Perkongsian Pengalaman: “Mekap-mekap ni boleh tak, ustazah?”

NorNur / June 26, 2018, 07:06:21 am

Di bulan Syawal ini, saya menerima pelbagai soalan berkaitan mekap.

“Mekap-mekap ni boleh tak, ustazah? Bukan apa, ustazah, anak cucu saya ni suka pakai mekap, risau saya tengok,” tanya seorang mak cik yang sudah pun bercucu.

“Selagi mekap tu tak berlebihan, bersederhana sahaja, Islam membenarkan. Jangan berlebihan sampai muka asal dah jauh beza dengan muka sebenar. Jangan dedah aurat. Jangan pakai bulu mata palsu. Jangan pakai rambut palsu. Jangan cukur kening, pastu lukis kening baru. Huhu sebab tu kening palsu. Apa-apa yang palsu itu menipu. Islam larang tipu-tipu ni.”

Hadirin mengangguk-angguk. Tiba-tiba ada yang mengangkat tangan.

“Kalau jenama mekap tu saja yang palsu, tak pe ke, ustazah? Nak beli mekap yang ‘ori’ tak mampu. Beli kat pasar malam je la.”

 

Produk Mekap Palsu

                “Bahaya tu! Minta tolong sangat puan-puan jauhi produk mekap palsu. Bahaya!”

Wajah saya bertukar risau. Perkongsian Dr. Rusyainie Ramli di Facebook beliau tentang lambakan produk mekap palsu terus terlintas di ingatan.

“Doktor perubatan sendiri ingatkan jangan sekali-kali beli produk mekap palsu sebab bahaya untuk kulit. Krim-krim muka pun janganlah beli kecuali di farmasi atau kedai kecantikan yang diiktiraf seperti Guardian dan Watson. Boleh rosak muka, kalau silap pakai produk tipu ni. Ada tu, bila pakai, kulit muka jadi sensitif. Ada yang mula-mula, kulit muka okey, tapi bila berhenti pakai, terus jerawat naik macam cendawan. Kementerian Kesihatan Malaysia pun ada keluarkan senarai produk yang mengandungi bahan-bahan terlarang yang berbahaya!”

Saya menunjukkan gambar dan ciri-ciri krim beracun seperti yang saya dapati dalam Facebook Dr. Rusyainie:

 

“Saya memang tiada ilmu pasal mekap sebab tak pakai mekap. Tapi sebab Dr. Rusyainie adalah seorang doktor perubatan dan beliau pun pakai mekap, adalah sikit ilmu saya dapat dengan membaca perkongsian beliau di Facebook. Beliau selalu ingatkan untuk dapatkan produk kecantikan dan mekap di farmasi sebab bimbang dengan lambakan produk kecantikan yang memudaratkan. Islam pun larang kita pakai benda-benda yang memudaratkan.” Saya menambah.

Di sini saya sertakan senarai produk kecantikan yang disahkan mengandungi bahan beracun dan terlarang seperti yang disebarkan oleh Dr. Rusyainie Ramli:

Para hadirin mula mengerutkan dahi. Suasana menjadi riuh sebentar dengan suara jemaah bercakap sesama sendiri. Tiba-tiba ada yang mengangkat tangan untuk bertanya.

“Oh, ya! Ustazah, katalah kita pakai mekap yang original yang beli kat farmasi tu. Mekap-mekap tu tak halang air ka, ustazah? Bimbang air sembahyang tak sampai kulit.”

Soalan baru tersebut meredakan keriuhan sebentar tadi. Kini, tajuk beralih pula kepada perkara yang dapat menghalang air daripada sampai ke kulit.

Penghalang Air

                “Biasanya, sebelum berwudhu’, mereka yang memakai mekap akan membersihkan dahulu mekap yang dipakai menggunakan alat pembersih khas, sama ada menggunakan tisu khas atau pencuci khas. Cara begini adalah yang terbaik bagi memastikan air dapat sampai ke kulit tanpa sebarang rasa was-was. Namun, persoalan timbul, jika ada wanita yang terus mengambil air sembahyang tanpa menanggalkan mekap.”

“Eh, ada ke, ustazah?” Celah hadirin.

“Ada. Manusia ni, macam-macam ada.”

Jawab saya dengan memanjangkan harakat belakang disambut dengan ketawa hadirin.

“Sebenarnya, ada satu cara mudah untuk kita pastikan sama ada sesuatu itu menghalang air daripada sampai ke kulit atau tidak. Caranya, guna tisu. Ambil gincu ke, pelembap bibir ke, atau apa-apa mekap yang kita pakai tu, oleskan di atas tisu, ikut berapa kali kita oleskan ke muka atau bibir. Contohnya, kalau kita sapu gincu tu kat bibir dua kali, sapu juga kat tisu tu dua kali. Kalau 100 kali, 100 kali lah.”

