Nasrullah

Syeraho / July 5, 2017, 12:07:21 pm

Kerajaan Avalon, Barat.

 

Derap kaki tentera berperisai kedengaran. Ketukan bertalu-talu, sayup-sayup kedengaran hampir setiap kediaman yang ada. Rakyat berada dalam ketakutan. Pihak kerajaan sedang memburu seseorang. Atau lebih tepat, sebenarnya sedang memburu mereka yang dianggap pembelot dan penentang Kerajaan Avalon.

 

“Ayah, jangan tinggalkan saya!”

 

Arturia menangis, merayu. Tangannya memegang kejap lengan ayahnya itu. Herald tidak serba salah mahu mengheret Arturia. Keldron menghela nafas, berat. Dia kemudian berlutut, menghadap Arturia, melihat anak gadisnya itu tepat ke anak matanya.

 

“Arturia,” Keldron menyebut namanya.

 

“Ayah, tolong jangan tinggalkan saya,” Arturia menangis lagi.

 

Mata Keldron turut bergenang. Namun dia harus pergi.

 

“Kau punya anugerah, anakku. Kau mesti hidup, sehingga Avalon ini mendapat keamanan jagat dan keadilan dipulihkan. Sepanjang hidup itu, gunakan anugerah ini untuk melindungi, bukan membunuh,” Keldron memulakan.

 

Arturia menggeleng.

 

“Mengapa ayah tak benarkan saya bersama ayah? Apa guna anugerah yang ayah katakan ini jika saya tak mampu lindungi ayah?” Arturia teresak.

 

Keldron tidak menjawab. Dia kemudian mencapai sesuatu yang tidak terlihat di pinggangnya. Kemudian menghulur tangannya yang kelihatan memegang sesuatu yang tidak kelihatan pada mata kasar, menyuakan kepada Arturia.

 

“Ambil pedang Eterna ini, gunakan untuk melindungi orang lain. Ayah tahu, kamu boleh melihat pedang lutsinar ini dengan jelas,” pesan Keldron seraya bangun dan berdiri tegak.

 

Arturia menggeleng, masih dengan esakannya, enggan melepaskan tangannya dari lengan ayahnya.

 

“Kamu punya anugerah, Arturia. Maka kau harus hidup,” sebelah tangan Keldron bingkas menghentak belakang leher Arturia hingga gadis seusia remaja itu terkulai pengsan. Terpaksa.

 

“Bawa Arturia ke tempat yang selamat,” ujar Keldron kepada Herald.

 

“Mengapa kau tidak membawa pedang Eterna?” tanya Herald. Keampuhan Keldron seperti tiada tolok bandingan, jika digandingkan dengan pedang Eterna yang bisa menjadi lutsinar dibawah sinaran cahaya. Sifat logam khas itu menjadikan pedang itu tidak mampu dijangka lawan serangannya.

 

“Pedang itu bukan sepenuhnya lutsinar. Ia bisa dilihat mata manusia kerana biasan cahaya yang melaluinya. Senjata itu mengikut tuannya. Jika darah yang diingininya, maka darahlah yang akan ditumpahinya. Jika keamanan dan keadilan yang diingininya, maka keamanan dan keadilanlah yang akan diraihnya. Jika pedang itu jatuh ke tangan yang salah, pedang itu akan menumpahkan lebih banyak darah,” balas Keldron.

 

Derap langkah askar semakin jelas kedengaran.

 

“Aku mendoakan engkau pulang dengan selamat, Keldron,” Herald mengujar lagi, meski dia tahu harapan untuk itu begitu tipis.

 

“Pergi.”

 

Pantas, Herald membawa Arturia pergi lekas-lekas dari rumah Keldron. Malam itu menjadi saksi pertempuran antara Keldron dan rakan-rakannya, melawan tirani kerajaan Avalon. Bilangan tidak menyebelahi, yang menentang kerajaan tirani mati dikubur sebagai pengkhianat.

 

*****

 

Kerajaan Avalon, Barat. 10 tahun kemudian.

 

Subuh. Zirah perisai dipakai pada badan. Pedang Eterna siap disisip di pinggang. Zirah muka kemudian dicapai. Kelengkapan perang sudah siap dipakai. Hari itu, akan menjadi hari yang bersejarah bagi Kerajaan Avalon. Hari itu, bakal menjadi peristiwa bersejarah terlakar di dunia. Dia telah bersedia.

 

“Arturia,” namanya dipanggil. Kelibat gadis lengkap berzirah itu menoleh. Seorang lelaki berjubah sederhana, tercegat di tepi pintu.

 

“Herald…,” hanya itu yang meniti. Arturia menunduk, serba salah.

 

“Kau masih mahu pergi?” Herald bersuara, tidak setuju.

 

“Aku harus pergi, demi Avalon,” balas Arturia, teguh.

 

“Rahsia kau akan terbongkar. Dan kau tahu akibatnya apabila Raja Delryn mengetahuinya nanti,” Herald mengingatkan. Arturia menghela nafas.

 

“Hari ini, akan ada 100 kanak-kanak diseludup pergi menjadi hamba dagangan. 100 kanak-kanak yang diculik, diambil secara paksa. Demi masa hadapan mereka, dan demi Avalon,”

 

“Tentera mereka ada ramai, dan kau hanya seorang,”

 

“Bukan masalah bagiku,”

 

Herald mengeluh. Berat hatinya hendak melepaskan Arturia pergi.

 

“Maafkan aku, Herald,” Arturia bersuara, dia tahu Herald tidak meredhai tindakannya.

 

“Aku khuatir engkau tertangkap. Raja Delryn akan membunuhmu,” ujar Herald.

 

Arturia diam. Hatinya diserbu rasa sebak.

 

“Ada ramai ibu bapa yang kehilangan anak-anak mereka, aku tidak sanggup membiarkan mereka merasai kegagalan melindungi orang yang tersayang, seperti aku dahulu,” Herald terdiam. Dia tahu, betapa kecewa Arturia dahulu saat mengetahui khabar ayahnya Keldron pergi meninggalkannya.

 

“Doakan aku, Herald,” Arturia kemudian terus berlalu, meninggalkan Herald tanpa menoleh ke belakang lagi. Herald menghela nafas berat. Dia berdoa agar, Tuhan melindungi Arturia.

 

*****

 

“Ada seseorang datang!”

 

Salah seorang tentera yang bertugas meninjau keadaan memberitahu. Rombongan yang membawa kereta kuda itu diarahkan berhenti.

 

“Siapa?”

 

“Barangkali utusan dari pembesar,”

 

Beberapa orang tentera bersiap-siaga. Bersama seorang Jeneral menanti kehadiran pahlawan yang mampir itu.

 

“Siapa geranganmu yang mampir ke sini?” Jeneral Urgaine melaung kuat.

 

Kelibat pahlawan yang berkuda itu berhenti tidak jauh dari mereka. Jeneral Urgaine tidak mendapati mana-mana ukiran logo rasmi tentera kerajaan pada zirah pahlawan tersebut.

 

“Kau bukan utusan pembesar. Siapa kau dan apa mahumu?” Jeneral Urgaine mengulang pertanyaannya, kali ini menghunus pedang di pinggang.

 

“Lepaskan kanak-kanak yang kalian seludup itu, atau mati!” Arturia membalas. Tersirap darah Jeneral Urgaine mendengarnya, apatah lagi mengetahui rahsia yang tersembunyi di sebalik kain yang melitupi muatan kereta kuda iaitu kanak-kanak yang diculik.

 

“Celaka, kau memang menempah maut!” jerkah Jeneral Urgaine, seiring itu seorang tentera memacu kudanya laju ke arah Arturia.

 

Arturia turut mamacu kudanya ke arah tentera tersebut.

 

“Hiarghhhh!” tentera tersebut sedia memancung dengan pedangnya.

 

Darah memercik.

 

Tentera-tentera di situ terperanjat melihat adegan yang berlaku. Kepala Jeneral Urgaine telah terpisah dahulu dari badannya sebelum dia sempat memancung.

 

“Bila dia…,”

 

Arturia terus memacu kudanya. Keadaan jadi gamat. Kereta-kerata kuda mula dipacu laju ingin meninggalkan tempat tersebut. Arturia terus meluru ganas ke arah musuh. Yang kelihatan dari jauh, ialah musuh-musuh yang dipenggal atau dikelar badannya dengan teruk, lalu terbunuh.

 

“Bagaimana dia menyerang?”

 

Kalut.

 

Panah yang ditujukan kepadanya langsung dihalang. Serangan-serangan dielak pantas. Di tangan Arturia, tidak memegang apa-apa senjata.

 

“Di mana senjatanya?!”

 

Darah bersemburan. Seorang demi seorang dikalahkan oleh Arturia. Beberapa orang tentera mengepung dan menyerang Arturia dari pelbagai arah. Dengan tangkas Arturia melompat, sekelip mata sahaja kepala tentera yang menyerangnya jatuh bergolek.

 

Pergerakan Arturia terlalu pantas hingga sukar dikejar dengan pandangan mata.

 

“Manusia apakah dia ini?!”

 

Arturia lekas mengejar rombongan kereta kuda yang semakin menjauh.

 

“Lekas! Jangan biar dia mendekat!” teriak Jeneral Urgaine, gerun dengan lawannya yang telah menumpaskan hampir kesemua tentera yang bersamanya.

 

“Urghhhh!” darah tersembur dari mulut Jeneral Urgaine, lembing yang dilempar Arturia mengenai dada Jeneral Urgaine tanpa sempat dia mengelak. Lembing yang dilempar begitu kuat hingga kelajuannya mengatasi reaksinya pada serangan itu. Jeneral Urgaine rebah. Tentera-tentera lain lari bertempiaran melihat jeneral mereka gugur, dan pemandu kereta kuda terkocoh-kocoh berhenti dan melarikan diri.

 

Arturia kemudian membuang kain yang menyelubungi kereta-kerata kuda itu, kemudian melepaskan kanak-kanak itu pergi.

 

*****

 

Arturia tiba kembali di Avalon, menyusup di tengah ramai manusia kembali ke rumahnya, bersama penjaganya Herald.

 

“Herald! Aku sudah pulang!”

 

Tiada sahutan. Pintu rumah ditutup. Barangkali keluar, fikirnya.

