Kita Sudah Berhijrah Ke Mana?

Hilal Asyraf / September 23, 2017, 10:09:19 am

 

 

Apabila tiba awal Muharram, maka berdendanglah lagu hijrah. Berulanglah penceritaan kisah penghijrahan Rasulullah SAW dan para sahabat ke Madinah, akan disentuh berkenaan bagaimana berstrateginya Rasulullah SAW mengatur penghijrahan baginda, kemudian bagaimana baginda membina Masjid Quba’ sebaik sahaja tiba di Madinah, dan mempersaudarakan antara Muhajiran dan Ansar.

Berapa tahun usia kita? Jika 20 tahun, sudah 20 kali kita melalui awal Muharram. Jika umur kita lebih tua, maka telah lebih banyak kali kita melaluinya.

Persoalannya, kita sudah berhijrah ke mana selama ini?

Atau Hijrah sekadar satu lagi rutinan, yang disambut meriah dan diisi dengan aktiviti, tetapi tidak membekas di dalam praktis kehidupan sendiri?

Atau, peristiwa hijrah berjaya membawa kita kepada penghijrahan utama, yakni dari keburukan kepada kebaikan, dari yang baik kepada yang lebih baik?

 

Boleh Sahaja Dipilih Tahun Kelahiran Nabi, Tetapi…

Jika kita menelaah bagaimana bermulanya ummat Islam menggunakan kalendar Hijrah, kita akan bertemu dengan riwayat-riwayat yang menunjukkan Umar Al-Khattab RA semasa pemerintahannya, telah dicadangkan beberapa cadangan tahun sebagai permulaan tahun hijrah.

Antara cadangan ialah memulakan perkiraan tahun hijrah pada tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW. Tetapi Umar Al-Khattab sebagai khalifah ketika itu telah menolak cadangan tersebut.

Akhirnya tahun Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah, diambil sebagai permulaan tahun di dalam Islam, dan dinamakanlah kalendar tersebut sebagai kalendar Hijrah, atau Taqwim Hijri.

Mengapa? Apakah Rasulullah SAW bukan orang mulia? Tidak, baginda insan terpilih, paling mulia di kalangan insan-insan yang ada. Lantas mengapa Umar Al-Khattab RA tidak memilih tahun kelahiran baginda sebagai permulaan kalendar ummat Islam? Sedangkan orang-orang kristian mengambil kira tahun bermula dengan kelahiran Isa AS atau Jesus, nabi mereka. Apakah orang-orang Kristian lebih memuliakan Nabi mereka berbanding ummat Islam memuliakan Rasulullah SAW?

Umar Al-Khattab RA bertindak sedemikian bukan kerana Umar Al-Khattab tidak memuliakan Rasulullah SAW. Bahkan Umar Al-Khattab RA antara yang paling memuliakan Rasulullah SAW. Dia ialah bapa mertua kepada baginda. Mereka secara praktikalnya ialah keluarga!

Tetapi Umar Al-Khattab RA mengangkat spirit Islam yang sebenar. Dimulakan perkiraan tahun dengan tahun Rasulullah SAW berhijrah ialah untuk mengingatkan ummat ini bahawa ummat Islam ialah ummat yang bergerak. Tidak statik. Ummat yang berjuang, tidak duduk diam. Ummat yang kreatif, tidak pasif. Ummat yang tidak tunduk dengan halangan, tetapi inovatif mencari penyelesaian.

Atas pilihan Umar Al-Khattab RA, ummat Islam saban tahun diingatkan akan kisah perjuangan Rasulullah SAW, cabaran dan dugaan yang baginda hadapi di dalam peristiwa hijrah, pengorbanan dan kecekalan baginda, serta diulang-ulang akan bagaimana baginda bijaksana dalam membuat keputusan, mengatur perancangan, sehingga tertubuhnya Madinah, sebuah negara Islam.

Spiritnya ialah pengaplikasian Islam dalam tindakan dan gerak kerja.

 

Spirit Yang Hilang

Hari ini apabila kita menyambut sambutan tahun baru Hijrah, yang ada hanyalah temasya-temasya. Bahkan ada yang menambahnya dengan ibadah-ibadah yang diadakan, walhal tahun hijrah bermula di zaman Umar RA bukan dari zaman Rasulullah SAW, lantas memutuskan apa-apa sahaja kaitan ibadah khusus yang diada-adakan itu dengan Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW melalui proses pengorbanan yang besar. Makkah ialah tanah kelahiran baginda, amat-amat dicintai, tetapi terpaksa ditinggalkan. Demi apa? Demi untuk memastikan kelangsungan dakwah Islam. Di sini sangat jelas, kepentingan diri diletakkan ke tepi apabila berhadapan dengan tuntutan agama.

Seterusnya Rasulullah SAW telah mempamerkan kebijaksanaan di dalam peristiwa Hijrah. Baginda memilih untuk bersembunyi di Gua Tsur terlebih dahulu, sedangkan Gua Tsur itu menghala ke arah Yaman(arah Selatan), sedangkan Madinah di utara Makkah. Baginda juga mengatur perjalanan baginda dengan baik, dengan memilih penunjuk jalan. Baginda mengamanahkan Abdullah ibn Abu Bakr untuk mendapatkan berita dari Madinah, juga Asma’ binti Abu Bakr untuk membawakan mereka makanan.

Apabila baginda Rasulullah SAW sampai ke Madinah, antara yang awal baginda laksanakan ialah membina Masjid Quba’. Masjid sebagai pusat penyatuan masyarakat, pusat beraktiviti ummat Islam, bukan sekadar tempat menjalankan ritual-ritual. Masyarakat Islam Madinah dibina berpusatkan masjid. Masjid menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.

