Mengukuhkan Jiwa Menghadapi Ujian

Hilal Asyraf / June 2, 2017, 22:06:35 pm

Saya sentiasa berdoa: “Ya Allah, jauhkanlah aku dari bala bencana.”

Sebab saya tahu saya akan sukar untuk menanggungnya.

Tetapi perancangan Allah siapa tahu. Tiada siapa dapat mengelakkan dirinya dari teruji.

Perkongsian ini hanyalah persiapan untuk yang belum benar-benar diuji dengan ujian yang berat, dan juga sebagai sebuah muhasabah bagi yang telah atau sedang melaluinya.

 

Rasulullah SAW Dan Ibu Yang Bersedih

 

Kata Anas: “Sesungguhnya Nabi SAW bertemu dengan perempuan itu ketika dia sedang menangis dekat sebuah kubur. Lalu Nabi mengatakan kepadanya: Bertakwalah kepada Allah dan sabarlah!” Perempuan itu menjawab: “Pergilah engkau, kerana engkau tidak merasakan cubaan saya ini!” Nabi meninggalkan perempuan itu dan meneruskan perjalanannya. Kemudian lalu dekat perempuan itu seorang lelaki bertanya: “Apakah yang diucapkan oleh Rasulullah kepada engkau?” Jawab perempuan itu: “Aku tidak mengetahui (bahawa beliau Rasulullah)!.” Kata lelaki itu: “Sesungguhnya beliau itu Rasulullah SAW.” Maka datanglah perempuan tadi ke pintu rumah Nabi dan diperolehnya tidak ada pengawal. Perempuan itu berkata: “Ya Rasulullah! Saya tidak mengenal engkau!” Nabi bersabda: “Sesungguhnya kesabaran itu ketika pukulan pertama.” Hadith Riwayat Bukhari.

Ramai yang memandang hadith ini dan menyatakan ia berbicara berkenaan sabar. Benar, salah satunya. Namun, daripada perspektif saya juga, ianya adalah satu pengiktirafan kepada beratnya ujian yang menimpa seseorang insan, sehinggakan Rasulullah SAW tidak membalas herdikan terhadapnya dengan teguran lain.

Kerana? Pendapat saya, kerana Rasulullah SAW memahami kesakitan yang menimpa perempuan itu. Maka Rasulullah SAW tidak menegur sikap kasar perempuan tersebut apabila ditegur. Kerana ujian kehilangan anak, bukanlah ujian yang kecil.

Namun di sana, apabila Rasulullah SAW dijumpai kembali oleh wanita tersebut, yang ternyata telah bertenang dari kesedihannya, Rasulullah SAW memberikan pesanan bahawa kesabaran itu ialah saat kita ditimpa ujian.

Bukanlah di sini bermakna, orang yang ditimpa ujian, merungut atau mengeluh, bersedih atau rasa bengang, terus tidak diterima kesabarannya selepas itu. Tetapi ini bermakna, pada pendapat saya, ialah kesabaran yang tertinggi. Orang yang paling sabar itu ialah orang yang mampu bersabar saat ujian turun ke atasnya.

Namun kerana itu juga saya menganggap, hadith ini merupakan pengiktirafan Islam kepada kesukaran seseorang insan untuk berhadapan dengan ujian.

Bukan senang hendak bersabar pada pukulan yang pertama, kerana ujian itu berat!

 

Hidup perlu 100%, 24/7 hamba

Islam bukan agama sekejap-sekejap, separuh-separuh, sedikit-sedikit. Islam selain merupakan agama ritual, ia juga merupakan cara hidup. Islam setiap masa, setiap ketika, di mana sahaja. Sewaktu jaga, sewaktu tidur, semasa belajar, semasa bekerja, hatta semasa diam hinggalah membuang najis di dalam tandas juga Islam wujud mengatur kehidupan.

