Penyakit Gopoh Yang Merosakkan

Afdholul Rahman Che Ani / September 28, 2017, 07:09:36 am

Di antara sekian banyak penyakit yang menimpa diri kebanyakan kita di zaman teknologi serba maju ini adalah penyakit gopoh.

Barangkali kerana semuanya menjadi terlalu mudah di hujung jari.

Mahu maklumat, google.

Mahu beli barang, buka apps, order dan buat pembayaran. Kemudian tunggu barang sampai rumah.

Mahu makan, order dan nanti ada delivery.

Mahu maklumat tentang hukum fiqh, apa nak buat kalau kereta tiba-tiba buat hal, dan sebagainya, semuanya kini boleh dapatkan di hujung jari.

Perkara yang dahulunya memerlukan usaha dan tenaga, hari ini bertukar menjadi mudah dan jimat tenaga.

Pada satu sisi, ia mungkin memberikan kebaikan. Pada satu sisi lain, ia juga mengakibatkan lahirnya sikap malas, nak cepat dan tidak menghargai apa yang dimiliki diri.

 

Gopoh Yang Merosakkan

Gopoh itu berbeza dengan bersegera. Di dalam Al-Quran, perkataan yang digunakan ketika Allah s.w.t. menggesa ummat untuk melakukan kebaikan adalah wasari’u dan fastabiqu iaitulah bercepat-cepatan dan berlumba.

Tetapi gopoh ini berbeza kerana gopoh adalah ia adalah perbuatan tergesa-gesa dalam keadaan mencuaikan proses dan langkah yang sepatutnya.

Demikian Allah s.w.t. menggambarkan manusia di dalam Al-Quran :

“Sesungguhnya insan itu dicipta dengan tabiat terburu-buru.” [Al-Anbiya’ : 37]

“Dan manusia berdoa dengan (memohon supaya ia ditimpa) kejahatan sebagaimana ia berdoa dengan memohon kebaikan dan sememangnya manusia itu (bertabiat) terburu-buru.” [Al-Isra’ : 11]

Terburu-buru ingin membuat keputusan.

Terburu-buru bila menerima berita melalui media sosial, whatsapp, telegram dan sebagainya, lalu terburu-buru pula mahu menyebarkannya dan membuat kesimpulan awal.

Terburu-buru mahu bersangka buruk terhadap orang lain.

Tergesa-gesa ingin kaya, jual produk-produk yang tidak jelas apa bahannya dan membahayakan orang, tetapi marketing dilakukan kaw-kaw.

Terburu-buru mahu komen sesuatu isu sebelum dapat gambaran dan fakta penuh tentang isu, seolah-olah dialah orang yang paling pakar dalam isu itu dan seakan-akan dialah watak utama yang berada di tempat ketika isu itu berlaku.

Tergesa-gesa ingin nama naik dan famous, lalu buat perkara pelik lalu muat naik di Facebook dan Youtube.

Tergesa-gesa ingin berpasangan kerana ikut-ikutan dan melihat orang lain ada, lalu dia pun ikut melakukan yang sama. Tidak jelas tujuan hidup, tetapi yang penting ada gaya dan style.

Tergesa-gesa tak ada duit, apply personal loan.

إن العاجل لا يكاد يلحق، كما أن الرافق لا يكاد يُسبق، والساكت لا يكاد يندم، ومن نطق لا يكاد يسلم، وإن العجل يقول قبل أن يعلم، ويجيب قبل أن يفهم، ويحمد قبل أن يجرب

Kata Abu Hatim : “Sesungguhnya orang yang tergesa-gesa itu hampir-hampir tidak dapat diikuti, sebagaimana orang yang penuh kasih itu tidak dapat didahului, sebagaimana orang yang diam itu tak akan menyesal, dan orang yang bercakap banyak itu hampir-hampir tidak terselamat dirinya. Sesungguhnya tergesa-gesa itu adalah seseorang itu bercakap sesuatu sebelum dia mengetahui hakikatnya, menjawab sebelum dia faham, memuji sebelum dia mencuba sesuatu.”

Memang banyak perkara dalam hidup ini akan membuatkan kita cepat mahu berikan pandangan kita, tambah lagi di era semuanya boleh ditaip di hujung jari tanpa ada rasa tanggungjawab.

