Motivasi : Menadah Tangan Demi Kebahagiaan

Asyraf Alpandi / April 8, 2018, 01:04:45 am

Setiap tindakan kita, pasti akan ada natijahnya. Jika kita memilih untuk melakukan maksiat dan terus tenggelam dalam dosa, sedikit demi sedikit, ketenangan akan menjauh. Sebaliknya pula, andai jalan beramal dan mendekatkan diri kepada Allah SWT menjadi pilihan, perasaan sebaliknya pula kita akan rasai. Salah satunya adalah dengan, menadah tangan. Berdoa kepada Allah SWT.

 

Bahagia : Mengapa Doa?

Kerana berdoa adalah satu tindakan yang menunjukkan kita ini mengharapkan sesuatu. Lebih tepat lagi, ia menandakan kerikatan dan kepercayaan, bahawa kita punya Tuhan untuk mengharapkan sesuatu.

Sebagai contoh, seorang hamba yang sedar dirinya melakukan dosa mahupun maksiat, dia akan berdoa supaya Allah SWT mengampuni kesilapannya. Berharap agar dia dapat diberi peluang untuk kembali ke jalan yang benar. Bukankah dengan berdoa itu, menghapuskan kerisaunnya kepada azab dan kemurkaan Allah SWT atas perbuatannya tadi?

Begitu juga apabila mengharapkan sesuatu seperti ingin berjaya dalam pengajian mahupun perniagaan. Menginginkan cahaya mata, mahupun rezeki dan nikmat-nikmat yang lain, pastinya menadah tangan dan berdoa menjadi pilihan. Pilihan untuk menenangkan hati betapa Allah SWT ada dan akan kabulkan apa jua yang kita minta.

Allah SWT berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” (Al-Ghaafir :60)
Solusi : Berdoalah Ketika Susah Mahupun Senang

“Ingatlah kepada-Ku, Aku juga akan ingat kepada kalian. Dan bersyukurlah kepada-Ku, janganlah kalian kufur.” (Al Baqarah:152)

Ayat di atas menunjukkan betapa kasihnya Allah SWT terhadap kita semua hamba-Nya. Justeru, untuk mengingati Allah SWT, salah satunya adalah dengan kita berdoa. Sudah menjadi satu keperluan bagi kita sebagai hamba-Nya untuk sentiasa berdoa dan berharap.

Dengan itu, Allah SWT akan sentiasa mengingati kita. Dia akan bersama dalam apa jua keadaan, baik susah mahupun senang. Rasulullah SAW ada bersabda :

“Ingatlah Allah ketika senang, maka Allah akan mengingat engkau ketika susah.” (HR. Hakim).
Justeru, apabila kita ditimpa musibah, ataupun terlanjur melakukan kesilapan, kembalilah dengan segera kepada Allah SWT. Begitu juga apabila diberikan nikmat kesenangan melimpah ruah, tadahlah tangan, berdoa supaya ditetapkan hati dalam keimanan dan dipagari daripada sifat sombong, kedekut dan tidak bersyukur.

Penutup : Berdoalah, bersihkan hati

Mukmin yang sering berdoa ini hatinya cukup kuat. Dalam erti kata lain, kuat pegangan, kepercayaan dan bergantung harap kepada Al-Haliq.

Hati mereka akan sentiasa tenang dan bahagia. Walau ditimpa musibah mahupun diberi nikmat yang melimpah.

Kerana akhirnya, semua itu dikembalikan kepada Allah SWT yang Maha Memberi nikmat dan ujian kepada hamba-Nya dalam setiap untaian doa.

Jiwa mereka bersih daripada sifat sombong kepada Allah SWT.

Hebatnya peribadi mukmin sebegini!