Kita Yang Tidak Atur Masa

Afdholul Rahman Che Ani / June 3, 2017, 00:06:47 am

Ramai orang mengadu tidak mempunyai masa yang cukup dalam kehidupan mereka. Bila ditanya, ‘Kenapa tak sempat buat kerja ni ?’

‘Tak cukup masalah, cikgu.’

‘Boleh tak kalau siapkan tugas ni sebelum lusa?’

‘Ish, tak bolehla. Aku sibuk sikitla minggu ni.’

Hakikatnya, betulkah kita tidak mempunyai masa yang cukup? Betulkah kita terlalu sibuk sehingga tidak sempat menyelesaikan tugasan yang sepatutnya kita siapkan lebih awal?

 

Kita Yang Tidak Atur Masa Sebenarnya

Kadang, bila kita memberi alasan tidak cukup masa untuk menyiapkan sesuatu tugasan atau tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita bukanlah kerana kita benar-benar tidak cukup masa, tetapi kerana kita tidak pandai mengatur masa sebenarnya.

Cuba kita lihat, dalam 24jam sehari yang Allah berikan kepada kita, apakah yang kita penuhkan di setiap saat dan minit dalam 24 jam itu?

Adakah 24 jam yang Allah berikan itu benar-benar kita gunakan dengan baik dan teliti setiap saat dan minit yang ada?

Ataupun kita lebih banyak menghabiskan sebahagian besar daripada 24 jam itu dalam keadaan sia-sia tanpa berbuat apa-apa?

Cuba tanya pada diri kita. Kenapa kadang-kadang kawan kita atau kenalan-kenalan rapat kita yang Allah berikan dia 24 jam yang sama juga seperti kita, tetapi dia mampu melakukan sesuatu yang luar biasa dan banyak pula kerja yang dapat disiapkannya?

Kenapa dan kenapa?

Adakah dia mendapat 25 jam dalam kehidupannya, sehingga mampu menjadi luar biasa seperti itu?

Sudah tentulah tidak, kan. Semua orang hakikatnya serupa dan sama saja. Mendapat 24 jam yang sama.Mendapat bilangan hari yang sama dalam seminggu. 7 hari juga, bukannya 8 atau 9 hari seminggu.

Tinggal lagi kita pandai menyusun atur 24 jam itu atau tidak saja. Sebab itu, Allah bersumpah dengan masa di dalam Al-Quran. Allah tahu, masa adalah nikmat yang sangat senang dikufuri oleh manusia.

Allah berfirman dalam surah Al-Asr yang bermaksud:

“Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh…”

Kerana tahu betapa 24 jam yang dianugerahkan-Nya ini begitu senang diingkari dan dibazirkan oleh manusia, maka Allah telah awal-awal lagi memesan kepada kita tentang hal ini. Hanya orang yang beriman dan beramal soleh sahaja akan benar-benar mengisi 24 jam dalam kehidupan mereka dengan sebaik-baiknya.

Tetapi hari ini bukan sebegitu yang terjadi. Yang mengaku beriman kepada Allah, merekalah yang banyak membazir dan mensia-siakan masa lapang. Orang-orang yang tidak beriman kepada Allah pula menggunakan masa mereka sehabis-habisnya untuk mereka mencipta karya-karya baru untuk ummat manusia.

Maka, adakah benar kita beriman dengan prinsip masa yang diperintahkan oleh Allah ini?

 

Kita Buat Apa Biasanya?

Allah bersumpah dengan masa di dalam Al-Quran menandakan betapa pentingnya supaya kita menjaga masa dalam kehidupan kita. Bukan satu surah itu saja. Bukan surah Al-Asr saja. Allah bersumpah dengan masa dalam banyak lagi surah yang lain seperti surah Al-Lail, Ad-Dhuha, Al-Fajr dan lain-lain.

Semua ini menandakan betapa masa itu begitu penting apalagi dalam kehidupan seorang yang mengaku beriman kepada Allah.