 

Arturia berjalan menapaki ke arah pintu bilik Herald. Sebaik sahaja dia menguaknya, didapati biliknya dalam keadaan yang berselerak.

 

Jantung Arturia berdebar curiga. Sebaik sahaja dia berpaling, sebiji bom asap memecah masuk ke dalam rumah, meletup melepaskan asap yang banyak. Arturia terbatuk-batuk menghidunya, dia cuba mencari jalan keluar.

 

Teraba-raba, anehnya, pandanganya mulai kabur. Terjelopok.

 

Gelap.

 

*****

 

Cahaya matahari menyilaukan. Perlahan-lahan Arturia membuka matanya. Dia menyedari, dia sudah diikat pada sebatang kayu, di tengah-tengah tempat hukuman dijalankan. Tahulah dia, yang dia sudah ditangkap. Arturia melihat pinggangnya, pedang Eterna masih tersisip rapi. Arturia tersengih kelat. Hari itu, merupakan hari terakhir baginya, bersama pedang Eterna.

 

Loceng besar berbunyi 7 kali, isyarat bahawa hukuman besar akan dijalankan di tengah kota. Rakyat-rakyat berkumpul, di hadapan mereka, pentas dijatuhkan hukuman. Kelibat Arturia diikat pada kayu itu. Bisik-bisik rakyat mula medengaran, hingar-bingar. Raja Delryn bersama pengawalnya tampil ke tempat hukuman.

 

“Rakyat Avalon yang dikasihi, dihadapan ini ialah seorang yang amat berbahaya pada Avalon. Dia, dengan seorang dirinya telah membunuh beratus tentera beta!” Raja Delryn melaung pada rakyatnya.

 

“Beratus tentera, seorang diri?”

 

“Mustahil! Dia hanya seorang manusia!”

 

“Bagaimana seorang manusia mampu membunuh hingga beratus orang tentera?” Raja Delryn melaung lagi. Rakyat Avalon diam.

 

“Kerana dia sebenarnya ialah anak kepada Keldron, pengkhianat negara!”

 

Rakyat Avalon terkejut mendengarnya. Arturia mengetap bibirnya. Hatinya terasa pedih. Keldron, ialah ayahnya. Seorang pejuang di Avalon. Dibunuh kerana sebuah fitnah ke atasnya. Rahsia hubungan darahnya dengan Keldron dirahsiakan, kerana Keldron sudah menjangka sesuatu yang bakal menimpa keluarganya.

 

Keldron dibunuh kerana Raja Delryn gerun dengan kekuatannya. Gerun setelah dia menyaksikan kebolehan Keldron. Dibunuh atas alasan mengkhianat. Dan kali ini, Raja Delryn telah menyaksikan reinkarnasi Keldron pada Arturia.

 

“Kekuatannya pasti akan digunakan untuk menggulingkan kerajaan Avalon yang sudah sedia aman ini!” teriak Raja Delryn, lalu disambut dengan  sorakan segenap rakyat Avalon.

 

Arturia menahan air matanya dari gugur. Meski hatinya bagai disiat-siat.

 

“Laksanakan hukuman!”

 

Seorang pelaksana hukuman mampir bersama pedang besar, yang digunakan untuk memancung. Arturia memejam matanya. Ini pilihannya. Dan dia tahu, inilah yang bakal dihadapinya. Pedang itu diangkat tinggi.

 

“Berhenti!!!”

 

Jeritan Herald membingit. Arturia tersentak. Herald? Dia selamat?

 

Hukuman terbantut. Herald sudah tercegat di hadapan Raja Delryn. Melihatnya, membuatkan Raja Delryn memerah mukanya. Marah kerana dia gagal menangkap Herald dan Herald berjaya meloloskan diri darinya.

 

“Kau! Berani kau munculkan diri setelah apa yang kau lakukan? Setelah kau bela anak Keldron yang akan akan merosakkan keamanan Avalon ini?”

 

“Apa Tuanku sudah buta, dia yang telah menyelamatkan anak-anak Avalon yang diculik pembesar-pembesar kotor di istana Avalon untuk diseludup ke negara lain sebagai hamba. Rakyat sekalian, aku tahu kalian menyaksikan segala perbuatan kotor yang dilakukan pemimpin dan pembesar kita, kalau tidak kerana Arturia, kebobrokan ini akan terus berleluasa, tidakkah kalian semua berfikir?!” laung Herald, sekuat-kuatnya, hingga Raja Delryn jadi murka. Rakyat Avalon mula berbisik sesama mereka. Arturia mula gelisah dengan perbuatan Herald.

 

“Huh, kau maksudkan dia menyelamatkan jasad kanak-kanak yang beta jumpa terbunuh semalam?” lantas Raja Delryn memetik jarinya. Seorang tentera mampir dan menghumban isi karung di tangannya – kepala-kepala kanak-kanak yang diselamatkan Arturia semalam.

 

Arturia dan Herald tersentak. Apa yang sudah berlaku ini?

 

“Inilah penjenayah yang dikatakan penyelamat itu, sebenarnya ialah pembunuh!”

 

Rakyat mulai gelisah. Ada yang sudah meraung menangis, terutama pasangan ibu bapa, lantaran melihat jasad anaknya yang sudah mati.

 

“Ini fitnah!” jerit Arturia. Hatinya remuk, pecah. Kanak-kanak yang diselamatkannya semalam kini dilihatnya hanya tinggal kepala tanpa jasad, berdarah merah gelap.

 

Herald mengetap bibir. Tidak menyangka situasi akan bertukar begini. Tidak menyangka, mereka tergamak memburu kanak-kanak tersebut untuk memfitnah sedemikian rupa!

 

“Tangkap pengkhianat itu!” Raja Delryn mengarah seorang tentera untuk menangkap Herald.

 

“Herald, lari!” jerit Arturia. Namun Herald tidak berganjak. Berkali-kali Arturia menyuruhnya pergi.

 

Sebaik sahaja seorang tentera ingin menahan Herald, terus dia dengan pantas menumbuk tentera tersebut lalu merampas pedangnya. Semua tergamam.

 

“Herald apa yang kau buat ini?!” cemas, Arturia tidak menyangka gerak Herald.

 

Herald pantas menghayun pedangnya, memutuskan tali yang mengikat Arturia. Serentak itu juga, sebilah pedang menembus tegak di dada Herald. Ditikam oleh tentera dari belakang. Darah membasahi pentas hukuman. Arturia tergamam.

 

“Herald!!!” teriak Arturia.

 

Jasad Herald rebah.

 

“La…ri…,” hanya itu yang terkeluar, sebelum dia rebah menemui ajalnya.

 

“Herald! Herald!!” berkali-kali Arturia menjerit, pada jasad yang sudah terpisah dari kepalanya itu.

 

“Herald…,” Arturia menangis, meratap namanya.

 

Beberapa orang tentera mula mendekati Arturia, perlahan-lahan dan berhati-hati, kerana tali yang mengikatnya sudah putus.

 

Kedengaran suara-suara rakyat bersorak.

 

“Bunuh! Bunuh! Bunuh!”

 

“Pembelot harus dibunuh!

 

Celaka!

 

“Demi Avalon! Demi Avalon!”

 

Celaka! Celaka! Celaka!!

 

“Arghhhh!!!” Arturia menjerit, histeria.

 

Pantas, Arturia mencabut pedang Eternanya dan memancung seorang tentera. Kepalanya terpisah dari jasad, darah memercik. Rakyat yang melihat keadaan itu mula menjerit ketakutan. Tentera yang mengepung Arturia semua sudah dihabisi pantas hingga pentas hukuman diwarnai darah merah. Semua berlaku terlalu pantas. Raja Delryn terkejut. Dia lekas-lekas berundur.

 

“Jangan biar dia terlepas!” Raja Delryn menjerit.

 

Tentera-tentera lain yang menyerbu ke arahnya, semuanya dipancung hingga terbunuh. Raja Delryn terperanjat bukan main. Rakyat-rakyat Avalon mula panik. Raja Delryn terkaku, kudratnya hilang. Keangkuhannya sebentar tadi lesap, ketakutan mula menjalar dalam dada. Tentera setia mengelilingi Raja Delryn, meski rasa gerun meresap dalam hati.

 

Arturia mendekat. Para tentera menghunus senjata menghala ke arah Arturia. Masing-masing berjaga-jaga.

 

Seorang tentera menyerang, namun telah dipancung terlebih dahulu.

 

Masing-masing hairan.

 

“Mana senjatanya?”

 

Tangan Arturia tidak memegang apa-apa senjata.

 

“Pedang Eterna! Ia pedang lutsinar!” Raja Delryn menjerit. Dia gementar, dia ketakutan. Pedang milik Keldron yang tidak dijumpainya ketika Keldron dibunuhnya, rupanya telah diserahkan kepada anaknya.

 

“Lalu bagaimana hendak menghadapi serangannya?”

 

ZUP!

 

Sekelip mata, Arturia sudah berada di hadapan pengawal, lalu para pengawal Raja Delryn ditumpaskan tanpa sempat mereka menyerang balas. Raja Delryn terduduk, ketakutan. Wajahnya pucat lesi. Kepantasan yang dimiliki Arturia, melebihi kepantasan manusia biasa, ditambah dengan pedang Eterna yang ditempa dengan teknologi tinggi. Raja Delryn tahu dia tidak akan terlepas. Maut seakan-akan menari-nari di tubir matanya. Dia lantas menangis, merayu minta dilepaskan.

 

Arturia memandang dingin ke arah Raja Delryn. Jasadnya terpalit darah pengawal yang ingin menangkapnya sebentar tadi. Dia mengangkat pedang Eterna itu ke langit.

 

“Aku bersumpah dengan pedang ini, bahawa tidak seorang pun bangsawan dan kerabat diraja keparat dari Avalon ini akan terlepas dari pedang ini!”

 

Dia bersumpah.

 

Pada hari itu dunia melakar tragedi berdarah di Avalon.

 

Seluruh keluarga bangsawan dan kerabat diraja Avalon dibunuh dengan kejam. Tidak ada sesiapa yang  terlepas dari menjadi mangsa pedang Eterna.

 

Arturia sementelahan hilang, membawa diri jauh ke Timur.

 

*****

 

Sempadan Kerajaan Mekhr, Timur.

 

“Arghh!” suara jeritan tentera Nevendaar kedengaran membingit, apabila perutnya dirodok dengan bilah pedang. Rebah.

