Perkongsian Pengalaman: Maal Bukan Sekadar Harta

Auni B / April 5, 2018, 19:04:54 pm

18 Mac 2018
6.00 petang

Maktok, Ibu dan aku sedang duduk bersantai di meja makan sambil menunggu waktu makan malam tiba. Maktok sedang khusyuk menaip sesuatu di telefon pintar Samsungnya. Satu demi satu huruf ditaip di atas skrin dengan jari telunjuknya. Kepalanya turut tertunduk sekali. Ibu pula sedang menanda kertas peperiksaan para pelajar tingkatan 5. Aku pula sedang membelek-belek buku Physiological Psychology dengan harapan untuk memahami isinya.

“Ha, esok awak nak pergi shopping dengan Na dan anak-anak pukul berapa?”, tanya Maktok kepada ibuku. Ha ialah nama panggilan untuk ibuku. Na pula merujuk kepada ibu saudaraku, adik Ibu.

“Mungkin dalam pukul 9.30 pagi nak keluar rumah Mak. Kedai-kedai dalam mall kan buka pukul 10 pagi.”

“Okay, kalau macam itu, Ha minta Na datang rumah Mak awal sikit ya esok. Kita sarapan sama-sama, lepas tu Mak nak sampaikan apa yang Mak dapat tentang Maal daripada kelas Ustaz Kariman”.

“Okay, boleh Mak. Nanti Ha beritahu Na,” jawab Ibu.

19 Mac 2018
7.00 pagi

Aku baru sahaja tamat wirid pagi dengan mata yang masih memujuk-mujuk untuk terus lelap. Pada saat aku keluar dari bilik tidurku di tingkat atas, hidungku menangkap aroma yang amat menyelerakan; bau cucur bawang yang digoreng oleh Bibik. Menyelerakan sekali.

Apabila aku turun ke tingkat bawah dan ke ruang makan, piring dan cawan sudah siap diletakkan di posisi masing-masing atas meja makan kayu tersebut. Ada 10 set semuanya. Begitulah rutin di rumah Maktok, persediaan waktu makannya pun terurus; perlu ada alas meja, pinggan dan cawan di tempat masing-masing. Aku hanya tolong ambil sos cili Thai yang ada di dalam peti sejuk memandangkan perkakas lain sudah tersedia.

8.30 pagi

Ibu saudaraku, Cik Na dan anak-anaknya akhirnya tiba juga.

“Hah, makan-makan dulu, nanti sesi perkongsian Maktok pula,” ujar Maktok.

Di hadapan meja makan Maktok, terdapat dua buah papan putih mini yang digantung di dinding. Dulu, dua buah papan putih tersebut digunakan untuk mengajar cucu-cucu dan rakan-rakan beliau bahasa Arab.

Maktok sudah pun siap menulis beberapa poin penting untuk sesi perkongsian beliau nanti di papan putih. Maktok dulu merupakan guru sekolah menengah, malah pengetua juga. Disebabkan itu, kerja-kerja harian beliau amat tersusun, produktif dan efisien. Aku yang masih muda ini pun kalah.

“ Okay Mak, nak mula terus ke makan dulu?”, tanya ibuku kepada Maktok. Aku dan cucu-cucu yang lain masih lagi rancak menikmati cucur bawang yang empuk. Ibu pula sepertinya resah memikirkan masa untuk bertolak ke pusat membeli-belah. Kalau bertolak lambat, ramai orang pula di pusat membeli belah nanti.

“Makan habis-habis dulu. Macam mana nak fokus kalau tengah makan?” kata Maktok.

9.00 pagi

Setelah semua sudah mula berhenti makan, Maktok pun memulakan perkongsian beliau.

“Bismillahirrahmanirrahim. Okay hari ni Maktok nak kongsikan apa yang Maktok dapat daripada pengajian kelas Ustaz Kariman kepada anak-anak dan cucu-cucu semua tentang Maal (مال).”

“مال itu apa, Mak?”, tanya Cik Na.

“Haa orang yang belajar bahasa Arab, apa maksud مال?,” tuju Maktok kepada aku dan cucu-cucunya yang lain yang ambil mata pelajaran bahasa Arab di sekolah.

“Harta, Maktok,” jawabku.

“Betul. Tapi sebenarnya مال ada maksud yang letih luas daripada itu. مال ialah sesuatu yang kita boleh ambil manfaat daripadanya dan mempunyai nilai. Maal bukan hanya duit, tapi apa sahaja yang mempunyai manfaat. Mungkin tidak bermanfaat kepada kita, tapi bermanfaat kepada orang lain.

Sebagai contoh, kotak kosong mungkin tidak bernilai pada kita, hanya sampah. Tetapi bagi orang lain, kotak itu ada nilai dan boleh dijual untuk mendapatkan sedikit wang.

