Pastilah Kamu Akan Banyak Menangis

Afdholul Rahman Che Ani / June 3, 2017, 00:06:47 am

Lawak dan gurauan itu adalah perencah dalam kehidupan. Hidup tanpa ada lawak dan gurauan itu umpama masakan yang tidak dimasukkan garam. Rasa tidak ada. Tawar dan tidak lemak. Begitulah juga dalam kehidupan, orang yang hidupnya nak strict saja akan susah untuk rapat dengan orang lain. Buat lawak sikit, tak boleh.

Dalam kehidupan kita, ada masa kita perlu bergurau. Kerana kadang-kadang dengan gurauan itu menjadikan orang lebih mudah mesra dengan kita dan kehidupan kita pun menjadi lebih manis.

Tetapi, bukan setiap masa adalah masa untuk kita bergurau dan melawak. Gurauan dan lawak bila berlebihan pula akan mengakibatkan kita ini mudah lalai. Ia umpama garam yang berlebihan dalam masakan. Jadi tidak sedap dan masin pula. Bahkan,  berbahaya untuk kesihatan pula kerana masin sangat.

 

Ada Disiplinnya Kehidupan Ini

Kadang, kita ini berlebihan dan melampau-lampau bila melawak dan bergurau sehingga setiap masa pun kita hendak melawak. Kita sudah tidak tahu hendak menentukan masa mana kita perlu serius, masa mana kita perlu bergurau dan melawak.

Ketahuilah yang Allah s.w.t. tidak menjadikan masa-masa dalam kehidupan ini sebagai suatu mainan atau perkara yang sia-sia. Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Mukminun yang bermaksud :

“Apakah kamu mengira bahawa Kami menciptakan kamu dengan sia-sia dan kamu tidak akan dikembalikan?”

Allah tidak jadikan kehidupan kita ini dengan sia-sia, semata-mata untuk dihabiskan dan dipenuhkan dengan gurau senda dan lawak yang tidak sepatutnya. Ada sesuatu yang perlu diisi dalam kehidupan kita ini selain untuk hanya dipenuhkan oleh senda gurau kita. Allah telah lama mendidik kita agar menjadikan 24/7 kehidupan ini untuk Allah s.w.t. sebagaimana firman-Nya dalam surah Az-Dzariyat ayat 56 yang bermaksud :

“Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada Allah.”

Inilah tujuan daripada kehidupan ini. Kalau kita menyedari betapa setiap masa-masa dalam kehidupan kita ini adalah untuk Allah s.w.t. dan kita akan dikembalikan kepada-Nya suatu hari nanti, pastilah kita akan mengurangkan gurauan-gurauan yang berlebihan dalam hidup kita sehingga mengakibatkan kita menjadi lalai dan hati kita menjadi keras daripada mengingati Allah s.w.t.

Gurau senda dan lawak itu tidak pernah salah. Tetapi yang salahnya adalah bila kitalah yang berlebih-lebihan dengannya sehingga tidak dapat mengawal diri kita.

Bagaimana mungkin gurauan dan lawak senda kita dapat dijadikan sebagai ibadah sekiranya ia melalaikan kita daripada mengingati Allah?

 

Selalu Bergurau Tanda Kita Kurang Serius

Gurau senda yang berlebihan akan mengakibatkan hati kita lalai. Hati yang lalai akan hilang sensitivitinya terhadap perkara-perkara kebaikan dan keburukan.

Bila sensitiviti hati telah hilang, hati kita sangat payah untuk merespon kepada perkara-perkara kebaikan. Bila diajak untuk melakukan kebaikan, dia bergerak lambat sekali dan berat untuk melakukannya. Tetapi dengan perkara-perkara keburukan, hatinya cepat sekali memberi respond an ringan pula tubuhnya bergerak untuk melakukan perkara-perkara keburukan.

Inilah bahayanya gurau senda dan lawak yang berlebihan.

Ia akan mengakibatkan kita ini menjadi orang yang tidak serius dan bersungguh-sungguh dalam kerja dan melakukan kebaikan. Tidak serius dalam hubungan dengan Allah. Tidak serius meninggalkan maksiat.

Penyakit ini kronik dan kalau tidak diatasi, kita akan semakin menjauh daripada Allah s.w.t.

 

Pastilah Banyak Menangis Dan Sedikit Ketawa

Nabi s.a.w. pernah bersada yang bermaksud :

“Demi Allah, kalau kamu tahu apa yang aku tahu sekarang ini, nescaya kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis.” [HR Bukhari dan Muslim]

Nabi s.a.w. pernah melihat syurga dan neraka sewaktu peristiwa Isra’ Mikraj. Di dalam syurga itu ada pelbagai nikmat untuk hamba-hambaNya yang taat tetapi di dalam neraka pula disediakan pelbagai seksaan yang pedih bagi orang-orang yang derhaka kepada-Nya. Orang-orang yang bermain-main ketika di dunia ramai yang menjadi bahan bakar api neraka.

Sewaktu berada di situlah, baru ramai yang mula menyesal dan meminta belas daripada Allah s.w.t. untuk mengembalikan mereka ke dunia supaya mereka dapat sekali lagi beramal soleh.

“Dan sekiranya kamu memerhatikan ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepala di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan hina dan merayu) : Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya, maka kembalikanlah kami (ke dunia) untuk kami beramal soleh. Sesungguhnya kami termasuk orang-orang yang yakin.” [As-Sajdah : 12]

Waktu-waktu begini, tidak mungkin ada lagi peluang kedua untuk pulang melakukan amal kebaikan di dunia kalau ketika di dunia dulu kita hanya mengisi kehidupan dengan bermain-main, senda gurau semata-mata.

 

Penutup : Maka, Kawal Dan Ambillah Sekadarnya

Kehidupan kita ini umpama masakan. Kalau tidak dimasukkan garam ke dalamnya, ia akan tawar dan tidak mempunyai rasa. Kalau dimasukkan garam berlebihan pula, ia akan menjadi masin dan tidak sedap. Maka, apakah yang sepatutnya kita lakukan?

Ambil garam dan masukkan sekadarnya. Pastilah makanan itu akan menjadi sedap dan enak untuk dimakan. Begitu jugalah senda gurau dan lawak jenaka kita.

Ambillah sekadarnya untuk menghiasi sembang-sembang kita, untuk menghilangkan tekanan kita, untuk menarik hati manusia lebih dekat dengan-Nya. Janganlah sehingga lawak itu menjadi kehidupan kita sehingga bila kita bosan, yang kita cari lebih awal adalah lawak jenaka, bukannya Allah taala.

Janganlah pula meninggalkannya langsung, nanti kita ini jadi orang yang payah pula untuk didekati dan disayangi.

Ambil sekadarnya untuk manfaat dunia dan akhirat kita, biar dengan gurauan tidak menjadikan kita semakin lalai, bahkan semakin dekat pula dengan Allah !