 

Seorang srikandi, dengan pedang pendek berkembar, bersiap siaga. Nafasnya cungap. Dia seorang, menghadapi ramai tentera Nevendaar seorang diri. Dia sudah terkepung.

 

“Serang!!”

 

Beberapa tentera meluru serang, srikandi itu lincah mengelak serangan sambil membalas. Namun gerakannya semakin lama semakin terbatas, keletihan!

 

“Ahh!”

 

Srikandi itu jatuh. Ada sesuatu yang tajam menusuk belakang bahunya. Srikandi itu pantas mencabut jarum yang ditembak ke bahunya. Terasa ngilu dan kebas.

 

Beberapa orang tentera menyerbu lagi, kali ini pergerakan Srikandi semakin terbatas. Dia sekadar mengelak serangan, tidak mampu lagi membalas.

 

Nafas tercungap.

 

“Hehehehehehhheheh,”

 

Saki-baki tentera yang tinggal tertawa mengejek. Racun yang mengebaskan lawannya itu sudah mula menampakkan kesan. Tubuh srikandi itu semakin sukar untuk digerakkan.

 

“Hiarghhh!”

 

Srikandi itu pantas mengelak serangan itu, namun serangan itu terkena bahu sang srikandi. Srikandi itu terjatuh terjelopok. Badannya semakin hilang daya, nampun dipaksakan untuk berdiri.

 

“Sayang sekali kalau dibunuh, heheh,” seorang tentera Nevendaar bersuara, keji. Srikandi yang dikepung itu mengetap bibir. Nafasnya mengah. Dia tercedera. Tentera Nevendaar sudah mengepungnya.

 

Seorang tentera cuba merangkul dari belakang sang srikandi itu namun dia lantas mengeluarkan sebilah belati dan sempat melukai wajah tentera itu.

 

“Argh!” tentera itu menjerit.

 

“Tak guna!”

 

Sang srikandi itu lantas direntap tangannya, lalu dikunci pergerakannya. Srikandi itu cuba meronta namun tidak mampu melepaskan diri dari cengkaman tangan tentera tersebut. Tentera yang dilukai tadi memandang tajam pada sang srikandi tersebut.

 

“Aku bunuh kau!”

 

Pedang ditujah laju!

 

Tetapi sebelum pedang itu menembusi dada sang srikandi itu, sebila pedang terbang laju kemudian menusuk lengan tentera itu terlebih dahulu. Yang lain terkejut. Sang srikandi turut terpana. Tentera itu menjerit, menggelepar kesakitan.

 

“Berambus,” dingin suara itu.

 

Masing-masing berkalih ke arah pemilik suara itu.

 

“Siapa kau?!” tentera yang bertanya itu tidak menunggu jawapan, lalu terus menyerang kelibat yang baharu muncul itu.

 

Tentera yang menyerang rebah. Menggelepar sambil memegang leher mereka. Serangan kelibat itu langsung tidak kelihatan. Yang lain masih terkejut.

 

“Yahhh!!”

 

Serangan bertali arus itu tidak mengapa-apakan kelibat itu. Semuanya rebah menjadi mangsa serangannya.

 

“Jangan bergerak, atau aku bunuh dia!” tentera yang menahan sang srikandi itu cuba mengugut. Tetapi tangannya menggeletar ketakutan.

 

Kelibat itu tidak tergugah. Dia menapak selangkah.

 

“Kau tidak de….,”

 

Tentera Nevendaar itu tidak sempat menghabiskan kata-katanya. Pergerakan kelibat itu terlalu laju, tikaman telah menyinggah ke dada terlebih dahulu sebelum tentera itu sempat menghabiskan kata-katanya. Seorang lagi tentera ketakutan, dia ingin berlari namun tidak sempat. Dia rebah, bertarung nyawa.

 

Sang srikandi itu melihat kelibat yang menyelamatkannya.

 

“Terima kasih,” ujarnya, sambil tersenyum nipis.

 

Kelibat itu tidak mempedulikannya. Dia berpusing, ingin pergi. Tanpa diduga, tangannya dipegang.

 

“Tunggu…,” sang srikandi itu menahan.

 

Kelibat itu tidak senang.

 

“Apa kau mahu jadi mangsa pedangku jugakah?” tempelak kelibat itu. Sang srikandi itu tidak menunjukkan riak terkejut. Dia kemudian mengoyak senyuman. Kelibat itu jadi aneh.

 

“Saya Rafidah Arsad. Terima kasih kerana menyelamatkan saya. Semoga Tuhan merahmatimu, Arturia,” sang srikandi itu perkenalkan dirinya.

 

Kelibat itu tersentak apabila namanya disebut. Terus dia merentap kembali tangannya yang dipegang Rafidah Arsad. Siapa yang tidak mengenali Arturia yang terkenal dengan kehebatan pedang lutsinarnya? Rafidah Arsad tergamam sebentar, tersedar dia tersilap menegur.

 

Arturia terus melangkah pergi.

 

“Nanti! Tung…,” Rafidah ingin menahannya lagi, namun pandangannya jadi semakin kabur.

 

“…gu,” rebah.

 

Langkah Arturia terhenti, seraya dia menoleh. Rafidah Arsad sudah terkulai rebah. Kesan racun yang terkena pada badannya masih kuat.

 

Arturia menghela nafas berat. Langkahnya tak jadi diatur.

 

*****

 

Arturia masih ingat dahulu.

 

“Kamu memiliki anugerah,” kata Keldron, satu ketika dahulu. Ketika itu dia masih tidak memahami. Arturia memiliki mata yang lebih tajam, dan fizikal yang mampu menjadikannya bergerak lebih tangtas dari manusia biasa.

 

Apa yang dikhuatiri Keldron akhirnya terjadi. Kerana Raja Delryn bimbang kuasanya tergugat, fitnah terpalit pada Keldron lalu dijatuhkan hukuman. Perasaan marah menyelubungi diri Arturia ketika itu.

 

“Kalau kamu membalas dendam, maka apa beza kamu dengan Raja Delryn?” begitu pesan Herald, yang akhirnya dia melupakan dendam itu. Pedang Eterna dikatakan hilang dan tidak akan dijumpai, sedang ia tersimpan rapi oleh Arturia.

 

Namun kemarahannya tidak dapat dikawal lagi, dendam lamanya membara apabila Herald dibunuh dihadapannya. Seluruh bangsawan Avalon menerima pembalasan. Yang tidak bersalah turut menerima bahananya.

 

Arturia membawa diri ke Timur. Meski nyawa mereka yang terlibat dalam pembunuhan ayahnya dan Herald menjadi mangsa pedang Eterna miliknya, hatinya tetap diselubungi rasa marah dan kehilangan.

 

Dia tidak tahu kepada siapa lagi harus dia melempiaskan marahnya. Setiap kali dia bertemu manusia yang berbuat kezaliman, dia akan bunuh mereka kesemuanya. Dan manusia-manusia seperti itu, pasti ada lagi, dan ada lagi, tidak ada sudahnya. Entah berapa banyak manusia sudah maut di tangannya. Dia sudah tidak terkira.

 

“Mengapa? Mengapa Kau ciptakan aku begini, Tuhan?!” Arturia menjerit sekuat hatinya. Jiwanya lelah. Lelah dengan dunia.

 

Arturia menyepak kasar mayat salah seorang perompak yang cuba merompaknya sebentar tadi. Dia beredar dari tempat itu, dan berjalan terus menuju ke arah sungai. Kumpulan perompak itu sememangnya bukan lawan Arturia, seolah-olah seperti kambing yang terjun ke dalam sangkar sang singa.

 

Arturia membersihkan dirinya daripada kesan-kesan darah yang terpalit. Dia kemudian mencapai pedang Eterna lalu dilibasnya sekuat hati dengan rambang, membelah batu-bata yang berdekatan dengan sungai itu, hingga dia keletihan.

 

“Mengapa Kau berikan aku anugerah ini?!” Arturia menjerit ke langit. Melepaskan rasa yang berbalam di hatinya.

 

“Mengapa Tuhan? Mengapa?!”

 

Tiada jawapan. Hanya bunyi unggas dan sang serigala yang berbunyi bersahut-sahutan di tengah rimba itu.

 

“Mengapa…,”

 

Arturia merebahkan dirinya atas tanah, sambil menatap langit yang terbentang di hadapannya. Suaranya tidak lagi kedengaran. Yang ada, hanya suara esakan yang berganti, meratapi hidupnya yang bergelumang dengan darah manusia.

 

“Untuk apa aku memiliki anugerah ini, kalau aku tidak mampu melindungi…,” tangis Arturia mengiringi sebaknya. Dia teringat akan ayahnya, Keldron. Dia teringat akan Herald, penjaganya. Dia merindui dua insan itu. Tetapi mereka telah pergi meninggalkannya.

 

Arturia tenggelam dalam tangisnya.

 

“Mengapa?”

 

Hati Arturia terus menerus menjerit.

 

“Mengapa Kau jadikan dunia ini penuh kerosakan?!”

 

*****

 

Fajar.

 

Arturia terbangun dari tidurnya, terperasan sesuatu. Dia kemudian menoleh ke arah di mana dia merebahkan Rafidah Arsad yang pengsan sebentar tadi.

 

Langkah Rafidah Arsad terhenti tatkala Arturia bingkas berkalih ke arahnya.

 

Arturia menghela nafas lega. Sangkanya, ada musuh yang menghampiri tadi. Rafidah kembali meneruskan langkahnya, menghampiri Arturia yang duduk tidak jauh dari anak sungai itu.

 

Arturia sekadar perhatikan langkah Rafidah yang semakin menghampirinya. Rafidah dilihatnya tidak terganggu sedikitpun dengan kehadirannya walaupun dia telah membunuh tentera yang menangkap Rafidah itu tanpa belas kasihan. Langkahnya tidak kelihatan gentar sikitpun. Seolah-olah dia yakin bahawa tidak ada siapa yang mampu mencederakannya ketika itu. Arturia tidak pasti.

 

“Pergi,” ujar Arturia dingin, mengusir Rafidah yang sudah tinggal beberapa langkah darinya.

 

“Aku hanya ingin berbicara dengan engkau,” Rafidah bersuara.

 

“Aku tidak perlukan teman bicara. Pergi sebelum aku ubah fikiranku dan membasahkan pedangku dengan darahmu,” datar, namun keras amarannya.

