Perkongsian Pengalaman: Kata-kata itu Doa

Anneeza Zainal / March 17, 2018, 13:03:51 pm

Kata-kata itu adalah sebuah doa.

 

Saya teringat akan sebuah peristiwa. Situasinya amat segar di ingatan.

Tahun: 2012, waktu: sekitar jam 5 petang. Kami dalam perjalanan pulang ke rumah dari melawat kakak ipar yang baru kembali setelah seminggu berumrah di Tanah Suci.

 

Perjalanan agak perlahan. Banyak kereta di jalan raya. Suasana di dalam kereta yang pada mulanya riuh dengan suara anak-anak, lama-kelamaan menjadi senyap. Masing-masing tersungkur lena. Mentari masih terik memancar. Silau mata dek sinarnya, saya memperbetulkan kedudukan windscreen.

 

“Kita nak pergi umrah juga ke?” tanya suami, tiba-tiba.

“Erm.. tak pasti la Bang,” jawab saya. Saya fikir ini adalah jawapan paling selamat yang keluar dari mulut seorang surirumah.

“Kita pergi Haji teruslah.” sambung suami.

“Saya setuju,” balas saya, teruja dan kemudian menyambung, “Kita pergi sebelum umur saya cecah 35 tahun, boleh?”

“Erk, 2 tahun untuk kumpul duit, tak sempat rasanya,” berkerut dahi suami mendengar permintaan saya itu.

“Jika begitu sebelum umur Abang mencecah 40 tahun lah,” cadang saya kembali.

“Insha Allah,” perlahan suara suami menjawab.

 

3 tahun kemudiannya, kami berdua berangkat menunaikan fardhu Haji dan Umrah. Tatkala saya berumur 36 tahun dan suami berumur 38 tahun. Alhamdullilah.. Perbualan kami itu ternyata didengari dan diaminkan oleh suara-suara yang tidak kedengaran – “Sebelum umur Abang mencecah 40 tahun.”

 

Antara harapan yang saya titipkan semasa menunaikan ibadah rukun Islam kelima itu adalah keinginan untuk menghafal Al-Quran. Niat itu hadir, kerana saya rasa saya perlu mempersembahkan sesuatu kepada Allah swt. Dia telah terlalu baik kepada saya selama ini. Hampir apa yang saya mahu, malah hajat hati berbentuk keduniaan, Dia makbulkan. Sebagai tanda syukur atas segala kurniaNya, saya mahu menghafal Al-Quran.

 

Aidiladha tahun berikutnya menjelma. Setahun telah berlalu. Ternyata, ada harapan yang masih tinggal sebagai sebuah harapan. – impian untuk menghafal Al-Quran. Menerpa pertanyaan di benak hati, “Mabrurkah haji itu, jika apa yang dijanjikan di hadapan Kaabah bukan sahaja masih tidak ditunaikan, malah tiada usaha ke arah itu? Allahuakbar..”

 

Saya semak kembali impian untuk menghafal al-Quran. “Mesti ada usaha. Mesti ada ikhtiar. Bagaimana hendak dapatkan sagunya, jika ruyung tak dipecahkan,” tekad hati kecil saya. Al-Quran yang sering saya baca, saya renung.

“Tapi tebalnya ni. Boleh ke nak hafal?” muncul pula suatu bisikan melemahkan semangat.

Di suatu sudut, terdapat suara lain yang berbisik, “Sampai bila harus menunggu. Setahun telah berlalu. Berapa tahun lagi mahu pergi berlalu untuk saya mulakan langkah pertama..”

 

Ingat lah akan firman Nya,

Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;

(A-li’Imraan 3:133)

 

Ingat lah akan firman Nya,

Sesungguhnya orang-orang yang sentiasa bimbang disebabkan takut kepada (kemurkaan) Tuhan mereka; Dan orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Tuhan mereka; Dan orang-orang yang tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Tuhan mereka; Dan orang-orang yang memberi apa yang mereka berikan sedang hati mereka gementar kerana mereka yakin akan kembali kepada Tuhan mereka; Mereka itulah orang-orang yang segera mengerjakan kebaikan, dan merekalah orang-orang yang mendahului pada mencapainya.

(Al-Mu’minuun 23:59-61)

 

Dan ingat lah akan firman Nya,

..dan aku segera datang kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Engkau reda akan daku”.

(Taha 20:84)

 

Kata kunci nya adalah Segera! Jangan nanti-nanti.

 

Saya capai Al-Quran tersebut dan selak lembaran demi lembaran. Lalu saya berkata pada diri, “Kena buang perasaan negatif itu. Harus yakin. Lakukan kerana Allah swt.” Al-Quran itu kemudiannya saya dakap erat, sambil terus berbisik sendirian, “Saya mahu ayat-ayat ini dekat di hati- terpahat dan terpateri. Ya Allah.. tolong..”

 

Kata-kata itu adalah sebuah doa. Namun perlu disulami usaha.

 

Strategi disusun. Program yang menawarkan kursus menghafal Al-Quran secara online untuk wanita dewasa, saya cari. Ketemu, namun, saya perlu menunggu. Ramai yang telah memohon, dan mereka juga sedang menunggu. “Rezeki itu ada inshaaAllah. Sementara itu, tahsin kan bacaan dan mantapkan tajwid,” bisik hati memujuk diri.

 

Alhamdulillah, setelah lebih 3 bulan menunggu, pada awal tahun 2017 saya diterima masuk ke program tersebut. Tawaran diterima dengan penuh kesyukuran. Sebuah perjalanan baru untuk ‘seumur hidup’ telah bermula.

 

Setahun telah berlalu. Bermula dengan hanya mempunyai 10 surah di dada, mashaAllah quwataillah billah, kini telah tersemat lebih dari 45 buah surah. Alhamdullillah. Perjalanan masih jauh dan panjang. Namun saya tekad. kaki akan tetap terus melangkah. Berbekalkan istighfar, saya berdoa agar terus istiqamah bersemangat untuk menambahkan storan dan yang paling utama adalah untuk mengulang bacaan hafalan. InshaaAllah.

 

Saya tanam hasrat untuk berjaya menghafal Al-Quran sebelum umur mencecah 45 tahun. Semoga Allah swt memberi kemudahan kepada saya dalam menempuh perjalanan ini. Ameen.