Muncul Bila Susah, Hilang Bila Senang

Muhamad Shakir Abdul Sahood / February 19, 2018, 15:02:34 pm

“Assalamualaikum.”

Ucapan salam aku berikan sambil tangan menarik kerusi untuk duduk. Hari ini Kamal mengajak aku makan tengah hari bersama-sama.

Kamal menjawab ucapan salam ku dan kami berjabat tangan. Sebenarnya sudah lama kami tidak berjumpa, mungkin sudah tiga bulan lamanya. Hanya berhubung melalui telefon sahaja.

Sejak tamat pengajian di universiti, kami sudah jarang bertemu. Masing-masing sibuk dengan urusan kerja. Namun, hubungan persahabatan kami tidak pernah hilang.

“Susah betul nak jumpa kau sekarang ini. Maklumlah orang itu jadi orang penting syarikat sekarang.” Aku memulakan bicara secara berseloroh.

“Aku pekerja biasa sahaja. Bukan seperti kau, sekarang dah jadi pegawai besar. Hahaha!” Kamal menyakat aku.

Sakat-menyakat sudah menjadi asam garam dalam persahabatan kami, tetapi tidak sampai tahap yang keterlaluan hingga menyakitkan hati kawan.

Kami memesan makanan. Sambil menunggu pesanan tiba, kami rancak berborak. Pelbagai perkara kami borakkan pada tengah hari itu. Terutama kisah dulu-dulu, pecah ketawa kami mengenakan kisah lalu sehingga Kamal menyebut nama seseorang.

“Kau tahu Haikal dimasukkan ke hospital? Kawan-kawan lain kata dia kemalangan jalan raya. Jom kita pergi ziarah dia.”

Mendengar nama tersebut membuatkan aku terdiam. Reaksi wajah aku terus berubah. Aku tidak memberi sebarang jawapan akan ajakan Kamal tersebut.

Haikal. Bukanlah nama yang asing dalam hidup aku. Banyak memori tercipta dengan pemilik nama tersebut sewaktu masa dahulu.

“Kenapa kau diam? Kau tidak mahu melawat dia? Sekarang ini dia sedang ditimpa musibah. Mustahil kita sebagai kawan tidak mahu menziarahi dia.” Kamal bersuara apabila melihat aku mendiamkan diri.

“Bukan aku tidak mahu melawat dia, tapi…”

“Tapi apa?” Kamal inginkan penjelasan.

Oleh disebabkan Kamal mendesak, aku mula menceritakan alasan kenapa aku berat hati untuk menziarahi Haikal.

***

“Jauh kau termenung?” Teringat kekasihkah?

Aku menyapa Haikal yang keilhatan termenung di tepi koridor blok asrama. Wajahnya suram. Kelihatan seperti sedang menanggung masalah yang besar di pundaknya. Rasa bersalah pula apabila berseloroh pada saat rakan sedang dilanda masalah.

“Kau ada masalahkah? Kalau kau ada masalah, kau boleh ceritakan pada aku. Mungkin aku boleh bantu.”

Aku berdiri di samping Haikal sambil tangan memegang bahunya. Berharap aku mampu untuk memberi bantuan.

“Aku ada masalah duit sebenarnya. Aku tidak mahu beritahu kawan-kawan, takut menyusahkan kamu semua nanti.” Haikal memulakan bicara. Meluahkan apa yang sedang ditanggungnya.

“Tapi aku dah terdesak sangat. Aku tidak tahu hendak minta tolong pada siapa kecuali kau.” Haikal menyambung bicara.

“Kita kan kawan. Tak mungkin aku akan biarkan kau dalam kesusahan seorang diri. Apa yang aku boleh bantu, aku akan cuba sebaik mungkin.” Aku memberikan sokongan kepada Haikal.

“Aku tak cukup duit nak bayar yuran pengajian. Duit yang aku dapat untuk semester ini aku sudah hantar ke kampung, untuk bantu ibu bapa aku.”

“Kau mesti tahu kalau kita tidak bayar yuran kita tidak boleh hadiri peperiksaan akhir semester. Aku tidak mahu tangguhkan pengajian aku. Keluarga aku susah. Aku tidak mahu untuk susahkan mereka lagi menanggung pengajian aku di sini lagi.”