 

Rafidah menghela nafas, kemudian mengangguk, akur.

 

“Semoga Tuhan membimbingmu kepada jawapan yang engkau cari dalam hidup ini, dan merahmati perjalananmu,” ujar Rafidah, kemudian berkalih ingin pergi.

 

Arturia tersentuh mendengar doa yang ditutur Rafidah sebentar tadi. Adakah dia mendengar raungannya pada Tuhan malam tadi?

 

“Tunggu,” Arturia kemudian bingkas bangun. Langkah Rafidah terhenti, kemudian berkalih semula ke arah Arturia.

 

“Tuhan yang kau sebutkan itu, siapakah Dia?”

 

Rafidah tidak lekas menjawab.

 

“Dialah Allah, Tuhan yang Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu, tempat bergantungnya segala pengharapan, yang memberi harapan dan tidak pernah meninggalkan hamba-hambaNya,”

 

“Mengapa kau yakin begitu, pada Tuhanmu?”

 

“Maksudmu?” tanya Rafidah kembali.

 

“Bukankah Tuhan yang kau percaya itu, yang membiarkan engkau hampir-hampir dibunuh semalam. Mengapa kau masih memilih untuk percaya bahawa Dia tidak pernah meninggalkan engkau, sedang semalam engkau hampir-hampir dibunuh lalu Dia meninggalkan engkau?” Arturia menghamburkan pertanyaannya.

 

“Kerana aku percaya Dia jualah yang menggerakkan hati engkau untuk menyelamatkanku,” balas Rafidah, tidak gugah. Arturia terjeda sebentar.

 

“Atas dasar apa engkau bekata demikian?”

 

“Maka atas dasar apa engkau menyelamatkanku?”

 

Arturia terdiam. Dia juga tidak mengerti. Selama ini tangannya hanya membunuh sesiapa sahaja yang cuba mengganggunya. Namun semalam, tatkala terlihat Rafidah hampir-hampir dibunuh, dia serta-merta mencampuri urusan itu dan menyelamatkannya. Atas dasar apa? Dia juga tidak mengerti.

 

“Aku hanya seorang pembunuh berdarah dingin yang berkelana dari Barat hingga ke Timur, meragut nyawa sesiapa yang menghalangi aku. Bukan penyelamat yang engkau sangkakan,”

 

“Setiap orang ada kisah pahit masing-masing,” ujar Rafidah, demikian simpulnya.

 

“Apa engkau tidak pernah mendengar kisah sang Arturia?” siapa yang tidak mengenal Arturia? Seorang lagenda dari Barat, yang pernah menumpaskan hampir seratus musuh seorang diri, membunuh seluruh kerabat diraja dan bangsawan Avalon dengan pedang lutsinarnya Eterna. Seorang pembunuh berdarah dingin, yang membawa diri dari Barat ke Timur.

 

“Engkau tetap ialah seorang manusia,”

 

Terdiam, saat mendengar kata-kata itu terluncur keluar.

 

Entah mengapa ia terasa sejuk apabila mendengarnya. Tatkala seluruh dunia yang mendengar kisah sang Arturia dan menggelarkannya pembunuh dingin dan raksasa yang menumpaskan hampir seratus tentera dan segenap bangsawan kerajaan Avalon, insan di hadapannya itu masih menganggapnya sebagai seorang manusia.

 

Dia kemudian tunduk, berfikir sesuatu. Arturia kemudian bersuara;

 

“Tuhan telah memberiku anugerah, kekuatan yang tidak dimiliki manusia lain, tetapi aku tetap tidak dapat melindungi mereka yang aku sayangi. Aku fikir Tuhan sudah tidak pedulikan aku, menciptakan aku dengan anugerah ini lalu meninggalkan aku sendiri di dunia ini,”

 

Rafidah Arsad diam, mendengar setia.

 

Lalu Arturia membuka lembaran kisah duka dalam lipatan hidupnya dahulu. Rafidah Arsad mendengar setia, tanpa mencelah, sedikitpun. Kisah ayahnya, Keldron. Kisah penjaganya, Herald. Kisah pertembungannya dengan tentera Xzar. Hingga ke saat dia membunuh seluruh penduduk Avalon, dan kelananya ke Timur, membawa diri yang duka dan kecewa dengan dunia, dengan Tuhan.

 

“Mengapa yang aku temui, hanya kedukaan dan kesengsaraan?” Arturia mengujar, meluah rasa.

 

Rafidah Arsad diam, tidak terus memberikan sepatah kata sejurus mendengar kisah hidup Arturia. Berat baginya membayangkan, tetapi lebih berat lagi bagi mereka yang menanggung peritnya. Kisah seorang Arturia yang tersebar langsung tidak benar, bahkan penuh dengan cerita palsu dan rekaan manusia. Kisah sebenar seorang bernama Arturia, jauh lebih memilukan bagi mereka yang mendengar.

 

Hening seketika, tiada bicara yang terluah antara mereka. Masing-masing, merenung ke arah lain, berfikir barangkali.

 

“Dahulu…,” Rafidah memulakan bicara. Kali ini Arturia memasang telinga, mendengar.

 

“Ada seorang lelaki yang diangkat Tuhan menjadi Utusan Langit, menyebarkan dakwah agama Tuhan untuk seluruh manusia. Ketika awal-awal seruannya, ramai antara kaumnya sendiri menolak seruannya, Baginda dihina, dikeji, difitnah penyihir, orang gila dan pelbagai cemuhan diberikan. Dipulau oleh kaumnya sendiri.

 

Ayahnya meninggal sewaktu baginda belum lahir. Ibu dan datuknya meninggal pada usianya masih muda. Ketika hampir seluruh manusia menolaknya, dua insan yang disayanginya ketika itu meninggalkannya – pakciknya Abu Talib dan isterinya, Saidatina Khadijah,”

 

Arturia terjeda mendengar kisah itu, seolah-olah nasib yang menimpa insan yang diceritakan itu begitu hampir dengannya. Dia terus menerus tekun mendengar sirah yang dibacakan itu. Matanya tidak lepas memandang Rafidah yang masih bercerita.

 

“Apabila pakcik baginda meninggal, tentangan yang diterima baginda begitu teruk. Sehinggakan, dalam perjalanan baginda pulang ke rumah, baginda pernah dilempar dengan tanah. Baginda tidak membalas. Apabila baginda masuk ke rumah dalam keadaan begitu, anakanda baginda Saidatina Fatimah bantu baginda membersihkannya sambil menangis. Tetapi baginda berkata; ‘Usah menangis wahai anakku, sesungguhnya Allah melindungi ayahmu.’

 

Lalu satu ketika baginda bertolak ke sebuah tempat bernama Thaif untuk berdakwah. Namun di sana, kedatangan baginda ditolak oleh pembesar Thaif lalu baginda dihalau. Baginda turut dilempar batu oleh kanak-kanak dan penduduk di situ hingga baginda berjalan dalam keadaan berdarah,”

 

Arturia tersentak.

 

“Dosa apakah yang dia lakukan hingga dia dilayan sedemikian rupa?” Arturia mencelah, dia benar-benar terkesan akan kisah itu. Hatinya terbit rasa marah.

 

“Dia hanyalah menyeru agar manusia kembali kepada Tuhan,”

 

“Apakah Tuhan tidak mempedulikan utusanNya ketika dia dizalimi sedemikian rupa?” Arturia tampak emosi. Rafidah mengangkat telapak tangan separas wajah Arturia, mengisyaratkan agar dia mendengar dahulu.

 

“Dengarkan hingga habis,”

 

Arturia kembali duduk, dan memasang telinga.

 

“Lalu Allah, Tuhanku, Tuhanmu dan juga Tuhan kepada Utusan Langit itu mengutuskan Jibril kepadanya. Berkata Jibril, Tuhan telah mendengar kesedihannya dan mengutus Jibril kepada baginda, seandainya baginda mahu agar Thaif itu dihancurkan Jibril dengan menimpakan gunung ke atas Thaif,” Rafidah Arsad berdehem sebentar, membuatkan Arturia tertanya-tanya akan sambungan kisah itu.

 

“Akan tetapi, baginda Utusan Langit menolak pelawaan Jibril, lantas menadah tangan seraya berdoa pada Tuhan. Doa baginda; Ya Allah ampunilah mereka, sesungguhnya mereka tidak tahu,” Rafidah Arsad menyudahkan.

 

Arturia terpana.

 

Matahari sudah menyinsing di sebelah timur. Rafidah sengaja membiarkan Arturia berfikir sejenak tentang dirinya, tentang sejarah seorang utusan agung yang pernah menjadi manusia paling berpengaruh di dunia ini.

 

“Bagaimana?”

 

Arturia tidak lekas menjawab.

 

“Mengapa Utusan Langit itu tidak membalas perbuatan penduduk Thaif itu?”

 

Arturia masih tidak memahami. Mengapa?

 

“Kerana untuk mengubah manusia, perlu mengubah hatinya. Bukan menghapuskannya,” balas Rafidah Arsad, lembut.

 

Arturia diam.

 

“Untuk apa Tuhan memberi anugerah ini kepadaku?”

 

Seketika, Rafidah tertawa kecil. Arturia jadi hairan.

 

“Bukankah dengan anugerah itu, maka Tuhan pertemukan kita,” balas Rafidah sambil tersengih. Kening Arturia terangkat, dia lantas menggeleng.

 

“Heh…,”

 

Dia masih tidak mengerti aturan hidupnya yang disusun begitu penuh dengan onak duri. Mengapa, Tuhan mengaturkan hidupnya begini?

 

Mengapa, Tuhan?

 

“Aku mahu kau tahu, bahawa Tuhan tidak pernah sekali-kali meninggalkan kita,” Rafidah bersuara, kemudian mendekat lalu menyentuh lembut bahu Arturia.

 

Matanya dan Arturia bertentangan. Seketika, suasana jadi hening.

 

“Kau, benar-benar manusia yang aneh,” ujar Arturia lantas berpusing. Rafidah sekadar tersengih mendengar komentar Arturia. Namun jauh di sudut hati Arturia, ada perasaan halus yang mengusap hatinya yang selama ini sudah perit dan lelah dengan dunia. Perasaan apakah itu?

 

Arturia menapak, tidak lagi menoleh ke belakang. Dia melangkah, meninggalkan Rafidah.

