Manifestasi sebuah Dendam

Higanbana / January 31, 2018, 22:01:48 pm

Cerpen: Manifestasi sebuah Dendam

Tudung Aliesya menari-nari ke kiri dan ke kanan dek disapa bayu malam yang agak kuat. Aliesya tersenyum sambil memejamkan mata bagi menikmati kesedapan bayu yang membelai itu. Setiap pukulan bagaikan menghambat segala tekanan dan kegusaran hati yang membelenggu jiwanya sejak beberapa minggu lalu. Tangannya diregangkan ke hadapan bagi melonggarkan urat-urat dan otot-otot yang sudah mula mengeras akibat terlalu lama duduk di kedai mamak. Kepalanya didongakkan ke dada langit yang kosong, mencari kelibat bintang yang tersembunyi di sebalik tabir cahaya lampu kota yang masih benderang. Tiada.

Dia kemudian menjenguk muka jam yang melilit pergelangan tangan kanannya. Tepat 1 pagi. Suasana sekeliling masih riuh rendah. Keriuhan dan kemergelapan cahaya sekeliling  membuatkan perembesan hormon melatonin Aliesya terbantut. Matanya masih segar walaupun pada waktu ini di rumah biasanya dia sudah hanyut ke tengah lautan mimpi. Dia memerhatikan sebuah restoran eksklusif di seberang jalan. Lampu fluorescent yang dipasang pada tiang dan bumbung restoran tersebut memancarkan suasana romantik. Tangannya laju mencatit hasil pemerhatian di dalam sebuah buku kecil. Tiba-tiba kerusinya tergoncang akibat dilanggar dari belakang oleh seseorang. Dia berpaling ke belakang dan kepalanya automatik terdongak bagi melihat wajah pelakunya.

“Urp, maaf dik. Tak nampak tadi.” Sesusuk tubuh yang menawan persis model Adriana Lima mengangkat tangan kepada Aliesya sebagai tanda memohon maaf. Walaupun wajahnya jelita dan mampu memikat mata yang memandang, suaranya agak kegarauan. Buah halkum juga kelihatan tertonjol di lehernya. Langkahnya terhuyung-hayang. Tangan kanannya tidak henti-henti menahan mukus yang mencair laju keluar dari hidung dengan menggunakan tisu. Aliesya hanya terkebil-kebil sambil memandang pemilik tubuh itu menarik kerusi di sebelah tempat duduknya.

“Boleh saya duduk sini?” soal manusia yang memiliki kedua-dua personaliti lelaki dan perempuan tersebut setelah melabuhkan punggungnya di kerusi sebelah Aliesya.

“Duduklah.” Aliesya membalas ringkas sambil menghadiahkan senyuman ringkas sebelum dia kembali menghadap buku nota kecil di hadapannya.

“Uekkk…” belum sempat Aliesya meneruskan catatannya, bunyi muntah seseorang telah mengalihkan perhatiannya. Kepalanya dialihkan ke arah sumber bunyi itu.

“Erk..encik, eh cik? Erp..apa aku nak panggil ni..ermm okay tak ni ?” Tanpa menghiraukan kekeliruan tentang kata nama yang sesuai digunakan, soalan itu terus terpancul dari bibir Aliesya setelah melihat pemuda berpakaian wanita di sebelahnya tadi memuntahkan cecair berwarna putih.

Soalannya tidak terbalas. Sebaliknya, pemuda itu terbongkok-bongkok sambil memicit perutnya.  Tubuhnya terjatuh dari kerusi. Dadanya kelihatan berombak-ombak menahan rentak nafas yang semakin laju. Bersama dengan muntah, air liur juga banyak meleleh keluar dari mulut pemuda itu. Orang ramai di sekeliling terpaku melihat segala yang berlaku. Tangan Aliesya mula menggeletar. Dia cuba menenangkan diri lantas menaip 999 bagi mendapatkan bantuan.

Aliesya hanya terkaku memandang tubuh pemuda yang sudah tidak bergerak itu. Dia sendiri tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Setelah 10 minit berlalu, ambulans tiba. Seorang staf paramedik memeriksa nafas dan denyut jantung pemuda itu kemudian dia hanya menggelengkan kepala kepada rakan yang melutut bersetentang dengannya. Unit Forensik PDRM yang tiba lebih awal sudah bersedia untuk memeriksa mayat mangsa.

