MAAF

NorNur / January 18, 2018, 11:01:23 am

“Maafkan mak, nak..”

Teresak-esak wanita tua itu memohon simpati. Anak lelakinya itu langsung tidak memandang wajah ibunya. Pintu MPVnya dibuka. Sebuah Vellfire berwarna merah hati. Dia terus memandu pergi tanpa mengendahkan esak tangis ibunya yang semakin lara.

*****

“Kau ni kenapa?”

Pagi yang indah itu terganggu dengan suara rakan sejawatnya, Kamal. Dia baru sahaja keluar dan hendak mengunci pintu pejabatnya. Tertera di pintu pejabatnya, Dr. Adam bin Suratman.

“Adam! Kau jangan buat tak dengar. Aku nampak semalam mak kau menangis merayu-rayu. Boleh kau buat tak tahu! Jangan jadi anak derhaka, Adam!”

Adam dan Kamal bertentang mata. Kamal dengan riak seriusnya. Manakala, Adam hanya bersahaja.

“Dr. Kamal yang saya hormati, maaf saya ada kelas.”

Adam berpaling dan terus bergegas pergi. Kamal hanya mampu memandang rakan sejawatnya itu dengan rasa tidak percaya.

“Pensyarah universiti apa macam ni? Dengan mak sendiri boleh buat macam tu! Umur dah 30, tapi perangai macam remaja bermasalah!”

Kamal menggeleng-gelengkan kepala sambil melepaskan satu keluhan berat. Dia membuka pintu pejabatnya yang terletak bersebelahan dengan Adam.

*****

“Dr., Dr! Dr. Adam!”

Makcik di kafeteria universiti memanggilnya. Dia yang baru sahaja menghabiskan makan tengah harinya dan ingin berlalu pergi, berpaling.

“Dr. Adam, belum berkahwin kan? Ni Mak Jah ada calon nak kenalkan. Dr. berminat tak?”

Makcik cafeteria yang dikenali dengan panggilan ‘Mak Jah’ itu tersenyum lebar sambil mengangkat keningnya dua kali.

“Maaf, Mak Jah. Saya tak berminat nak kahwin,” jawab Adam dan terus berlalu pergi.

Mak Jah hanya terlopong mendengarnya.

*****

“Lia dah tak tahan! Lia nak abang ceraikan Lia!”

Dahlia menjerit sekuat hati. Suaminya hanya duduk bersila memandang papan rumah usangnya.

“Lia dah jumpa lelaki lain yang mampu tanggung hidup Lia! Lia tak nak jadi isteri pengutip sampah! Lia derita hidup dengan abang! Lia tak pernah bahagia!”

Air mata lelakinya tumpah. Perit, pedih, sakit. Hatinya bagai ditusuk-tusuk sembilu.

“Mak..”

Seorang kanak-kanak lelaki yang berusia enam tahun tiba-tiba bersuara. Anak tunggal Dahlia dan suaminya.

“Mari ikut mak, sayang. Bapak kau tu tak guna.”

Dahlia ingin membawa anaknya itu pergi bersama. Namun, sebaik sahaja dia ingin meraih tangan anaknya, anaknya segera berlari memeluk suaminya.

“Mari ikut mak, sayang.”

Dahlia memandang anaknya. Dia cuba memujuk.

“Tak nak! Adam nak duduk dengan bapak!”

Dahlia berang. Segera dia pergi untuk mendapatkan anaknya itu secara paksa. Anaknya kuat memeluk belakang suaminya. Suaminya itu pula hanya tertunduk menangis tanpa berbuat apa-apa. Tiba-tiba, anaknya menggigit tangan Dahlia sekuat hati. Dahlia menjerit kesakitan. Pipi anaknya ditampar sebagai balasan.

“Anak tak guna! Besar nanti pun jadi pengutip sampah macam bapak kau!”

Dahlia menghamburkan kemarahannya lalu keluar meninggalkan anak dan suaminya yang masih duduk berpelukan sambil menangis teresak-esak.

*****

“Adam! Adam! Anak ibu!”

“Datin, Datin okey?”

Dahlia terkejut. Kelihatan pembantu rumahnya, seorang gadis muda sedang tunduk memandangnya dengan penuh kerisauan. Dahlia duduk bersandar di sofa empuk. Tertidur rupanya. Air mata yang membasahi pipinya segera dikesat dengan belakang tangan. Ah! Memori silam hadir dalam mimpinya. Pasti dia menjerit-jerit sehingga mengejutkan pembantu rumahnya.