 

“Aku akan berada di Kota Mekhr. Sekiranya kau mahu mencari teman bicara, cari aku di sana!” Rafidah melaung. Arturia tidak menyahut, dia sekadar melambaikan tangan, isyarat bahawa dia mendengarnya. Rafidah tersenyum sambil menggeleng kepala. Dia kemudian melangkah pergi.

 

Arturia terus lesap dari pandangan Rafidah, menapak jauh. Dalam fikirannya, masih terngiang-ngiang jelas akan kata-kata yang diungkapkan oleh Rafidah Arsad.

 

“Engkau tetap ialah seorang manusia”

 

Hatinya jadi berbalam-balam. Entah mengapa, hatinya semacam berharap pada sesuatu. Berharap satu masa nanti, agar keluh kesah yang mengulit hidupnya akan terusir pergi. Hingga beban dosa lalu terangkat dari diri.

 

Mungkinkah baginya?

 

*****

 

Sepekan berlalu.

 

Semenjak kali terakhir dia bertemu Rafidah, dia lebih banyak mengasingkan diri dan termenung seorangan. Dia tidak lagi seperti dahulu, selalu sakit-sakit dalam hatinya, mendengus marah pada hidupnya, dan merampus pada Ilahi. Kata-kata yang diungkapkan Rafidah selalu bermain di fikirannya. Akhir-akhir ini, semakin kuat dan jelas kata-kata itu.

 

“Aku mahu kau tahu, bahawa Tuhan tidak pernah sekali-kali meninggalkan kita,”

 

Begitu kata-katanya terpahat utuh dalam mindanya.

 

Dia teringat akan Kota Mekhr. Akhir ini, hatinya selalu mampir rasa ingin menjengah ke kota itu, serasa ingin bertemu Rafidah. Mulanya dia tidak mengendahkan rasa itu, namun semakin lama semakin kuat keinginannya.

 

“Tuhan, apakah Kau yang mengilham rasa ini?”

 

Arturia menggumam sendirian.

 

Perasaannya semakin gusar. Bayangan Kota Mekhr itu menjengah mindanya.

 

“Aku akan berada di Kota Mekhr. Sekiranya kau mahu mencari teman bicara, cari aku di sana!”

 

“Heh,”

 

Arturia berhenti. Di hadapannya, tersergam indah sebuah kota.

 

Kota Mekhr.

 

Arturia melangkah masuk ke dalam kota yang penuh dengan manusia itu. Lambat-lambat dia melangkah, matanya menebarkan pandangan ke sekeliling kota itu. Sejenak telinganya menangkap sesuatu bunyi yang beralun harmoni. Arturia memicing pendengarannya, cuba menangkap bunyi-bunyian itu.

 

Bunyi alunan suara merdu.

 

Arturia melangkah ke arah irama yang gemersik itu. Semakin lama, dia semakin jelas mendengarnya, bersama suara yang beralun merdu menyanyi. Arturia bergerak pantas menuju ke arah yang ditujuinya.

 

Langkahnya akhirnya terhenti. Dia berada di sebuah kawasan yang lapang, tetapi ramai dengan kelibat manusia. Tidak jauh dari kawasan itu, di bawah sebuah pohon rendang, dia terlihat seorang lelaki tua, berjubah warna kelabu, sudah lusuh sedikit, bersamanya beberapa orang remaja yang duduk bersama lelaki tua itu. Arturia mendekat perlahan-lahan. Lelaki tua itu begitu asyik dalam alunannya.

 

Arturia tertegun seketika. Lelaki tua itu tidak memainkan apa-apa alat musik, menghabiskan nyanyiannya dengan alunan suaranya yang syahdu. Lelaki tua itu seketika berdiam sebentar, mengambil nafas dalam-dalam. Lalu sekali lagi dia terus mendendang merdu, dan membunyikan alunan merdu hanya dengan suaranya.

 

*Berkali-kali cuba ku hampiri
Garisan penamat usaha
Merentang di depan mata

Oh….
Bertali arus langkah ku tak terus
Garisan ku rasakan halus
Tak bisa ku tembus 

Pemisahnya cuma aku dan doa pada diriMu
Antara putus asa sia-sia atau terus mara membara 

Ohhh… 

Ya Rabbi ya bantulah hambaMu
Ya Rabbi ya luruskan hatiku
Ya Rabbi ya ku pinta hidayahMu
Meneruskan sisa usiaku

Ya Rabbi ya hanya kepadaMu
Ya Rabbi ya tempatku mengadu
Ya Rabbi ya ku pinta rahmatMu
Melimpahi kehidupanku 

Hidup dan matiku semua hanyalah untukMu
Allah Tuhanku Yang Satu

Haa… haa… aaa… aaa… haaa…..

 

Alunan merdu itu membuatkan Arturia begitu asyik mendengarnya. Dia seolah-olah tenggelam bersama bait-bait lagu yang lembut dan memujuk kalbu yang sedang lelah.  Sedari Arturia seorang sahaja tercegat dan tertegun menyaksikan lelaki tua itu, tidak jauh dari mereka yang duduk di hadapan lelaki tua itu.

 

Dia menyedari penduduk di Kota Mekhr ini tidak begitu mempedulikan orang tua itu. Ada yang melepasi orang tua itu, sambil menekup telinga mereka, ada yang menutup telinga dan mata anak-anak mereka. Lekas-lekas mereka membawa anak-anak kecil mereka pergi dari situ. Ada juga yang memasukkan kepala ke dalam baju. Tidak kurang ada yang melihat orang tua itu dengan pandangan yang kasihan, namun tidak pula mendekati orang tua itu. Arturia tidak memahami mengapa. Mengapa lelaki tua itu dilayan sedemikian rupa.

 

“Wahai anak-anakku sekalian, marilah kita semua kembali beriman kepada Yang Maha Berkuasa atas segala-galanya, Tuhan yang esa yang hanya layak disembah,” lelaki tua itu sejurus membuka bicaranya. Arturia terus setia di situ, mendengar.

 

“Wahai anak-anakku yang mendengar, lihatlah alam ini! Lihatlah betapa sempurna aturan alam ini. Tidakkah kita terfikir bagaimana mustahil alam yang diatur sebegini sempurna ini, tiada yang menciptanya? Tentunya ada Tuhan Yang Maha Berkuasa atas segala-galanya,” lelaki tua itu terus berbicara lembut di hadapan beberapa anak lelaki yang duduk setia mendengarnya, meskipun ramai manusia di Kota Mekhr itu ada ramai yang berbisik mengata dan menutup telinga ketika melintasinya.

 

“Hei! Apa yang kamu buat di sini!” seorang wanita tua tiba-tiba sahaja menempik tidak jauh dari kelibat orang tua dan beberapa orang remaja itu.

 

Wanita tua itu lantas menarik telinga seorang remaja lelaki, meronta-ronta anak itu.

 

“Puan, jangan dikasari anak itu. Dia tidak bersalah apa-apa,” orang tua itu bersuara.

 

“Diam kau penyihir! Kau yang menjadikan anak aku begini! Dah ikut mak balik!” wanita tua itu menjerit-jerit sambil menarik lengan anak lelaki yang sudah mengalir air jernih, diheret pergi dari kawanan orang tua itu.

 

“Kalian juga harus pulang, sampai di sini sahaja untuk hari ini,” ujar orang tua itu. Anak-anak lelaki yang lain dengan rasa berat, bersalam dengan lelaki itu lantas berpelukan. Seorang demi seorang, mereka kemudian melangkah pergi.

 

Arturia menyaksikan segala-gala yang berlaku pada hari itu. Sungguh, dia tidak mengerti, apakah dosa lelaki tua ini hingga di layan sedemikian rupa.

 

*****

 

Sudah beberapa hari Arturia melihat orang tua itu dari jauh. Sesekali ada beberapa orang tua yang datang mengheret anak-anak mereka pergi. Kadangkala, ada beberapa ornag pemuda yang datang berbuat kacau. Tidak kurang tempat mereka bertemu itu kadang ditabur najis hingga mereka bertemu di tempat lain.

 

Arturia menyaksikan semua itu.

 

Mengapa lelaki tua ini tidak putus-putus menyeru manusia kepada Tuhan? Meskipun hidupnya tidak pernah dilayan dengan baik oleh manusia lainnya?

 

Hati Arturia menduga-duga.

 

Mengapa?

 

Dia teringat pada kelibat Rafidah Arsad. Arturia tidak memahami, mengapa mereka begitu teguh keyakinan kepada Tuhan yang mereka percaya itu, dan tidak putus-putus mahu mengajak orang lain turut meyakini yang sama. Arturia tidak faham.

 

Mengapa?

 

Soalan itu terus-menerus menerjah akalnya.

 

Siapakah mereka ini sebenarnya?

 

Sedari pada hari itu, Arturia sudah menapak selangkah demi selangkah mendekati lelaki tua itu, setelah pertemuannya dengan beberapa orang anak muda usai berakhir. Hanya dia, yang mendekati lelaki tua itu dari jauh. Entah mengapa. Perasaannya diasak kuat dengan rasa ingin tahu.

 

“Orang tua,”

 

Akhirnya Arturia menegur lelaki tua itu.

 

Lelaki tua itu berkalih pandang ke arah Arturia. Dia melihat kelibat seorang perempuan berzirah tercegat, memandang tepat ke arahnya.

 

“Siapa geranganmu, orang tua?” Arturia bertanya.

 

Lelaki tua itu diam sebentar, kemudian tersenyum.

 

“Nama kita Aduka Fansuri. Anak muda ini bukan dari sini?” balas lelaki tua bernama Aduka Fansuri itu. Arturia menggeleng.

 

“Ada hajat apa ketemu kita ini, anak muda?” Aduka Fansuri bertanya.

 

Arturia merenung tepat ke wajah tulus Aduka Fansuri itu. Tua, tetapi bersih. Seakan ada ketenangan yang mengalir.

 

“Mengapa engkau tidak putus-putus menyeru manusia untuk kembali kepada  Tuhan, orang tua? ” Arturia bersuara.

 

Aduka Fansuri diam sejenak mendengar soalan itu.

 

“Kerana kasih kita pada manusia, alangkah indah kalau kita semua nantinya ketemu di syurga sana, dengan rahmat Tuhan,” balas Aduka Fansuri.

