Misi Penyiasatan

Muhamad Shakir Abdul Sahood / March 9, 2018, 11:03:38 am

“Anak, nak beli keropok ikan? Tiga bungkus sepuluh ringgit sahaja.”

Kedengaran suara seorang wanita sedang mempromosikan barang jualannya. Wanita yang berusia kira-kira melebihi separuh abad itu bergerak dari satu meja ke meja yang lain di dalam restoran tersebut.

Kedua belah tangannya memegang dua beg plastik besar yang penuh dengan bungkusan kecil keropok ikan. Skrip yang sama diulangnya setiap kali singgah ke sesebuah meja.

Ada pelanggan yang membeli barang jualan wanita tua itu. Ada pelanggan sekadar senyum dan menggelengkan kepala; tanda tidak berhajat untuk membeli. Ada pelanggan yang buat tidak tahu sahaja. Ada pelanggan yang memarahi dan menghalau wanita tua itu.

Wanita tua itu berhenti di meja yang diduduki oleh Rashid dan rakannya, Malik. Skrip yang sama dilontarkan oleh wanita tua itu. Mendengar suara wanita tua itu, Rashid berhenti menyuapkan nasi goreng ke dalam mulut. Matanya beralih daripada pinggan nasi goreng kepada wajah wanita tua itu.

“Keropok ikan apa yang ada, makcik?” Soal Rashid, menunjukkan minat untuk membeli.

“Ada satu jenis sahaja, nak. Keropok ikan parang.” Balas wanita tua itu.

“Kalau begitu beri saya tiga bungkus ya.” Rashid mengangkat tangan menunjukkan isyarat tiga kepada wanita tua itu.

Wanita tua itu memasukkan tiga bungkus keropok ke dalam beg plastik yang lain. Rashid menyerahkan wang kertas RM10 kepada wanita itu sebaik sahaja beg plastik mengandungi keropok ikan itu bertukar tangan.  Malik hanya memerhatikan sahaja urusan jual beli antara Rashid dengan wanita tua itu. Dia tidak berminat untuk membeli.

Usai wanita tua itu meninggalkan meja mereka, Malik mula bersuara. “Setahu aku, kau tak masak di rumah. Buat apa kau beli keropok ikan ini?”

“Aku kasihan tengok makcik itu. Walaupun sudah berusia, masih gigih mencari rezeki. Lagi pun bukan mahal sangat. RM10 sahaja. Nanti aku boleh bagi kat kawan pejabat aku.” Balas Rashid.

“Kau kena hati-hati, Rashid. Jangan mudah terpedaya. Boleh jadi mereka ini merupakan ejen sindiket. Kau tahu zaman sekarang pelbagai jenis sindiket wujud. Ada yang guna warga tua untuk menjual barang. Ada yang guna kanak-kanak untuk minta sedekah. Eh macam-macam lagi lah.” Terang Malik sebelum menghirup saki baki minuman dalam gelas.

Rashid termenung memikirkan tentang apa yang diperkatakan oleh Malik. Benar kata Malik, boleh jadi wanita tua itu dijadikan mangsa sindiket untuk menjual barang. Melihat wanita tua menjual barang, siapa yang tidak merasa kasihan. Pasti akan dibeli barang tersebut atas dasar simpati.

“Aku ingat hendak siasat fasal makcik itu. Aku mahu pastikan adakah benar makcik itu menjadi mangsa sindiket.” Tiba-tiba Rashid berubah karakter menjadi seorang penyiasat persendirian.

Terlopong mulut Malik mendengar idea gila Rashid. “Kau sudah gila? Tiba-tiba sahaja hendak menjadi ejen 007. Jangan masuk campur urusan orang, takut kau nanti ditimpa musibah.”

Rashid tidak hiraukan nasihat Malik. Dia tekad untuk menyiasat tentang perkara ini. Rasa kasihan akan nasib wanita tua itu membuatkan dia sanggup untuk mengambil langkah “gila” ini. Walaupun dia sedar risiko yang mungkin ditanggungnya nanti.

