Perkongsian Pengalaman: “Kentut faraj? Macam mana tu, ustazah?”

NorNur / May 16, 2018, 01:05:40 am

“Ustazah, kalau keluar angin daripada depan, batal wudhu’ tak?” Seorang wanita mengangkat tangan bertanya.

“Masa saya solat, kadang-kadang bila duduk tahiyyat akhir tiba-tiba rasa macam keluar angin, ustazah. Cuma bukan kentut biasa tu, tapi kentut faraj. Batal tak solat?”

“Kentut faraj? Macam mana tu, ustazah?” Seorang gadis muda pula bertanya dengan wajah polos terpinga-pinga.

Inilah antara situasi dan soalan yang kerap ditanya sebaik sahaja kelas Fiqh Wanita mula membincangkan tajuk “Perkara-perkara yang membatalkan wudhu’” dengan subtopik: “Keluar sesuatu daripada dua jalan”.

Mufti Wilayah, Dr. Zulkifli al-Bakri juga ada menulis dalam web rasmi beliau di mana beliau menjelaskan dengan terperinci khilaf (perbezaan pandangan) dalam kalangan ulama’ silam yang mana sebahagiannya menganggap kentut faraj membatalkan wudhu’ dan sebahagian lain menganggapnya tidak membatalkan wudhu’. Para pembaca yang ingin melihat sendiri dalil-dalil yang dikemukakan boleh ke pautan ini: http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1248-al-kafi-418-angin-yang-keluar-daripada-qubul-wanita-adakah-membatalkan-wuduk?highlight=WyJrZW50dXQiLCIna2VudHV0JywiLCJmYXJhaiIsIidmYXJhaiJd.

Saya pula lebih cenderung membincangkan isu ini daripada perspektif Sains Perubatan dengan melihat punca asal datangnya ‘kentut’ atau ‘angin’ tersebut. Maklumat ini saya perolehi daripada pembacaan buku “Wanita, isteri dan rahsia seksual” oleh Prof. Emeritus Dr. Mohd Ismail Tambi, facebook Prof. Imelda Balchin dan juga Dr. Erna Nadia yang memuat naik perbincangan berkenaan kentut vagina dalam facebook page Medical Mythbusters Malaysia.

 

Kentut Faraj disebabkan Udara dalam Faraj

“Cuba tengok ni.”

Saya cuba menarik perhatian para pelajar ke arah mulut saya yang sudah dikembungkan. Udara yang sudah terperangkap penuh di dalam mulut itu saya keluarkan. Meniru bunyi kentut. Gema kentut dengan bantuan pembesar suara membuatkan mereka ketawa terkekeh-kekeh.

Saya memberikan penerangan bahawa begitulah apabila seorang wanita itu melakukan pergerakan-pergerakan di dalam solat seperti rukuk dan sujud. Udara daripada luar boleh masuk ke dalam rongga faraj yang terbuka. Apabila udara yang terperangkap dalam faraj itu dihimpit seperti kita duduk atau berdiri, akan terhasillah kentut faraj.

Mari kita perhatikan nota Dr. Erna Nadia:

Vagina ialah tiub berotot, bersifat elastik dan fleksibel. Ia boleh mengembang dan mengempis serta mengandungi udara.

“Puan rasa, kenapa agaknya kentut faraj puan alami kadang-kadang terjadi ketika tahiyyat akhir?” Soalan itu saya tujukan kepada wanita yang bertanya tadi.

“Oh, tu ka udara dalam faraj. Banyak udara mai masuk masa saya sujud kot, ustazah.”

Jawapan itu menyebabkan para hadirin ketawa. Saya pula tersenyum lebar. Ya, nampaknya yang bertanya sudah memahami bahawa faraj wanita mempunyai ruang dan terisi oleh udara di dalamnya. Apabila beliau sujud, lebih banyak udara berpeluang masuk ke dalam rongga faraj. Udara ini akhirnya terhimpit ketika beliau duduk tahiyyat akhir, lalu menghasilkan keadaan seperti keluar angin daripada ‘depan’.

 

Kentut Faraj disebabkan Penyakit

Dr. Erna Nadia menyenaraikan dua sebab kenapa berlaku kentut faraj:
Pertama: Udara normal yang berada di dalam faraj (seperti yang telah diterangkan)

Kedua: Udara yang datang daripada usus.

