Kepimpinan Yang Efektif

Anwar Mohd Nor / July 18, 2017, 06:07:26 am

“Kepimpinan itu bermaksud membuka potensi orang lain untuk menjadi lebih baik.”

(Bill Bradley)

 

Hari Sabtu, tepat pada pukul 10 malam.

 

Kami sekeluarga baru sahaja habis makan malam di sebuah restoran. Selesai sahaja makan malam, kami bertolak pulang. Semasa di dalam kereta, aku sedang memikirkan sesuatu. Ada satu perkara yang ligat berpusing di fikiranku.

 

Hmm, kepimpinan. Apakah itu kepimpinan?

 

“Kepimpinan ialah keupayaan memimpin melalui teladan.”

(Kamus Dewan Edisi Keempat)

 

Satu definisi yang sangat mendalam maknanya!

 

Dan bagi kami, ianya juga adalah satu amanah tanda kepercayaan yang juga hadir dengan ucapan takziah oleh Pengetua kolej kami, Sir Zahid kepada kami. Belum setahun pun aku menyertai Jawatankuasa Perwakilan Kolej ini, namun perkataan 10 huruf itu banyak kali singgah di fikiranku dan seakan-akan masih belum mampu terjawab.

 

Uniknya kepimpinan ini, seakan-akan gula terhadap semut. Ramai yang mengejarnya. Ramai yang mahukannya. Seakan-akan ianya indah dan manis. Namun, adakah tindakan yang dipilih itu tepat?

 

Aku tidak tahu. Tapi bagiku yang pasti, kalau hanya mempunyai poster yang cantik disunting untuk setiap posisi dengan gambar berkot hitam beserta tali leher dan tidak diiringi dengan sumbangan terhadap pelajar serta kebajikan pelajar yang sering tertangguh, itu bukan definisi kepimpinan yang tepat. Bukan poster yang dilantik. Tetapi, kita yang terpilih. Kita yang memimpin.

 

Bukan itu sahaja.

 

Uniknya kepimpinan ini, ia juga satu perkara yang banyak dielakkan oleh kita. Ketika pemilihan ketua kelas, dicalonnya sahabat-sahabat supaya kita tidak dipilih. Kalau penghulu program, juga terus dicalon nama orang lain agar kita tidak terbeban dengan tugas mengejutkan sahabat-sahabat lain dan memastikan mereka berada di tempat program tepat pada masa yang ditetapkan. Kalau perjumpaan persatuan pula, terus dicalonkan beberapa nama sahabat untuk mengisi kekosongan jawatan pimpinan kerana khuatir diri tidak dapat melaksanakan tanggungjawab diberikan.

 

Taklifan-taklifan seperti inilah yang menyedarkan kita bahawa, pemimpin itu bukanlah sekadar duduk di atas kerusi sambil memantau pergerakan orang yang dipimpin, tetapi turut turun bergerak dan berusaha menjadi teladan terhadap yang dipimpin.

 

Kemudian, timbul persoalan baru.

 

Bagaimana pula dengan kepimpinan efektif? Bagaimanakah cara untuk mempraktiskannya?

 

Samsung Galaxy J7 di poket kananku segera diambil. Aku ambil keputusan untuk merujuk jawapan ini kepada  Whatsapp Group Presiden-Presiden Jawatankuasa Perwakilan Kolej Universiti kami. Selaku junior yang masih bertatih dan merangkak, aku kagum dengan figura-figura ini. Kepimpinan mereka banyak mendidik dan membimbing aku.

 

Setelah mengambil masa menyusun ayat, aku mula menaip. Jariku pantas digerakkan di atas skrin.

 

“Assalamualaikum abang dan kakak. Hehe, nak tanya pendapat sikit boleh?”

 

“Waalaikumusalam. Silakan An, cuma akak akan jawab bila dah sampai kolej nanti.” Balas Kak Adila, Presiden Jawatankuasa Perwakilan Kolej Khadijah pada waktu itu.

 

“Waalaikumusalam, silakan.” Balas Abang Hasan, Presiden Jawatankuasa Perwakilan Kolej Umar pada waktu itu pula.

 

“Hmmm”
“Pada pandangan abang dan kakak semua, apakah yang dimaksudkan dengan kepimpinan yang efektif?” Aku mula bertanya.

 

Dilihat status semua senior sedang pantas menaip.

 

“Apa kesan yang dapat kat ahli. Banyak itu lah efektifnya kita memimpin.” Balas Abang Hasan, ringkas namun padat.

 

Aku mengangguk perlahan di hadapan skrin.