***

Rashid memulakan siasatan pada keesokan hari. Dia pergi ke restoran yang sama dan pada sekitar waktu yang sama seperti semalam. Dengan harapan wanita tua itu akan memunculkan diri. Lebih kurang 30 minit Rashid berada di restoran tersebut, akhirnya wanita tua itu muncul.

Dengan skrip dan cara promosi yang sama, wanita tua itu mendekati setiap meja di restoran tersebut. Kali ini Rashid tidak membeli, dia sekadar memerhatikan sahaja wanita tua itu. Selesai kesemua meja didekati, wanita tua itu keluar meninggalkan restoran tersebut.

Sudah tiga hari Rashid memerhatikan wanita tua itu. Hasil pemerhatian, Rashid mendapati corak waktu wanita tua itu berada di restoran tersebut sama setiap hari. Pada hari keempat, Rashid tidak sekadar memerhati. Dia menanyakan soalan kepada wanita tua itu.

“boleh saya tahu, makcik ada anak-anak? Kalau ada, kenapa anak-anak biarkan makcik bekerja seperti ini?”

Wanita tua itu tidak menjawab. Riak wajahnya nampak berubah. Jika sebentar tadi tersenyum, kini nampak seperti takut dan cemas. Namun wanita itu cuba mengawal agar tidak nampak terlalu ketara. Dia cuba untuk tersenyum dan terus berlalu pergi tanpa sebarang jawapan.

Sikap aneh wanita tua itu menimbulkan tanda tanya dalam fikiran Rashid. Adakah benar wanita tua itu menjadi mangsa sindiket? Persoalan ini menyebabkan rasa ingin tahu Rashid menjadi lebih kuat. Dia tekad untuk menyiasat dengan lebih jauh.

***

Hari kelima Rashid hadir lagi ke restoran tersebut. Rashid berada di restoran tersebut pada waktu yang sama seperti sebelum ini. Setengah jam menunggu, wanita tua itu tidak menampakkan diri. Waktu terus berlalu.

Satu jam.

Dua jam.

Tiga jam. Rashid melihat jam di tangan. Waktu sudah menunjukkan pukul 12 tengah malam. Kelibat wanita tua itu tidak jua kelihatan. Pelbagai persoalan muncul dalam fikiran Rashid. Adakah wanita tua itu sedar akan dirinya sedang diperhatikan? Lalu sebab itu wanita tua itu tidak hadir di restoran tersebut?

“Maaf encik, restoran kami sudah hendak tutup.” Lamunan Rashid tersentak dek suara pelayan restoran tersebut. Rashid memerhati suasana sekeliling. Baru dia sedar hanya dia seorang sahaja pelanggan yang tinggal dalam restoran tersebut.

“Maaf cik. Boleh saya tumpang tanya? Adakah wanita tua yang selalu menjual keropok ikan itu datang pada hari ini?” soal Rashid kepada pelayan restoran tersebut.

“Saya tidak nampak wanita tua itu hari ini. Kebiasaannya dia akan datang setiap hari antara pukul 9 hingga 10 malam.” Jawab pelayan restoran tersebut.

“Awak kenal siapa wanita tua itu?” Rashid melontarkan soalan kedua.

“Maaf encik. Kami tidak kenal wanita tua itu. Tidak pernah pula kami terfikir untuk bertanyakan identiti wanita tua itu.”

Rashid mengucapkan terima kasih kepada pelayan restoran tersebut dan berlalu pergi. Dia berasa sedikit kesal kerana tidak berjaya mendapatkan lebih maklumat tentang wanita tua itu. Dia juga agak terkilan dengan sikap pekerja restoran tersebut yang tidak cakna akan perihal wanita tua itu walaupun setiap hari mereka melihatnya.