Mari muhasabah semula. Biasanya, masa-masa dalam kehidupan kita, dengan apakah kita mengisinya?

Saya biasa hidup dengan ramai orang, tinggal bersama-sama, bermusafir bersama, ziarah ke rumah. Saya bukanlah ingin bercakap tentang keburukan orang. Tetapi, saya ingin kita lihat biasanya apa yang kita buat setiap kali ada masa lapang?

Ke mana masa lapang kita dihabiskan biasanya sehingga akhirnya mengganggu tugas-tugas dan tanggungjawab kita yang lain?

Bagi seorang remaja, banyak masa biasanya dihabiskan untuk tidur sepuas-puasnya terutama pada waktu pagi. Kadang, tidur itu boleh sampai sehingga tengah hari tanpa ada sebab keuzuran atau sakit. Bukan sekali atau dua kali, tetapi berhari-hari !

Inilah kebiasaan yang saya biasa jumpa. Saya tidak kata tidak boleh tidur. Boleh saja nak tidur banyak, asalkan sewaktu kita tidur itu kita boleh pastikan ada kerja-kerja dan tanggungjawab kita yang dapat berjalan juga. Maknanya, dua kerja berjalan serentak. Tidur pun boleh, kerja pun berjalan. Agak-agak, boleh buat tak?

Maka, kalau kita boleh buat begitu, saya rasa kita pasti tak ada masalah dengan masa. Tanggungjawab pun dapat disiapkan pada waktu yang dikehendaki.

Selain itu, main game. Tidak ada salahnya main game. Saya bukanlah nak haramkan pun. Siapa yang hendak main, maka mainlah. Yang tak mahu main, tak ada masalah juga. Cuma bila kita sudah bermain itu, kenalah pandai mengawal diri. 24 jam kita itu bukan untuk game saja. Kita ada kerja-kerja lain lagi yang hendak disiapkan. Ada orang yang begitu ketagihan main game sehingga mengganggu pelajaran dan akhirnya keputusan peperiksaan pun merosot. Bila ditanya, maka diberi alasan tidak sempat studylah, soalan susahlah dan sebagainya. Hakikatnya, kita sendiri yang tidak pandai mengatur masa sebenarnya.

Kalau sudah tahu kita ini jenis yang lemah belajar, maka kenalah belajar mengurangkan masa main game. Lebihkan masa kita untuk belajar. Ini antara contohnya.

 

Penutup : Orang Yang Beriman Dengan Prinsip Masa, Akan Menjaga Setiap Minitnya

Kita tidak akan dapat jadi orang yang efektif dan produktif selagimana kita tidak mengatur masa dalam kehidupan kita dengan betul. Selagi kita hanya set waktu untuk tidur saja, tetapi tidak set waktu-waktu untuk buat kerja-kerja lain, selagi itulah kita tidak dapat manfaatkan masa yang ada dengan sebetulnya.

Walaupun kita kadang-kadang mengaku sibuk, hakikatnya kita ini bukanlah orang yang sibuk kerana kita sendiri yang tidak pandai mengatur masa.

Aturlah masa dalam kehidupan kita agar setiap saat dan minit yang berlalu menjadi saham yang berguna untuk kita di akhirat sana.

Kita ini sentiasa ada masa yang cukup sebenarnya untuk melaksanakan segala tanggungjawab dan tugas kita tambah-tambah tugas kita sebagai hamba Allah, kalau kita mengatur masa kita dengan betul. Orang yang beriman akan teliti menjaga masanya, kerana dia tahu setiap masanya adalah untuk Allah s.w.t.

Kalau ada sesaat saja dalam hidup ini tidak dimanfaatkan dengan sebetulnya, maka dia akan rasa kerugian yang begitu besar, kerana sesaat yang telah terlepas, tidak akan mampu dikutip semula walaupun ia cuma sesaat.