Kisah Si Penunggang Motosikal

Muhamad Shakir Abdul Sahood / March 17, 2018, 23:03:00 pm

“Semua murid sudah pulang ustaz?” Tanya abang Man, pengawal keselamatan sekolah.

“Ya, semua sudah pulang abang Man. Kalau begitu saya juga mahu minta diri dulu.” Balas Najmi.

“Baiklah, ustaz. Hati-hati menunggang motosikal. Nampak seperti hari hendak hujan ini.” Nasihat abang Man.

Setiap hari seorang guru akan ditugaskan untuk menunggu para pelajar dijemput ibu bapa selepas tamat sesi persekolahan. Hari ini giliran ustaz Najmi bertugas menunggu murid-murid sehingga mereka dijemput oleh ibu bapa, bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

Najmi bergerak ke arah motosikalnya lalu cuba dihidupkan, namun tidak berjaya. Hampir 5 minit dia berusaha tetapi tetap tidak berjaya dihidupkan.

“Aduh, buat hal pula motosikal ini.” Najmi mengeluh. Setelah dicuba lagi, akhirnya motosikal berjaya dihidupkan. Namun, enjin berbunyi agak aneh. Luar daripada kebiasaan. Najmi tidak mempedulikan dan bergerak meninggalkan perkarangan sekolah.

Setelah bergerak hampir 500 meter,tiba-tiba motosikal tersentak-sentak seperti kehabisan minyak. Najmi mula risau. “tolonglah jangan jadi apa-apa. Jauh lagi nak sampai rumah.”

Kerisauan Najmi menjadi kenyataan. Enjin motosikalnya tiba-tiba mati. Percubaan untuk hidupkan semula motosikal dilakukan tetapi tidak berjaya. Najmi menuntun motosikal ke tempat yang lebih selamat dan satu panggilan telefon dibuat.

Kedengaran satu suara. “Harap maaf. Baki kredit anda tidak mencukupi. Sila tambah nilai sebelum membuat panggilan.”

“Aduh, kredit tidak cukup. Kenapa waktu begini kredit boleh tidak cukup.” Najmi menepuk dahi. Dia memarahi diri sendiri kerana terlupa untuk tambah nilai kredit telefon bimbitnya.

Najmi tiada pilihan lain selain daripada menolak motosikal untuk mencari bengkel membaiki motosikal. Dalam hati dia berdoa agar ada insan yang sudi membantu dirinya.

“Kenapa ini anak?” Seorang lelaki tua yang menunggang motosikal berhenti di sebelah Najmi.

“Motosikal saya rosak, pakcik.” Jawab Najmi. Lega hatinya apabila ada orang berhenti untuk berikan bantuan.

“oh ya ka? Kasihannya.”

“Dulu pakcik juga pernah mengalami situasi seperti ini. Masa itu pakcik mahu pulang ke rumah dari pekan. Jauh juga la pakcik tolak. Nasib baik selepas itu ada orang tolong pakcik. Pakcik ini sudah lah ada sakit lutut, kena tolak motosikal pula. Habis sakit-sakit kaki pakcik selepas itu.”

“Mula-mula pakcik ingat minyak habis, rupa-rupanya enjin rosak. Mahal juga kos baiki yang pakcik kena bayar. Nasib baik anak pakcik yang bayarkan.”

Panjang lelaki tua itu bercerita. Najmi mengiakan sahaja cerita lelaki tua itu sambil tersenyum.

“Baiklah anak. Hati-hati tolak motosikal. Pakcik pergi dulu.”

Lelaki tua itu terus berlalu pergi. Mata Najmi terkebil-kebil melihat lelaki tua itu pergi menjauhi dirinya. Mulutnya ternganga. Najmi kebingungan di situ. Otaknya cuba untuk memproses apa yang sedang berlaku.

“Pakcik itu hanya bertanya, bercerita dan pergi begitu sahaja.”

“Tanpa sebarang bantuan!”

Najmi bercakap seorang diri sambil menggaru-garu kepala yang ditutupi topi keledar. Dia bagai tidak percaya apa yang baru terjadi. Lelaki tua itu sekadar bertanya serta bercerita dan terus berlalu pergi. Langsung tidak menghulurkan bantuan.

Najmi cuba berbaik sangka, mungkin lelaki tua pergi dapatkan pertolongan. Namun, kelibat lelaki tua itu tidak lagi kelihatan selepas itu.

“Ada juga manusia seperti itu. Sekadar ingin tahu tetapi tiada bantuan yang diberikan. Dia tidak lihatkah langit sudah gelap. Barangkali akan hujan sekejap lagi.”

Najmi ketawa seorang diri sambil terus menolak motosikal. Jika ada orang yang melihat, sudah pasti Najmi dituduh gila kerana ketawa seorang diri.

Sejak kejadian dengan lelaki tua itu, tiada lagi kenderaan yang berhenti bertanya atau ingin beri pertolongan. Tiada yang ambil peduli. Semunya hanya bergerak melepasi dirinya sahaja.

Nasib baik jarak antara tempat motosikal mula rosak dengan pekan tidak begitu jauh. Lebih kurang 300 meter sahaja.

Sebaik sahaja tiba dia pekan itu, hujan turun dengan lebat. Najmi segera memakai baju hujan bagi mengelakkan diri kebasahan. Mujur baju hujan sentiasa ada dalam raga motosikalnya. Baju hujan merupakan perkara penting yang perlu ada pada setiap penunggang motosikal.

