Kita Akan Teruji, Pasti.

Hilal Asyraf / September 27, 2017, 16:09:55 pm

 

 

Antara ayat yang banyak kali saya ulangi ialah: “Hidup ini kembarnya ujian.”

Saya percaya, bahawa seorang manusia itu teruji dan terus teruji sehingga kematiannya. Kerana, kehidupan ini ialah ujian.

Ada yang berharap kehidupannya bebas dari ujian, mehnah dan tribulasi. Saya fikir, manusia-manusia yang berharap sedemikian, lambat laun akan kecewa. Kerana ujian tidak akan meninggalkan kita.

Ada pula yang menyangka, mereka masih belum teruji. Maka mereka berbangga dengan kehidupan yang mereka sangka bebas ujian itu. Sebenarnya, mereka itu pun teruji.

Kita semua akan teruji. Pasti.

Persoalan yang patut kita tanya bukanlah ‘apakah saya akan diuji atau tidak’, tetapi soalan yang sebenar ialah: “Apakah yang sepatutnya saya lakukan?”

 

Ujian Ialah Persoalan Iman

Apa yang saya lihat menarik berkenaan ujian ialah, kita akan melihat kaitannya dengan keimanan.

Contohnya, saya bawakan satu firman Allah SWT:

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” Surah Al-Ankabut ayat 2.

Contoh firman Allah SWT yang lain:

“Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.” Surah Al-Anfal ayat 28.

Contoh lagi:

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat.” Surah Al-Baqarah ayat 214.

Perhatikan tiga ayat tersebut. Apabila disebut berkenaan ujian, maka akan ada disebut berkenaan keimanan, kepercayaan, dengan pelbagai gaya ayat.

Kerana, saya berpendapat, pokok pangkal ujian itu ialah sebagai kayu ukur kepada keimanan seseorang. Bukti bahawa seseorang itu benar-benar beriman, atau setakat mana keimanannya, diukur dengan bagaimana dia mampu menghadapi satu-satu ujian yang diberikan kepadanya.

 

Ujian Akan Tiba Dalam Pelbagai Bentuk, Keimanan Menyelamatkan

Rasulullah SAW ada bersabda:

“Sungguh menakjubkan keadaan orang beriman. Seluruhnya urusannya itu baik. Ini tidaklah didapati kecuali pada seorang yang beriman. Jika mendapatkan kesenangan, maka dia bersyukur. Itu baik baginya. Jika mendapatkan kesusahan, maka dia bersabar. Itu pun baik baginya.” Hadith Riwayat Muslim.

Sabda Rasulullah SAW ini menunjukkan bahawa seorang Muslim, apabila tiba baginya kesenangan, dia akan bersyukur, maka itu baik baginya. Apabila tiba baginya kesusahan, maka dia bersabar, justeru itu baik baginya. Perhatikan rakan-rakan akan makna mendalam pada hadith ini.

Secara halus, hadith ini menunjukkan ujian itu boleh datang dalam bentuk kesenangan dan kesukaran. Apabila tibanya kesenangan kepada seseorang, itu ialah ujian baginya. Dengan sikap syukur, merendah diri, dia akan berjaya melepasi ujian kesenangan. Itulah yang dikatakan baik oleh Rasulullah SAW. Apabila tibanya kesusahan kepada seseorang, itu ialah ujian baginya. Dengan sikap sabar, cekal, tabah, dia akan berjaya melepasi ujian kesusahan. Itulah yang dikatakan baik oleh Rasulullah SAW. Dan Rasulullah SAW menyatakan, hanya orang beriman sahaja yang akan mampu bersikap sebegini.

Mengapa Rasulullah SAW kaitkan hal menerima ujian ini dengan keimanan?

Kerana hanya orang yang beriman sahaja percaya, kehidupan ini sementara, dan di akhirat kelak semua insan akan disempurnakan pembalasannya. Kerana itu, apabila dia menerima anugerah, dia beriman anugerah itu datang daripada Allah, maka tidaklah perlu dia berbongkak dengannya. Dia juga beriman bahawa anugerah itu sementara, maka tidaklah dia akan terlalu mencintainya sehingga melebih-lebihkannya. Demikianlah apabila dia menerima kesusahan, dia mengetahui ujian itu datangnya daripada Allah SWT, maka dia beriman pasti ada hikmahNya. Dia juga beriman bahawa kesabaran dan kecekalannya membuahkan pahala.