 

“Bagi akak, efektifnya kepimipinan kita apabila tugasan dapat dijalankan dan ahli merasa bahagia serta sayang terhadap kita. Maksudnya kita ni tegas sampai kerja siap. Tapi dalam masa yang sama, kita tetap ada hubungan yang baik dengan ahli kita, tiada rasa tidak puas hati atau apa-apa perasaan negatif. Bagi pandangan akak lah, hehe.” Balas Kak Ainul, mantan Presiden Jawatankuasa Perwakilan Kolej Zainab yang juga sedang berada di luar negara pada waktu itu pula.

 

“Betul juga.” Aku bermonolog. Tersenyum sendirian.

 

“Kena panjang huraian ni, An. Tengah malam sikit akak balas.” Balas Kak Adila pula.

 

“Baik kak, terima kasih! Terima kasih juga abang dan kakak yang sudi berkongsi pandangan!” Aku menjawab.

 

Keesokan harinya, Ahad. Tepat pada pukul 10 pagi.

Di dalam bilik, aku sedang menyiapkan barang-barang untuk dibawa pulang ke asrama. Baju-baju yang dilipat rapi diletakkan di tepi beg sementara buku-buku yang dibawa pulang ke rumah telah pun disusun kemas di dalam beg untuk dibawa pulang ke kolej.

 

Ding! Ding! Ding! Whatsapp berbunyi.

 

Mesej-mesej baru itu terus dibuka. Mesej itu dari Kak Adila.

 

Panjang. Penuh dengan hikmah dalam setiap bicara.

 

“Salam An. Maaf lambat balas. Semalam ada 2 kes kecemasan di kolej. Pukul 4 pagi baru selesai, alhamdulillah. Jadi tak sempat nak jawab soalan An semalam.

 

Kepimpinan yang efektif. Hm. Berat soalan ni. Tapi In Sha Allah akak cuba terangkan melalui perspektif akak.

 

Bagi akak, pucuk pangkal kita dalam apa-apa hubungan sebelum kita pergi konteks lebih besar kepada kebajikan pelajar dan program-program yang perlu dilaksanakan ialah kemantapan ukhuwah sesama ahli. Sebab itu asas. Sebagai seorang pemimpin, ya, amanah kita terhadap semua penghuni kolej. Kelak di akhirat, kita ada bahagian-bahagian yang perlu kita jawab.

 

Tapi sebelum tu, jaga dulu kebajikan ahli organisasi kita. Bayangkan bila kita masuk dalam satu organisasi, kita tidak tahu apa-apa. Kita perlu bimbingan dari orang-orang yang lebih berpengalaman. Dalam tempoh tu, memang banyak ujian, suka duka nak hadapi sama-sama. Tapi dari apa yang akak dapat lihat, melalui asas pemantapan ikatan antara sesama kami ahli Jawatankuasa Perwakilan Kolej Khadijah waktu mula-mula masuk dulu, memang sangat penting. Penting untuk kita buat anak buah kita gembira bekerja sama-sama dengan kita. Gembira itu dari konteks apabila kita boleh lihat mereka bersungguh-sungguh buat program.

 

Walaupun kadang-kadang ada tarikh bertindih, kertas kerja tak diterima, tapi masih sanggup susah payah datang berjumpa, rujuk dan sebagainya untuk pastikan program dapat berjalan dengan lancar. Waktu mesyuarat, tanya pendapat semua orang tentang macam mana nak jadikan aktiviti mereka lebih menarik. Dari situ, kita boleh tengok semua saling membantu biro masing-masing. Kemudian, apabila mereka bersaing secara sihat. Mereka tetap datang walaupun program itu dijalankan oleh biro lain sebagai sokongan dan bukan saling menjatuhkan, malah naik seiring sama-sama.

 

Kemudian, setiap kali berjumpa di mana-mana pula akan saling bertegur sapa dengan kita. Kita pula siap kenalkan kepada kawan-kawan kita ini adik kita. Atau ini kakak aku.

 

Pokok pangkalnya yang pertama ialah hubungan dengan Allah. Bila tiap kali kita bermesyuarat, jangan terus zapp masuk agenda pertama. Sebaliknya, peruntukkan masa lebih kurang dalam 30 minit sebelum mesyuarat bermula untuk berkongsi tazkirah. Bagi semua peluang untuk berkongsi ilmu. Jangan asyik orang yang sama dan ketua-ketua sahaja bagi pengisian. Kita bina sekali kemahiran anak-anak buah kita. Dan biasanya, kita buat secara spontan. Sebab bila spontan, kita boleh tengok mereka punya kebolehan untuk uruskan sesuatu dalam keadaan tidak bersedia. Kemudian, kita tanya masalah-masalah yang mereka hadapi. Macam mana semua, okay ke? Minggu lepas tengok cerita apa? Benda-benda kecil macam ni mungkin nampak enteng, tapi besar maknanya. Kita pun akan rasa gembira untuk bekerja bersama.