Rashid runsing. Dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Sama ada usaha siasatan ini diteruskan atau dia menyerah kalah sahaja. Rashid berbelah bahagi tentang masalah ini. Sama ada benar wanita tua itu mangsa sindiket atau dia hanya berprasangka sahaja.

***

Acap kali Malik menasihati Rashid supaya berhenti menjadi “James Bond”. Malik sedar akan rasa kasihan Rashid terhadap wanita tua itu, tapi tidak perlu sampai menyusahkan diri. Lagi pun, wanita tua itu nampak baik-baik sahaja. Tidak nampak seperti mangsa sindiket. Rashid akur dengan nasihat Malik.

Sudah seminggu Rashid hentikan siasatan tentang wanita tua itu. Dia juga sudah tidak duduk berjam-jam di restoran tersebut menunggu kehadiran wanita tua itu. Rashid fikir buang masa dan keringat sahaja menyiasat tentang wanita tua tersebut. Banyak lagi kerja yang perlu diselesaikannya.

Sehinggalah pada suatu malam, Rashid singgah di sebuah bank untuk mengeluarkan wang. Usai Rashid meletakkan kereta di hadapan bank tersebut, Rashid terlihat wanita tua itu sedang duduk di sebelah pintu bank menjual keropok ikan.

Rasa kasihannya kembali terbit. Naluri penyiasatannya muncul kembali. Kali ini Rashid akan perhatikan wanita tua itu dari dalam kereta. Rashid mengalihkan keretanya jauh sedikit dari bank tersebut, tapi masih dalam jarak penglihatan yang baik.

Jam sudah menunjukkan pukul 1 pagi. Keadaan di sekitar bank tersebut sunyi sepi. Tiada lagi manusia yang datang ke kawasan tersebut. Namun, wanita tua itu masih di situ. Mata Rashid sudah terasa berat, tapi dia terus bertahan.

Beberapa minit berselang, kelihatan sebuah van berwarna hitam berhenti di hadapan bank tersebut. Wanita tua itu bangun dari tempat duduk lalu masuk ke dalam van tersebut. Rashid berasa sangsi akan van tersebut.

Rashid mengekori van tersebut apabila van mula bergerak. Dia tidak berada terlalu dekat dengan van tersebut kerana takut tindakannya dikesan. Van tersebut menelusuri jalan raya menuju ke arah luar bandar.

Setelah 20 minit pemanduan, van tersebut tiba di kawasan tanah lot. Terdapat beberapa buah rumah sahaja di situ. Van tersebut berhenti di sebuah rumah dua tingkat. Rashid memberhentikan kereta sedikit jauh.

Dengan berhati-hati, Rashid menuju ke rumah tersebut dengan berjalan kaki. Tiba di rumah tersebut, rashid mengintai ke dalam rumah tersebut melalui tingkap yang terbuka. Dia mendapati ada 5 orang wanita tua sedang membungkus keropok ikan. Terdapat juga 2 orang lelaki yang sedang memerhatikan mereka.

Rashid merasakan ada yang sesuatu yang mencurigakan. Dia yakin wanita-wanita tua ini dijadikan mangsa sindiket. Rashid segera mengeluarkan telefon bimbit untuk menghubungi pihak polis.

“saya ingin melaporkan ada wanita tua dijadikan….”

“Dijadikan apa?”

Rashid tergamam. Dia tidak sempat menghabiskan ayatnya. Ada suara datang dari belakangnya. Jantung berdegup kencang. Dia sedar dirinya sudah dikesan. Namun, ada satu perkara yang bermain di fikiran Rashid. Suara tersebut seperti biasa didengarinya.

“Malik?” Rashid terkejut melihat Malik berdiri di hadapannya bersama-sama 2 orang lelaki yang dilihatnya dalam rumah sebentar tadi.

Belum sempat Rashid melarikan diri, dia sudah ditangkap oleh 2 orang lelaki tersebut dan dibawa masuk ke dalam rumah. Badan dan tangan diikat di sebuah kerusi.