 

“Orang tua, tidakkah engkau merasakan bahawa perbuatanmu itu sia-sia, dan Tuhan telah meninggalkanmu dengan pekerjaanmu itu?” Arturia betah bertanya. Dia sememangnya keliru, akan anehnya manusia seperti Aduka Fansuri itu.

 

Aduka Fansuri tertawa kecil mendengarnya. Arturia merasa aneh.

 

“Ia tidak sia-sia, anak muda. Bahkan Tuhan itu sentiasa di sisiku, anak muda,” Aduka Fansuri membalasnya dengan senyuman.

 

Arturia terjeda dengan keyakinan yang tampak pada Aduka Fansuri.

 

“Mengapa engkau yakin begitu, orang tua?”

 

“Kerana tanpaNya di sisi, tiadalah kekuatan bagi kita untuk menyeru manusia dengan tabah. Tanpa Dia, Tuhanku dan juga Tuhanmu, maka akan berputus asalah kita pada manusia, kerana akhirnya manusia itu tetap ialah seorang manusia, tidak akan pernah kuat berseorangan,” Aduka Fansuri berbicara lembut.

 

Arturia terdiam.

 

“Engkau tetap ialah seorang manusia,”

 

Dia teringat akan Rafidah Arsad jua pernah menuturkan hal sedemikian.

 

“Anak muda,”

 

Kali ini Aduka Fansuri itu memanggilnya. Arturia mengangkat wajahnya, menala ke arah lelaki tua itu.

 

“Engkau mencari Tuhan, anak muda?”

 

Lelaki tua itu bertanya. Arturia diam. Tidak menyahut.

 

“Carilah Tuhan dalam dirimu, anak muda,” Aduka Fansuri menyambung.

 

“Bagaimana?”

 

Arturia tidak mengerti.

 

“Tuhan itu sentiasa dekat di sisi kita. Bukanlah Tuhan itu jauh, tetapi kitalah yang sering menjauh, anak muda. Carilah Tuhan dalam hatimu,”

 

Lembut Aduka Fansuri menutur. Bagi Arturia, lelaki tua itu tidak ubah seperti penjaganya dahulu – Herald. Sentiasa bicaranya penuh hikmah dan lembut menyejukkan.

 

Arturia masih diam.

 

“Anak muda,”

 

Arturia kembali memandang Aduka Fansuri.

 

“Jemput ke teratak kita. Cucu perempuan kita ada di teratak jua, lebih kurang seusia anak juga. Barangkali anak ini lebih selesa jika berbicara dengannya,” Aduka Fansuri mempelawa lembut. Arturia diam sebentar. Berfikir sejenak.

 

“Baiklah,” Arturia menerima pelawaan itu.

 

Aduka Fansuri meneruskan perjalanannya. Arturia menurut jejak langkahnya dari belakang. Mereka berjalan merentas kebun-kebun anggur dan buah-buahan lainnya, milik penduduk-penduduk Kota Mekhr. Mereka akhirnya tiba di sebuah teratak sederhana, tidak besar namun cukup besar untuk tinggal dalam bilangan yang kecil. Tiba di hadapan teratak itu, Aduka Fansuri melaungkan salam.

 

“Assalamualaikum!”

 

“Waalaikumussalam,” kedengaran suara menyahut dari dalam teratak itu. Pintu terbuka, lantas keluarlah seseorang dari teratak itu.

 

Kelibat yang keluar itu terpana sebentar tatkala dia keluar dari teratak itu. Begitu juga Arturia.

 

“Rafidah!”

 

Arturia melaung nama itu.

 

Rafidah tersenyum gembira dengan kehadiran Arturia.

 

*****

 

“Pasti kau terasa sunyi di hutan sana, jadi kau mencariku di sini,” usik Rafidah lantas tertawa.

 

Arturia tidak membalas. Dia sekadar senyum. Dia senang dengan Rafidah. Seolah gundah yang menghambatnya berlalu pergi begitu sahaja.

 

“Tidak jemukah Tuk Fansuri itu menyeru manusia di tengah kota?”

 

Arturia meluah soalan yang terbuku di benaknya.

 

“Mengapa perlu jemu?” Rafidah Arsad memulangkan dengan persoalan.

 

“Seruannya tidak dipedulikan sesiapa. Saban hari Tuk Fansuri itu menyeru menurutmu, tetapi tidakku lihat ramai manusia yang menurutnya. Hidupnya dikasari, dicemuh, tidak jemukah?”

 

“Bukankah dikau manusia yang pedulikan apa yang dikata Tuk Fansuri itu, hingga dikau menjejak ke sini?” Rafidah Arsad membalas.

 

Arturia terdiam. Dia masih lagi keliru.

 

“Manusia boleh menolak apa yang diserukan, tetapi pasti ada yang merasakannya, seperti kamu,” ujar Rafidah Arsad lagi.

 

“Apa yang membuatkan engkau yakin begitu pada Tuhan kalian itu?” Arturia bersuara.

 

Rafidah Arsad tidak lekas menjawabnya.

 

Khali sejenak. Hening mengganti.

 

Rafidah dilihatnya kemudian tersenyum penuh makna.

 

“Manusia yang beriman kepada Allah, semua urusannya dalam keadaan yang baik. Sekiranya mereka menerima sesuatu nikmat maka mereka bersyukur kepada Tuhan, jadilah nikmat itu baik baginya. Sekiranya mereka ditimpa musibah, maka mereka bersabar, dan jadilah musibah itu baik baginya. Aneh bukan, manusia yang beriman kepada Allah, Tuhan Yang Esa ini?”

 

Terpana.

 

Arturia yang mendengarnya, terpana.

 

Inikah, manusia yang dikatakan beriman kepada Tuhan yang bernama Allah itu?

 

*****

 

Kerajaan Mekhr, Timur.

 

Semenjak pertemuannya dengan Aduka Fansuri dan Rafidah Arsad tempoh hari, Arturia selalu mampir ke Kota Mekhr untuk mendengar seruan-seruan Aduka Fansuri di tengah kota, meski sekadar berdiri dari jauh mendengarnya. Dia tidak tinggal di kota itu, dia lebih senang berulang-alik ke hutan dan kota itu kerana dia tidak gemar berada di tengah kesesakan manusia.

 

Dia masih belum benar-benar yakin dengan ajaran dan kepercayaan yang dibawa oleh Aduka Fansuri dan Rafidah Arsad itu. Dia masih belum yakin dengan Tuhan yang didakwa sebagai Allah itu, ada dan sentiasa ada, bersama hamba-hambaNya. Datangnya mendengar, dan dia ingin lihat sendiri bagaimana natijah dakwah yang mereka bawa itu.

 

Arturia bangkit dari pembaringannya. Dia lantas membasuh muka dan membersihkan diri. Seawal pagi itu, dia kemudian bergerak, ingin menuju ke Kota Mekhr. Mengulangi rutinnya. Mendengar apa yang dikatakan oleh Aduka Fansuri. Sambil dalam hatinya meski tidak mendakap seruan itu, tetap berdoa pada Tuhan;

 

“Ya Tuhan, jika benar maka tunjukkanlah kepadaku jalan,”

 

Begitu doanya saban hari.

 

Hari-harinya begitu berharap agar Tuhan menunjukkan kepadanya, erti kewujudannya di muka bumi ini.

 

Arturia akhirnya tiba di Kota Mekhr. Namun hari itu di bahagian pintu utama kota, kelihatan para pengawal sedang mengawal ketat perjalanan keluar masuk setiap orang yang melaluinya. Seolah-olah sedang mencari penjenayah. Arturia melangkah lambat-lambat, memasuki kota itu.

 

“Kamu,” panggil seorang pengawal. Arturia berhenti seraya menoleh.

 

“Kamu penduduk sini?” tanya pengawal itu.

 

“Bukan,”

 

“Kamu bertuah hari ini, kerana hari ini kamu akan dapat menyaksikan hukuman bunuh dilaksanakan ke atas dua orang penyihir,” ujar pengawal itu, kemudian tertawa kecil.

 

“Apa yang penyihir ini telah lakukan?”

 

“Dua orang penyihir itu tidak henti-henti cuba memporak-perandakan keamanan Kota Mekhr ini, mencarik kesatuan dan memecah-belahkan rakyat kota ini. Kamu jangan dengar apa-apa pun daripadanya, kerana kata-katanya ibarat sihir, mampu memisahkan anak dari ibu bapanya, antara adik-beradik dan antara isteri dengan suaminya. Bicaranya tidak henti-henti menyuruh kembali pada Tuhan. Aku fikir mereka itu hanyalah orang yang gila,” panjang lebar pengawal itu bercerita seraya tertawa bersama temannya yang lain.

 

Arturia terdiam.

 

“Di mana dua penyihir yang dikau maksudkan ini?” Arturia seraya bertanya. Hatinya berdebar.

 

“Di tengah kota, menanti hukuman dijatuhkan,” balas pengawal itu.

 

Arturia terus berlari meredah kesesakan kota itu. Hatinya berdetak kencang. Kala ini dia teringat akan Keldron, akan Herald, yang dahulunya dijatuhkan hukuman kerana fitnah. Dan kali ini, dia terbayang pula wajah temannya. Wajah bersih seorang lelaki tua.

 

Rafidah Arsad. Aduka Fansuri.

 

Arturia lekas-lekas meluru ke tengah kota, yang sudahpun dikerumuni ramai orang, menunggu hukuman dilaksanakan. Hati Arturia jadi resah dan gusar sekali. Jantungnya seakan dirabak apabila melihat kelibat dua manusia diikat dan kaki mereka digari dengan bebola besi yang besar dan berat. Dua manusia itu ialah, seorang lelaki tua dan seorang lagi seorang perempuan yang dikenalinya. Aduka Fansuri dan Rafidah Arsad.

 

Di hadapan mereka, ialah sebuah lubang parit yang besar dan dalam, api yang besar marak menyala-nyala hingga ekor apinya menjulang keluar dari lubang itu. Pesalah akan ditolak masuk ke dalam lubang parit itu, dibakar hidup-hidup.Jantung Arturia jadi gemuruh. Tangan Arturia menggenggam erat tangannya, hingga menggigil-gigil menahan rasa.

 

Apa semua ini?!

 

Hati Arturia diamuk marah. Nafasnya seakan menderam marah. Arturia mengetap bibirnya.