“Lagi pun aku anak sulung. Ibu bapa harapkan aku untuk ubah nasib keluarga dan bantu mereka.”

Haikal mula menceritakan tentang masalah yang dia hadapi. Aku sedia maklum tentang keluarga Haikal. Mereka memang keluarga susah. Haikal lah harapan besar mereka untuk ubah nasib keluarga.

Tanggungjawab Haikal sebagai anak sulung sangat besar. Haikal ada lima orang adik yang semuanya masih bersekolah. Semua perbelanjaan sekolah adik-adiknya dibantu oleh Haikal dengan wang biasiswa yang diperolehi setiap semester.

“Jangan risau Haikal. Aku akan bantu kau. Alhamdulillah, aku ada sedikit wang simpanan. Kau boleh guna dulu wang aku itu untuk selesaikan yuran pengajian kau.”

Aku berhasrat untuk meminjamkan wang aku kepada Haikal. Memandangkan aku masih punya wang selepas membayar yuran pengajian minggu lalu. Tidak mungkin aku akan biarkan kawan terus berada dalam kesusahan.

“Terima kasih Muhammad atas pertolongan kau. Aku janji akan bayar balik duit yang pinjamkan kepada aku itu.” Haikal memeluk aku erat. Nampak keceriaan muncul kembali di wajahnya.

***

Aku berhenti bercerita. Air sirap ais dihirup untuk membasahkan kembali tekak yang kering akibat bercerita. Ternganga mulut Kamal mendengar aku bercerita. Khusyuk betul dia mendengar.

“Kau pinjamkan dia berapa ribu ringgit?” Kamal bersuara setelah aku hentikan cerita.

“Seribu ringgit sahaja. Aku pun bukannya ada duit banyak sangat. Aku tidak sampai hati tengok dia dalam keadaan susah.”

“Bila Haikal bayar balik hutang RM1000 itu?” Tanya Kamal lagi.

“Dia belum bayar lagi. Jumlah hutang dia bukan RM1000 tapi RM2300. Waktu-waktu dia ada masalah kewangan, dia selalu datang jumpa aku untuk pinjam duit. Sebab itu lah hutang dia jadi sebanyak RM2300.”

“Hutang RM1000 pun belum dia habis bayar, tapi kau masih bagi dia pinjam selepas itu?” Muka Kamal berkerut, cuba memahami situasi ini.

“Kan aku sudah cakap tadi. Aku kasihan akan dia. Aku tidak sanggup tengok dia susah. Lagi pun masa itu aku percaya yang Haikal akan bayar balik duit aku.” Aku memberi penerangan kepada Kamal akan tindakan aku itu.

“Kau tidak cuba hubungi Haikal minta dia bayar balik wang kau?”

“Aku dah tak larat nak hubungi Haikal lagi. Masa mula-mula aku hubungi dia dulu ada juga dia jawab. Katanya nanti dia bayar sebab dia baru masuk kerja. Tapi sekarang bila aku hubungi dia, langsung tidak dijawabnya.” Aku menggelengkan kepala sambil menjawab soalan Kamal.

“Sebab itu kau tidak mahu pergi menziarahi Haikal di hospital? Sebab kau marah dia tidak bayar hutang kau?”

“Aku tidak kisah pun fasal hutang itu. Aku cuma kecil hati dengan sikap Haikal. Masa dia susah dulu dia datang cari aku. Merayu-rayu pada aku, tapi sekarang panggilan telefon aku pun dia tidak jawab.”

“Aku faham akan perasaan kau apabila diperlakukan seperti itu. Aku pun tidak mahu paksa kau pergi menziarahi Haikal. Terpulang kepada kau, tapi kalau kau dapat maafkan dia dan pergi ziarah dia. Itu memang sikap yang sangat baik.” Panjang lebar Kamal memberi nasihat.

“betul apa yang kau cakap. Apalah erti sebuah persahabatan, jika tidak mampu untuk memberi sokongan tanpa mengira saat susah atau senang.”

Aku membuat keputusan untuk pergi menziarahi Haikal bersama-sama Kamal hujung minggu ini. Biar apa pun perbuatan Haikal pada aku dahulu, dia tetap kawan aku. Dia juga saudara seagama dengan aku. Sudah menjadi tanggungjawab sebagai saudara untuk saling membantu. Bukannya muncul bila susah tapi hilang bila senang.