Menyubur Rasa Lengkap Melengkapi

Hilal Asyraf / June 2, 2017, 23:06:56 pm

Adakah kita hidup di atas dunia ini berseorangan?

Adakah kita bergerak dalam kehidupan ini berseorangan?

Mahu atau tidak, kita memerlukan orang lain.

Namun, sejauh manakah kita menghargai manusia di sekeliling kita?

Adakah kita saling lengkap-melengkapi dengan mereka? Atau kita hendak jatuh menjatuhkan sesama kita?

 

Pesanan Allah & Rasul!

Kalau kita menyelak kembali kitab-kitab hadith, kita akan dapat melihat beberapa hadith yang menyatakan berkenaan hubungan antara mu’min. Antaranya ialah,

“ Mu’min dengan mu’min yang lain adalah ibarat bangunan, yang mana satu bahagian menguatkan bahagian yang lain.” Hadith Riwayat Bukhari.

“ Mu’min itu saudara kepada mu’min yang lain, maka janganlah kamu menzaliminya, atau mengkhianatinya, atau menyerahkannya kepada sesiapa yang ingin menzaliminya” Hadith Riwayat Ahmad.

“Perumpamaan kaum mukmin dalam sikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi, seumpama tubuh, jika satu anggota tubuh sakit, maka anggota tubuh yang lain akan susah tidur atau merasakan demam.” Hadith Riwayat Muslim.

Jika di dalam Al-Quran pula, ALLAH SWT berfirman,

“ Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka perdamaikanlah dua antara  mereka yang bertelagah, moga-moga kamu mendapat rahmat” Surah Al-Hujurat ayat 10.

“ Berpegang teguhlah kamu dengan tali ALLAH, dan janganlah kamu berpecah belah” Surah Ali-Imran ayat 103.

“ Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kamu dari bersangka-sangka, sesungguhnya sebahagian dari bersangka-sangka itu adalah keburukan, janganlah kamu mencari kesalahan orang lain, dan janganlah kamu bertelagah sesama sendiri, adakah kamu suka memakan daging saudara  kamu yang telah mati?…” Surah Al-Hujurat ayat 12.

Dan ada banyak lagi hadith dan ayat Al-Quran menyatakan hubungan sesama mu’min ini.

Kita berdiri dan bergerak dalam kehidupan hari ini, kita perlu menghadapi kenyatakan bahawa kita ini makhluk lemah dan tidak bisa sendiri. Kita ada kelemahan, di samping kelebihan yang ALLAH SWT beri. Namun kelebihan kita itu tidak cukup untuk membuatkan kehidupan kita bergerak dengan sempurna. Maka sahabat dan teman diperlukan untuk melicinkan kehidupan kita.

Namun manusia biasanya cenderung untuk tidak mengambil berat terhadap manusia lain. Kepuasan diri adalah perkara yang dianggap utama, dan perasaan orang lain tidak mendapat tempat di dalam hati. Sikap ananiah membatu di dalam hati. Ini menyebabkan dunia hilang kasih sayang antara  manusia. Masing-masing dengan kehidupan masing-masing, menyebabkan kehidupan manusia terumbang-ambing tanpa kesatuan.

 

Sikap Penting Diri – VIRUS!

Satu lagi sikap buruk manusia, adalah kecenderungan mereka untuk meminta manusia lain memahami mereka, tanpa mereka terlebih dahulu memulakannya. Mereka selalunya memberikan alasan,

“ Ah, dialah yang kena faham ana dulu, baru ana akan cuba faham keadaan dia”

Sudah hampir pupus di dunia ini, manusia yang terlebih dahulu memulakan tali-tali hubungan indah ini. Sudah hampir tiada manusia di dunia ini, yang terlebih dahulu bergerak menyambung silaturahim. Semuanya hendakkan timbal balik, semuanya hendak mendapat sesuatu.

Sebagai contoh, baik dengan seseorang itu kerana dia adik perempuan. Baik dengan seseorang itu kerana dia mempunyai harta yang banyak. Baik dengan seseorang itu kerana kecantikan wajah. Baik kerana dia ada itu, baik kerana  dia ada ini. Jika seseorang itu mempunyai kelebihan, maka manusia akan sanggup bergerak terlebih dahulu menyambung silaturahim dengannya. Bukan kerana kerelaan hati sebenarnya, tetapi ingin mendapatkan kelebihan daripada manusia itu tadi.