“Tolong ambilkan saya jus oren.” Arah Dahlia.

“Baik, Datin!”

Dahlia hanya memandang pembantu rumahnya bergegas kembali ke dapur. Dahlia mengeluh panjang.

Cermin besar yang berada di dinding ruang tamu memantulkan imejnya. Rambutnya kelihatan kusut. Wajahnya pula kelihatan sembap. Matanya bengkak. Sudah berhari-hari dia tidak dapat tidur lena. Sejak kematian suaminya, Dato’ Jazlan, hidupnya menderita. Tidak! Bahkan sebelum kematian suaminya lagi Dahlia sudah menderita. Cuma kematian suaminya menambahkan penderitaan Dahlia. Semuanya berpunca daripada madu dan anak-anak tirinya. Madu dan anak-anak tirinya menderanya secara mental dan emosi. Mereka semakin berani sejak kematian Dato’ Jazlan. Dahlia menangis. Dia sudah tidak punya sesiapa. Dia tidak punya anak dengan Dato’ Jazlan. Kini, harapannya hanya pada anak tunggalnya, Adam.

*****

Di sepertiga malam yang hening itu, Adam bangun menunaikan solat Tahajjud. Selesai solat, dia menadah tangannya bagai seorang pengemis jalanan.

“Ya Allah, aku merayu pada-Mu ya Allah. Kurniakanlah aku kesabaran ya Allah. Aku tahu ramai yang mengejiku ya Allah. Ramai pula yang mengumpatku di belakangku ya Allah.”

Adam memejamkan matanya. Terbayang dia akan Mak Jah di cafeteria. Kata-kata Adam bahawa dia tidak berminat untuk berkahwin itu disalah erti. Heboh dijaja kisah penolakannya itu sehingga ada yang beranggapan bahawa dia seorang gay.

“Saksikanlah ya Allah, aku halalkan semua fitnah, umpatan dan kejian itu. Aku maafkan mereka ya Allah kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui apa yang telah terjadi dalam hidupku, sedangkan Engkau Maha Tahu. Sesungguhnya aku takut untuk berkahwin kerana takut jika diuji dengan seorang isteri yang seperti ibuku. Aku tidak sebaik dan sekuat bapaku yang sehingga akhir hayatnya sanggup memaafkan ibuku.”

Adam menangis teresak-esak.

“Ya Allah, aku sangat merindui bapaku. Bapaku pernah memohon aku memaafkan ibuku. Namun, sehingga kini aku masih belum mampu memaafkan ibuku. Maafkanlah aku ya Allah. Maafkan aku. Hatiku ini begitu penuh dengan benci terhadap ibuku itu ya Allah.”

Adam menarik nafas dalam-dalam dan menghembusnya perlahan-lahan. Air matanya laju mengalir membasahi pipi.

“Ya Allah kurniakanlah kepada jiwaku ini ketakwaan. Sucikanlah ia kerana hanya Engkaulah yang mampu menyucikannya. Engkaulah Penguasanya dan Pemiliknya…”

*****

“Kau pernah dengar kisah pasal Nabi Yusuf dan saudara-saudaranya?”

Kamal cuba menduga. Adam dipandangnya sambil tersenyum. Sebenarnya Kamal masih tidak percaya bahawa akan tiba hari di mana dia boleh berbual mesra bersama Adam, rakan sejawatnya yang misteri. Hari ini, Adam mengetuk pintu pejabatnya buat pertama kali. Datang memohon maaf sambil menceritakan sejarah silamnya yang kelam. Kini Kamal mengerti kenapa Adam berkelakuan pelik. Apa yang lebih mengkagumkan, Adam datang bertemunya hari ini untuk mencari cara untuk memaafkan dan merawat hatinya yang luka.

“Pernah dengar dan pernah baca. Saudara-saudara Nabi Yusuf sanggup berkomplot untuk membuang Nabi Yusuf ke dalam perigi buta waktu baginda masih kanak-kanak.”

“Ya. Dalam kisah ni ada tips hebat lagi praktikal bagaimana untuk memaafkan. Bukankah akhirnya saudara-saudara yang berkomplot itu datang dengan keadaan susah payah mengharapkan bantuan daripada manusia yang tanpa disangka-sangka oleh mereka adalah Yusuf. Yusuf malah memaafkan mereka dengan seikhlas hati. Apa tipsnya? Pertama, Yusuf menganggap mereka dalam keadaan jahil sebab itu sanggup buat perkara bodoh macam tu. Kedua, Yusuf menyandarkan kemaafan itu kepada Allah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Ketiga, Yusuf meletakkan kesalahan silam mereka itu kepada syaitan. Syaitanlah yang memisahkan dan merosakkan hubungan persaudaraan mereka.”

