Menghadapi Ujian Daripada Ilahi

Hilal Asyraf / June 2, 2017, 21:06:25 pm

Kadangkala di dalam hidup ini, kita ditimpa dengan perkara yang kita rasakan tidak baik. Bencana contohnya, ujian seperti kemalangan, kematian orang tersayang, kegagalan peperiksaan, tohmahan rakan dan pelbagai lagi.

Hati saat itu akan berbisik, apakah Allah telah berlaku tidak baik kepada kita?

Semestinya tidak.

Hal ini kerana, Allah SWT tidak pernah memberikan yang tidak baik pada hamba-hamba-Nya.

Cuma pokoknya, apakah kita mampu menerima keputusan Allah dalam keadaan terbaik, yakni dalam keadaan redha pada-Nya?

Itu persoalannya.

 

Sikap orang beriman terhadap keputusan Allah SWT.

Orang Islam itu tidak ajaib. Tetapi, orang beriman diiktiraf sebagai menakjubkan. Kenapakah orang beriman mencapai tahap yang menakjubkan?

Hal ini kerana mereka mampu melalui segenap liku kehidupan dengan tabah dan ketenangan.

Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh ajaib keadaan orang beriman, sesungguhnya semua urusan mereka berada dalam keadaan baik. Dan tiad ayang memperolehi keadaan ini melainkan orang yang beriman sahaja. Sekiranya dia dianugerahkan sesuatu, dia bersyukur. Maka jadilah anugerah itu baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu baik untuknya” Hadith riwayat Muslim.

Ya. Itu dia orang beriman. Segala keputusan Allah adalah baik. Anugerah kecemerlangan dan kegemilangan hidup tidak menjadikannya riya’, takabbur, ujub sehingga menyeretnya ke neraka. Timpaan musibah tidak membawa kepadanya putus asa, kecewa dan merungut-rungut sehingga menyeretnya ke dalam kalangan manusia yang tidak bersyukur.

Kenapa Rasulullah SAW menyebut ‘orang beriman’, tetapi bukan orang yang memeluk Islam?

Hal ini kerana, hanya yang ber’iman’ sahaja mampu menghubungkan jiwanya dengan Allah SWT, untuk redha dengan segala keputusan-Nya. Tunduk taat pada ketentuan-Nya. Hal ini kerana, hanya orang beriman sahaja yang percaya 100% tanpa ragu kepada Allah SWT.

 

Keburukan itu, hasil daripada tangan sendiri

Musibah-musibah yang menimpa kita dalam kehidupan, biasanya adalah daripada tangan kita sendiri. Tidak semestinya secara terus ia berkait.

Sebagai contoh, seorang pelajar gagal dalam peperiksaan. Tidak semestinya kerana dia tidak rajin studi. Tetapi kegagalannya di dalam peperiksaan, mungkin adalah teguran Allah SWT atas sikapnya yang angkuh, atas hubungan dengan ibu bapanya yang buruk, atas pembazirannya, atas kelupaannya dalam melaksanakan perintah-perintah fardhu da 1001 sebab lain.

Allah SWT tidak akan memberikan keburukan, melainkan kita sendiri yang menjemput keburukan itu. Lihatlah betapa pengasihnya Allah SWT menghantar rasul-rasul pada ummat yang tidak mengetahui. Allah tidak akan mengazab sesuatu kaum melainkan telah disampaikan rasul kepada mereka.

“Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).” Surah Al-Israa’ ayat 15.

Tetapi, manusia memilih untuk ingkar. Sebab itu Allah menurunkan musibah kepada mereka.

Akhirnya benarlah firman Allah SWT:

“Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.” Surah Asy-Syu’ara ayat 30.

Kenapa dikatakan dosa-dosa, bukan perbuatan? Sebab tidak semua perkara Allah balas kerana perbuatan. Mungkin dosa kita dengan rakan, menyebabkan kita gagal pada satu sisi lain dalam kehidupan kita, walaupun perbuatan kita terhadap sisi kehidupan itu baik-baik sahaja.