“Tolong!!!” Aliesya dan semua orang yang berada di situ dikejutkan dengan suatu jeritan. Kelihatan seorang wanita Cina yang berjarak lebih kurang 30 meter dari tempat kejadian melambai-lambaikan tangannya bagi menarik perhatian kami. Dia kemudiannya menunjukkan tubuh seorang wanita yang telah terbaring di permukaan kaki lima dengan tubuhnya tergoncang-goncang akibat getaran.

“Apakah…?” hanya itu yang mampu terluah oleh Aliesya.

***

Dummm!!!

Aliesya terjaga dari tidur. Kepalanya masih terasa pening akibat ketidakcukupan tidur. Tapak tangannya ditelangkupkan ke dahi.

“Ah, dah mula panas.” DIa mengeluh kepada dirinya sendiri.

“Assalamualaikum,” Taufiq menegur sahabatnya yang masih tidak bermaya.

“Waalaikummussalam..”Aliesya hanya menjawab perlahan. Tubuhnya terasa teramat letih.

“Selamat pagi Aliesya!” Suresh pula menegur Aliesya dengan wajah penuh keceriaan.

Melihatkan wajah Suresh yang ceria itu membuatkan senyuman Aliesya terukir sendiri tanpa perlu dipaksa.

“Selamat pagi..” tetapi dia menjawab teguran Suresh tetap masih dengan nada lemah.

“Macam mana dengan keputusan autopsi pagi tadi Taufiq?” soal Aliesya sambil memalingkan tubuhnya menghadap Taufiq di meja belakang.

“Perkara yang paling ketara, bacaan Arsenik pada rambut mereka tinggi.” Taufiq menjawab ringkas sambil jari-jemarinya laju menari di papan kunci komputer.

“Keracunan akut Arsenik?” soal Aliesya ringkas.

Taufiq hanya menggangguk.

Kruakkkkkk…

Suresh, Taufiq dan Aliesya dengan serentak berpaling ke arah bunyi tersebut. Pintu pejabat mereka dibuka. Kelihatan dua batang tubuh yang tinggi dan sasa mula melangkah memasuki pejabat mereka.

“Assalamualaikum..” seorang lelaki yang berwajah sedikit kejawaan memberi salam dengan intonasi yang serius.

“Waalaikummussalam..” jawab Taufiq.

“Selamat pagi..” tegur seorang lagi lelaki Cina yang agak berumur dengan beberapa helai uban yang terpancar dari celahan rambutnya seiring dengan senyuman yang menyejukkan hati setiap mata yang memandang.

“Bagaimana kes pagi tadi Tuan?” soal Aliesya. Dia ingin menyelesaikan kes itu secepat mungkin kerana dia sudah tidak sabar lagi untuk berehat.

“Jumlah semua mangsa lebih kurang 80 orang. Yang mati dah mencecah 50 orang. Unit pantologi forensik suspek semua diracuni Arsenik.” Suresh, Taufiq dan Aliesya terkaku. 50 bukanlah suatu jumlah yang sedikit. Aliesya tidak sangka bilangannya boleh mencapai sebegitu banyak.

“Saya yakin dan percaya itu Arsenik. Tapi dari mana puncanya? Biasanya Arsenik yang boleh membawa maut ini berasal dari air.” Kata-kata Aliesya terhenti di situ.

“Kalau betul dari air suatu bencana besar bakal menimpa.” Sambung Sarjan Chong pula.

“Sarjan, kita perlu hubungi Jabatan Bekalan Air KL untuk putuskan bekalan air sementara waktu.” Gesa Inspektor Khairul.

“Saya hubungi sekarang Tuan. Saya akan hubungi Jabatan Kimia sekali ye?” walaupun Sarjan Chong tahu apa yang perlu dilakukan, dia tetap perlu meminta kebenaran daripada bosnya. Kerana sebarang perkara yang bakal berlaku nanti bosnya yang bakal dipertanggungjawabkan.

“Tak perlu hubungi Jabatan Kimia. Kita ada orang Kimia kita sendiri.” Ujar Inspektor Khairul tegas sambil merenung ke arah Aliesya. Aliesya yang sedar akan renungan tajam itu memalingkan wajahnya ke muka komputer yang terbentang di atas meja.

“Cup, cup, cup!” tiba-tiba Suresh bersuara. Semua mata yang ada di situ tertumpu kepada Suresh.