Begitu juga dengan sisa makanan seharian kita seperti kulit-kulit buahan, bahagian sayur yang telah busuk, dan tulang ikan. Semua bahan itu mungkin tidak lagi bernilai pada kita. Namun, nutrien-nutrien yang masih berbaki dalam sisa makanan tadi masih lagi bermanfaat untuk pokok-pokok. Sisa makanan tu boleh dikisar dan diberikan kepada pokok sebagai baja. Jadi, hasil lagi banyak, pokok-pokok pun lagi sihat.”

“Apa lagi barang yang mungkin tak bermanfaat lagi untuk kita, tapi ada nilai untuk orang lain?,” soal Maktok lagi.

Semua cucu hanya diam.

“Haa Arif, apa dia?,” tuju Maktok kepada sepupuku.

“Umm baju?,” jawab Arif.

“Betul, baju pun boleh, yang dah tak muat tapi elok lagi. Nanti balik rumah, kalau ada baju-baju yang elok tapi taknak pakai dah, awak semua boleh bagi kat orang lain.”

Kemudian, Maktok menyambung lagi pengisiannya dengan menceritakan 4 ayat al-Quran yang menyebut tentang orang yang menyalah gunakan مال (71:21, 104:3, 111:2, 92: 11-18) dan 1 ayat al-Quran yang menceritakan orang yang memanfaatkan مال di jalan Allah.

“Okay sebenarnya مال yang kita ada sekarang ialah milik mutlak Allah. Kita, manusia ni hanya diberikan izin untuk menggunakannya.

Bila dihisab di akhirat nanti, kita akan ditanyakan dengan dua soalan yang berkaitan مال . Apa dia soalan tu?,” tanya Maktok sambik melihat wajah anak cucunya.

“Pertama, macam mana kita dapat harta. Kedua, macam mana kita belanjakan harta tu”, sambungku lagi.

“Betul. Untuk kita dapat manfaat dari مال, kita semua kena sentiasa bersihkan hati dan ingat balik bahawa Allah ialah al-Malik. Dia pemilik semua yang ada di langit dan bumi seperti yang Allah sebut dalam surah al- Baqarah. Sentiasa rawat hati kita dengan menyebut innalillahi wainna ilaihi rajiun.

Jadi, itu sahaja yang Maktok nak kongsikan tentang مال. Maktok harap semua anak dan cucu Maktok dapat manfaatkan sepenuhnya مال yang Allah pinjamkan kepada kita sekeluarga. Ingatlah مال yang kita ada bukan sebenar-benarnya milik kita, tapi milik Allah. ”

“Insya Allah, Maktok,” jawab kami beramai-ramai.

“Tahu-tahu je Mak nak cerita pasal مال sebelum kami pergi shopping,”seloroh Cik Na diiringi dengan gelak tawa yang lain.

Lalu, kami pun segera bersiap untuk ke pusat membeli-belah dengan bekalan ilmu baru tentang مال.
—-

Aku kagum benar dengan nenek aku yang sudah berusia 77 tahun ini. Ruang makan boleh dijadikan kelas dan masa makan dijadikan waktu tazkirah. Walaupun kadang-kala jenuh juga mendengar tazkirah setiap kali makan, namun aku tahu aku seharusnya melebihkan syukur. Maaf lah aku bukan malaikat.

Segala butir kata Maktok tadi juga bukan sekadar lantunan kosong, tapi ilmu yang sudah dibumikan dalam kehidupan seharian.

Rumah Maktok sebenarnya menjadi pusat pengumpulan barang-barang terpakai dalam kalangan kelompok rakannya. Antara barang yang selalu didapati ialah baju, buku, perkakas dapur, beg, kasut dan banyak lagi. Kemudian, barang-barang tersebut akan disusun oleh Bibik dan diambil oleh Makcik Fauziah dan suaminya sekali seminggu. Kemudian, mereka akan menjual kembali barang-barang terpakai tersebut di suatu lokasi dengan harga yang murah. Segala keuntungan daripada jualan tersebut akan diberikan kepada golongan yang memerlukan.

Selain itu, berkenaan مال , Maktok juga akan sedaya-upaya mengurangkan sisa makanan di rumah setiap kali waktu makan. Segala kulit buah yang lembut, tulang ikan dan nasi yang sudah tidak elok akan dikumpul dan dikisar bersama dalam pengisar khas. Kemudian, bahan kisaran tersebut akan dijadikan sebagai baja organik kepada tanam-tanaman di sekitar kawasan rumah Maktok. Alhamdulillah, kerap juga kami nikmati hasil tanaman Maktok seperti buah naga, betik, pisang, ulam raja, daun pudina, kacang panjang dan banyak lagi.

Sebelum ini, aku fikir, dengan berjimat semasa berbelanja, aku sudah memenuhi kewajipan terhadap مال .Rupanya aku silap. Masih banyak lagi مال yang aku belum manfaatkan sepenuhnya.