Bagi mereka yang menjalani kehidupan sebegini, setiap saat adalah pelaburan kepada Bank Akhirat mereka. Allah menghitung segalanya sebagai amalan. Segala bentuk pekerjaan dan amal adalah jihad untuk kekal sebagai hamba Allah SWT.

Tambah pula, mereka yang keluar mengorbankan diri di atas jalan Allah, menjalankan dakwah menyeru ummah, berkorban harta bergadang waktu memberikan tenaga untuk meluaskan lagi jalan-jalan manusia ke arah kebenaran.

“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” Surah As-Soff ayat 10-11.

Apa-apa sahaja bencana yang menimpa saat kita menjadi ‘hamba’, itu perlu dipandang sebagai rahmat sebenarnya. Tiada yang rugi bila pengorbanan itu dikira oleh Allah SWT. Tiada kekurangan apabila sesuatu itu diambil oleh Allah SWT.

Hanya mereka yang menjadi hamba sepenuh masa, berjuang di atas jalan-Nya, memahami perkara ini dengan sebenar-benar kefahaman.

 

Kita boleh lihat mereka

Abdurrahman bin Auf RA, terkenal sebagai seorang yang tempang. Dia mula tempang ketika peperangan Uhud. Apabila dia menjadi perisai kepada Rasulullah SAW, dan betisnya ditusuk sebanyak 21 kali hingga kakinya cacat.

Jika kita perhatikan, Abdurrahman bin Auf RA adalah seorang kaya raya. Kalau dia mahu, dia boleh hanya menyumbang harta dan duduk diam di rumahnya tanpa cedera, tanpa kecacatan. Tetapi dia turun juga mengorbankan diri. Allah menarik nikmat kakinya yang sihat. Apakah dia mencaci?

Tidak.

Kenapa?

Kerana dia benar-benar beriman bahawa kakinya yang tempang itu, Allah akan berikan ganjarannya di akhirat kelak. Dan setiap saat dia sabar dengan ketempangan kakinya akibat berjuang di jalan Allah, maka Allah akan menambah ganjarannya.

Saya masih ingat ketika kecil, saya membaca sirah seorang sahabat Rasulullah SAW, di dalam satu peperangan apabila musuh telah berjaya mencederakan tangannya sehingga tergayut di bahu. Tangannya itu membuatkannya sukar untuk berperang. Dia tanpa lengah, memijak tangannya yang tidak boleh dipakai itu, dan mencabutnya terus. Lalu dia bergerak menerobos ke tengah-tengah musuh.

Dari manakah kekuatan sahabat ini untuk terus memutuskan tangannya?

Keimanan kepada Allah SWT, bahawa Allah akan membayar tangannya itu dengan sesuatu yang lebih baik.

Kita lihat pula Khansa RH. Dia adalah seorang perempuan yang sangat dikagumi. Hal ini kerana, dia mempunyai empat orang anak lelaki. Dihantar kesemuanya ke medan peperangan satu persatu. Bila yang sulung tumbang, dia arahkan yang kedua pergi. Bila yang kedua tumbang, dia gesa yang ketiga pergi. Ketika yang ketiga juga tumbang, tanpa lengah dia mengerahkan yang keempat pergi. Bila berita sampai ke rumahnya bahawa anaknya yang keempat juga tumbang, Khansa RH menangis.

Maka berkatalah orang ramai: “Khansa menangis kerana sedih kehilangan semua anaknya”

Khansa pun berkata: “Diamlah kalian. Sesungguhnya aku menangis kerana aku sudah tiada anak lagi untuk dihantar berjuang di atas jalan Allah SWT”

Apakah Khansa ini gila mengorbankan nyawa anak-anaknya?

Tidak. Tetapi dia beriman kepada Allah SWT, bahawa Allah akan menempatkan anak-anaknya di sebaik-sebaik tempat di syurga. Dan dengan anak-anaknya, Allah akan memberikan saham akhirat yang besar kepada Khansa.