 

Kadangkala Kerana Hendak Menghapuskan Dosa-dosa

Antara tujuan lain juga seseorang itu diuji oleh Allah SWT, ialah untuk menghapuskan dosa-dosanya.

Hal ini jelas dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmanNya:

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.” Surah Al-Baqarah ayat 155-157.

Rasulullah SAW juga ada bersabda:

“Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya, melainkan Allah akan mengugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang mengugurkan daun-daunnya.” Hadith Riwayat Bukhari & Muslim.

Bagaimana ujian boleh menghapuskan dosa-dosa?

Sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmanNya yang kita nukilkan tadi, apabila seseorang itu teruji, akan ada yang memilih untuk bersabar. Mengapa mereka bersabar? Kerana mereka beriman kepada Allah SWT. Dan sabar adalah sebahagian daripada amal dan sikap yang diredhai oleh Allah SWT. Di sana tercatat untuknya kebaikan.

Dan Islam mendidik kita bahawa kebaikan itu memadamkan kejahatan.

“Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.” Surah Hud ayat 114.

 

Kadangkala Untuk Memperkasakan Lagi Keimanan Kita

“Alah, ada orang tu aku kenal, baik sangat orangnya, pun Allah uji juga?”

Mungkin ada soalan sedemikian menerjah.

Ya, tidak dinafikan. Ada manusia yang baik, yang tidak korup, tidak jahat, namun masih ditimpakan ujian. Ya, mustahil ada manusia yang sempurna, jadi boleh kita katakan mungkin Allah SWT mahu bersihkan dosa-dosanya. Tetapi kadang, kita lihat, mungkin kekurangannya kecil, masakan Allah sanggup timpakan bencana yang besar ke atasnya?

Masih ada orang yang mungkin dosanya minimal, tertimpa ujian yang berat.

Contoh paling mudah, para sahabat Rasulullah SAW sendiri. Mereka bukan ahli maksiat. Tetapi bukankah mereka yang paling teruji sepanjang memikul bebanan dakwah dan perjuangan Islam? Apakah Allah SWT membenci mereka?

Tidak.

Tetapi itulah dia orang-orang yang dipertingkatkan kualiti imannya.

Kerana itu, kita melihat Allah SWT memberikan kepada kita perkaitan antara keimanan dan ujian.

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.” Surah Al-Ankabut ayat 2-3.

Bermakna, setiap kali manusia itu teruji, keimanannya akan menjadi penentu sama ada dia akan mampu menghadapi ujian tersebut dengan redha, atau tidak. Maka lebih berat ujian yang dihadapi, semakin tinggi keimanan yang perlu diraih untuk kita berjaya mengharunginya.

Inilah yang Allah SWT jelaskan di dalam firmanNya:

“Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, berkatalah mereka: Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya. Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah.” Surah Al-Ahzab ayat 22.

Para sahabat diuji dengan tentera Al-Ahzab yang bilangannya ramai, mencecah 10,000 orang sedang mereka hanya seramai 3000 orang. Tetapi mereka menerima ujian tersebut dengan baik, menghadapinya dengan keimanan, dan keimanan mereka tertingkat!

 

Penutup: Allah sentiasa memberikan yang terbaik.

Kita merenung kembali hadith yang awal kita nukilkan.

Ajaib sungguh urusan orang mukmin.

Apabila kita mengaitkan segala kejadian di dunia ini ialah hasil daripada aturan dan kehendak Allah SWT, kita akan melihat semuanya dari perspektif yang positif. Kerana Allah SWT tidak akan sesekali menzalimi hamba-hambaNya.

Keimanan akan hal ini menyuntik kekuatan insan untuk berhadapan dengan ujian-ujian yang menimpa. Menjauhkan dirinya dari kelemahan putus asa, dan kemudaratan kecewa.

Keimanan inilah yang akan membina peribadi-peribadi yang teguh mengharungi cabaran dunia.

Daripada Allah SWT kita datang, kepada Allah SWT kita kembali, maka segala apa pun ujian yang mendatang, semuanya akan kita teguh hadapi!

Muhasabah.