“Rashid, Rashid. Sudah aku cakap, jangan masuk campur urusan orang lain tapi kau degil. Tetap juga mahu jadi hero.” Malik berjalan mengelilingi Rashid.

“Malik, aku tidak sangka kau rupanya dalang di sebalik semua ini. Kau sanggup mempergunakan wanita-wanita tua ini.” Tempik Rashid dengan penuh rasa geram.

“Perniagaan ini boleh beri untung besar. Orang-orang seperti kau yang kasihan akan wanita tua seperti ini pasti akan beli barangan aku. Modal aku senang; keropok ikan dan wanita tua, tapi untung lumayan.” Malik ketawa bersama-sama anak buahnya.

“Tak guna kau Malik. Kau akan terima akibatnya nanti.” Rashid meludah ke muka Malik. Dia berasa kesal dengan sikap kawannya itu.

Malik menyeka air ludah di mukanya. Satu tumbukan dilepaskan ke muka Rashid. Rashid terjatuh ke lantai akibat tumbukan yang deras itu. Darah mengalir dari bibirnya.

“Mati lah kau Rashid.” Malik mengeluarkan sepucuk pistol dari belakang badannya. Lalu diacukan ke kepala Rashid.

Tiba-tiba bunyi siren polis kedengaran. 3 buah kereta polis menuju laju ke perkarangan rumah tersebut. Malik dan anak buahnya tergamam. Mereka terus berlari meninggalkan Rashid menuju ke belakang rumah.

Beberapa orang anggota polis menyerbu masuk ke rumah itu dan beberapa orang lagi mengejar Malik dan anak buah yang lari melalui pintu belakang. Kedengaran bunyi tembakan dari luar rumah.

Seorang anggota polis membuka ikatan Rashid dan membawa dia keluar. beberapa orang anggota lagi membawa keluar 5 orang wanita tua tersebut. Tiba di luar rumah, Rashid melihat melihat jasad rakannya, Malik terbaring di atas tanah.

Perasaan hiba menerpa ke sanubari Rashid. Sedih melihat rakannya mati dalam keadaan sebegitu. Namun, apakan daya setiap perbuatan jahat pasti akan dapat balasannya.

“Terima kasih tuan kerana selamatkan saya.” Rashid ucapkan terima kasih sambil berjabat tangan dengan salah seorang pegawai polis itu.

“Sama-sama encik. Pihak polis mengucapkan terima kasih kepada encik kerana tindakan encik melaporkan jenayah ini kepada kami. Namun, tindakan encik datang berseorang ke tempat ini sangat berbahaya. Nyawa encik boleh terancam.” Terang pegawai polis tersebut.

“Maafkan saya tuan. Saya tidak berfikir panjang tentang hal itu. Saya kasihan akan wanita-wanita tua ini sehingga terlupa akan nyawa saya sendiri.”

Eh, bagaimana pihak polis tahu lokasi saya di sini? Tambahan pula, saya belum sempat habiskan laporan saya sebentar tadi?” Rashid masih ingat dia belum sempat habiskan laporan tadi sebelum ditangkap oleh Malik.

“Alhamdulillah. Allah sebaik-baik penolong, encik. Encik tidak mematikan telefon sebentar tadi. Jadi pihak kami masih dapat mendengar perbualan encik dengan suspek. Melalui itu juga, kami dapat mengesan keberadaan encik di sini.” Pegawai polis itu tersenyum sambil menepuk bahu Rashid.

Rashid bersyukur ke hadrat Ilahi kerana nyawanya masih selamat. Dia juga bersyukur dapat menyelamatkan wanita-wanita tua itu daripada terus menjadi mangsa sindiket. Namun, dia juga bersedih dengan kematian Malik. Tidak dia sangka rakannya itu merupakan ketua sindiket perdagangan manusia.