Mekong

Fadhlin Farhanah / September 30, 2017, 18:09:10 pm

30 Mac 2014. Phnom Penh River View Hotel, Phnom Penh, Cambodia

Deru angin daripada Sungai Mekong mengisi keheningan malam. Malam terakhir mereka semua di bumi Kemboja.

“Jadi, apa pengalaman atau pengajaran yang awak boleh kongsikan kepada rakan-rakan di Malaysia sepanjang perjalanan tiga hari di sini?”

Ustaz Azli bersuara, menarik perhatian peserta-peserta Rehlah Tarbawi Murabbi 3.0 yang sedang menikmati makan malam di dewan terbuka tingkat dua hotel ini.

Aida memulakan sesi perkongsian malam itu dengan melontarkan bait indah Syair Imam Syafie yang sudah sedia tercatat dalam buku notanya.

 

Dan tiadalah duduk setempat bagi orang yang cerdik dan beradab itu dianggap sebagai rehat

Tinggalkanlah tanah air dan mengembaralah,

Berkelanalah, engkau akan dapati pengganti orang yang kamu tinggalkan,

Berusahalah, kerana keindahan hidup itu ada pada berpenat-penatan,

Aku melihat air yang bertakung, mencemar kandungannya sendiri,

Sekiranya ianya mengalir, ia akan baik, sekiranya tidak mengalir, akan tercemar.

 

Aida melirik kearahku. Aku mengangguk perlahan. Husna di sebelahku hanya tersenyum.

 

April 2013, Blok Aspuri, Kolej Bestari Jaya

Spoilt brat. Budak manja. Degil.

Perkataan yang menggambarkan sikapku ketika pertama kali menjejakkan kaki ke kolej ini. Ketika itu aku berada di tingkatan empat. Satu-satunya anak tunggal yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang dan kemewahan  merupakan faktor utama kurangnya rasa bertanggungjawab dalam diri.

“Fatin! Ya Allah, kemas loker awak sekarang jugak! Katil ni kenapa tak kemas lagi? Sekejap lagi warden datang ronda!”

Bergema dorm di Blok Aspuri dengan suara Aida, memecahkan keheningan subuh pagi itu. Aku yang sudah berdiri di muka pintu dengan beg sekolah tersengih nakal. Kagum betul dengan kesabaran kawan baik yang seorang ini.

“Aahh sekejap lagi dia kemaskan lah tu.” Segera kumelangkah menuju ke bangunan akademik, meninggalkan Aida yang terpinga-pinga melihat gelagatku.

 

Februari 2014, Blok Asrama, Kolej Bestari Jaya

Rombongan tahunan, Rehlah Tarbawi Murabbi 3.0 ke Kemboja akan diadakan pada minggu hadapan.  Tanpa pengetahuannya, Aida telah mencadangkan namanya kepada Ustaz Azli sebagai salah seorang peserta rombongan.

“Fatin kenapa ni, muncung semacam?” Husna, teman sebilikku bertanya.

“Rehlah Tarbawi…”

“Jauh perjalanan luas pemandangan. Lagipun aku kan ada, Aida pon ikut sama. Kita belajar benda baru okay?”

Em…”

 

27 Mac 2014. Maahad Muhajirin, Sihanouk Ville, Cambodia

“Berjalan, bermusafirlah, melihat kebesaran Tuhan yang menciptakan. Kepada mereka yang berfikir.”

Bait lirik indah Hikmah Kembara nyanyian Mirwana menyentuh hatinya. Perlahan earphone di telinga dicabut. Perasaan penat dan mengantuk sepanjang perjalanan daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh ke Maahad Muhajirin yang memakan masa hampir 3 jam hilang diganti dengan perasaan teruja.

Petang itu, seluruh peserta Rehlah Tarbawi 3.0 disambut dengan selawat daripada seluruh penghuni madrasah sebaik sahaja bas kami memasuki perkarangan madrasah. Pelajar-pelajar perempuan yang lengkap berpudah hanya meraikan ketibaan kami daripada balkoni blok asrama mereka, sementara pelajar lelaki membantu mengeluarkan bagasi-bagasi peserta rombongan. Ustaz-ustaz mereka dengan ramahnya menyambut guru-guru kami, cuba berbual menggunakan Bahasa Melayu walaupun kedengaran agak janggal.