Inilah yang membuatkan manusia lemah, tidak kuat dan rosak. Hakikatnya, gari-gari materialisma telah merantai kehidupan mereka. Siapa pada hari ini yang bersahabat dengan ikhlas? Hari ini siapakah yang mengikat ukhuwwah mereka dengan tali ALLAH? Hari ini siapakah yang membina ukhuwwah mereka dengan dasar iman dan hendak mendapatkan keredhaan ALLAH?

 

Menggenggam Kembali Spirit Yang Hilang

Manusia hari ini perlu menggenggam sesuatu yang telah hilang di dalam kehidupan mereka. Itulah dia rasa lengkap melengkapi. Zaman globalisasi hari ini telah menyebabkan manusia lupa  akan perkara  penting ini. Masing-masing dengan kehidupan masing-masing, sibuk dengan kerja, sibuk dengan studi, sehingga tiada masa untuk memahami dan mengenali manusia di sekeliling.

Kekurangan dalam perhubungan, membuatkan manusia cepat lemah bila susah, dan sering membuat keputusan tidak tepat bila menghadapi tekanan. Tetapi bayangkan bila wujudnya manusia yang memahami diri kita, dan mengetahui keadaan kita, bukankah kesusahan kita akan menjadi sedikit ringan?

Jika studi, anda fikir ya, adakah studi berseorangan, atau studi dengan sokongan rakan-rakan yang lebih memberikan kesan dalam pelajaran anda? Bertukar-tukar nota, bertanya mengenai apa yang tidak difahami, berusaha melatih tubi bersama-sama, mana yang lebih anda rasa menyeronokkan?

Apatah lagi hendak melakukan kerja-kerja besar seperti hendak memperkenalkan ISLAM kepada masyarakat, dan mengajak kembali manusia mengamalkan ISLAM yang sebenar. Aktivis dakwah sepatutnya mempunyai rasa untuk saling lengkap melengkapi sesama mereka. Bukan saling cakar mencakar sesama sendiri. Sebenarnya kita ini membuat kerja dakwah, untuk mendapat pengikut kah, atau hendak membawa manusia kembali kepada  ALLAH?

 

Penutup: Lengkap Melengkapi, Saling Memperkasa

Justeru dalam apa sahaja urusan dunia dan akhirat, manusia perlu bergerak bersama. Lengkap melengkapi. Barulah keberkatan itu wujud, dan pergerakan juga akan menjadi licin. Kalau dalam urusan pelajaran, kita lengkap melengkapi bersama sahabat sekolah kita, kalau dalam urusan rumah sewa, kita lengkap melengkapi bersama rakan serumah kita, kalau dalam masalah keluarga, kita lengkap melengkapi bersama isteri, suami, ibu bapa, atau anak-anak kita, kalau dalam hal dakwah, kita sama-sama lengkap melengkapi dengan sahabat dakwah kita, dalam hal kemasyarakatan, kita lengkap melengkapi dengan jiran tetangga kita, dalam hal-hal agama, kita lengkap melengkapi denganpara alim di dalamnya, dan begitulah seterusnya dan sebagainya.

Dengan rasa hendak lengkap melengkapi ini, barulah tiada lubang untuk musuh masuk memecah belahkan kekuatan kita. Dengan lengkap melengkapi juga, kita telah mengecilkan risiko kita untuk jatuh tersungkur ke neraka akibat lalai dari hubungan kita dengan ALLAH SWT. Dengan lengkap melengkapi, kelalaian kita akan ditampung oleh sahabat yang mengingatkan.

Sebab itulah ALLAH SWT berfirman,

“ Bantu membantulah kamu dalam perkara  kebaikan dan ketaqwaan…” Surah Al-Maidah ayat 2.

Tetapi siapakah yang hendak terlebih dahulu menyahut seruan lengkap melengkapi ini?

Biasanya ego kita juga yang menjadi penghalang sejati.

Bagaimana?

Hendak mengutamakan ego anda?

Atau anda hendak mendapat pahala dan kebaikan daripada RABB anda?