Adam tergamam. Tidak tahu apa yang hendak dikata. Hatinya berbisik perlahan:

‘Dulu mak jahil sebab tu sanggup tinggalkan suami soleh macam bapak. Dulu mak jahil sebab tu boleh terhasut oleh syaitan. Kalau aku maafkan mak, sesungguhnya Allah lagilah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Aku pun banyak dosa. Aku pun harap Allah maafkan aku. Lagipun semua salah mak tu sebab termakan hasutan syaitan. Kalau aku tak nak maafkan mak setelah mak menyesal, akulah pula yang termakan hasutan syaitan sebab syaitan memang suka merosakkan hubungan kekeluargaan.’

“Kau tengok dan hayatilah sendiri surah Yusuf, terutama ayat 88-100.” Kamal memecahkan sunyi sambil menghulurkan al-Qur’an terjemahan kepada Adam.

Adam mengambilnya sambil mengucapkan terima kasih. Dia membaca setiap bait-bait terjemahan ayat di dalam hati. Air matanya mengalir perlahan. Segala torehan luka hatinya yang parah itu bagai sedang tercantum sendiri. Benarlah, al-Qur’an itu penyembuh yang teramat mujarab.

*****

Dahlia menggigil ketakutan. Rambutnya ditarik kasar lalu dilempang kuat. Dahlia jatuh tersungkur sambil darah mengalir keluar daripada hidungnya.

“Perempuan tua tak guna! Cepat tulis surat ni atau kau nak aku patah-patahkan tulang kau dulu?”

Dahlia memandang wajah anak tirinya itu yang kini mencangkung sambil menarik rambutnya. Sekali lagi kertas itu dibaling ke mukanya.

Dahlia terketar-ketar memegang kertas itu. Surat pengakuan bunuh diri!

*****

“Bersedia?”

Kamal menepuk-nepuk bahu Adam. Kini mereka berada di hadapan sebuah banglo besar milik Datin Dahlia.

Pembantu rumah segera membukakan pintu pagar automatik. Adam dan Kamal disambut dengan ramah sebaik sahaja mereka berdua memperkenalkan diri masing-masing.

“Datin ada di biliknya di tingkat atas. Bilik yang besar sekali dengan pintu kayu berukir bunga ros. Jemputlah ke atas. Saya ke dapur dulu, nak siapkan makan malam.”

Adam dan Kamal mengucapkan terima kasih dan perlahan-lahan menaiki anak tangga. Pintu bilik yang dikatakan oleh pembantu rumah kelihatan tersergam indah di hadapan mata. Adam mengetuknya. Tiba-tiba, kedengaran suara nyaring menjerit kesakitan. Adam segera memulas tombol yang tidak berkunci.

“Mak?!”

Alangkah terkejutnya Adam melihat ibunya sedang tersungkur di atas permaidani. Rambutnya kusut masai. Hidungnya berdarah. Mukanya lebam dan bengkak-bengkak. Kelihatan tingkap bilik terbuka luas dengan pemandangan langit senja yang menguning. Pokok besar yang berada berhampiran tingkap bergoncang keras. Kamal segera menjenguk ke tingkap. Kelihatan seorang lelaki bertubuh sasa dengan berpakaian serba hitam sedang berlari. Lelaki itu bergerak lincah menghilangkan diri di sebalik tembok.

“Tolong mak, Adam!”

Adam merangkul tubuh ibunya yang lemah. Rasa kasihan belas menjalar ke seluruh urat nadinya. Ibunya menangis teresak-esak.

“Maafkan mak, Adam. Maafkan mak.. Bawa mak pergi dari sini. Mak nak duduk dengan Adam…”

Adam memeluk ibunya erat. Air matanya mengalir laju. Sungguh, dia sudah lupa apa rasanya memeluk ibu sendiri.

“Ya, mak. Adam maafkan dan Adam sungguh-sungguh minta maaf..”

Sebaik sahaja mengucapkan kata maaf, hati Adam bagai berbunga mekar. Walau air matanya sedang bercucuran, namun hatinya bagai dibasahi embun ketenangan. Benarlah, dengan memberikan kemaafaan, dirinya dapat merasai kemanisan yang tidak pernah dirasai sebelumnya…