Munafik

Miefa Mohar / March 21, 2018, 12:03:34 pm

“Munafik.”

 

Dia berpaling. Mencari suara yang seakan angin lalu itu. Tiada sesiapa. Dia meneruskan langkahnya. Semakin jauh lorong sunyi itu ditelusuri, semakin bingit suara manusia kedengaran. Jalan besar terbentang luas. Dia meneruskan langkah melewati lampu isyarat, tiang lampu dan lautan manusia yang berpusu-pusu menuju destinasi masing-masing. Kotaraya ini terlalu menyesakkan! Rimas dengan peluh likat yang meleleh perlahan di badannya, dia menolak sebuah pintu kaca. Angin penghawa dingin menyerbu mendinginkan tubuhnya yang hangat.

 

“Ya cik, nak makan apa?” seorang pelayan wanita tersenyum sambil tangannya bersedia untuk mengambil pesanan sebaik sahaja Aqilah melabuhkan punggungnya di atas kerusi.

 

“Ice lemon tea, please. That’s all.” Aqilah membalas senyuman pelayan itu. Dia kembali menatal skrin telefon bimbitnya.

 

“Munafik.”

 

Pantas kepala Aqilah berpusing mencari arah suara tersebut. Hari ini saja sudah dua kali dia mendengar bisikan itu. Dia melepaskan nafas berat.

 

‘Aku dah gila ke?’ fikir Aqilah. Kepalanya digelengkan beberapa kali sehingga terasa pening. Pelayan wanita yang manis tadi tiba membawa air yang dipesan. Aqilah mendongak sambil kedua tangannya memegang kepala.

 

“Terima kasih.” Matanya melilau ke seluruh kafe itu. Dekorasinya sederhana dengan menampilkan warna biru putih dan beberapa kata-kata hikmah di dinding.

 

‘Kehidupan adalah cerminan peribadi.’

 

Hembusan nafas berat dilepaskan.

 

***

Kain tudung ditarik perlahan.

 

“Eh, kau buat apa ni, Qilah?” Ina berasa pelik. Wajah Aqilah masih selamba.

 

“Biar labuh sikit tudung tu.”

 

“Allahu kau ni Qilah. Suka tau buat aku sentap.” Ina menarik muncung.

 

“Tegur sebab sayang. Bukannya aku maki kau pun. Aku diam je kan.” Aqilah tertawa melihat wajah masam Ina.

 

Ina kembali fokus menatal skrin telefon bimbitnya. Melayari laman Twitter lah tu, fikir Aqilah. Dia tidak mempedulikan Ina dan menumpukan sepenuh perhatian pada novel yang baru

dibelinya. Tiba-tiba, bahunya terasa dicuit.

 

“Kenapa?” Wajah Ina kelihatan ragu-ragu. Aqilah berasa pelik. Perlahan, Ina menghulurkan telefon bimbitnya. Masih kehairanan, Aqilah menyambutnya. Matanya terbeliak.

 

“Ke…kenapa? Ma…macam mana mereka boleh tu…tu..tulis macam ni?” terketar ketar suara Aqilah. Antara menahan tangis dan terkejut.

 

“Aku tak tahu, Qilah. Aku ternampak ‘tweet’ dia tadi. Tiba-tiba je kan? Setahu aku dia bukannya bercakap dengan kau pun. Kenal kau gitu gitu je. Ish aku pula rasa geram!” Ina mengenggam penumbuk. Aqilah masih dalam keadaan terkejut.

 

Dia membaca sekali lagi bait yang tertera di skrin telefon bimbit Ina.

 

‘Aku benci betullah dengan perempuan munafik yang bertudung labuh tapi bukan main gedik berbual dengan lelaki. Berdua-duaan pula tu! Buruk betul perangai. Dah gatal sangat nak berlaki agaknya. Munafik!’

 

Aqilah membaca komen-komen dibawah ‘tweet’ itu pula.

 

‘Cakap pasal siapa tu? Macam kenal je. Hihi.’

‘Alah, yang debat sana sini tu lah! Dia je perempuan bertudung labuh yang gila kuasa. Semua benda dia nak pegang!’

 

“Aku dah tak mampu nak tengok lagi, Ina.” Air mata bergenang di tubir mata.

