman-teman serumah saya acapkali menekan agar saya supaya keluar bersosial, tidak hanya memerap di rumah pada hujung minggu, pergi ‘chill’, ‘let the stress out’. Pada mulanya saya terpengaruh juga dengan ajakan teman-teman serumah. Hujung minggu kami lepak di restoran mamak sehingga ke tengah malam. Setelah beberapa kali kami melepak di restoran mamak, teman-teman serumah mula mengajak saya pergi berhibur di kelab-kelab malam di sekitar Kuala Lumpur. “Ah, sudah,” bisik hati saya. Walaupun tidak bertudung, namun saya memang mengelak daripada berkunjung ke tempat-tempat seperti itu. Saya telah diajar dan dipesan oleh emak bahawa tempat-tempat seperti itu sarang maksiat dan pelbagai perkara buruk boleh berlaku kepada perempuan seperti saya. Setiap kali teman serumah saya mengajak, saya mengelak dengan memberikan pelbagai alasan. Sekali, dua kali, tiga kali ajakan mereka berjaya saya tepis. Namun mereka seperti tidak serik untuk terus mengajak saya. Hati saya dihimpit kebimbangan. Saya bimbang dengan diri sendiri yang mungkin akan menyerah terpedaya.

 

Untuk mengelakkan diri daripada kelihatan santai di rumah, saya isi setiap masa saya ke kampus – pagi berangkat pergi, pulang hampir lewat senja, dan hujung minggu juga saya ke fakulti menyiapkan tugasan makmal atau ke perpustakaan mengulangkaji. Aktiviti ini berlanjutan untuk beberapa minggu sehinggalah pada suatu hari, saya merasa letih. Letih yang amat sangat. Saya betul-betul letih dengan apa yang saya buat pada diri saya sendiri. Petang itu, usai solat asar, saya berteleku lama di hamparan sejadah. Saya renung menembusi dinding. “Ya Allah, hambaMu ini letih teramat sangat,” keluhan panjang saya lepaskan. “Apa yang aku buat ni sebenarnya? Mengapa? I should have just stayed in MRSM..” berputar-putar soalan dan pernyataan berlegar di minda. Saya seperti berada pada jalan buntu. Saya mahu teman-teman hormat pendirian saya. Saya seperti mahu menjerit menyatakan, “Ya, aku tidak bertudung, tetapi aku bukan seperti perempuan-perempuan itu”!!! Dan jeritan dalam benak hati saya itu, bagai melolos ke ruang kepala, bergema-gema, dan Allah swt telah menginspirasi diri dengan mengeluarkan pendapat, “Mungkin aku patut pakai tudung, sebab gadis bertudung tidak pergi ke tempat-tempat seperti itu dan mereka juga lebih dihormati”.

 

Ramadan 2003 merupakan metamofosis kedua dalam kehidupan saya, dari beluncas ke peringkat pupa. Saya mengambil keputusan untuk memakai tudung dan akhirnya berpindah ke rumah sewa lain. Alasan berpindah rumah adalah untuk menjaga diri. Seperti firman Allah swt,

Wahai orang-orang yang beriman! Jagalah sahaja diri kamu (dari melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah). Orang-orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudarat kepada kamu apabila kamu sendiri telah mendapat hidayah petunjuk (taat mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Ia akan menerangkan kepada kamu (balasan) apa yang kamu telah lakukan.

(Al-Maaidah 5:105)

 

Saya masih diburu kebimbangan jika saya tergelincir disebabkan pemilihan kawan yang tidak sesuai.

 

Walaupun alasan saya untuk bertudung berbaur escapism (mengelakkan diri daripada ajakan teman-teman ke kelab-kelab malam), namun dihujungnya saya temui mutiara hikmah. Saya, Alhamdullillah, dihormati sebagai seorang muslimah dan saya juga berasa lebih tenang, lebih dekat dengan Allah swt. Saya simpulkan apabila kita tidak bertudung, kita hilang identiti kita sebagai wanita muslimah. Alhamdullillah tidak ada perkara buruk yang berlaku pada diri saya sepanjang saya lalai menunaikan kewajiban nan satu itu. Bayangkan jika kenderaan yang saya naiki terlibat dalam kemalangan dasyat, saya mati dan mayat saya tidak dapat dikenalpasti samada Islam atau tidak, dan akhirnya saya dikebumikan dengan cara bukan muslim. Naudzubillahi min dzalik. Betapa Allah menjaga saya dari semua keburukan itu. Inilah antara kepentingan bertudung (selain daripada banyak sebab lain kenapa ia diwajibkan) adalah mengekalkan identiti Islam dan kita patut berbangga memakai tudung kerana kita bukan sahaja melaksanakan tanggungjawab tetapi juga mendukung sebuah ayat Al-Quran dalam kita beraktivitas, dan Allah janji dengan memakai pakaian syari’, kita dijaga dan dihormati.

 

Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(Al-Ahzaab 33:59)

 

Semoga Allah mengampuni dosa-dosa saya yang lalu. Ameen.