Meringankan Beban

Fathy / March 13, 2018, 11:03:19 am

Tatkala Amin kusyuk menonton rancangan televisyen, maknya mengeluh lantas duduk.

”Aduh, penatlah.” Kedua-dua kakinya dilunjur sementara tangan kanan pula dipicit ke pinggang kanannya.

”Mak nak Amin tolong picitkan? Kata Amin yang sedang menonton rancangan kegemarannya itu.

”Boleh juga, mari sini.” jawab emaknya.

Daripada duduk di atas sofa, amin bersila atas lantai berhadapan emaknya.

”Banyak urat mak timbul-timbul ni,” ujar budak berumur 11 tahun itu.

Emaknya meleretkan senyuman seketika lalu membalas, ”Amin besar nanti pun akan macam ini.”

”Oh ya, Amin rasa kaki mak lenguh-lenguh sebab banyak buat kerja rumah ni.” Amin cuba meneka.

”Ala… Amin pun banyak kerja rumah?” soal emaknya pula.

”Aik, banyak kerja rumah? Rasa-rasa Amin, jarang sekali Amin tolong mak basuh kain, cuci pinggan, sapu sampah dan lain-lain.” Tanya Amin yang tengah kebingungan itu.

”Kerja rumah yang dibawa dari sekolah itu kan kerja juga, betul tak?”

”Haha…” Amin ketawa.

”Itu lain mak, itu kerja sekolah Amin. Kalau Amin tak buat siapa lagi nak buat.”

”Haha…” emaknya pula tertawa kecil.

”Kenapa mak ketawa?” Dahi Amin berkerut.

”Lucu pula bercakap tentang kerja rumah. Ha! Kaki mak beransur hilang sakitnya, terima kasih ya Amin, lega rasanya” ujar mak sambil mengusap kepala Amin.

Emak kembali bersila. Dahi Amin yang berkerut tadi sudah hilang.

”Samalah dengan kerja rumah ini, kalau tidak ada yang lakukan siapalah yang mahu buat semua ini.” Sambung mak.

”Tapi…. mak perlu rehat juga, siang bekerja, malam pun mak kemas rumah. Itu belum adik menangis, meragam lagi.” Balas Amin.

”Jadi, apa yang Amin boleh cadangkan pada mak? Mata mak bersinar-sinar diringi senyuman manis.

Amin terkelu seketika, macam ada sesuatu di dalam mulutnya. Dia berkalih dan menyandar badanya yang gebu ke sofa tadi. Dahinya bergaris dan mulutnya memuncung.

Sesekali emak Amin menjeling, sengaja membiarkan Amin membisu beberapa minit agar dapat menemui jawapan.

”Hrm… Amin rasa, Amin yang harus tolong emak.”

”Amin seorang saja….? Emak cuba mencungkil ayat Amin.

”Eh, baba pun sekali harus tolong. Hehe.”

“ Selepas ini ajak baba sama-sama buat kerja rumah. Tak adalah kaki mak asyik lenguh dan mak kerap mengeluh penat saja.”

Di sebalik nada keriangan suara emak unsur pengajaran terselit agar si anaknya memahami sikap suka menolong.

”Betul, betul.” Amin mengiyakan dan angguk kepala berulang kali.

”Assalamualaikum,” satu suara memberi salam dari luar kedengaran.

”Waalaikumusalam,” jawab mereka berdua.

”Ha’, itu mesti baba. Pergi buka pintu Amin,”

Amin meluru ke pintu. Sebelum memulas tombol pintu, dia mengecilkan mata dan mengintai pada lubang kecil di pintu itu. Ternyata betul baba. Kumis nipis baba itu tampak jelas.

”Aik, tak tidur lagi Amin?, Esokkan sekolah,” kata babanya sambil mengusap kepala Amin.

”Belum, tadi Amin tolong urut kaki mak dan mak cakap kalau tak nak mak mengeluh penat, baba dan Amin seharusnya menolong mak buat kerja-kerja rumah selalu.”

”Baiklah, lepas ini kita tolong mak sama-sama,” balas babanya Amin

Mak mengukir senyuman manis sejurus baba menyokong cadangan Amin.

”Nanti Amin jadi saksinya tau, bahawa baba dah berjanji dan harus pegang janjinya,” tutur emak selepas salam dan mencium tangan baba.

”Baik. Amin akan jadi saksi.” Jawab Amin sambil tangan kanannya tabik pada mama, seperti seorang polis tabik pada pengawainya.