 

***

“Kau nak tau tak? Haritu aku pergi KLCC, aku nampak si Zain tu bukan main syok jalan berdua dengan Wati.” suara si gadis bertudung hijau memecahkan kesunyian.

 

“Zain?? Bukan ke dia tu anak ustaz? Amboi, sekarang ni anak ustaz pun pandai dah bercinta ek.” gadis bertudung ungu dan berkacamata menyahut.

 

“Iman tak dapat diwarisi tapi sebelum ni tengok gaya macam si Zain tu mewarisi je kealiman bapak dia tu. Ni bila Wati muncul tiba-tiba terbang terus kopiah dia.” Di akhir ayat, kedua-dua gadis itu tertawa besar.

“Eh dahlah. Aku ada perbincangan untuk kelab debat kita ni. Aku pergi dulu tau. Bising pula nanti orang tu.” gadis bertudung hijau itu pamit. Dalam perjalanannya, dia ditahan oleh seorang lelaki. Amirul.

 

“Kau nak apa ni, Amirul? Aku dah lambatlah.”

 

“Takda apa. Aku cuma nak bagitahu kau sesuatu je supaya kau tak terus hidup dalam fitnah. Wati tu sebenarnya adik Zain tapi tak ramai orang tau pasal ni. Aku rasa kau pun tak tahu pasal ni. Tu je aku nak bagitahu. Assalamualaikum.”

 

Aqilah terpempan. Dalam diam, ada mata yang memerhati.

 

***

Aqilah kembali ke dunia nyata setelah Ina mencubit-cubit lengannya kerana terlalu lama

Aqilah kaku.

 

“Kau ni kenapa, Qilah? Risau aku!” Dahi Ina berkerut-kerut.

 

“Aku rasa ini adalah kifarah untuk aku.”

 

“Kenapa pula kau cakap macam tu?”

 

Aqilah menceritakan segala-galanya. Ina diam.

 

“Kau nak tau sesuatu tak? Aku selalu pandang tinggi kat kau. Jadi bila aku baca apa yang Adi tulis pasal kau tu aku sakit hati. Bagi aku kaulah sebaik baik manusia aku pernah berkawan. Tapi bila dengar cerita kau ni sedikit sebanyak goyah juga kepercayaan aku pada kau. Tapi kau jangan risau. Aku sedar kau pun manusia biasa. Kadang kau alpa juga.” Wajah Ina sedikit muram.

 

“Ina, aku minta maaf kalau aku menghancurkan harapan dan sangkaan kau terhadap aku. Aku memang tak sebaik yang disangka. Mungkin ini cara untuk Allah tegur aku. Teguran Tuhan tak semestinya dalam bentuk bunga ros yang harum semerbak. Boleh jadi ini ujian agar aku selalu ingat untuk cermin diri aku.”

“Tapi aku tetap rasa kau kawan aku yang paling baik.”

 

“Ya, aku kawan baik kau tapi aku bukan yang paling baik. Mungkin lepas ni aku kena lebih berhati-hati dalam berbicara dan juga dalam segala apa yang aku lakukan. Kalau aku tak boleh jaga mulut aku ni dari mengumpat dan memfitnah orang, orang lain pun boleh buat perkara yang sama kat aku.”

 

“Kehidupan ini adalah cerminan peribadi kita. Kalau peribadi kita elok, perkara-perkara yang  terjadi sekitar kehidupan kita pun adalah perkara yang elok juga.” Ina membalas.

 

“Dahlah, kau jangan fikir sangatlah pasal tu eh? Tidur lagi seronok.” Ina menyambung ayatnya dan menghempaskan tubuhnya yang kurus ke atas katil.

 

“Oi, dah Asar ni. Tak elok tidur lepas Asar!” Aqilah membebel.

 

Dalam hati, Aqilah berasa lega. Sepantas itu Tuhan menurunkan ujiannya, sepantas itu juga

Tuhan menyampaikan ilham kepadanya untuk meneliti hikmah disebaliknya. Namun jauh di

sudut hati dia tahu, dia akan sentiasa teringat-ingat peristiwa ini.

 

***

“Munafik.”

 

Aqilah menarik nafas dalam-dalam dan berkata kepada dirinya sendiri.

 

“Aku bukan munafik. Not anymore. InsyaAllah.”