“Erk, bukan kau di Bukit Bintang juga ke semalam hingga pagi tadi Aliesya? Badan kau ok ke? Kau tak rasa apa-apa yang lain macam?” sekali Suresh membuka mulut, pasti bertalu-talu soalan yang ditembak.

Mata Aliesya membulat.

“Badan aku insyaAllah baik saja. Tak ada rasa apa-apa lain macam pun. Cuma letih sebab tak cukup tidur je.”

“Kau ada minum atau makan apa-apa di sana tak?” soal Inspektor Khairul pula.

“Ada.” Aliesya menjawab ringkas sambil memikirkan sesuatu.

“Mungkin puncanya bukan air. Kalau air sekalipun mungkin hanya di suatu tempat yang spesifik.” Suresh melontarkan hipotesisnya.

“Macam mana pun, kita minta putuskan bekalan air dulu sementara waktu untuk kawasan sekitar KL sebagai langkah keselamatan.” Pinta Inspektor Khairul.

“Minta maaf, saya minta diri dan pergi dulu ya Tuan.” Aliesya pula meminta lalu bingkas bangun dan berjalan laju meninggalkan ruang pejabat berserta isinya itu. Semua yang berada di situ menghantar pemergian Aliesya itu dengan pandangan mata yang tidak berkerdip.

***

“Assalamualaikum Tuan. Saya nak minta tolong Tuan periksa senarai latar belakang pekerja Restoran Cremeo termasuk sekali pekerja yang baru berhenti kerja.” Pinta Aliesya dari hujung talian tanpa memulakan dengan sebarang mukaddimah.

“Waalaikummussalam. Untuk apa?” soal Inspektor Khairul ringkas.

“Saya jumpa bungkusan gula yang dicampur dengan Arsenik. Ini bukti kuat kes ini adalah perbuatan khianat.” Aliesya menyuarakan hipotesisnya.

“Baik, kejap. Kalau begitu…Arsenik…” Jari Inspektor Khairul laju mengklik tetikus. Dibukanya data semua yang terlibat dan mempunyai kaitan dengan kes itu dari bank data. “Ha, ada seorang suspek yang berpotensi. Iqbal. Graduan jurusan Kimia. Penganggur. Baru berhenti kelmarin. Kemasukan duit dalam akaun juga mencurigakan. Saya dah hantar data Iqbal melalui emel. Cuba periksa. Saya dan Sarjan Chong akan cari dia sekarang.” Inspektor Khairul memaklumkan segala maklumat yang menjadi perhatiannya.

“Baik, Tuan. Terima kasih.” Balas Aliesya.

“Kamu balik pejabat dan lengkapkan laporan Kimia siasatan.” Inspektor Khairul memebri arahan agar laporan itu sentiasa tersedia sekiranya dipanggil mesyuarat bila-bila masa.

“Baik Tuan.” Aliesya terus menyahut arahan Inspektor Khairul ringkas. Dia sebenarnya sudah muak dengan arahan yang sama bagi setiap kali siasatan berlangsung.

***

“Apa bukti yang Tuan ada untuk tuduh saya yang buat?” soal Iqbal. Keseriusan wajah para penyoal yang berada di situ langsung tidak menggetarkan jiwanya.

“Kami ada bungkusan campuran gula dan Arsenik.” Ujar Inspektor Khairul.

“Ada ke bukti bahawa saya yang sediakan bungkusan itu?” soal Iqbal kembali dengan nada sinis.

“Kami tiada bukti.” Inspektor Khairul berterusan menjawab ringkas.

“Saya tahu Tuan mengesyaki saya sebab saya mempunyai motif. Tetapi motif tanpa bukti tidak cukupkan untuk jatuhkan hukuman ke atas saya?” soal Iqbal kembali dengan senyuman yang agak menyakitkan hati mata yang memandang.

“Kebenaran itu, cepat atau lambat, pasti terbongkar Iqbal. Lebih baik kamu ceritakan hal sebenar sekarang.” Suresh membidas kata-kata Iqbal dengan nada yang tegas.

“Kalau begitu, polis cari sendiri sampai dapat.” Ujar Iqbal pula dengan nada tegas.