Akhirnya, sekiranya ketundukannya, kecekalannya tidak kelihatan seperti dibalas di dunia, dia beriman bahawa itu semua akan disempurnakan di akhirat sana, kerana dunia ini tidak kekal abadi dan hanyalah kesenangan menipu daya.

“Setiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang diselamatkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” Surah Ali-Imran ayat 185.

Orang yang beriman dengan perkara ini, akan melihat ujian-ujian yang dia hadapi di atas muka bumi ini, sama ada kesenangan atau kesukaran, akhirnya akan berhenti. Kecekalan dan ketabahannya akan diberikan ganjaran. Usahanya menundukkan ego, rasa angkuh, sikap takabbur, akan ada balasannya.

Dengan iman, insan merdeka.

 

Ujian Untuk Semua – Binalah Keimanan

Tidak ada sesiapa yang terlepas dari ujian. Bahkan, tiada siapa dapat lari 100% dari ujian. Kita mungkin mampu memenangi satu-satu ujian, tetapi kemudian kita akan diuji dengan ujian yang baru.

Seorang yang mahu berjaya, diuji untuk berdisiplin, menimba ilmu, berusaha, agar dia berjaya. Selepas dia berjaya, dia diuji pula untuk kekal berjaya dan tidak menukar kejayaannya kepada kegagalan. Demikianlah orang yang hidupnya susah, diuji untuk sabar dan cekal, terus yakin dan percaya bahawa Allah SWT akan mempermudahkan urusannya, dan apabila dia berjaya menjadi senang, dia diuji pula untuk tidak angkuh, tidak bongkak, tidak takabbur, di samping dia sendiri diuji untuk tidak kembali menjadi orang susah.

Nampak realitinya?

Saya sudah bertemu dengan amat ramai orang di dalam kehidupan ini. Semua orang teruji. Tiada yang tidak teruji. Orang susah teruji. Orang senang teruji. Ujian itu ada pelbagai bentuk. Ada halus, ada terang, ada keras, ada sepoi-sepoi bahasa sahaja.

Semua dengan tujuan yang satu, akhirnya menguji keimanan insan.

Jalan untuk selamat ialah memperutuhkan keimanan.

Hubungan kita dengan Allah SWT kita jaga. Sangka baik kita dengan Allah SWT kita jaga. Perasaan kerdil kita dengan Allah SWT Yang Maha Besar kita jaga. Kepercayaan kita bahawa rezeki dan ujian itu datang daripada Allah SWT kita jaga. Ketaatan kita terhadap perintahNya, usaha kita menjauhi larangan-laranganNya, kita jaga.

InsyaAllah, kita akan berjaya menempuhi ujian-ujian yang dibentangkan olehnya.

 

Penutup: Kehidupan Akan Berakhir, Ujian Akan Berakhir

Apabila hidup itu kembarnya ujian, maka apabila terhentinya kehidupan, terhentilah juga ujian.

Tidak lama sebenarnya kita diuji. Kerana kehidupan hanya sementara.

Dan hendak menanti kehidupan ini berakhir juga satu ujian. Adakah kita yakin, bahawa selepas kehidupan akan ada hari kebangkitan, di mana pada hari tersebut segala urusan kita, balasan buat kejahatan dan kebaikan akan disempurnakan Allah SWT?

Kerana, bagi yang tak percaya, mereka percaya bahawa bunuh diri adalah antara jalan mudah untuk menghentikan segala ujian, segala tekanan.

Ya, akhirnya semuanya berbalik kepada keimanan masing-masing.

Ujian-ujian ini akhirnya untuk menguji keimanan kita. Kepercayaan kita.

Persoalan yang paling besar, apa yang kita imani? Apa yang kita percayai?

Muhasabah.