Kerna Kamu Istimewa

Alin Sabry / July 29, 2017, 00:07:34 am

Aku sekadar memerhati anak kecil itu dari jauh. Terkekek-kekek dia ketawa sambil merangkak di atas rumput halaman rumah. Sudah jenuh aku mengajaknya untuk berdiri sebentar tadi, tak mahu segala tanah-tanah melekat pada baju dan badannya. Gusar di fikiranku hanya satu, “Payah nanti nak suruh budak ni ganti baju lain. Haih”.

.

Mari aku perkenalkan.

Anak kecil itu namanya Firdaus,

dan usianya hampir mencecah 6 tahun.

.

.

Dia anak istimewa. Tidak sama dengan kanak-kanak normal yang lain. Pada usia 6 tahun, kanak-kanak normal kebiasaannya sudah petah berbicara dan laju mengira tambah tolak darab dan bahagi, tapi berlainan sekali untuk Firdaus.

 

Tutur katanya akan terhenti pada 4 patah perkataan saja paling maksimum. One, Two, Three, Four, itu saja nombor yang mampu dibilangnya. Percakapannya malah sering berulang-ulang dan agak sukar difahami. Untuk memastikan anak ini dapat menyampaikan hasrat atau perasaannya, dia dilatih untuk melakonkan ekspresi muka yang bersesuaian. Maklum saja, dia tak petah berbicara.

 

Dari segi tingkah lakunya juga, sukar untuk dijangka. Dia seperti hidup di alam nya sendiri. Bertindak sesuka hati. Kadang soal keselamatan diri juga masih belum mampu dinilai anak itu. Kadang mungkin jiran tetangga menyangka rumah mereka seperti tidak mengalu-alukan tetamu. Berkunci setiap masa. Bukan begitu. Akan tetapi dibimbangi dia akan keluar rumah tanpa disedari dan langsung menghilang. Bukan soal, dia sengaja hendak lari rumah, tapi kerna dia sendiri tidak mengerti segala tindak perbuatannya.

.

.

Itu serba sedikit tentang anak Autistik itu. Banyak lagi general criteria yang lain. Cuma, biar aku khabarkan sekali lagi. Dia anak istimewa. Jadi sudah pasti ada kelebihannya tersendiri yang dibawa bersama dirinya sekaligus untuk dikongsi bersama mereka yang menjaganya dengan penuh kasih.

 

==================================================

“Tut tut tut”. Notifikasi menandakan mesej Whatsapp masuk.

Daripada Kak Aisar. Lekas aku buka pesanan daripadanya.

 

“Salam Natrah. Kak Aisar nak tanya ni. Awak confirm kan nak babysit anak akak 3 orang dari XX/Y haribulan sampai XX/Y haribulan?”

 

“Wassalam, kak. InshaAllah jadi J” , balasku ringkas.

 

“Ok. Thanks Natrah.”

 

“No problem, kak. Apa nama anak-anak akak tu?”

 

“Nurul, Firdaus and Fahiem.”

 

“Ok, akak. Noted. Dah kenal nama sebelum berjumpa, senang sikit nanti nak ambil hati diorang, ye tak? Hehe. Nak-nak lagi saya ni kekok sikit bila dengan budak-budak.”

 

No worries, sebab yang sulung tu dah besar sikit. Cuma akak nak beritahu awal-awal, yang anak kedua akak Firdaus tu ada Austisme. Tapi inshaAllah, dia Ok once you get to know him. And usually his big sister and little brother knows what he wants.”

 

“Oh, alright akak. InshaAllah saya cuba yang terbaik. See you soon

 

==================================================

“Kring kring kring”, loceng rumah berbunyi.

 

Dalam fikiranku, itu pasti kak Aisar yang baru pulang dari tempat kerja. Aku bingkas bangun untuk membuka pintu yang berkunci.

 

Assalamualaikum. Ok ke Natrah first day jaga budak-budak?”, soal kak Aisar sebaik melangkah masuk ke dalam rumah.

 

Waalaikumusssalam akak. Alhamdulillah, Ok je”, sambil tersengih aku jawab. Padahal dalam hati, Allahu penat dia boleh tahan akak..

 

“Firdaus Ok? Ada mengamuk tak tadi?”

 

“Haha”, aku tergelak sendiri, riak tanya kak Aisar seperti memang menjadi kebiasaan untuk si Firdaus mengamuk.

 

“Ada la sikit tadi. Dia mengamuk sebab tak nak ganti baju yang kotor main tanah, haha.” Aku mengakhiri laporan harian dengan tawa kecil. Acah cool je tu.

 

“Biasa lah tu dia. Kalau pagi-pagi nak dapatkan dia pakai baju pun, mahu setengah jam lepas mengamuk, baru settled. Kalau ada hari yang tak kena, lagi lah macam-macam nak melayan ragam dia haha”, respon kak Aisar, sambil tergelak.

 

“Oh haha itulah kan. Jujurnya, saya memang kagum dengan akak and parents lain yang ada anak macam Firdaus. Memang superb and tabah habis! Takpe akak, InshaAllah banyak pahalanya”, aku tersenyum memberikan jawapan seraya mengingatkan kak Aisar akan ganjaran besar yang bakal diraih oleh setiap orang tua atau penjaga yang bersabar memelihara seorang anak syurga. Niat di hatiku sekurang-kurangnya dapat menghadirkan rasa gembira di dalam hati seorang ibu di hadapanku ini.