Gurauan tersebut disambut dengan ketawa ramai.

“Lepas tu, titiskan air ke atas olesan tersebut. Kalau air tu menyerap masuk dalam tisu, maknanya gincu ke, pelembap bibir ke, krim ke, bedak asas ke, yang dipakai tu, tidak menghalang air daripada sampai ke kulit. Tapi kalau air tu timbul je, macam air kat daun keladi, maknanya ia menghalang air. Jadi kena pastikan, mekap tu dibersihkan dulu guna pembersih khas. Tak boleh terus ambil air sembahyang.”

Hadirin mengangguk-angguk faham.

“Tapi ingat! Masa eksperimen guna tisu tu, lepas sapu mekap atas tisu tu, titiskan air saja. Jangan pi buka paip, letak tisu tu bawah paip pula. Eksperimen tak jadilah macam tu,” tambah saya lagi.

Gelak-ketawa hadirin menambahkan keceriaan kelas Fiqh Wanita hari itu.

 

Minyak Rambut

“Maaf ustazah, nak tanya pasal minyak rambut pula. Kalau kita mandi wajib, lepas tu, rambut kita masih berminyak sebab ada pakai minyak zaitun kat rambut. Sah tak mandi wajib, ustazah?” Tanya seorang gadis muda.

“Tak sah kot, ustazah. Minyakkan tak boleh larut dalam air.”

“Sah lah. Minyak walaupun tak larut air, tapi tak halang air.”

Saya tersenyum mendengar tekaan-tekaan jawapan daripada beberapa orang.

“Betul, minyak tak larut dalam air. Kain pun tak larut dalam air, kan?” Tanya saya kepada hadirin.

Ada yang tersenyum kerana sudah dapat mengagak jawapan. Ada pula yang masih berkerut kerana tidak nampak kaitan antara minyak dan kain.

“Kain yang kita pakai berkemban masa mandi wajib tu, halang tak air daripada sampai ke kulit?”

Ada yang menggeleng dan ada pula yang menjawab ‘tak’.

“Kain tak halang air sampai ke kulit. Lepas mandi wajib dengan kain yang kita buat berkemban tu, walaupun kain tu ada lagi kat badan kita, sah tak mandi wajib?”

Ada yang mengangguk dan ada yang menjawab ‘sah’.

“Sama juga, minyak zaitun yang kita pakai kat rambut, walaupun masih ada minyaknya selepas mandi wajib, ia tidak menghalang air daripada sampai ke rambut. Larut air atau tidak, tidak menjadi soalnya. Soal yang paling penting, adakah ia menghalang air atau tidak?”

Saya berhenti seketika memandang hadirin di hadapan. Hadirin kelihatan terangguk-angguk. Gadis muda tadi mengangkat tangan.

“Maksudnya ustazah, sama macam kain tidak larut dalam air, minyak pun tidak larut dalam air. Walaupun minyak dan kain tidak larut air, minyak dan kain, kedua-duanya tidak menghalang air daripada sampai ke kulit. Jadi mandi wajib tetap sah walaupun masih ada rasa berminyak pada rambut selepas mandi wajib, kan ustazah?”

“Alhamdulillah, tepat sekali.” Saya tersenyum lebar kepadanya. Gembira kerana yang bertanya sudah jelas akan jawapannya.

“Rasulullah -sallallahu ‘alaihi wasallam- pun selalu pakai minyak rambut. Tiada masalah untuk berwudhu’ dan juga mandi wajib walaupun minyak masih ada pada rambut,” kata saya lagi.

Wanita awal 30-an pula mengangkat tangan.

“Dakwat pen, kuning warna kunyit yang lekat di tangan, warna merah daripada sirap dan lain-lain yang sekadar warna tu, sama macam warna inai kan, ustazah? Tidak menghalang air?”

“Alhamdulillah, betul tu!” Jawab saya sambil mengangkat ibu jari.

Kedengaran bunyi ‘oh’ daripada hadirin dengan harakat yang agak panjang.

“Berbeza dengan ‘liquid paper’, cat, sisik ikan, getah nangka, getah cempedak, dan lain-lain yang membentuk lapisan baru di atas kulit. Bila ada lapisan baru, ia menghalang air. Bila ada yang menghalang air, barulah menyebabkan wudhu’ dan mandi wajib tidak sah.” Saya menyambung semula penerangan.

“Kalau mandi wajib yang tidak sah disebabkan ada sisik ikan, perlu ulang semula tak mandi wajib tu?” Wanita tadi bertanya.

Saya menggelengkan kepala.

