Motivasi: Manfaatkan Kelebihanmu

Halimatus Saadiah / January 31, 2018, 19:01:13 pm

Masih terngiang-ngiang di mindaku akan satu soalan yang pernah diutarakan oleh penceramah di satu majlis ilmu yang pernah aku hadiri. “Apa kelebihan yang ada pada diri kamu yang kamu boleh manfaatkan untuk menyumbang kepada masyarakat sekeliling kamu?”

 

Pada saat itu, aku sejujurnya tidak mengambil serius akan soalan tersebut. Mungkin kerana statusku masih lagi seorang pelajar, jadi aku tidak rasa ini penting buatku di saat ini. Ataupun mungkin fikiranku masih lagi dipenuhi dengan angan-angan untuk memberi manfaat kepada diri sendiri dahulu, jadi aku tidak terlalu kisah tentang usaha ingin memberi manfaat kepada orang di sekelilingku.

 

Tetapi, mungkin tujuan utama untuk kita semua hidup di muka bumi Allah ini bukanlah memuaskan diri sendiri semata-mata. Setiap manusia mempunyai kelebihan, ataupun ‘logam’ tersendiri yang boleh mereka lentur dan gunakan untuk melakukan sesuatu yang dapat membantu orang-orang yang memerlukan. ‘Logam’ ini bukanlah hanya digunakan untuk diri sendiri semata, dan bukan sahaja untuk disimpan, bahkan Allah mengurniakan ‘logam’ ini kepada hamba-hambaNya supaya mereka dapat mengasah dan memanfaatkannya.

 

Apa yang membezakan kita sebagai orang yang memahami Islam dengan orang-orang lain yang belum diberi kefahaman adalah mereka akan menggunakan ‘logam’ yang mereka ada dengan sebaiknya ke arah jalan memartabatkan Islam. Mungkin sahaja seseorang itu sudah mengenalpasti ‘logam’ yang dia ada namun tidak digunakan ke arah tujuan kebaikan itu sendiri.

 

Oleh sebab itulah, pentingnya untuk seseorang itu memahami perlunya untuk memanfaatkan kelebihan yang dimiliki ke arah jalan yang sebaiknya. Kerana semoga dengan usahanya itu, akan dikira juga sebagai saham di akhirat kelak. Sepertimana yang disebutkan dalam satu ayat al-Quran;

 

“Dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal yang baik untuk akhirat dengan usaha yang layak baginya, sedang ia beriman, maka mereka yang demikian keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya.” Al-Isra: 19

 

Hal sebegini juga sudah terbukti melalui kelebihan-kelebihan yang dimiliki oleh sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W. Jika direnungkan kembali, apakah sebab kita masih lagi mampu mengingati kisah-kisah tentang sahabat-sahabat Rasulullah sehingga kini? Di antara begitu ramai sahabat pada zaman Rasulullah, masih ada segelintir yang telah dibukukan kisah-kisahnya dan masih lagi dibaca oleh umat pada zaman kini. Apa yang membezakan segelintir sahabat-sahabat tersebut?

 

Apakah yang ada pada para sahabat tersebut? Hal ini adalah kerana, sahabat-sahabat Rasulullah ini mempunyai kelebihan yang bernilai, yakni kelebihan yang tidak sama antara satu sama lain. Itulah yang membezakan mereka, sehinggakan daripada kisah-kisah mereka sahaja, kita dapat memperoleh pelbagai pengajaran untuk kita manfaatkan dalam kehidupan kita. Malah kita masih lagi mampu membaca kisah-kisah mereka yang tidak hilang ditelan zaman.

 

Jika dilihat pada salah seorang sahabat terhebat iaitu Mus’ab bin Umair, beliau merupakan seorang rupawan yang tidak luntur semangatnya setelah menerima Islam walaupun terpaksa meninggalkan hidup lama yang penuh dengan kemewahan dan kesenangan dunia.

 

Malah, semangat yang ditonjolkan Mus’ab membolehkan beliau dipilih sendiri oleh Rasulullah untuk dihantar ke Madinah untuk menyebarkan Islam. Walaupun ramai lagi sahabat-sahabat yang tidak kurangnya hebatnya, namun Mus’ab juga dipilih baginda. Karakter yang ada pada Mus’ab inilah membolehkan kita masih lagi mengingatinya sebagai sahabat Rasulullah yang sangat hebat.

 

 

Seorang sahabat Rasulullah yang lain iaitu Umar al-Khattab yang kita semua mengenali beliau melalui kisah-kisahnya sebagai Amirul Mukminin yang tegas dan digeruni. Sebelum Umar menerima Islam, beliau sudah dominan dengan sifatnya yang tegas itu. Namun, ketegasan tersebut telah digunakan ke arah jalan kejahatan yakni dalam usaha untuk menjatuhkan Islam yang disampaikan oleh Rasulullah. Tetapi setelah Umar menerima Islam, sifat tersebut masih tersemat dalam dirinya, dan digunakan untuk menimbulkan perasaan gentar di dalam hati musuh-musuh Islam pula.

 

Kisah-kisah ini jelas memberi pengajaran bahawa kita perlu berusaha menggunakan kelebihan yang ada pada diri kita dan semaksimum yang mungkin untuk memberi manfaat kepada orang di sekeliling kita. Mungkin sahaja ada segelintir daripada kita tidak yakin, rasa tidak mampu untuk gunakan kelebihan-kelebihan yang dia ada. Namun begitu, percayalah bahawa apabila kita mula hidup untuk orang lain dan bukan sekadar untuk kepentingan diri kita, dengan izin Allah kita bakal kecapi nikmat yang tidak ternilai. Islam menggalakkan umatnya untuk sentiasa memberi, dan apa jua kelebihan yang dikurniakanNya kepada kita perlulah dimanfaatkan dengan sebaiknya.

 

Kerana kita semua pasti ingin menjadi individu-individu Islam yang berbakti, persis sahabat-sahabat Rasulullah yang terkenal dengan kisah menggunakan kelebihan yang mereka ada untuk berjuang di jalan Allah.