 

Gong berbunyi. Seorang lelaki tampil ke hadapan. Lengkap berzirah. Dia ialah Panglima Raden Anglika, pelaksana hukuman. Zirahnya bertatah lambang yang dikenali. Lambang Kerajaan Nevendaar.

 

“Penduduk Kota Mekhr sekalian! Adalah di hadapan kalian ini, dua orang penyihir yang seringkali mengganggu-gugat keamanan Kota Mekhr dengan ajaran sesatnya. Orang tua bernama Aduka Fansuri dan cucunya ini telah banyak membuat onar di kota ini. Ketahuilah kata-kata manis tentang agama Islam ini tidak lain hanya pendustaannya untuk meraih kuasa dan kekayaan. Demi Kota Mekhr, hukuman bakar hidup-hidup akan dijalankan!”

 

Gong berbunyi lagi. Seluruh penduduk Kota Mekhr berbisik sesama mereka.

 

Arturia hampir tidak tertahan lagi mendengar perbicaraan yang melampau itu. Pedang Eterna hampir sahaja dihunusnya. Tangannya menggeletar, menahan amarah.

 

Ya Tuhan, apakah Kau telah meninggalkan mereka?!

 

Hati Arturia sakit menjerit, jiwanya bengkak.

 

“Laksanakan hukuman!”

 

Pedang Eterna sudah siap dihunus.

 

“Hentikan!”

 

Suara jeritan yang kuat itu mengalih perhatian hampir seluruh penduduk di situ. Hukuman terbantut. Suara itu turut menarik perhatian Aduka Fansuri dan Rafidah. Arturia tidak jadi menggunakan pedang Eterna, tersentak dengan jeritan itu. Pemilik suara itu mampir, tercungap-cungap.

 

“Siapa dia?” penduduk kota tertanya-tanya.

 

“Utusan raja?”

 

“Bukan, tiada pengawal yang mengiringinya,”

 

“Dia hanya rakyat biasa,”

 

“Gerangannya?”

 

“Daeng Mulya, pemuda yang tinggal di hujung kota,” seorang penduduk beritahu.

 

Panglima Raden Anglika berkalih menghadap pemuda bernama Daeng Mulya itu.

 

“Anak muda, apakah engkau ini sudah tidak sayangkan nyawamu?” suara Panglima Raden Anglika memetir. Daeng Mulya menghela nafasnya.

 

“Wahai penduduk kota Mekhr! Ikutilah barang seruan yang datang dari utusan yang ditangkap itu. Ikutlah orang yang tidak meminta imbalan suatu apapun dari apa yang diserukannya, kerana mereka benar-benar orang yang mendapat petunjuk!” Daeng Mulya bersuara lantang. Seluruh penduduk Kota Mekhr jadi gamam.

 

“Wahai saudaraku! Bahawa tidak ada alasan bagiku untuk tidak menyembah Allah yang telah menciptakanku dan kalian, dan hanya kepada Allah sahaja akan kita kembali. Dan mengapa pula aku hendak menyembah Tuhan selain Allah?

 

Seandainya Allah menghendaki bencana terhadapku, sudah pasti pertolongan tuhan-tuhan lain dan sesiapa sahaja selainNya tidak berguna dan mereka sama sekali tidak akan dapat menyelamatkanku!”

 

Arturia tersentak mendengar bicara itu. Seolah-olah, kata-kata itu seakan menampar dirinya.

 

“Sesungguhnya jika aku menyembah Tuhan selain Allah, sudah tentu aku berada dalam kesesatan yang nyata. Sesungguhnya aku telah beriman kepada Allah, Tuhan Yang Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu, maka dengarkanlah pengakuanku ini!”

 

Arturia terjeda mendengar kata-kata yang meluncur laju dari mulut Daeng Mulya itu. Gamatlah seluruh Kota Mekhr mendengar seruan lantang Daeng Mulya itu.

 

“Tangkap dia!” Panglima Raden Anglika berteriak.

 

Daeng Mulya ditangkap oleh para pengawal di situ. Sebahagian penduduk kota Mekhr mula menghambur suara, mempersoalkan tindakan Panglima Raden Anglika. Suasana jadi bercelaru.

 

Arturia masih terpacak kaku, masih lagi terkesan dengan kata-kata Daeng Mulya sebentar tadi. Masih kata-kata pemuda itu, menerobos ke jantungnya.

 

“Mengapa? Mengapa lelaki ini tidak gentar maut mempertahankan agama Islam ini?” Arturia masih tenggelam dalam persoalan itu.

 

“Apa yang membuatkan lelaki ini begitu yakin padaMu, Tuhan?” Arturia masih lagi bingung.

 

“Seandainya Allah menghendaki bencana terhadapku, sudah pasti pertolongan tuhan-tuhan lain dan sesiapa sahaja selainNya tidak berguna dan mereka sama sekali tidak akan dapat menyelamatkanku!”

 

Kata-kata lelaki bernama Daeng Mulya itu menjengah.

 

“Ergh…,” Arturia terlutut.

 

Bisa.

 

Kata-kata itu berbisa baginya.

 

Arturia bangkit perlahan-lahan. Dari jauh dia lihat, Daeng Mulya sudah dibelasah dengan teruk oleh para pengawal yang menangkapnya.

 

“Apa dosanya hingga dia dibelasah sedemikian rupa?”

 

“Apakah percaya kepada Tuhan itu satu kesalahan?”

 

“Apa benarkah mereka itu penyihir?”

 

“Usah jatuhkan hukuman tanpa perbicaraan!”

 

“Lepaskan mereka!”

 

Penduduk Kota Mekhr mula bergelojak, bersuara lantang mempertikaikan perbuatan Panglima Raden Anglika. Arturia jadi tergamam dengan perubahan mendadak ini. Sebentar tadi, tiada siapa yang mahu membela Aduka Fansuri dan Rafidah yang diikat di hadapan itu. Tetapi selepas Daeng Mulya ini hadir…

 

Keadaan semakin riuh. Panglima Raden Anglika mengerah seluruh pengawalnya menangkap sesiapa yang berdiri membela pesalah. Arturia terus menyusup ke arah Daeng Mulya yang dilihatnya sudah nazak. Dia melihat Daeng Mulya tersekat-sekat nafasnya. Dia cuba berkata sesuatu. Arturia melutut di sebelahnya, cuba mendengar butir bicaranya.

 

“Al… alang… alang…kah… ba…ba..gus… kira… kiranya… me… mereka… ta.. tahu…,” Daeng Mulya menghembuskan nafas terakhirnya, sebaik sahaja nama ‘Allah’ meluncur dari mulutnya.

 

‘Alangkah beruntungnya kiranya mereka tahu’

 

“Kamu!”

 

Arturia mengalihkan pandangannya ke arah pentas hukuman.

 

“Apa kamu beriman dengan Tuhan penyihir Aduka Fansuri ini?!” Panglima Raden Anglika bertanya garang.

 

Sang ibu diam. Wajahnya pucat lesi.

 

“Lepaskan ibu dan anak itu serta yang lainnya, mereka tidak bersalah!” laung Aduka Fansuri.

 

“Diam!” seorang pengawal menumbuk wajah Aduka Fansuri. Wajah lelaki tua itu tersungkur menyembam tanah. Rafidah cuba melawan, namun pergerakannya yang terkunci menyebabkan dia tidak mampu bergerak.

 

Arturia memandang kelibat ibu dan anak yang ditahan pengawal, berdiri betul-betul di hadapan api yang marak menjulang itu.

 

Tuhan, apakah Kau akan menyelamatkan mereka?

 

Hati Arturia berdesis.

 

“Lekas jawab! Pilihanmu, akan menyelamatkan nyawa anak kecilmu itu,” Panglima Raden Anglika bermain muslihat. Sang ibu terketar, lidahnya bagai terkunci.

 

“Wahai ibuku, yakinlah pada janji Allah. Sekiranya sang syaitan itu datang menjadikanmu ragu, maka berlindunglah kepada Allah!” anak kecil itu bersuara.

 

Sang ibu tersentak. Mendengarnya Panglima Raden Anglika jadi merah mukanya.

 

“Saksikanlah, bahawa aku ini seorang muslim!” Sang ibu bersuara yakin sambil memeluk anaknya.

 

“Tolak mereka!” jerit Panglima Raden Anglika memberi arahan.

 

“Argh!”

 

Dua orang pengawal yang mengawal sang ibu dan anak itu menggelupur, lehernya dikerat. Masing-masing terkejut.

 

“Arturia!” Rafidah menyeru namanya, tatkala dia lihat sang ibu dan anak itu telah diselamatkan oleh Arturia yang bertindak laju, mengangkat mereka berdua dari terjatuh ke lubang api itu. Sang ibu dan anak itu segera disuruhnya lari dari tempat itu. Arturia menghela nafasnya.

 

Tuhan, kerana inikah Kau sentiasa mengilhamkanku ke sini?

 

Hati Arturia berdesis lagi.

 

Belum sempat Panglima Raden Anglika memberikan arahan, Arturia sudah melompat tinggi, lantas pedang Eterna miliknya mengelar rakus leher para pengawal berhampiran pentas pengawal itu. Masing-masing tergamam dengan kehadiran Arturia. Tali dan rantai yang menggari Aduka Fansuri dan Rafidah dipotong. Aduka Fansuri yang sudah lemah itu didudukkan Rafidah Arsad pada tiang tempat mereka diikat sebentar tadi.

 

“Nampaknya aku terhutang banyak nyawa denganmu,” Rafidah bersuara. Dia lantas mencapai pedang dari jasad pengawal yang terlantar tidak jauh darinya. Dia bersiap sedia untuk berlawan sama.

 

“Undur, jaga keselamatan Tuk Fansuri itu,” Arturia berpesan, serius. Melihat keseriusan Arturia membuatkan Rafidah akur, lantas bersiap-siaga di sisi Aduka Fansuri.

 

Arturia sedia hunus pedang Eterna miliknya. Masing-masing berjaga-jaga.

 

“Demi Tuhan, pemilik seluruh alam semesta ini, sekali-kali tidak akan kalian dapat sentuh mereka selagi aku masih berdiri teguh bersama pedang ini!” Arturia bersuara lantang. Masing-masing kehairanan.

 

Di mana pedangnya?

 

Tangan Arturia kelihatan memegang sesuatu, namun kelihatan tidak memegang apa-apa. Melihat itu Panglima Raden Anglika tersedar siapa yang mereka hadapi ini, ternyata bukan calang-calang manusia.