Maahad Muhajirin, Sihanouk Ville, Kemboja. Sebuah madrasah yang terletak di ceruk kampung yang penghuninya majoriti menganut agama Islam. Terdetik rasa kagum dengan kesungguhan pengasasnya, Ustaz Zainal Abidin yang berasal daripada bumi Kemboja tetapi bermastautin di Kelantan selama 10 tahun, untuk mendirikan sebuah madrasah di bumi Kemboja yang penduduk majoritinya beragama Buddha.

Aku tersenyum. Terasa nyaman berada di maahad ini. Bumi barakah.

Aida menggenggam tanganku erat. “Kita kena kutip segala ibrah, segala pengalaman yang boleh dipelajari disini.” Perlahan dia menggumam.

Husna mengangguk perlahan.

***

Dorm kecil itu menempatkan  20 orang peserta perempuan sepanjang dua malam kami di sini. Infrastrukturnya serba sederhana. Tiada katil. Tiada kipas dinding.

Yang ada hanya tikar mengkuang yang disediakan sebagai alas tidur kami. Sebuah rak buku kecil yang dimuatkan dengan beberapa naskah Al-Quran diletakkan di penjuru dorm kecil ini. Kemudahan tandasnya amat sederhana. Hanya terdapat satu kolah kecil sebagai sumber bekalan air.

First time aku tengok tandas macam ni..” Aku menggumam perlahan.

“Sebenarnya, tandas dekat kampung aku, Kedah pun lebih kurang macam ni.” Aida yang kebetulan berdiri dibelakangku menambah.

Terbit rasa syukur dihati apabila teringat kata-kata Ustaz Azli ketika taklimat terakhir di Malaysia sebelum mereka berangkat ke sini.

“Dorm penginapan kamu merupakan dorm yang disediakan untuk guru-guru maahad di sana. Jadi kamu boleh bayangkan betapa sederhananya dorm yang disediakan untuk para pelajarnya.”

 

28 Mac 2014. Maahad Muhajirin, Sihanouk Ville, Cambodia

Pagi itu hujan renyai-renyai.  Sejuk. Selimut ditarik, menutupi seluruh kepala.

Kak Yana, salah seorang tenaga pengajar maahad ini mengetuk pintu bilik kami.

“Jika sudah siap, makan ya.” Kak Yana yang Bahasa Melayunya agak fasih, mengajak kami ke sebuah kantin tidak jauh daripada dorm penginapan.

Kantin itu serba sederhana. Hanya berbumbungkan atap zinc dan berlantaikan tanah. Kantin tersebut dilengkapi dengan beberapa buah kerusi dan meja yang amat daif keadaannya. Mereka menghidangkan sejenis hidangan yang rupanya seperti bubur dan ikan masak kicap sebagai sarapan pagi.

Aku yang sifatnya agak memilih makanan hanya diam, tidak menyentuh makanan tersebut. Namun ucapan terima kasih masih diungkapkan. Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa.

Bungkusan coklat Snickers yang dibawa daripada Malaysia dibuka. Mata tertancap ke arah anak-anak kecil yang bermain di dapur kantin. Mungkin anak guru-guru yang tinggal disini, getus hatiku.

Peserta Rehlah Tarbawi yang sudah selesai makan mengangkat mangkuk mereka dan meletakkan di atas meja berdekatan dengan dapur kantin. Nak dibasuh, dimarahi oleh guru-guru wanita yang ada di dapur. Sampai begitu sekali mereka meraikan tetamu.

Namun apa yang dilakukan oleh anak-anak kecil tadi lebih menarik minatku. Mereka mengambil mangkuk tersebut dan menjilat saki baki bubur dan ikan yang tertinggal didalamnya sehingga licin.

