Menjadi Muslim, Menjadi Manusia

Hilal Asyraf / September 29, 2017, 17:09:13 pm

 

 

Sering kita dengar ayat yang berbunyi kurang lebih sebegini:

“Jadi manusia dahulu sebelum jadi orang beragama.”

Kata-kata ini memisahkan kemanusiaan dengan agama, mungkin kerana muncul situasi-situasi di mana agama dipergunakan ke tahap ekstrim sehingga mengenepikan sisi-sisi insani. Contoh terdekat, teroris yang menggunakan Islam sebagai topeng kebinatangan masing-masing. Contoh lain, golongan berkuasa menggunakan agama untuk membisukan rakyat tertindas.

Memahami situasi-situasi tersebut, sebagai seorang Muslim, saya berpendapat sebenarnya apabila seseorang itu jujur menjadi Muslim, dia sebenarnya dibentuk menjadi manusia.

Islam tidak terpisah dengan kemanusiaan.

Saya percaya, orang yang benar-benar mendalami Islam, dia akan benar-benar menjadi manusia.

 

Bukan Hanya Ritual Menjadi Ibadah

Ibadah di dalam Islam terbahagi kepada dua jenis. Ibadah khusus dan ibadah umum.

Ibadah khusus ialah apa yang kita panggil sebagai ritual. Seperti solat, zakat, haji, puasa. Ada rukunnya, ada caranya yang tertentu, dan tidak boleh dibuat secara memandai-mandai.

Ibadah umum pula mencakupi segenap kehidupan insan. Seperti berbuat baik kepada orang tua, bersikap jujur dan amanah, menjadi seorang pembersih, menjauhi perkara yang memudaratkan, bahkan makanan dan minum, tidur dan bersukan, berkahwin dan berjimak, itu semua boleh menjadi ibadah. Batasnya mudah, selagi mana itu semua tidak dilakukan dengan melanggar perintah-perintah yang Allah SWT tetapkan, contohnya perintah menutup aurat dari pandangan bukan mahram, perintah menjauhi perkara yang haram, perintah menjauhi pembaziran.

Dalam erti kata lain, Islam itu mencakupi seluruh kehidupan. Setiap saat dan detik, seorang Muslim itu ialah Muslim yang bertanggungjawab untuk tunduk dan patuh kepada panduan yang telah Islam gariskan.

Islam tidak sekadar wujud di masjid sahaja.

Islam tidak sekadar semasa solat sahaja.

Tetapi Islam itu setiap masa dan ketika, saat berpolitik, saat berniaga, saat bersukan, saat bekerja di pejabat, saat makan dan minum, saat berhubungan antara suami dan isteri, dan saat-saat lain.

Allah SWT berfirman:

“Tidak Aku ciptakan jin dan manusia, melainkan untuk mengabdikan diri.” Surah Adz-Dzariyyat ayat 56.

Ayat tersebut menjadi dalil bahawa, tujuan penciptaan insan itu sendiri, ialah untuk tunduk dan patuh kepada Allah SWT. Maka demikianlah juga segenap kehidupannya, sehingga dia dipanggil pulang kepada Allah SWT jua.

 

Islam & Nilai Insaniyah

Islam tidak menafikan nilai-nilai kemanusiaan. Islam ialah agama yang waras. Lihatlah bagaimana Islam menyebut berkenaan hubungan sesama insan:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” Surah Al-Hujurat ayat 13.

Kemuliaan diletakkan pada ketaqwaan. Dan ketaqwaan bukan urusan insan untuk mengukurnya. Hanya Allah SWT yang mampu mengukur takat ketaqwaan seseorang insan. Tanggungjawab insan dengan insan yang lain, ialah saling kenal mengenal, faham-memahami. Bukan benci membenci, menanam rasa permusuhan, ingin menindas, ingin menghapus, ingin menganiaya. Bukan. Itu bukan ajaran Islam. Allah menegur kerasa sikap sedemikian:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) boleh jadi puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) boleh jadi puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. Amatlah buruknya sebutan nama fasik sesudah dia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.” Surah Al-Hujurat ayat 11.

Sesama Muslim pula, Islam mengajar bahawa seorang Muslim perlu menganggap Muslim yang lain itu bersaudara.

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” Surah Al-Hujurat ayat 10.

Di mata seorang Muslim, Muslim sesama Muslim ialah saudara seagamanya, manakala yang bukan Muslim juga ialah saudara mereka atas nama kemanusiaan.

Islam juga menyuntik rasa kisah di dalam diri insan terhadap kesan tindakannya terhadap orang lain. Sehinggakan, amal ibadahnya akan terhapus sekiranya hidupnya penuh dengan melukakan orang lain.

Rasulullah SAW bersabda:

“Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Jawab para sahabat: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta”. Sabda baginda: “Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, namun pada masa yang sama dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya, kemudian dia dicampakkan ke dalam neraka.” Hadith Riwayat Muslim.

Ya, begitu sekali Islam mengangkat nilai-nilai kemanusiaan.

Tidak cukup dengan menjaga hubungan sesama insan, Islam mendidik penganutnya untuk berlaku baik kepada binatang, tumbuh-tumbuhan dan alam sekitar.

“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.” Surah Al-Qasas ayat 77.

Di dalam ibadah Qurban, disyariatkan agar Muslim menggunakan pisau yang tajam agar proses penyembelihan tidak menyakitkan binatang. Dilarang juga menunjukkan-nunjukkan pisau tersebut di hadapan binatang sembelihan. Islam juga melarang binatang dicederakan saja-saja selain jalan sembelihan untuk dijadikan makanan.

Dari Jabir radhiyallahu ‘anhuma, dia berkata, “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam melarang pembunuhan binatang dengan diikat lantas dipanah.” Hadith Riwayat Muslim.

