Motivasi : Kita Di Dunia Yang Mana?

Asyraf Alpandi / May 13, 2018, 07:05:59 am

Pernah tak kita terfikir, mengapa Allah memilih kita untuk melihat, bernafas, berjalan dan menikmati dunia ini? Adakah ianya sekadar suka-suka? Atau ada maksud yang terhijab daripada kita, sehinggakan kita menjadikan dunia ini sebagai tempat untuk bersuka ria semata-mata.

 

Kita Ada Di Dunia Yang Mana?

Pertama, dunia yang penuh dengan suka ria dan tiada arah tujuan. Setiap masa yang berlalu dilalui mengikut keinginan nafsu semata-mata, sehingga menafikan dan melupai keberadaan Allah SWT sebagai Rabb, Pencipta dan Pemilik alam ini.

Natijahnya, dosa dilakukan secara terang-terangan dan merasakan hidup ini adalah sesuatu yang sia-sia. Apabila ditimpa musibah, hatinya memberontak dan mudah berputus asa. Masanya dipenuhi dengan kesibukan untuk mengumpul harta tanpa rasa puas. Begitulah keadaan seorang manusia yang berada di dalam dunia yang kosong tanpa tahu arah perjalanan hidupnya.

Kedua, dunia seorang hamba yang mengenal erti dan tujuan hidupnya.

“Sesungguhnya solatku, ibadahku, kehidupanku dan kematianku adalah kerana Allah SWT, Tuhan sekalian alam.” (Al-An’am: 162)

Lihatlah kalam yang sering kita bacakan di setiap permulaan solat ini. Setiap inci kehidupan kita, tidak kiralah apa jua ibadat, pekerjaan, sehinggakan kematian sekalipun, adalah untuk dan kerana Allah SWT.

Manusia yang memahami dan mendalami tujuan hidupnya, dia tahu, apa jua gerak kerja yang dilakukannya adalah kerana Allah semata-mata. Sebagai contoh, seorang yang memahami tujuan hidupnya akan sedaya upaya meninggalkan dosa sehabis baik. Jika dia tersilap, pasti taubat menjadi langkah pertamanya. Kerana apa?

Tidak lain hanyalah kerana, dia tahu, dia hanyalah hamba yang menurut perintah Allah SWT. Oleh sebab itulah, dia tidak boleh berbuat dosa dan lalai sesuka hati, setiap masa.

Justeru, kita ada di dunia yang mana?

 

Dunia Jambatan Akhirat

“ Tiadalah hidup di dunia ini melainkan permainan dan gurauan.  Sesungguhnya kampung akhirat, lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa.  Apa tidakkah kamu memikirkan ?”           
(Al An’am 6 : 32 )

Alangkah indahnya jika di akhirat kelak, kita dibangkitkan dan kemudian diletakkan ke dalam sebaik-baik tempat, iaitu syurga. Kita kekal di dalamnya dengan nikmat yang tidak berpenghujung. Namun, kita perlu sedar, sekarang ini kita berpijak di mana. Kita masih di dunia yang penuh ujian.

Oleh itu, apabila Allah SWT menyatakan kehidupan akhirat itu lebih baik bagi orang-orang bertaqwa, apa pula pilihan kita? Adakah mahu terus menerus menjadi hamba yang berbuat dosa dan melupakan Allah SWT?

Benar, didiklah diri untuk sentiasa takut dengan azab pedih Allah SWT. Daripada itu, kita akan mula meletakkan tujuan hidup ini sebagai tempat untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT semata-mata. Akhirnya, kita akan nampak dengan jelas, dunia ini adalah jambatan yang perlu ditempuh untuk menuju ke akhirat yang kekal abadi.

 

Penutup : Memaknakan Dunia

Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku semata-mata. (Adz Dzaariyat : 56) 

Apabila Allah SWT menyatakan hidup kita ini semata-mata untuk beribadah kepada-Nya, maka tiada alasan lain mengapa kita berada di dunia ini.

Ya, apa jua yang kita lakukan di dunia ini, adalah kerana kita hamba kepada Allah SWT.

Justeru, sebagai hamba, tiada perkara lain yang wajib kita lakukan melainkan menyembah, mentaati, menuruti segala peraturan Allah SWT.

Kita hidup di dunia ini punya makna. Kerana itu akhirat diciptaka. Bagi memberi hadiah kepada mereka yang mewarnai dunia dengan ketaatan.