Ketika Kau Merasa Hidup Ini Sukar

Afdholul Rahman Che Ani / June 3, 2017, 00:06:47 am

Siapakah yang tidak pernah merasa sukar dalam kehidupan ini? Semua orang biasa merasakan kepayahan dalam hidupnya.

Hidup di atas dunia, begitulah rentaknya. Kita tidak akan pernah terlepas dari kesusahan dan kepayahan hidup. Namun, kesusahan yang diterima oleh setiap orang berbeza-beza.

Ada orang yang kuat jiwanya, diuji dengan kesusahan yang lebih besar.

Ada orang yang lemah dan tidak tahan diuji, maka ujian yang datang kepadanya walaupun mungkin nampak biasa di mata orang yang diuji lebh teruk daripada itu, tetapi bagi dirinya sendiri ujian itu sudah cukup susah dan sukar baginya.

Kehidupan ini beginilah. Kita akan berdepan dengan kepayahan, berdepan dengan kesukaran.

 

Apakah Kerana Kesukaran Ini, Kita Akan Mundur?

Saat ditimpa dan diuji dengan kesukaran dan kepayahan, jiwa kita memang terasa perit, tidak tercerita bagaimana rasanya, sehingga kalau kita ditanya saat itu, apakah kita suka berada dalam kesukaran itu?

Sudah tentulah kita akan menjawab, Tidak.

Bukan kerana kita takut dengan kesusahan yang kita hadapi itu, tetapi kerana terlalu susah dan peritnya menanggung bebanan kepayahan itu, menyebabkan kita rasa, kalau aku tak diuji sebegini, kan lebih bagus?

Kita sentiasa terfikir, kenapa aku? Kenapa aku yang diuji sebegini? Kenapa manusia lain boleh hidup senang-lenang, bergembira dengan keluarga dan anak-anak mereka, tetapi aku tersadai di sini keseorangan menanggung segala kepayahan-kepayahan ini?

Apakah Tuhan ingin menyusahkan aku?

Tidak. Tidak sekali-kali.

Bukanlah ketika Tuhanmu menghantar kesusahan dan kepayahan itu ke dalam hidupmu, Dia ingin menyusahkan kamu. Tidak. Tidak sekali-kali.

Dia mahu kamu jadi lebih kuat. Sebab itu, ketika kamu susah, Dia tidak pernah meninggalkan kamu. Dia sentiasa memujuk kamu.

“Bukankah Kami telah melapangkan dadamu? Dan Kami pun telah menurunkan bebanan darimu, yang memberatkan punggungmu.” [Al-Insyirah : 1-2]

Dia sentiasa memujuk dan memberi dorongan kepada kamu agar kamu tetap menjadi orang yang kuat menempuh segala kepayahan yang ada. Dia mahu kamu ini menjadi seorang yang cepat matang dalam memahami makna kehidupan.
Dia hanya mahu kamu tahu bahawa bila kamu ditimpa kesusahan sebegitu, ketika kamu mungkin ditinggalkan oleh manusia, Dia mahu kamu tahu bahawa kamu selalu ada Dia di sisimu.

 

Ketika Kau Merasa Sukar

Kesusahan ini nanti kita akan tinggalkan juga. Akan datang suatu hari nanti bila mana kita terjaga dan membuka mata kita, penderitaan yang sedang kita tanggung, kesukaran yang sedang kita hadapi ini akan berakhir juga.

Ketika itu, yang kita rasakan hanyalah kemanisan. Setelah berhari-hari menanggung hidup dalam kepayahan, maka sudah pastilah kita akan merasa begitu bahagia dan gembira bila suatu hari kita bangun, kesukaran itu telah pun berlalu pergi dan sirna dari mata kita.

“Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.” [Al-Insyirah : 5-6]

Sebab itu, ketika merasa sukar, janganlah pernah putus asa. Janganlah pernah bersedih.

Ketika kita merasa sukar, ketahuilah bahawa Allah itu masih ada. Ketika dunia mungkin menyisihkan atau tidak mempedulikan kita, Allah sentiasa ada mendengar dan mengetahui rintihan hati kita.

Allah s.w.t itu sentiasa ada. Allah s.w.t. tidak pernah tinggalkan kita.

Mengadulah kesusahanmu kepada Allah dan Allah pasti akan mendengarnya.
Ceritalah segala kesukaran yang engkau tempuhi kepada Allah dan Allah pasti ada untuk mendengarmu.

 

Penutup : Dan Hanyalah Kepada Tuhanmu, Kamu Berharap

Sebagaimana Allah s.w.t. telah menguji Nabi s.a.w. dengan beberapa siri kesusahan dan kepayahan dalam hidupnya, serta kemudian Allah mengeluarkannya daripada kesusahan itu dan memberinya kemudahan, maka begitu jugalah kita.

Nabi s.a.w. itu kalau nak dibandingkan ujiannya dengan ujian kita, memang tidak terbanding hebatnya. Baginda s.a.w. dilontar dengan batu oleh anak-anak penduduk Thaif, hilang dua orang kesayangannya, dilempar dengan perut unta, dicaci maki, dikasari dan pelbagai lagi kesukaran yang dihadapinya.

Tetapi, baginda selalu percaya dan berharap kepada Allah.

Maka, kita pun, ketika diuji dengan kesukaran dan kepayahan, pulanglah dan mendekatlah kepada Allah. Pastilah Allah akan membukakan jalan dan memudahkan ketika mana kita hampir berputus asa tidak bertemu jalan penyelesaian.

“Dan hanya kepada Tuhanmulah engkau berharap.” [Al-Insyirah : 8]