Demikianlah tumbuh-tumbuhan. Antara ciri-ciri manusia yang mendapat kemarahan Allah SWT ialah mereka yang merosakkan tumbuh-tumbuhan tanpa sebab munasabah.

Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan ia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal ia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu). Kemudian apabila dia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah dia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan, sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan. Dan apabila dikatakan kepadanya: Bertaqwalah engkau kepada Allah timbulah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu). Oleh itu padanlah dia (menerima balasan azab) neraka jahannam dan demi sesungguhnya, (neraka jahannam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal.” Surah Al-Baqarah ayat 205.

Allah SWT juga mengingatkan betapa kerosakan-kerosakan yang berlaku di atas muka bumi ini, hakikatnya terhasil dari tangan-tangan manusia sendiri. Ternyata antara seruan Islam yang menjaga alam seluruhnya – manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan, termasuklah lautan dan gunung-ganang.

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” Surah Ar-Rum ayat 41.

Inilah nilai-nilai yang diangkat di dalam Islam.

Bermakna, menjadi Muslim itu, sebenarnya menjadi manusia.

Tidak terpisah.

 

Mengambil Islam Secara Menyeluruh

Islam tidak sepatutnya diambil sebahagian-sebahagian. Allah SWT berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara menyeluruh; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” Surah Al-Baqarah ayat 208.

Saya percaya, tujuan ibadah-ibadah khusus di dalam Islam itu sendiri ada nilai kemanusiaan yang tinggi. Bukan semata-mata jalan mengumpul pahala peribadi.

Solat contohnya, digalakkan dilakukan secara berjemaah. Selain solat itu sendiri melatih seorang Muslim menjadi manusia yang punya disiplin, hidup ada hubungan dengan Tuhan, dengan galakan solat berjemaah Muslim dilatih untuk tidak hidup berseorangan, tetapi hidup bergaul dengan masyarakat.

Zakat, ibadah khusus untuk insan yang berharta. Muslim dilatih untuk memberikan sebahagian hartanya kepada yang memerlukan. Mengikis rasa cinta kepada dunia secara berlebihan, sambil tidak menghalang usaha seseorang untuk mencari rezeki dan mengejar kekayaan, sambil memupuk rasa kisah dengan insan lain serta semangat kesudian berkorban sedikit harta untuk membantu orang lain.

Demikianlah puasa sebulan di bulan Ramadhan. Berlapar dan dahaga di siang hari, melatih muslim dengan kesusahan, sedikit sebanyak menempa jiwa kemanusiaan. Mengingatkan mereka kepada yang lebih tidak berkemampuan untuk makan sesuka hati. Berkongsi rasa kesusahan, untuk menjadikan jiwa mereka bersatu. Kerana itu, diiringi dengan puasa Ramadhan, sebelum seorang Muslim menyambut kegembiraan di Eidul Fitri, diwajibkan membayar zakat fitrah, supaya dapat diagih-agihkan kepada yang kurang berkemampuan.

Haji ibadah terbesar di dalam Islam. Memerlukan pengorbanan bukan sahaja wang, tetapi juga masa dan tenaga. Haji ibarat sebuah konvensyen gergasi di peringkat antarabangsa, ummat Islam yang berkemampuan diwajibkan melaksanakannya sekurang-kurangnya sekali seumur hidup, berkumpul di Makkah melakukan ibadah, merasai kesatuan sejagat. Semua diwajibkan berpakaian pakaian yang sama, ihram, dengan warna yang sama – putih. Kaya miskin, pangkat tinggi rendah, bangsa apa sekali pun, akan kelihatan sama pada ketika itu, melatih akan hakikat Islam yang tidak mendiskriminasi, menganjurkan kesatuan, serta mengangkat semangat lengkap melengkapi.

Seorang Muslim yang menghayati ibadah-ibadahnya, pasti akan menjadi manusia yang baik. Baik kepada manusia yang lain, baik kepada binatang, baik kepada haiwan, baik kepada alam sekitar.

Sekiranya dia mengambil Islam itu secara menyeluruh.

 

Penutup: Setiap Muslim Itu Duta Kepada Islam

Satu perkara yang seorang Muslim perlu sedari ialah, dia merupakan duta kepada Islam.

Hari ini Islam dikaitkan dengan keganasan, dikatakan jauh dari nilai kemanusiaan. Seorang Muslim boleh membuktikan sebaliknya dengan bersikap dengan sikap-sikap yang dianjurkan Islam.

Sesungguhnya menjaga hubungan sesama manusia, menjaga flora dan fauna, ialah sebahagian dari disiplin seorang Muslim. Ibadah-ibadah khusus seorang Muslim hakikatnya tidak terpisah dari melatih dirinya untuk mempunyai disiplin yang tinggi, untuk bersikap dengan sikap keinsanan yang cukup tinggi. Seorang Muslim wajib solat lima kali sehari, bermakna seorang Muslim itu dilatih punya hubungan yang amat mendalam dengan Tuhan. Hubungan yang mendalam itu bermakna disiplin untuk mematuhi perintah Allah SWT.

Sebahagian dari mematuhi perintah Allah SWT ialah mengangkat nilai-nilai kemanusiaan tadi, berlaku baik sesama manusia, terhadap haiwan, tumbuh-tumbuhan dan alam sekitar.

Islam bukan cerita setakat pagar masjid.

Islam itu mencakupi segenap kehidupan.

Pemakanan yang baik, kejujuran dan amanah di tempat kerja, kebersihan diri, adab berinteraksi dengan sekeliling – manusia, haiwan, tumbuhan, alam sekitar – semuanya sebahagian dari ajaran Islam.

Kerana akhirnya, menjadi Muslim itu ialah menjadi manusia.

Tidak langsung terpisah.

Muhasabah.