 

Seorang pembunuh yang dahagakan darah yang membawa diri ke Timur.

 

“K… kau… Arturia!” tergagap Panglima Raden Anglika melaungkan nama itu.

 

Rasa gerun menerjah dadanya. Kisah sang Arturia meranapkan seluruh tentera kerajaan Xzar dan membunuh seluruh penduduk Avalon seorang diri ketika pertama kali didengarinya, dianggapnya tahayul. Apatah lagi hendak mempercayai wujudnya pedang yang lutsinar di bawah sinaran cahaya. Namun kali ini, sang Arturia berdiri tegak di hadapannya.

 

Para pengawal yang berada di situ mula berpeluh sejuk. Ada yang menggigil. Masing-masing teringat akan kisah sang Arturia yang terkenal dengan pedang lutsinarnya – Eterna.

 

“Arturia! Seorang lagenda yang berkelana dari Barat ke Timur, yang telah meranapkan seluruh bala tentera Xzar dan negara Avalon seorang diri, bahawa kamu nyata seorang yang paling berkuasa di atas muka bumi ini, mengapa memilih untuk melindungi mereka yang tidak kau kenali itu, yang nyata darjat mereka jauh berbeza dari kemuliaan yang kau ada?” Panglima Raden Anglika melaung.

 

“Apakah makna kuasa yang aku ada sekiranya aku tidak mampu melindungi?” tempik Arturia kembali. Panglima Raden Anglika tersentak.

 

“Bahawa orang ini sesungguhnya telah menunjukkan kepadaku, bahawa sekuat mana kekuatan yang ada padaku, yang paling berkuasa itu hanyalah Tuhan yang telah menciptakan diri ini, Tuhan Yang Maha Berkuasa atas segala-galanya. Sedikitpun kekuatan yang ada padaku ini tidak mampu memberi manfaat atau mudarat, kecuali dengan izinNya,” laung Arturia.

 

“Celaka!” jerkah Panglima Raden Anglika. Pedangnya sudah terhunus.

 

“Barangsiapa yang ingin isterinya menjadi janda, anaknya menjadi yatim, atau ibunya berkabung tanpa henti, nah marilah berhadapan denganku!” Arturia memutar-mutar pedang Eterna di tangannya, namun tiadalah ia kelihatan oleh mata kasar manusia lainnya.

 

Para pengawal tidak berganjak, masing-masing ketakutan. Panglima Raden Anglika sendiri ketakutan.

 

“Sudah! Kita pergi dari kota ini!” Panglima Raden Anglika lantas mengarah keluar tentera Nevendaar yang memenuhi Kota Mekhr itu.

 

“Satu hari nanti, kau akan menyesal!”

 

Panglima Raden Anglika sempat menghambur marahnya. Dia tidak dapat menafikan bahawa dia gerun berhadapan dengan sang Arturia meskipun dia keseorangan. Tentera Nevendaar pimpinan Panglima Raden Anglika beredar keluar dari Kota Mekhr.

 

Selama ini, Kota Mekhr merupakan salah sebuah kota dagang dalam Kerajaan Mekhr. Tetapi tentera Kerajaan Nevendaar yang gila kuasa itu datang dan menjadi penguasa di kerajaan kecil ini. Maka datanglah kemudian Aduka Fansuri berdakwah di situ.

 

“Allahuakbar! Allahuakbar!” penduduk Kota Mekhr yang beragama Islam lantas melaungkan takbir berkali-kali.

 

“Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah, nabi Muhammad itu utusan Allah!” beramai-ramai, penduduk Kota Mekhr mengucap syahadah. Peristiwa yang berlaku di hadapan mata mereka, membuka mata mereka untuk melihat kebenaran.

 

“Allahuakbar!” Rafidah mengucap sendirian, tatkala ini dia teringat ketika mana Tuhan firmankan kepada sang Utusan Langit;

 

إِذَا جَآءَ نَصۡرُ ٱللَّهِ وَٱلۡفَتۡحُ ١  وَرَأَيۡتَ ٱلنَّاسَ يَدۡخُلُونَ فِي دِينِ ٱللَّهِ أَفۡوَاجٗا ٢ فَسَبِّحۡ بِحَمۡدِ رَبِّكَ وَٱسۡتَغۡفِرۡهُۚ إِنَّهُۥ كَانَ تَوَّابَۢا ٣

 

“Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan. Dan engkau melihat manusia berbondong-bondong masuk agama Allah. Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu  dan mohonlah ampunan kepadaNya. Sungguh, Dia Maha penerima taubat.” (surah an-Nasr)

 

“Subhanallah, walhamdulillah, astghfirullah,” demikian dilafaz Rafidah.

 

Atas pertolongan Tuhan. Atas janjiNya yang tidak pernah dimungkiri. Dan beristighfar memohon ampunanTuhan, atas perasaan-perasaan lemah dan putus asa, perasaan tidak sabar, perasaan mengeluh terkilan kerana merasa lambat pertolongan Allah ini akan hadir, dan dihindar dari rasa sombong dan takbur selepas menerima kemenangan.

 

Arturia menyarung kembali pedang Eterna ke dalam sarungnya.

 

Buat pertama kalinya, hari itu, pedang Eterna melepaskan musuh-musuh yang dihadapi oleh sang Arturia. Dia tidak lagi membunuh dengan sewenang-wenangnya.

 

Dengan kuasa manusia boleh melakukan apa sahaja. Tetapi kuasa itu akhirnya akan tunduk jua pada Yang Maha Berkuasa atas segala-galanya.

 

Sejak dari itu, pedang Eterna tidak lagi dihunus untuk membunuh.

 

Sang Arturia menghunusnya, untuk melindungi.

 

*****

 

Arturia berdiri, tercegat di bawah pohon yang mana dahulunya tempat Aduka Fansuri berbicara gigih meski tidak disukai manusia. Di situ dia melihat bagaimana manusia-manusia yang percaya kepada Tuhannya, hari ini Tuhan telah memakbulkan janji-janjiNya.

 

Dalam masa yang sama, hatinya turut terasa sayu. Dia terkenang ayahnya dan penjaganya. Masih segar lagi bagaimana tegasnya Keldron mendidiknya, dan Herald yang tidak jemu-jemu memberinya nasihat. Dia terkenang Avalon, negara asalnya itu. Bagaimana dia menumpah darah, dan dia meninggalkan Avalon membawa diri hingga ke Timur.

 

Segala-gala yang dia ada dahulu itu kini telah tiada.

 

“Hei…,” Arturia tersentak pabila terasa bahunya disentuh lembut. Kelibat Rafidah menjengah pandangannya. Arturia tertunduk. Cuba melindungi genangan air matanya yang hampir melimpah itu.

 

“Ajaib bukan, susunan Tuhan?” Rafidah menegur.

 

Arturia mengangkat mukanya, memandang Rafidah yang sedang tersenyum, penuh rahsia dan teka-teki.

 

“Mengapa dikau berkata demikian?”

 

“Kerana, kalaulah Allah tidak pertemukan kita, masakan aku diselamatkan olehmu. Dan kau tidak akan menjejak diri ke Kota Mekhr, lalu seruan Tuk Fansuri itu tidak akan sampai kepadamu. Lantas, Tuk Fansuri ditangkap dan dibunuh oleh tentera Nevendaar dan Kota Mekhr ini kekal begitu, tanpa petunjuk Ilahi,” Rafidah Arsad mengujar, sungguh-sungguh.

 

Arturia mendengarnya, diam.

 

Benar.

 

Ajaib sekali susunan Tuhan. Dia selalu menyalahkan Tuhan atas takdir yang menimpanya. Namun Tuhan itu tidak pernah meninggalkannya, meski dia selalu menjauhiNya. Tuhan itu jualah yang terus menyusun hidupnya, hingga ketemu petunjukNya.

 

Ajaib sekali, susunan Tuhan Yang Maha Berkuasa itu.

 

“Sudah ketemu jawapan yang kau cari dalam hidup?” Rafidah mengujar tiba-tiba, mematikan lamunan Arturia. Dia masih lagi dengan senyuman.

 

Arturia sekadar tersengih mendengar pertanyaan itu.

 

“Ternyata Tuhan tidak ketemukan kita dengan sia-sia,”

 

Rafidah Arsad tersenyum.

 

“Nah, bila lagi hendak kau percaya padaNya?” Rafidah Arsad berseloroh, sambil mengangkat keningnya.

 

Arturia tersenyum. Dia tertawa. Begitu juga denga Rafidah Arsad. Dia kemudian memandang tepat ke arah Rafidah Arsad.

 

“Maka saksikanlah, bahawa aku ini seorang yang menyerah diri kepada Allah,”

 

Rafidah tergamam sebentar dengan penyaksian Arturia, hingga termati tawanya sebentar tadi. Rafidah lantas mendakap Arturia, erat, kemudian melepaskannnya. Di hujung matanya, ada manik jernih mengalir.

 

“Sudah, buat malu sahaja menangis di tengah-tengah orang ramai ini,” ujar Arturia sambil berpeluk tubuh. Rafidah tertawa.

 

“Ayuhlah, jangan asyik tercegat dan termenung di sini sahaja,” ujar Rafidah Arsad sambil berkalih.

 

Langkah diatur.

 

Mata Arturia tiba-tiba menangkap objek yang meluncur deras.

 

“Tepi!”

 

Arturia menolak Rafidah hingga jatuh namun tidak sempat untuk mengelak lembing yang dilempar deras itu.

 

Rafidah tergamam. Arturia sudah rebah. Sebatang lembing tertusuk menembusi dada Arturia. Darah tersembur keluar dari mulutnya.

 

“Arturia!!”

 

Rafidah Arsad segera mendapatkan Arturia. Kota Mekhr jadi kelam-kabut dengan serangan yang tidak terduga itu. Terlihat wajah Rafidah yang memanggil-manggil namanya, dengan deras air mata. Panggilan itu samar-samar.

 

Dari matanya yang sedikit kabur, dia dapat melihat kelibat yang menyerangnya menyusup pergi di tengah lautan manusia.

 

Hati Arturia mendesis;

“Alangkah beruntungnya sekiranya mereka tahu…,”

 

TAMAT

 

*Lagu ‘GarisanMu’ oleh Izzat Mahadi