Misi Kita

Aqill Rosli / November 10, 2017, 16:11:21 pm

Jam di dinding terus berdetak. Jarum pendek tetap di antara angka 8 dan 9 manakala jarum panjang berada tepat di angka 6. Usai solat Isya’, bilik A4.6 kembali riuh dengan suara dan telatah 3 orang sekawan yang sengaja pulang awal selepas cuti pertengahan semester. Seorang lagi ahli bilik tidak lagi pulang dek kerana belum cukup puas menghabiskan masa bersama keluarga.

 

Ketiga-tiga mereka berada di ruang tidur masing-masing sambil menelaah subjek-subjek yang dikategorikan sebagai pembunuh pointer pelajar. Walaupun berlainan jurusan, namun itu tidak jadi satu alasan untuk mereka mengulang kaji pelajaran bersama. Sambil belajar, sambil itu juga bergurau senda. Bilik yang tidak terlalu besar itu membolehkan suara mereka kedengaran antara satu sama lain.

 

Tiba satu waktu, keadaan kembali sunyi. Hanya kedengaran bunyi kipas yang sedang berpusing laju. Tiada riuh suara manusia. Dan ketika itu, satu perkara terlintas secara tiba² dalam fikiran Alif.

 

Guys, kita dah habis separuh masa pertama dalam semester satu ni. Aku rasa macam mood study aku masih ke laut lah.” rungut Alif.

 

Sunyi sepi. Tiada sahutan.

“Aik, dah tidur ke? Baru tadi riuh sebilik.” Bisik Alif kehairanan. Urusannya di sambung semula.

 

“Hmmm samalah dengan aku pun. Masa awal-awal masuk, aku beria berazam nak score 4 flat sem ni. Tapi dah sampai separuh semester ni, usaha nak capai 4 flat tu macam tak ada je.” Balas Syahmi.

 

“Laahh aku ingatkan kau dah tidur. Senyap je tadi.”

 

“Saja nak bagi kau rasa sembang sorang.”

 

“Ciss hahaha. Tapi samalah kita. Aku pun bertekad sebenarnya nak dapat anugerah dekan semester ni. Tapi asyik takde semangat je walaupun dah separuh semester hmmm.”

 

“Dah kalau cakap je lebih buat nya tak, tak ada guna juga.” Celah Ahmad

 

“Kau pun tak tidur lagi?” Soal Alif

 

“Haah, mana tidur lagi. Tengah study lah ni. Saja tak sahut rungutan kau tadi. Asyik bercakap je. Lenguh mulut aku.”

 

Syahmi tergelak kecil.

 

“Hmmm ye lah. Tapi kan guys. Aku rasa kita kena buat sesuatu lah untuk naikkan semangat kita. Sekurang-kurangnya kita ada semangat untuk belajar. Tambah-tambah lagi dalam fasa awal alam degree ni.”

“Aku setuju. Tapi apa dia?” Soal Syahmi.

“Hmmm tak tahu lah pulak. Idea tak datang pula masa-masa macam ni. Huhuhu”

Keadaan sunyi sepi. Buntu memikirkan kaedah terbaik sebagai perangsang semangat. Kipas terus menari sambil melontarkan suara angin yang memecah kesunyian bilik.

 

“Setiap manusia tu berbeza caranya. Ada yang boleh terima cara A, dan ada yang boleh terima cara B. Perkara macam ni kita tak boleh ikut orang. Cari potensi yang ada dalam diri dan jadikan itu sebagai kekuatan untuk capai sesuatu.” Kata Ahmad.

 

“Jap. Aku tak faham. Tinggi sangat bahasa kau ni. Cuba kau bagi bahasa mudah.” Pinta Alif.