Siapakah yang mampu melihat perkara ini, selain orang yang benar-benar beriman kepada Allah SWT?

“Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.” Surah Ali Imra ayat 139.

Kita adalah yang tertinggi, sekiranya kita beriman. Kita adalah yang termulia, sekiranya kita adalah yang beriman. Kita adalah yang paling tabah, cekal, kuat sekiranya kita adalah yang beriman.

 

Yang beriman itu, tidak pernah rugi dengan cubaan, kehilangan, dan kekecewaan

Bukan bermakna yang beriman itu tidak bersedih. Yang beriman itu manusia, bukan robot tanpa jiwa.

Tetapi yang beriman tidak akan tertipu dengan dunia. Yang beriman tahu bahawa dunia ini hanya pinjaman. Maka matanya, tangannya, hidungnya, kakinya, wajahnya, hartanya, masa lapangnya, dan segala perkara yang dia ada adalah pinjaman daripada Allah SWT. Hendak menjadikan pinjaman ini berharga, maka hendaklah dia menggunakan pinjaman-pinjaman ini sebagai pelaburan akhiratnya.

Maka, apabila Allah menarik pinjaman-pinjaman yang diberikan-Nya, Yang beriman akan berusaha untuk redha. Sebab dia yakin, memang semua itu adalah pinjaman. Kalau bukan ditarik hari ini, Allah akan menariknya juga di saat kematian nanti.

Lebih baik ditarik sedikit menjadi peringatan untuk mendidik diri ke arah hamba yang taat, daripada ditarik seluruhnya dalam keadaan kita melakukan maksiat.

Orang-orang yang beriman, tidak akan pernah merasa rugi.

Segala apa yang berlaku kepadanya adalah baik.

Sebab itu orang yang beriman diiktiraf sebagai yang ajaib.

“Sungguh ajaib urusan orang yang beriman itu, sesunggunya segala urusan mereka adalah baik, dan tiada yang memperolehi keadaan ini melainkan yang beriman sahaja. Sekiranya dia dianugerahkan sesuatu dia bersyukur. Maka jadilah anugerah itu baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa musibah dia bersabar. Maka jadilah musibah itu baik untuknya” Hadith riwayat Muslim.

 

Penutup: Cakap Memanglah Mudah

Menulis dan bercakap untuk sabar, memanglah mudah.

Namun inilah sedikit sebanyak pesan-pesanan, untuk diri sendiri terutamanya sekiranya ditimpa ujian dan bencana kelak, yang mungkin bakal menggugat keimanan diri.

Jika kita melihat rakan atau orang lain ditimpa musibah, tanamkanlah rasa kasihan, hantarkanlah doa semoga Allah ringankan ujianNya terhadap orang-orang tersebut, dan jika mampu, bersama-samalah mereka untuk membantu menyuntik ketabahan.

Moga-moga, di saat kita ditimpa musibah, ada orang yang sudi melakukan hal yang sama kepada kita.

Sama-samalah kita mencontohi Rasulullah SAW, yang bersikap lembut dengan wanita yang ditimpa musibah tadi. Tidaklah baginda melenting kembali kepada wanita tersebut, di sisi kuburan anaknya. Kerana baginda faham dan berusaha untuk memahami situasi wanita tersebut.

Demikianlah juga kita.

Pada masa yang sama, kita mengambil iktibar untuk melatih diri menjadi hamba yang sabar.

Sebelum ditimpa ujian yang berat, banyak sahaja ujian kecil-kecil yang kita hadapi sepanjang kehidupan ini. Kita cuba bersabar melalui dan menghadapi ujian-ujian kecil tersebut.

Moga-moga itu melatih kita untuk mampu berhadapan dengan ujian yang besar kelak.

Saya akhiri dengan firman Allah SWT:

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat.” Surah Al-Baqarah ayat 214.

Muhasabah.