“Kamu tak sedar ke? Orang yang kamu bunuh itu ada antaranya adalah anak kepada seseorang, ibu seseorang, isteri seseorang, bapa seseorang. Setiap daripada mereka ada insan tersayang yang menanti kepulangan mereka di rumah.” Inspektor Khairul cuba mencari titik sensitif di hati Iqbal.

“Dah sampai ajalnya pun kan? Saya hanyalah sebagai asbab.” Dengan selamba ayat itu meluncur laju dari mulut Iqbal.

Inspektor Khairul menggenggam penumbuknya. Hampir sahaja dia menumbuk wajah yang lupa kekerdilan diri itu tetapi sempat ditarik Suresh.

“Kenapa Tuan Polis tak nak cakap ada di antara mereka yang menghabiskan malamnya dengan judi. Apabila kekeringan duit, mereka memeras ugut orang-orang yang kelihatan lemah di mata mereka. Ada di antara mereka penipu. Siangnya sibuk bekerja mengejar golongan tua di kampung dengan tawaran pekerjaan berpendapatan lumayan. Mereka memperbodohkan dan memaksa golongan lemah untuk bekerja dengan mereka. Tanpa sedar keluarga si lemah menjadi taruhan.” Iqbal menggenggam penumbuknya. Kolam matanya kelihatan mula berair dengan hidung yang mengembang menahan marah.

“Kamu ada rahsiakan sesuatu Iqbal? Apa yang berlaku?” soal Suresh.

Iqbal hanya mendiamkan diri. Dia merasakan itu tindakan yang terbaik buat dirinya ketika ini. Hanya jarinya semakin aktif mengkopek permukaan bawah meja.

“Bagaimana pula dengan yang mengupah kamu? Siapa mereka?” soal Suresh lagi. Inspektor Khairul hanya mendiamkan diri sambil memerhatikan tingkah laku Iqbal.

Tuttt..tuttt…tuttt…

“Assalamualaikum,” Inspektor Khairul menjawab telefonnya setelah melihat nama Aliesya. Dia pasti ada maklumat baru yang ingin disampaikan.

“Waalaikummussalam Tuan. Kami dah jumpa sarung tangan getah yang ada banyak DNA Iqbal dan sisa Arsenik di tapak pelupusan sampah. Bersama dengan itu kami juga temui sudu plastik yang dibeli Iqbal di kedai berdekatan rumahnya untuk mengisi Arsenik.” Aliesya menyampaikan maklumatnya secepat mungkin dengan ringkas dan padat.

“Baik, terima kasih.” Balas Inspektor Khairul lantas menutup telefon bimbitnya.

Inspektor Khairul merenung Iqbal. Mata Iqbal bergerak-gerak ke kiri dan kanan setelah mendengar isi perbualan itu.

“Kami dah ada bukti Iqbal. Tiada apa yang perlu disembunyikan lagi. Takkan kamu nak biarkan mereka hidup bahagia sedangkan kamu meringkuk dalam penjara? Mereka lebih layak dipersalahkan. Siapakah mereka yang mengupah kamu itu Iqbal? Sekarang keluarga kamu mungkin dalam bahaya dan di bawah pemantauan mereka Iqbal.” Inspektor Khairul bersuara.

“Saya tak kenal. Ketika saya tertekan dengan orang sekeliling yang hanya mempergunakan saya, saya terima sepucuk surat terselit di bakul motosikal saya. Pengirim surat itu tahu segalanya tentang saya dan dia tawarkan ganjaran lumayan dengan hanya lakukan apa yang dia suruh. Itu sahaja. Dan kerja yang dia beri kepada saya mudah. Hanya perlu campurkan Arsenik ke dalam paket gula yang telah dibuka sebelum berhenti kerja dari restoran itu. Sejujurnya, ketika itu, saya hanya nampak duit dan dendam.” Dalam kekeliruan akhirnya Iqbal meluahkan segala yang terbuku.

“Gunakan masa yang ada ini sebaik mungkin Iqbal. Pohonlah kemaafan kepada mereka yang telah kamu sakiti. Ingatlah, dunia ini hanya sementara. Segala yang kamu lakukan sekarang adalah saham untuk akhirat sana. Esok lusa kita tak tahu apa yang berlaku. Jadi nikmatilah setiap detik yang berlalu dengan keinsafan. Mulakan hidupmu yang baru.” Inspektor Khairul hanya mampu memberikan nasihat ringkas sebelum berlalu pergi bersama Suresh meninggalkan bilik soal siasat itu.