Terdapat sebuah bengkel membaiki motosikal di seberang jalan. Berdekatan dengan simpang tiga di pekan tersebut. Keadaan di pekan agak sibuk kerana menjadi tumpuan penduduk kampung di sekitar situ.

Lampu isyarat di simpang itu menunjukkan warna merah. Semua kenderaan yang berada di atas jalan di hadapannya perlu berhenti.  Najmi mengambil kesempatan itu untuk melintas jalan. Najmi berhenti di tengah jalan. Atas garisan pemisah antara dua jalan berlainan arah.

Najmi gusar berdiri di tengah jalan seperti itu. perbuatan itu agak berbahaya. Namun, dia tidak dapat untuk melintas jalan. Ada kenderaan sedang bergerak dari arah kiri ke arah kanannya. Dia perlu menunggu waktu yang sesuai untuk melintas.

“Pinnn!”

Sebuah motosikal bergerak laju ke arah Najmi sambil membunyikan hon. Najmi terkejut tetapi tidak tahu membuat apa-apa. Dia terkesima melihat kehadiran motosikal itu. Dia tidak pasti dari mana motosikal itu datang. Padahal sebelum melintas tadi dia sudah melihat keadaan trafik. Setelah sesuai baru dia melintas.

“Hoi! Lintas tidak tengok kiri-kanan kah?” Pekik penunggang motosikal itu. Penunggang motosikal itu terus memecut pergi tanpa menghiraukan lampu isyarat merah itu.

Mujur penunggang itu sempat memberhentikan motosikal. Najmi bersyukur terselamat daripada kemalangan. Najmi yakin dia telah pastikan keadaan trafik selamat sebelum melintas jalan.

Penunggang motosikal itu yang salah kerana menunggang secara laju ketika kenderaan lain berhenti di lampu isyarat. Kadangkala kemalangan boleh berlaku atas kecuaian orang lain, walaupun kita sudah berhati-hati.

“Encik, tolong periksa motosikal saya. Tadi motosikal ini mati secara tiba-tiba.” Najmi memberitahu abang mekanik sebaik tiba di bengkel tersebut.

“Baik abang. Bagi saya setengah jam. Abang boleh tunggu di kedai makan sebelah bengkel ini.” Ujar mekanik tersebut.

Najmi pergi ke kedai makan itu. Tekaknya sudah kehausan dek menolak motosikal sejauh 300 meter. Tiba di kedai makan itu, Najmi disapa oleh lelaki tua tadi.

“Eh, ini anak yang motosikal rosak tadi kan?” Soal lelaki tua itu.

“Ya, saya lah orangnya pakcik.” Balas Najmi.

“Maafkan pakcik, anak. Pakcik pergi begitu sahaja tanpa membantu kau. Tadi pakcik tiba-tiba sakit perut.” Bersungguh lelaki tua itu memohon maaf.

“Tak mengapa pakcik. Saya faham. Lagi pun saya sudah dekat hendak sampai ke pekan ini.” Rasa bersalah menyelubungi diri Najmi kerana bersangka buruk terhadap lelaki tu itu sebentar tadi.

Mereka berdua berbual-bual sambil menunggu mekanik memeriksa motosikal Najmi. Setelah 20 minit, mekanik itu datang.

“Maaf abang. Motosikal abang rosak teruk. Abang perlu tinggalkan motosikal di sini untuk saya baiki. Esok abang boleh datang ambil.”

“Kalau begitu, saya akan hubungi kawan menjemput saya di sini.” Balas Najmi.

“Eh, pakcik boleh hantar kau.” Tiba-tiba lelaki tua itu mencelah.

“Tidak perlu susah-susah, pakcik.”

“Tidak mengapa. Pakcik boleh hantar. Tidak perlu susahkan kawan kau.” Lelaki tua itu bertegas.

Najmi terpaksa menurut kata lelaki tua itu. Tidak upaya dia untuk melawan cakap orang yang lebih tua. Akhirnya, dia dihantar pulang ke rumah oleh lelaki tua itu.

“Terima kasih pakcik.” Ucap Najmi sebaik sahaja tiba di hadapan perkarangan rumahnya.

“Eh, tidak cukup dengan terima kasih sahaja, anak. Minyak motosikal pakcik ini bukannya percuma.” Kata lelaki tua itu sambil tersengih-sengih.

Najmi menghulurkan RM10 kepada lelaki tua itu tanda terima kasih.

“Mana cukup ini. Sekurang-kurangnya bagilah RM50. He he.”

Najmi tidak berpuas hati. “Apa ini pakcik? Bukan jauh pun pakcik hantar saya. 6 KM sahaja.”

“Kau nak bagi atau tidak? Jangan sampai aku rosakkan lagi motosikal kau di bengkel itu.” Lelaki tua itu mengugut.

Tanpa banyak bicara, Najmi mengeluarkan lagi RM40 dan beri kepada lelaki tua itu. Dia tidak mahu ugutan lelaki tua itu menjadi kenyataan. Lelaki tua itu tersenyum apabila mendapat RM50 dan terus berlalu pergi.

“Tak guna punya orang tua. Ingatkan baik sangat. Dah tua-tua pun masih berperangai buruk.”

“Ya Allah, termaki orang pula. Ampunkan aku ya Allah.”

Najmi masuk ke rumah dengan perasaan geram. Bengang Najmi dengan perangai lelaki tua itu. Dia mengambil kesempatan ketika orang lain ditimpa kesusahan di tengah jalan.