Hati bertasbih, memanjatkan rasa syukur kepada Tuhan. Aku di rumah masih boleh memilih makanan yang mahu dimakan tapi disini mereka tiada banyak pilihan. Sungguh, aku banyak belajar untuk lebih bersyukur di sini.

Segera aku melambai ke arah anak-anak kecil itu. Coklat snickers dan ucapan Okhunchran (terima kasih dalam bahasa Khmer, bahasa kebangsaan Kemboja) berpindah tangan.

***

“Waaahhh”

Rasa kagum apabila melihat struktur rangka bangunan yang masih lagi di peringkat permulaan dihadapan mata.

“Fatin, tak sangka kan mereka disini bina bangunan madrasah mereka sendiri?” Aida menambah.

Setelah selesai melaksanakan ibadah korban pagi itu, kami dibawa melihat proses pembinaan dewan. Kami dimaklumkan oleh Ustaz Azli, sebahagian daripada wang sumbangan dermawan daripada Malaysia akan digunakan untuk menampung pembinaan dewan ini.

Pelajar-pelajar lelaki Maahad Muhajirin yang kebanyakannya sebaya dengan kami sedang sibuk membancuh simen dan mengangkat kayu-kayu yang akan digunakan untuk proses pembinaan rangka dewan bersama-sama dengan ustaz mereka. Sebahagian peserta lelaki rehlah tarbawi juga turut sama membantu.

Husna melambai daripada jauh. “Fatin! Aida! Kak Yana panggil, minta tolong potong daging untuk kenduri tengah hari nanti.”

 

29 Mac 2014. Bokor Hill Station, Kampot, Cambodia

Petang itu angin sepoi-sepoi bahasa. Nafas dihela. Rasa syukur dengan anugerah Tuhan, dapat berdiri di bawah langit, menikmati alam ciptaanNya.

Masih lagi teringat wajah anak-anak dan guru Maahad Muhajirin yang baru sahaja ditinggalkan pagi tadi.

“Kami akan datang lagi. Okhunchran, Kak Yana.” Terbayang wajah Kak Yana yang hanya tersenyum mengangguk sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada kami.

Peserta-peserta rombongan yang lain sibuk mengambil gambar, merakamkan kenangan. Aku segera berlari mendapatkan Aida dan Husna yang baru sahaja selesai menerokai bangunan lama tinggalan kerajaan Perancis berpuluh tahun dahulu yang kini diwartakan sebagai pusat pelancongan.

Betullah kata Husna, jauh perjalanan luas pemandangan.

 

30 Mac 2014. Pnom Penh, Cambodia

Aliran Sungai Mekong yang mengalir perlahan ditenung kosong daripada balkoni hotel. “Malam terakhir disini huh?”

Husna disebelah mengangguk perlahan. Aida entah dimana, mungkin sibuk membantu Ustaz Azli dengan urusan untuk pulang ke Malaysia esok pagi.

“Kau rasa dalam sungai ini ada makhluk macam raksasa tasik Loch Ness tu tak?”

Aku tergelak, mata masih lagi memerhati aliran perlahan sungai terbesar di Asia Tenggara itu. “Maybe.”

“Banyak benda kita belajar dekat sini.” Aku mengangguk, membiarkan Husna menyambung ayatnya.

“Paling terkesan, kita belajar nilai syukur. Syukur dengan kehidupan kita yang serba lengkap. Syukur dengan sistem pendidikan kita yang sempurna. Syukur dengan keamanan negara kita.”

“Syukur dengan kemudahan asrama kolej kita walaupun kolej kita tu umurmya sebaya dengan opah aku.”

Husna hanya tertawa kecil. Masing-masing diam, menghayati keindahan ciptaan Tuhan yang terbentang di hadapan mata.

“Fatin, aku rasa kau yang paling banyak terkesan daripada rehlah ni. That spoilt brat has grown up.”

Aku mengangguk, mengiakan kata-kata Husna.

 

Sekiranya ianya mengalir, ia akan baik, sekiranya tidak mengalir, akan tercemar.”