Kita Tidur Dalam Kelalaian

Afdholul Rahman Che Ani / August 18, 2017, 19:08:10 pm

Apa yang kita isi di waktu malam kita?

Kalau tidak dengan televisyen, mungkin dengan game, movie atau habiskan masa di depan media sosial.

Tidaklah salah untuk berehat seketika dengan hiburan sedemikian.

Namun, berapa banyak masa kita selalu habiskan di situ sehingga malam kita isi sepenuhnya dengan hal-hal sedemikian dan selepas itu, kita pun tidur.

Dan pada kebanyakan masa pula, kita disibukkan dengan semua itu sehingga kita sanggup tidur lewat demi memenuhi tuntutan hiburan itu. Akhirnya, ia memberi kesan kepada solat Subuh kita. Solat Subuh yang merupakan antara garis penting pemisah antara iman dan kemunafikan itu tidak dapat kita peliharanya dengan baik dalam hidup kita sedangkan Subuh termasuk dalam solat fardhu.

 

Adakah Malam Hanya Untuk Tidur?

Memang benar, Allah ciptakan malam sebagai ‘pakaian’ yang dapat membuatkan kita rasa hilang penat, dapatkan kerehatan dan meraih semula tenaga sebagai bekal menghadapi hari esok.

Allah s.w.t. berfirman :

“Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi).” [An-Naba: 10]

Namun, bukan hanya semata-mata kerehatan tubuh dan tenaga fizikal yang kita dambakan dari kerehatan di waktu malam.

Terlebih penting daripada itu, adalah kita meraih kekuatan dan stamina iman dan jiwa kita semula daripada malam. Sebab itu, di awal dakwah Nabi s.a.w., Allah s.w.t. memerintahkan agar Nabi s.a.w. dan ummat Islam wajib bangun beribadah di malam hari ataupun disebut sebagai qiyamullail.

“Bangunlah (untuk solat) pada waktu malam selain dari sedikit masa (untuk rehat).” [Al-Muzzammil : 2]

Kenapa Allah s.w.t. perintahkan mereka bangun pada waktu begitu untuk beribadah dan jangan hanya diisi dengan tidur?

“Sebenarnya solat dan ibadat malam itu lebih kuat kesannya (kepada jiwa) dan lebih tetap betul bacaannya.” [Al-Muzzammil: 6]

 

Bagaimana Salafussoleh Mengisi Malam Mereka

Para salafussoleh sangat mengerti hal ini. Justeru, kita lihat bagaimana mereka begitu mengambil berat hal ini. Mereka tidak biarkan malam dihabiskan dengan kelalaian sebaliknya mereka isi dengan amal ketaatan kepada Allah.

Tidak ada masalah. Kita boleh dapatkan kerehatan, tetapi biarlah dengan cara yang syara’ dan bermanfaat untuk kita.

Dengari apa yang Abdullah bin Ahmad, anak kepada Imam Ahmad, sebutkan tentang tentang Imam Ahmad. Riwayat ini tercatat dalam Siyar A’lam An-Nubala’ bahawasanya:

قال عبد الله بن أحمد: كان أبي يقرأ كل يوم سبعا، وكان ينام نومة خفيفة بعد العشاء، ثم يقوم إلى الصباح يصلي ويدعو

“Ayahku setiap hari akan membaca dan dia akan tidur dengan tidur yang ringan selepas Isya’, kemudian beliau akan berjaga sehingga Subuh, dan mengisinya dengan solat dan berdoa.” [Siyar A’lam An-Nubala 11: 214]

Di dalam satu kisah lain, tercatat dalam Az-Zuhd karya Imam Ahmad bahawasanya Hazm mendengar Al-Hasan bin Abi Al-Hasan berkata : Uthman bin Abi Al-As berkahwin dengan salah seorang balunya Umar bin Al-Khattab.

حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ، حَدَّثَنِي أبِي، حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ، حَدَّثَنِي أبِي، حَدَّثَنَا مُوسَى، حَدَّثَنَا حَزْمٌ قَالَ سَمِعْتُ الْحَسَنَ بْنَ أَبِي الْحَسَنِ يَقُولُ: تَزَوَّجَ عُثْمَانُ بْنُ أَبِي الْعَاصِ امْرَأَةً مِنْ نِسَاءِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ، فَقَالَ: ” وَاللَّهِ، مَا نَكَحْتُهَا رَغْبَةً فِي مَالٍ وَلَا وَلَدٍ، وَلَكِنِّي أَحْبَبْتُ أَنْ تُخْبِرَنِي عَنْ لَيْلِ عُمَرَ فَسَأَلْتُهَا، فَقَالَ: كَيْفَ كَانَ صَلَاةُ عُمَرَ بِاللَّيْلِ؟ قَالَتْ: كَانَ يُصَلِّي صَلَاةَ الْعِشَاءِ، ثُمَّ يَأْمُرُنَا أَنْ نَضَعَ عِنْدَ رَأْسِهِ تَوْرًا فِيهِ مَاءٌ فَيَتَعَارُّ مِنَ اللَّيْلِ فَيَضَعُ يَدَهُ فِي الْمَاءِ فَيَمْسَحُ وَجْهَهُ وَيَدَيْهِ ثُمَّ يَذْكُرُ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ حَتَّى يُغْفِيَ ثُمَّ يَتَعَارُّ حَتَّى تَأْتِيَ السَّاعَةُ الَّتِي يَقُومُ فِيهَا ”

Lalu dia berkata: “Demi Allah, tidak aku nikahinya kerana inginkan harta atau anak, tetapi kerana aku mahu sangat dia memberitahu kepadaku bagaimanakah malamnya si Umar.”

Maka ditanyakan pada balu Umar itu, “Bagaimanakah solat Umar di waktu malam?”

“Beliau akan solat Isya’, kemudian akan menyuruh kami letak di hujung kepalanya bekas berisi air. Dia akan menggerakkan badannya dan bercakap-cakap di sepanjang malam, kemudian dia akan letakkan tangannya di dalam air, kemudian menyapu mukanya dan tangannya dengan air itu, lalu berzikir kepada Allah azza wajalla sehinggalah dia tertidur ringan. Kemudian dia menggerak-gerakkan lagi badannya sehinggalah sampai ke waktu yang dia sepatutnya bangun.”

Padanlah ummat menjadi begitu hebat ketika itu kerana pemimpin mereka pada ketika itu benar-benar orang yang terpandu jiwa dan akalnya.

 

Penutup : Jangan Kau Habiskan Malam Dengan Kelalaian

Malam memang masanya untuk kita mencari kerehatan.

Tetapi malam juga adalah waktu terbaik mencari bekal kekuatan jiwa.

Jangan kita habiskannya dengan kelalaian.

Menghabiskan dengan game.

Menghabiskan dengan movie semata.

Menghabiskan dengan drama semata.

Ambillah sebahagian di waktu malam untuk kita melakukan sesuatu yang bermanfaat dan memberikan faedah kepada masa hadapan kita.

Isi malam, sebahagiannya dengan membaca. Jika berkemampuan, bangun di tengah malam lakukan ibadah qiamullail. Jika tidak itupun, jangan kau biarkan Subuh kau berlalu dengan sia-sia kerana dirimu yang terbiasa bangun pagi lambat dan tidak memelihara Subuh.

Kalau kelalaian adalah faktor kita bangun lambat untuk Subuh, maka sewajarnya kita bermuhasabah diri dan memperbaiki.

Semoga malam menjadi pesta ibadah dan kedekatan hubungan kita dengan Allah, bukan pesta maksiat atau kelalaian.