“Tidak perlu ulang mandi wajib. Buang atau hilangkan saja sisik ikan atau benda yang menghalang air itu dan basuh tempat yang mana airnya tidak rata tadi. Bagi air tu rata di situ saja. Siap. Sebab mandi wajib, rukunnya cuma niat dan meratakan air ke seluruh tubuh, tiada tertib tertentu.”

Wanita tersebut mengangguk sambil ber’oh’ panjang.

“Kalau wudhu’, ustazah?” Celah wanita lain sambil mengangkat tangan.

“Wudhu’ berbeza dengan mandi wajib. Kalau wudhu’, kena tengok benda yang halang air tu ada di bahagian mana? Kalau di anggota wudhu’, kena tahu juga kat mana? Sebab dalam mazhab Syafi’e, tertib adalah salah satu rukun wudhu’. Jadi, kalau contohnya ada sisik ikan terlekat dekat muka, kena ulang semula wudhu’. Kenapa? Sebab tertib wudhu’ bermula daripada muka. Jelas tak?” Tanya saya sambil memandang hadirin.

Mereka mengangguk-angguk faham.

“Tapi katalah, sebelum ambil wudhu’, kita terpijak sisik ikan, lekat kat kaki sahaja. Lepas siap solat, duduk belek-belek kaki, baru perasan ada sisik ikan lekat dekat tapak kaki. Ha, sah tak solat?” Teka saya pula.

Hadirin menggelang dan ada yang menjawab ‘tak sah.’

“Bagus! Betul, solat tidak sah, wudhu’ pun tak sah. Cuma, wudhu’ wajib ulang semula atau cukup basuh kaki sahaja?” Uji saya lagi.

“Cukup basuh kaki saja, ustazah. Sebab basuh kaki hat ‘last’ sekali, ustazah kan?”

Saya tersenyum mengangguk.

“Bagus,” kata saya.

“Kalau nak ulang semula wudhu’ pun tak pa, ustazah kan? Buat pahala tambahan,” tambah yang lain.

“Betul! Boleh, ulang wudhu’ semula. Sunat hukumnya, tak wajib,” jawab saya lagi.

Hadirin tersenyum sambil mengangguk-angguk faham.

 

Cantik Budi

                Sebelum mengakhiri kelas Fiqh Wanita, saya memuji usaha para doktor perubatan yang berhempas-pulas memberikan kesedaran dan ilmu secara percuma di Facebook mereka. Bagi saya, mereka bukan sahaja cantik dengan wajah yang berseri-seri, malah, sikap mereka yang rajin berkongsi lagi berbudi menambahkan lagi seri dan kecantikan sedia ada. Akhirnya, cantik budi itulah yang dipandang Ilahi.

Saya juga mengajak semua yang mempunyai Facebook untuk mengikuti page Medical Mythbusters Malaysia, Facebook para doktor seperti Imelda Balchin, Sakinah Sulong, Rusyainie Ramli, Erna Nadia, dan rakan-rakan seangkatan mereka.

Saya turut mengingatkan hadirin tentang bahaya produk-produk kecantikan yang dijual sama ada untuk dimakan atau dipakai. Jauhkan diri dan keluarga sejauh-jauhnya daripada membeli mekap di pasar malam dan mekap-mekap yang tidak diketahui statusnya.

“Tu la, ustazah. Risau saya dengan lambakan produk-produk kecantikan ni. Kalau krim yang ada merkuri untuk bagi putih tu, doktor kata boleh sebabkan sakit mental sebab hidu merkuri hari-hari.” Tambah hadirin pula.

Saya mengangguk setuju.

“Senang tak payah pakai mekap-mekap ni. Buang masa depan cermin. Silap pakai, merana, kan, ustazah?” Celah seorang hadirin yang lain.

Saya tersenyum. Teringat saya perkongsian tip-tip kecantikan Prof. Imelda Balchin yang juga tidak gemar memakai mekap mahupun sebarang pencuci muka.

“Terpulang masing-masing. Selagi mekap dan produk kecantikan yang dipakai tidak membawa mudarat dan tidak berlebihan, kita raikan. Cuma kalau Prof. Imelda, beliau memang sarankan cukup dengan gaya hidup sihat. Makan makanan yang seimbang. Amalkan makan ‘suku-suku-separuh’. Senaman 30 puluh minit sehari paling kurang. Apabila peluh keluar, liang roma dekat muka terbuka, buang toksin. Bila dah berhenti berpeluh, cepat-cepat basuh muka untuk buang toksin dan lap dengan kain bersih. Dan senyumlah selalu.”

Saya dan hadirin tersenyum lebar.

 

Akan Datang

Rasanya, cukup dulu setakat ini yang mampu saya tulis dan coretkan untuk tatapan pembaca sekalian. Insya-Allah akan datang, saya akan berkongsi tentang haid dan sains pula. Mohon doa para pembaca dan semoga bermanfaat. ‘Amin, amin ya rabb.’