 

“Cuba cari sesuatu yang buatkan kau seronok untuk buat benda tu sekaligus bantu kau untuk ke arah apa yang kau nak. Atau pun cari sesuatu yang automatik buatkan fikiran dan perbuatan kau untuk capai impian kau. Haa biar aku bagi contoh memandangkan muka kau tu pun aku tengok macam tak faham-faham lagi ni. Ada beberapa cara yang aku perasan ada orang guna. Aku gelarkan itu sebagai ‘Quotes Jar’.”

“Uih apa tu?”

Syahmi dan Alif kelihatan terpinga-pinga namun ingin tahu.

 

“Ada satu balang yang biasanya bersaiz kepala dan dalam nya mengandungi gulungan-gulungan kertas kecil. Setiap kertas tu tertulis kata-kata semangat yang berbeza. Lagi banyak, lagi bagus. Setiap kali kau rasa semangat kau hilang, ambil satu gulungan kertas dalam balang tu kemudian baca. In shaa Allah. Kalau kau manusia yang ada hati dan perasaan, kau akan rasa bersemangat semula. Sistem dia macam kawan kau bagi kata-kata semangat pada kau. Tapi yang ni kau baca sendiri. Haa macam tu lah.”

 

“Ouhh. Macam menarik je”

 

“Haaa ye. Menarik kalau kau buat daripada sembang selebat hujan di sini.” Celah Syahmi.

“Aik, aku kena lagi?!” Rungut Alif.

 

“Hahaha. Atau pun, kau boleh guna cara gambar. Letak gambar parent kau dalam wallet. Dan setiap kali kau perlukan semangat, tengok gambar mereka berdua dan bayangkan ukiran senyuman di wajah mereka saat kau laksanakan sesuatu yang begitu membanggakan mereka. Itu pun membantu juga.”

 

“Pun menarik juga. Nantilah aku fikirkan.”

 

“Haa ye nanti. Kau punya nanti tu tak boleh pakai sangat.” Balas Ahmad

 

“Hahahahahahahaha” mereka gelak serentak. Itulah gurau senda mereka. Tampak kasar. Tapi masing-masing sudah biasa. Saling memahami antara satu sama lain.

 

“Ahmad, aku nak tanya sesuatu lah.”

 

“Haa tanyalah. Jangan tanya pasal crush. No comment.”

 

“Hahahah tak lah. Muka kau macam kena friendzone takkan lah aku nak tanya kan.”

 

“Eh cakap depan cermin ke tu? Hahahaha”

 

“Hahaha. Ok aku nak tanya ni. Aku tengok kau dari awal sem sampai separuh semester ni asyik habiskan masa dekat perpustakaan je. Kau tak bosan ke asyik hadap buku je kat sana?”

 

“Apa nak bosan nya. Perpustakaan buat aku lebih selesa untuk telaah pelajaran. Fokus aku lebih sikit. Suasana dia tenang sebab tak bising sangat. Cukup selesa untuk aku study. Tapi takdelah 24 jam hadap buku je. Ada masa aku layan media sosial juga. Buka Youtube atau main game. Tapi syaratnya jangan buat bising je lah. Otak juga perlukan rehat untuk beberapa minit sebelum sambung telaah pelajaran. Waktu rehat paling lama yang biasa aku dapat adalah pada waktu solat. Saat aku dirikan solat, ketika itu lah waktu terbaik yang aku rasakan rehat yang sebenar-benarnya selain tidur.”

 

“Wow Ahmad wow. Ini memang dashat. Hahaha. Tapi aku tak boleh sangat nak belajar dekat perpustakaan. Rasa macam terlalu sunyi bagi aku. Buatkan aku susah nak bagi tumpuan pada pelajaran.”

 

“Tak apa. Lain manusia, lain caranya. Cari kaedah yang sesuai dengan kau. Jangan paksa kalau tak boleh. Itu je.”

 

“Sebab tu aku selalu tinggalkan kau dengan Safwan kat bilik. Dua-dua tak boleh nak belajar dekat perpustakaan.” Kata Syahmi.