Sebab pertama tidak berbahaya dan perkara yang normal terjadi (seperti yang telah diterangkan sebelum ini). Manakala, sebab kedua (udara daripada usus) merupakan penyakit yang perlu mendapat rawatan doktor.

Prof. Mohd Ismail Tambi juga menjelaskan bahawa rongga faraj dan rongga usus besar hanya terasing oleh dinding. Jika dinding ini tidak kuat, rongga faraj boleh terjerlus ke usus atau usus boleh terjerlus ke dalam rongga faraj. Maka apabila seorang wanita melepaskan udara daripada usus, ‘angin’ atau ‘kentut’ yang sepatutnya keluar melalui dubur, boleh keluar melalui faraj.

Oleh itu, jika seorang wanita berasa sakit atau ada darah semasa kentut faraj, segeralah berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.

 

Dua Sebab Kentut faraj: yang membatalkan dan yang tidak membatalkan wudhu’

Saya cenderung kepada pendapat ulama’ yang mengatakan bahawa kentut faraj yang disebabkan oleh udara normal yang berada di dalam faraj merupakan kentut yang tidak membatalkan wudhu’, sekaligus tidak membatalkan solat sekiranya ia terjadi ketika sedang solat.

Manakala, kentut yang disebabkan oleh udara daripada usus besar merupakan kentut yang membatalkan wudhu’. Namun, oleh sebab ini merupakan satu bentuk penyakit, maka wanita yang menderitainya mendapat ‘rukhsah’ iaitu keringanan sebagaimana seorang pesakit. Solat boleh ditunaikan dengan berdiri, duduk atau mengiring mengikut kemampuan.

Saya juga cenderung kepada pendapat ulama’ yang memberikan ‘rukhsah’ -keringanan- kepada pesakit seperti ini (sekiranya terdapat ‘mashaqqah’ -kepayahan dan kesukaran- untuk mengambil wudhu’ setiap kali kentut faraj) untuk menjamakkan solat secara ‘tamam’ iaitu solat Zohor ditunaikan empat rakaat dan boleh dijamakkan dengan solat Asar empat rakaat, begitu juga solat Maghrib ditunaikan tiga rakaat dan boleh dijamakkan dengan solat ‘Isya’ empat rakaat.

Namun, jika mengambil semula wudhu’ setiap kali berlakunya kentut faraj itu adalah perkara yang mudah untuk dilakukan, maka perlulah diulangi wudhu’ kerana kentut faraj yang disebabkan udara daripada usus besar itu sama sahaja seperti kentut melalui dubur.

Jadual ini diharapkan dapat menambahkan lagi kefahaman kita:

Soalan Kentut faraj disebabkan udara dalam rongga faraj Kentut faraj disebabkan udara daripada usus besar
Normal atau penyakit? Normal dan tidak berbahaya.

Namun kekerapan terjadinya kentut faraj berbeza bergantung kepada faktor umur, kekuatan otot pelvis dan sama ada sudah atau belum berkahwin.

Wanita yang sudah berkahwin biasanya lebih kerap mengalami kentut faraj (yang normal) berbanding wanita yang belum berkahwin.

 

Penyakit yang memerlukan rawatan doktor.
Adakah membatalkan wudhu’?

 

Tidak membatalkan wudhu’. Ya, membatalkan wudhu’.
Adakah mendapat rukhsah (keringanan) dalam beribadat? Tiada rukhsah. Ya, mendapat rukhsah sebagaimana rukhsah untuk ibadat pesakit.

 

“Ustazah, ustazah madzhab Syafi’e ke ustazah?”

Tersenyum saya mendengarnya. Sememangnya, pendapat di atas agak berbeza dengan pendapat madzhab Syafi’e seperti yang telah diulas oleh Dr. Zulkifli al-Bakri dalam laman web rasmi Mufti Wilayah (saya telah letakkan pautannya di bahagian awal penulisan ini).

Ya, saya bermadzhab Syafi’e. Cuma dalam isu-isu tertentu, saya cenderung untuk memilih pendapat para ulama’ yang disokong oleh Sains Perubatan walaupun bertentangan dengan madzhab Syafi’e.