Beberapa zaman dahulu, orang masih ada sedikit reserve untuk beri pandangan dan keluar perkataan bukan-bukan kerana komunikasi harus berlaku secara langsung iaitulah depan-depan. Tetapi hari ini, kerana orang yang kita ‘bercakap’ dengannya itu tidak ada di depan kita pun, lalu kita bebas taip apa saja.

Ia telah mengubah cara komunikasi kita. Dulu kita benar-benar berkomunikasi dengan manusia, maka kita belajar adabnya, caranya, dan hikmahnya. Tetapi sekarang, kita rasa kita berkomunikasi dengan manusia, tetapi hakikatnya cara kita berinteraksi itu sebenarnya merupakan cara kita berinteraksi dengan robot, iaitulah interaksi tanpa hati.

Demikianlah diriwayat sebuah hadith Nabi s.a.w. yang berpesan :

“Terburu-buru itu daripada syaitan.” [HR Baihaqi]

 

Tanamlah Diri Dengan Sikap Al-Anah dan Al-Hilm

Nabi s.a.w. bersabda kepada Asyaj Abdul Qois:

“Sesungguhnya pada dirimu ada dua sifat yang dicintai Allah iaitu Al-Anah dan Al-Hilm.” [HR Muslim]

Asyaj Abdul Qois adalah orang yang kerananya, kaumnya masuk Islam dengan kerelaan dan tanpa paksaan.

Sifat al-anah adalah lawan kepada tergesa-gesa iaitulah teliti, cermat, bersabar mencari hakikat kebenaran serta tidak membuat kesimpulan awal.

Sifat al-hilm pula adalah santun, tidak cepat terpengaruh oleh emosi ketika berfikir dan membuat keputusan.

Beginilah kita sepatutnya berusaha mendidik diri kita.

Bila menerima sesuatu berita, tahanlah tangan kita dari menyebarkannya atau menaip apa-apa sebelum kita tathabbut (mencari dan membuktikan) kesahihan berita tersebut. Diam dan tahan diri kita lebih selamat dari kita memberikan komentar.

Kita tidak perlu jadi orang paling awal pun dalam hal berita-berita ini. Tidak ada keuntungan apapun, tidak ada kemegahan apapun kalau kita tahu lebih awal dari orang. Apatah lagi kalau berita itu satu kepalsuan, ia hanyalah satu kehinaan untuk kita.

Begitu juga dalam hal-hal lain. Belajar dan fahamilah prinsip Islam sebelum kita buat keputusan untuk melakukan sesuatu perkara.

Jangan buat sebab orang lain buat.

Jangan buat sebab nampak best. Orang lain kaya dengan buat benda begitu, jadi kita pun nak buat juga. Jangan. Fikir dosa pahala sekiranya kita kaya atas hasil merosakkan orang lain.

Jangan terburu-buru nak tulis komen, nak maki orang. Sabarkan diri kita dan fikirlah apa manfaat jangka panjang dari perbuatan kita itu.

 

Penutup : Baliklah Kepada Apa Tujuan Tindakan Kita Itu

Setiap perbuatan itu ada tujuannya. Bila kita gopoh buat sesuatu perkara itu, kita nak capai apa sebenarnya?

Mahukan kekayaan? Mahukan nama? Mahukan kepuasan hati? Mahu lepas geram? Mahu tunjuk pandai?

Apa kita nak capai sebenarnya. Kalau ia tidak penting di sisi syara’, maka kita lupakanlah kegopohan kita itu dan belajarlah bersifat lebih cermat dan teliti. Fikir banyak sudut sebelum ambil keputusan untuk melakukan suatu tindakan.

Sesungguhnya ia tidak mengurangkan kebahagiaan kita pun dengan kita tidak melakukan hal itu. Bahkan mungkin kita jadi lebih tak bahagia dan tenang, bila terjadi akhirnya keputusan yang kita ambil itu salah, bawa-bawa mulut kita itu salah.

Nilailah tujuan kita supaya kita tidak melakukan sesuatu yang tidak memberi manfaat untuk akhirat kita, dan juga dunia kita.