Motivasi : Kematian VS Kehidupan

Asyraf Alpandi / June 25, 2018, 13:06:49 pm

Apa yang menjadikan kehidupan kita lebih bermakna sekarang ini? Adakah cukup dengan kereta mewah, rumah yang besar dan indah, atau sejumlah wang yang mampu membeli apa saja? Jika itu semua adalah makna kepada kehidupan kita saat ini, apa pula yang memberi makna untuk kehidupan di akhirat kelak?

 

Kehidupan Di Dunia

Kesenangan di dunia adalah satu perkara yang dimahukan semua makhluk bernama manusia. Itu juga adalah bukti rahmat dan kasih sayang Allah SWT untuk semua hamba-Nya. Kemewahan harta contohnya, menjadikan manusia gembira dengan keberadaannya, kerana perkara seperti itulah yang selari dengan kehendak nafsu yang hidup dalam jiwa manusia.

Namun begitu, jika semua nikmat di dunia ini dinikmati tanpa menyedari ianya adalah ujian, maka tunggulah dalam kehidupan akan datang, kita akan menyesali banyak perkara bila di akhirat kelak. Sepertimana firman Allah SWT :

Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu itu hanyalah menjadi ujian dan sesungguhnya di sisi Allah s.w.t. jualah pahala yang besar. (Al-Anfal: 28)

Apabila Allah SWT katakan harta benda yang kita miliki menjadi ujian, mahu tidak mahu, kehidupan di dunia ini tidak boleh sewenang-wenangnya dijalani tanpa disandarkan kepada mengingati Allah SWT. Mengapa begitu?

Kerana kita kena sedar, di akhirat kelak, kita akan berjumpa dengan-Nya. Ketika itu, segala harta, kekayaan, kesihatan, nikmat masa dan banyak perkara akan dihitung. Sebab itulah, sebagai hamba, tidak salah untuk kita mencari dan menggali kenikmatan dunia, tetapi ingatlah sentiasa, gunakan ia mengikut syariat yang ditetapkan dan tidak lekang daripada bersyukur.

 

Kematian : Pintu Ke Akhirat

Kesemua yang kita miliki pada hari ini akan  ditinggalkan untuk selama-lamanya. Dan semuanya akan ‘berakhir’ apabila kita bertemu dengan jendela kematian. Tanpa mati, kita tidak akan berada di kehidupan akhirat. Tempat yang mana Allah SWT katakan, kehidupan yang kekal untuk selama-lamanya. Lihatlah dua firman Allah SWT ini,

Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan“ (Al-Anbiya’ :35)

Supaya Dia memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat jahat terhadap apa yang telah mereka kerjakan dan memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik dengan pahala yang lebih baik.” (An-Najm : 31)

Apabila kita sedar bahawa kita akan kembali kepada Allah SWT, apa makna segala kenikmatan di dunia sekarang ini? Justeru, lihatlah pada firman Allah dalam surah An-Najm di atas. Setiap pekerjaan yang kita lakukan, samada baik mahupun buruk, ianya akan diberi balasan setimpal oleh Allah SWT. Maka, gunakanlah segala nikmat yang ada di dunia ini untuk beroleh pahala dan balasan yang baik di akhirat kelak.

Oleh yang demikian, bagi memastikan kita mampu untuk istiqamah melakukan kebaikan, salah satu cara ialah dengan sentiasa mengingati kematian. Kerana selepas kematian, hanya beberapa perkara sahaja yang akan dibawa sebagai bekal.

Dari Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila salah seorang manusia meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat baginya dan anak solleh yang selalu mendoakannya.” (HR Muslim)

Dalam satu lagi pesanan, Rasulullah SAW bersabda ;

“Cukuplah kematian itu sebagai penasihat.” (HR. Thabrani dan Baihaqi)

 

Penutup :  Pilihlah Kedua-duanya

Pilihlah untuk menikmati segala nikmat yang Allah SWT berikan di dunia, dan pilihlah juga untuk bersedia menghadapi kematian. Kerana kematian itu akan membawa ke sebuah kehidupan yang lebih panjang dan kekal.

Apabila kita diberi harta kekayaan, kesihatan tubuh badan, dan kebahagiaan jiwa setiap masa, pilihlah untuk gunakannya pada jalan amal kebaikan.

Akhirnya, ketika kita bertemu dengan kematian, tiada sesalan akan diheret bersama.

Kerana seluruh kehidupan di dunia telah kita laburkan demi keuntungan saham di dunia yang tiada penghujungnya (akhirat).

Pilihlah sekarang!