Saya juga akui bahawa terdapat pandangan yang mengatakan bahawa seseorang itu perlu mengikut hanya satu madzhab untuk mengelakkan kekeliruan dalam ibadat, dan saya hormati pendapat tersebut. Namun, saya cenderung kepada pendapat para ulama’ yang membolehkan seseorang memilih pendapat berdasarkan dalil yang diyakininya walaupun pendapat tersebut berbeza dengan madzhabnya. Ini kerana saya percaya bahawa setiap kita memilih sekadar apa yang kita tahu. WAllahu a’lam.

 

Senaman Kegel

Para doktor menggalakkan kita tidak kira wanita atau lelaki, sudah berkahwin atau belum untuk mengamalkan senaman Kegel (dikenali juga sebagai senaman kemutan) setiap hari. Senaman ini penting bagi menguatkan otot pelvis. Ini kerana otot pelvis bertugas sebagai benteng bagi lubang kencing, lubang faraj dan juga dubur. Kelemahan otot pelvis akan menyebabkan ketiga-tiga lubang itu sukar dikawal. Dengan kata lain, apabila otot pelvis lemah, sesorang mudah terkencing apabila batuk atau ketawa dan mudah pula terkentut sama ada melalui faraj atau dubur. Cara terbaik untuk mengatasi kelemahan otot pelvis adalah dengan mengamalkan senaman Kegel.

“Macam mana nak buat senaman tu, ustazah?”

Caranya hanya dengan mengemutkan faraj seperti menahan kencing atau menahan kentut selama tiga saat dan lepaskan kemutan selama tiga saat. Ulangi proses ini sebanyak 10-20 kali kemutan, tiga hingga lima kali sehari. Boleh dilakukan sambil baring, duduk atau berdiri. Setelah beberapa hari dan senaman kemutan ini dapat dilakukan dengan lancar, bolehlah ditambah kepada lima saat pula, kemudian tujuh saat dan akhirnya hingga sepuluh saat bagi setiap proses mengemut dan melepaskan kemutan. Mudah tetapi perlu istiqamah. Jadi saya cadangkan buatlah senaman ini setiap kali selesai solat fardhu.

“Ustazah, mak saya selalu mengadu terkencing bila batuk. Kalau buat senaman ni, boleh elok tak ustazah?”

Boleh Insya-Allah. Senaman ini sememangnya amat disarankan oleh para doktor dan pakar-pakar perubatan. Cuma untuk merasai kesan positifnya, perlukan masa. Menurut Prof. Ismail Tambi, biasanya selepas 6 minggu diamalkan secara konsisten barulah kesan baiknya dapat diperolehi. Malah, senaman kemutan ini perlu diteruskan dan diamalkan secara istiqamah sehingga akhir hayat.

Mari kita lihat gambar yang dikongsikan oleh Prof. Imelda Balchin di fb beliau:

Gambar di atas menunjukkan bagaimana otot lantai pelvis (pelvic floor muscles) memegang atau menjadi benteng untuk tiga jalan:

Jalan pertama: salur kencing (urethra) -yang merupakan jalan kepada pundi kencing (bladder)

Jalan kedua: rongga faraj (vagina) -yang merupakan jalan kepada rahim (uterus)

Jalan ketiga: dubur yang merupakan jalan kepada usus besar (rectum).

Walaupun para ulama’ silam menggunakan istilah “keluarnya sesuatu daripada dua jalan”, sebenarnya terdapat tiga jalan yang amat berkait rapat dengan batal atau tidak wudhu’ seseorang.

Untuk maklumat tambahan berkenaan tiga jalan tersebut, terutamanya tentang ‘keputihan’ dan ‘air wadi’, boleh pergi ke pautan ini: http://www.langitilahi.com/perkongsian-pengalaman-ustazah-adakah-air-wadi-dan-keputihan-itu-najis-dan-membatalkan-wuie/

Saya juga ada menulis berkenaan air mani wanita di pautan ini: http://www.langitilahi.com/perkongsian-pengalaman-soalan-yang-paling-kerap-ditanya-oleh-wanita-dalam-bab-mandi-wajib/

Insya-Allah, perkongsian seterusnya akan berkisar tentang soalan-soalan yang kerap ditanya oleh wanita berkenaan puasa dan Ramadhan. Apakah hukum memakai gincu dan ‘lip balm’ (pelembap bibir) ketika berpuasa di bulan Ramadhan, hukum merasa makanan kemudian meludahnya dan sebagainya. Mohon doa pembaca semoga penulisan-penulisan ini bermanfaat. Amin, amin ya rabb.