Antara yang awal juga, baginda mempersaudarakan para Muhajirin(sahabat-sahabat dari Makkah) dengan orang-orang Ansar(sahabat-sahabat dari Madinah) yang telah berjaya diislamkan terlebih dahulu oleh utusan baginda ke Madinah sebelum itu, Mus’ab bin Umair RA. Masyarakat dibina di atas kesatuan, dilatih mengutamakan sahabat yang kekurangan, dididik agar tidak lokek, diajar bahawa semua ialah bersaudara.

Piagam Madinah juga telah menjadi bukti sejarah bahawa baginda merupakan negarawan ulung. Tidaklah baginda datang ke Madinah lenggang kangkung tanpa apa-apa persediaan untuk berhadapan dengan masyarakat majmuk di sana. Diwujudkan piagam supaya masyarakat itu tidak porak peranda, masing-masing mendapat hak selayaknya, diadili dan tidak dizalimi.

Keteraturan ini, kebijaksanaan ini, tidak seharusnya diulang-ulang dengan nada melankoli, nada romantis. Tetapi hendaklah ummat Islam pada hari ini, saban melewati awal Muharram, mengingati kembali apa asas-asas kewujudan ummat.

Rasulullah SAW tidak tiba-tiba punya negara. Madinah itu tidak tiba-tiba menjadi negara Islam. Peristiwa Hijrah hakikatnya penuh dengan didikan dan pengajaran untuk menyedarkan ummat akan apa hakikat sebenar yang membina ummat Islam, yang kemudiannya mampu menggerunkan Rom dan Parsi, dua kuasa besar dunia ketika itu.

Spirit ini kebanyakannya hilang pada ummat hari ini.

 

Ke Mana Hijrah Kita Pula?

Rasulullah SAW berkorban meninggalkan negara tercinta demi kelangsungan dakwah dan perjuangan Islam. Para sahabat juga berkorban, meninggalkan keluarga, meninggalkan harta benda. Orang kaya seperti Abdurrahman bin Auf RA, Shuhaib Ar-Rumy RA, meninggalkan harta mereka untuk memudahkan mereka berhijrah.

Tidak cukup dengan pengorbanan, wujud pula strategi. Strategi untuk melepaskan diri dari diburu Quraisy, strategi untuk membina sebuah negara di Madinah, strategi untuk mengukuhkan ikatan kemasyarakatan di sebuah negara baru.

Sememangnya Umar Al-Khattab RA tidak salah memilih Hijrah sebagai permulaan kalendar ummat. Sememangnya satu peristiwa yang sepatutnya diulang ingat.

Persoalannya, kita telah berhijrah ke mana?

Kita, ummat yang terkemudian ini, yang mendapat keimanan hasil warisan, yang Islamnya terpampang pada kad pengenalan. Sejauh mana sebenarnya kita telah berhijrah dari keburukan kepada kebaikan?

Jika kita perhatikan televisyen kita, radio kita, internet kita, adakah kita melihat masyarakat yang berhijrah dari keburukan kepada kebaikan? Atau kebanyakannya telah berhijrah dari kebaikan Islam, kepada keburukan jahiliyah?

Amat menarik jika kita perhatikan, contoh terbaik ialah di musim Hijrah ini, stesen televisyen boleh menyiarkan tazkirah dan peringatan berkenaan peristiwa hijrah, disiarkan temasya berkenaan peristiwa hijrah, tetapi televisyen yang sama menyiarkan banyak isi-isi yang melanggari apa yang Rasulullah SAW dan para sahabat baginda selama ini perjuangkan.

Ummat ini menjadi keliru.

Lantas hijrah sekadar menjadi satu lagi rutin kosong. Kisah-kisahnya diulang tanpa roh pengaplikasian yang sebenar.

Ia seakan menjadi solekan sahaja. Kerana negara kita agama rasminya Islam. Tidak lebih dari itu.

 

Penutup: Setiap Kita Perlu Berhijrah

Sudah semestinya, dengan realiti hari ini, kita tidak lagi mampu untuk berhijrah ke luar, berpindah tempat, mencari tempat yang benar-benar baik. Ia memerlukan kos yang tidak kecil, dan kita masing-masing punya tuntutan dan keterikatan dengan tempat di mana kita berada. Jika ada yang boleh melakukan pun, bukan semua, kerana majoriti hari ini tidak berkemampuan, terutama dari segi kewangan.

Namun apa yang kita boleh usahakan sebagai individu Muslim, ialah menanam spiriti hijrah di dalam diri kita sendiri. Hijrah dari keburukan, kepada kebaikan. Bergerak dari keburukan, kepada kebaikan.

Setiap kita perlu bergerak dan bertindak, paling kurang terhadap diri masing-masing.

Saya beri contoh, rancangan televisyen yang tidak patuh syariat, jika setiap ummat Islam di negara Malaysia ini boleh berhijrah, dari jadi kaki tonton drama tak patuh syariat, kepada tidak menontonnya, saya yakin market siaran televisyen di negara kita akan berubah.

Namun mengapa rancangan-rancangan tak patuh syariat masih berlambak? Kerana masih ada ramai yang menontonnya.

Masih ramai, yang belum berhijrah.

Itu satu perkara yang patut kita fikir-fikirkan.

Bermula dengan diri sendiri, berhijrah dari keburukan kepada kebaikan, insyaAllah, pasti akan ada perubahan. Jika masyarakat tidak berubah, sekurang-kurangnya diri kita berubah.

Dan itu perlu kita usahakan.

Ambil spirit hijrah.

Muhasabah.