 

“Hmm tu lah. Tapi kan Ahmad, apa yang mendorong semangat kau untuk kekalkan momentum belajar? Aku tertanya-tanya dari haritu lagi.”

 

Alif dan Syahmi seakan-akan ternanti jawapan itu. Bagi mereka, jarang untuk melihat seseorang pelajar mampu mengekalkan momentum belajar nya. Dorongan semangat yang hadir itu seolah-olah ombak laut yang tidak pernah berhenti membadai pantai.

 

Ahmad terdiam seketika. Dia bukan tidak menjangkakan soalan sebegitu. Cumanya dia tidak tahu bagaimana caranya untuk dia bercerita.

 

“Aku pernah gagal dulu. Dan aku taknak gagal lagi. Aku rasa perit bila gagal dapat apa yang aku nak. Tapi aku rasa lebih perit kalau senyuman kedua-dua orang tua aku pudar disebabkan aku.”

 

“Apa yang kau maksudkan dengan gagal tu? Tak dapat 4 flat ke macam mana?” Soal Syahmi kebingungan.

 

“Masa aku dekat Pusat Asasi dulu, semester 1, tahun 1, aku cuma dapat 2.03 untuk pointer cgpa aku. Parent aku tau yang aku ni tak berusaha bersungguh-sungguh. Sebab mereka kenal anak sulung mereka ni macam mana. Sebab tu diorang sedih dan kecewa. Diorang tau aku boleh buat lebih dari tu. Sebelum masuk semester 2, aku bertekad untuk tak ulang lagi result macam tu. Alhamdulillah. Keputusan peperiksaan akhir semester 2 aku bukan lagi 2.03. Tapi apa yang lebih menghampakan, pointer cgpa aku bertukar ke 1.89. Menangis aku masa tu sebab aku dah boleh bayangkan apa yang akan terjadi pada riak wajah ibu bapa aku bila aku bagitau pasal keputusan yang cukup menyedihkan ini. Azam dan tekad aku untuk semester 2 tu cuma angan-angan sahaja. Aku salahkan diri aku sebab tak berusaha walau sikit.”

 

“Wow Ahmad, aku tak expect sampai macam tu sekali. Aku minta maaf sebab tanya soalan macam ni.”

 

“Takpelah, dah cerita dah pun.” Balas Ahmad.

 

“Kemudian apa jadi?” Syahmi menanti dengan penuh tanda tanya tentang apa yang jadi seterusnya.

 

“Aku yang sepatutnya belajar asasi setahun setengah dilanjutkan ke 2 tahun. Itu merupakan satu tamparan besar buat aku. Bayangkan bila tengok kawan-kawan yang lain dah menyambungkan pelajaran ke alam degree dan aku masih tergantung sepi di Pusat Asasi. Mental aku masa tu tak kuat. Lama aku fikirkan, aku ada satu semester lagi dengan kawan-kawan seperjuangan aku. Kemudian tinggal aku sorang. Berperang tanpa rakan disisi. Aku hampir mengalah. Merasakan belajar bukan lagi gaya hidup aku. Tapi mak aku pernah pesan. Kalau nak kan sesuatu, jangan segan silu minta pada Tuhan. Sentiasa jaga solat. Jaga hubungan dengan Tuhan. Jaga hubungan dengan manusia. Dalam Al-Quran sendiri ada menyebut, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa-apa yang pada diri mereka.”(QS 13:11). Mula dari situ, aku mula untuk ubah diri aku. Aku tau kesilapan aku sepanjang tahun pertama. Aku tau langkah kesedaran aku ni boleh dikategorikan sebagai lewat. Tapi orang putih kata, better late than never. Jadi aku susun atur balik setiap langkah aku. Memastikan jalan yang aku pilih itu tidak sewenang-wenangnya mampu menjatuhkan aku. Aku berusaha keras untuk kekalkan momentum. Setiap kali aku rasa nak mengalah, aku cuma perlu imbas kembali sejarah hitam. Mana mungkin aku nak kembali ke lubang yang menjatuhkan aku. Dan hasilnya? Jeng jeng jeng. Matlamat aku tercapai. Pointer tu taklah tinggi sangat. Tapi dapatlah 3.00 ke atas macam tu. Tapi yang lebih berharga adalah ukiran senyuman yang terpapar di wajah kedua-dua orang tua aku. Masa tu aku tau, yang aku boleh.”