 

Tapi jauh di sudut hatiku, aku memang kagum dengan golongan ibu bapa seperti mereka. Sekurang-kurangnya aku hanya babysit Firdaus dan adik-beradiknya untuk satu tempoh yang singkat, tapi golongan ibu bapa yang memilih untuk terus menjaga satu amanah dan anugerah Tuhan yang istimewa ini pasti berdepan dengan pelbagai lagi cabaran untuk satu tempoh yang lama, malahan ada yang seumur hidup. Belum dikira lagi tanggungjawab-tanggungjawab hidup yang lain.

 

“Ye Natrah. Bila kita jaga anak macam Firdaus tu, banyak pahala dapat, banyak juga dosa yang dibuat”, respon kak Aisar perlahan sambil menghadiahkan aku satu senyuman kelat. Ah sudah! Aku tersentak mendengarnya. Sukar aku tafsirkan maksud daripada kata-katanya.

 

==================================================

Hari ini sudah masuk hari ke-5 aku di sini menjaga anak-anak kak Aisar. Jujurnya, memang penat dan bertingkat-tingkat level kesabaran yang harus aku tempuhi. Jika di hari-hari terawal aku masih mampu bersikap lembut menghadapi segala karenah budak-budak terutama sekali Firdaus, kini aku mula meragui tahap kesabaranku sendiri.

 

Terkadang, bila ada kesalahan yang dilakukannya secara berulang, mulalah darah terasa menyirap naik ke muka dan tangan laju memberi sedas cubitan. Sampai-sampai terzahir riak ketakutan di wajah Firdaus kerana seringkali dimarahi. Aku juga tidak mengerti dengan diri sendiri. Setiap kali pasti terbit rasa penyesalan yang menggunung di dalam diri kerana gagal mengawal perasaan amarah sendiri. Tidak sepatutnya aku melayani dia sedemikian. Apatah lagi, berdasarkan pemerhatianku, anak istimewa ini tidak mengerti bahawa perbuatan yang dilakukannya itu salah.

 

Bukan soal dia tidak layak menerima hukuman apabila melakukan kesalahan. Bahkan, anak ini masih perlu dididik dengan ketegasan apabila perlu, sepertimana anak-anak lain. Persoalan yang lebih utama di sini, atas dasar apakah aku menghukum mereka? Wajarnya, aku sebagai seorang yang dewasa dan bergelar mukallaf mampu untuk membezakan tindakanku, sama ada sekadar menurut perasaan geram atau bertujuan mendidik. Jika bertujuan mendidik, pasti boleh dipamerkan dengan lebih berhikmah.

 

Bersambung cerita. Kau tahu bagaimana rasa kekesalanku semakin meninggi? Apabila di kemudian hari aku menghampiri Firdaus meminta sebuah ‘huggies’, dia tanpa teragak-agak memelukku seakan-akan memori dimarahi dan dicubit sebentar tadi tidak pernah wujud di dalam kamus otaknya. Ah, kolam hatiku terus pecah. Maafkan kakak, dik.

.

.

Pada akhirnya aku menyedari bahawa inilah hikmahnya kenapa Allah menghantar aku untuk menjaganya. Terima kasih Allah atas didikanMu. Ampunkan pula kami yang sering berbuat silap, wahai Tuhan Yang Maha Mengampuni. Kurniakan kami hati yang terus diisi dengan nilai-nilai mahmudah. Amin.

 

Tamat.

 

==================================================

Cerita atas dikongsikan bertujuan mengajak pembaca untuk kita sama-sama memberi sokongan padu kepada golongan individu tersebut dan ahli keluarganya. Hakikatnya, banyak cabaran yang perlu ditangani oleh setiap penjaga dalam menguruskan anak autisme ini. Memetik kata-kata Pengerusi Persatuan Autism Kebangsaan Malaysia  (NASOM), “Kadang kala, masyarakat kita tidak dapat membezakan di antara kanak-kanak autisme dan kanak-kanak normal. Hal ini kerap berlaku apabila penghidap autisme yang mengamuk di kawasan terbuka dipandang serong oleh masyarakat, lalu menghakimi ibu bapa mereka tidak pandai menjaga anak.”

 

Ayuhlah jua kita zahirkan rasa empati kepada individu-individu tersebut yang memiliki keperluan khusus. Ajarkan anak-anak supaya tidak meminggirkan teman-teman mereka yang autistik kerana mereka layak untuk mendapat tempat di dalam masyarakat selain berhak membangun dalam suasana yang positif.

 

Kepada ibu bapa bagi anak-anak istimewa, teruslah melangkah dengan yakin. Sesungguhnya Allah yang Maha Pengasih sudah pasti tidak pernah dan tidak sekali-kali akan menzalimi hamba-hambaNya. Dia tidak menguji hambaNya melebihi kemampuan mereka dan sudah pasti Allah jualah yang mempunyai sebaik-baik pengetahuan tentang keupayaan hambaNya. Teruskan bersabar, berikhtiar dan bertawakal kepadaNya di sepanjang hari-hari yang dilalui. Berimanlah dengan pertolongan Allah melalui firmanNya,

 

“…Dan Kami berkewajiban menolong orang-orang yang beriman”. (Ar-Rum; 47)

 

“Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar”. (Al-Baqarah; 153)

 

Ketahuilah, pada anak kalian itu terlihat tanda kekuasaan Allah Azzawajalla dan terbukti pula kekerdilan kita di sisiNya. Semoga ujian ini menjadikan hubungan kita dengan yang Maha Khaliq menjadi lebih rapat melalui interaksi bersama si anak. InshaAllah mereka jua lah yang akan menjadi passport untuk anda segera melangkah ke syurga kelak. J

 

 

Nota: Segala nama watak di dalam cerita di atas adalah sekadar ciptaan dan tidak berkaitan dengan mana-mana pihak.