 

“Wow macam drama melayu lah Ahmad. Berair mata aku ni.” Kata Alif.

 

“Hahahahahahahah” mereka bertiga ketawa serentak.

 

“Dah. Apa yang penting. Kita usaha sehabis baik. Tajdid niat kita bila ada di sini. Gelaran Mahasiswa ni mahal. Kalau kita tak menghargainya, kita sememangnya tak layak untuk digelar dengan gelaran hebat sebegitu. Faham ke tidak?”

 

“Fahamm boss!!” Serentak Syahmi dan Alif berkata.

 

“Bagus. Dah. Pergi balik bilik masing-masing dan sambung belajar. Aku nak main game sekejap. Kejang otak aku kalau hadap buku je dari tadi.”

 

“Hahaha ye baik.” Balas Alif.

 

*****

 

Jam di dinding menunjukkan tepat 3 pagi.

Pagi yang begitu sunyi. Sesekali kedengaran katak memanggil hujan. Dan ada ketika mendengar cengkerik saling bersahutan.

 

Ahmad terjaga dari tidur. Perlahan-lahan bangun dari katil dan menuju ke pintu. Barangkali terlampau banyak air memasuki kerongkongnya sebelum tidur membuatkan dia terjaga dan bersegera ke tandas. Tombol pintu dipulas perlahan-lahan. Khuatir terganggu lena mimpi kawan-kawan sebiliknya itu.

 

Usai urusan di tandas, Ahmad segera memasuki biliknya. Keadaan di luar begitu sejuk. Ahmad bukan nya mampu tahan sejuk. Silap-silap nanti, demam pula dia.

 

“Eh diorang ni dah tidur ke? Atau tengah layan movie? Bukan boleh percaya sangat ni. Selalu sangat tidur lewat” Bisik Ahmad.

 

Perlahan kepalanya menjenguk setiap ruang bilik kawan-kawan nya.

 

“Hmm Syahmi kalau tidur, selimut nya dah ke lain, dia nya dah ke lain.” Getus hati Ahmad.

 

Beralih ke ruang bilik Alif.

Di atas meja Alif, terdapat sebuah komputer riba. Skrinnya masih memaparkan cahaya.

“Dia ni kalau tidur tak reti tutup laptop dulu ke apa?!” Rungut Ahmad.

Perlahan-lahan dia mencari butang berlogo ‘shut down’.

Skrin menjadi gelap.

Komputer riba dimatikan.

 

Ahmad terdiam seketika.

Dia perasan ada sesuatu yang pelik di tingkap bilik Alif. Ada sesuatu berwarna putih berada elok di penjuru bawah tingkap itu. Keadaan bilik yang gelap namun diterangi dengan cahaya yang  samar-samar membuatkan matanya susah untuk mengecam dengan baik. Semakin lama diperhatikan, ianya semakin jelas. Hanya sekeping kertas bertulis yang sengaja ditampalkan di kaca tingkap.

“M…Misi… Gelap sangat ni aku tak nampak.” Rungut hatinya.

Lama diperhatikan.

Akhirnya satu ukiran senyuman terpaut di wajah Ahmad.

 

“Ya Alif, kita semua ada cita-cita yang sama. Selagi kita taat pada perintah Dia, dengan izin-Nya, kita akan capai apa yang kita inginkan. Kita akan capai misi kita. MISI 4 FLAT.”

 

-Tamat-