 

Itu asaslah, An. Lagi satu An, pemimpin ni mempunyai gaya yang berbeza bergantung kepada personaliti diri juga kan? Tetapi selagi masih berpaksikan keutuhan agama, buat semata-mata demi reda Allah, In Sha Allah, efektif lah sebuah pimpinan tu.”

 

Aku hadam satu persatu mutiara-mutiara kata yang dihantar oleh Kak Adila.

 

Yup, kini aku sedar kepimpinan itu bukan sekadar mengangkat pedang atau meniup semboyan dari jauh dan mengarahkan pasukan mara ke hadapan untuk terus ditinggalkan dalam medan pertempuran. Ianya lebih dari itu. Lebih dari sekadar memberi arahan. Lebih dari sekadar berdiri megah dengan kedudukan.

 

Contoh yang sangat realistik sudahpun disediakan olehNya. Rasulullah S.A.W, Khalifah Ar-Rasyidin, Khalifah Umar Abd Aziz, Sultan Salahuddin al Ayubi, dan Sultan Muhammad Al- Fateh serta banyak lagi contoh-contoh yang telah terbukti kepimpinannya dalam sejarah. Bukan sahaja satu pasukan atau pun organisasi, malah satu negara, satu empayar, satu legasi dan satu umat telahpun dipimpin dengan cemerlang dan efektif!

 

“Baik akak, terima kasih banyak-banyak! Banyak saya dapat belajar hari ni! Hehe.” Aku membalas.

 

“Sama-sama An. Belajar tu ilmunya kita nak bawa sampai ke liang lahad nanti. Jadi jangan kita pernah rasa lelah. Belajar dan terus menyampaikan ilmu kepada anak-anak buah kita. In Sha Allah, akak pun banyak lagi perlu belajar. Hehe.” Kak Adila membalas lagi.

 

Aku tersenyum sendirian. Kini, aku faham, betapa luasnya definisi sebuah kepimpinan yang efektif.

 

Sebelum ini definisi kepimpinan aku mungkin hanya terhad kepada perancangan strategik, mesyuarat dan pelaksanaan program. Rupanya tidak! Ianya lebih menyeluruh. Lebih dari itu. Ianya juga mengenai hubungan dan ikatan dalam pasukan. Saling menjaga dan membina kualiti kepercayaan. Saling memelihara erti sebuah hubungan. Sesama ahli dan hubungan dengan Tuhan.

 

Dan pada waktu itu, apabila fokus kita diletakkan untuk pasukan, diri kita menjadi penting untuk pasukan, kan? Penting untuk membina dan menggerakkan pasukan ke hadapan. Penting untuk membentuk kepimpinan yang efektif. Kerana fokus kita bukan lagi jawatan dan kedudukan. Kata hukama, “Apabila kita berhenti memikirkan diri kita sebagai orang penting, maka kita dengan sendirinya menjadi penting kepada orang lain.”

 

 

Ya, kepimpinan yang dimaksudkan ini tidak lagi memerlukan kot-kot hitam dan tali leher berjenama, tapi memerlukan kesanggupan kita. Kesanggupan untuk meletakkan fokus kepada semua dan bukan hanya terhadap diri kita. Kesanggupan untuk berada ketika diperlukan. Kesanggupan untuk saling berkongsi kualiti kepercayaan. Kesanggupan untuk bergerak bersama sebagai satu pasukan. Kesanggupan untuk saling menerima. Kesanggupan untuk menanggung risiko dan mencapai kejayaan secara bersama-sama. Kesanggupan untuk terus bersama berpaksikan keutuhan agama.

 

Pada waktu itu, fokus organisasi juga telah beralih terhadap pembangunan ahli-ahlinya.

 

Pada waktu itu,  kepimpinan akan menjadi lebih efektif, yang tidak sekadar nampak hebat dan gah di atas poster-poster yang berwarna!

 

Pada waktu itu juga, kepimpinan tidak  memerlukan lagi jawatan mahupun sesi, kerana kepimpinan itu telah pun diiktiraf sebagai kualiti dan kewibawaan peribadi!

 

Aku tersenyum lagi.

 

“Abang.”

Aku tersentak apabila ayahku menyentuh lembut bahuku dari belakang.

 

“Kenapa termenung senyum sendiri ni? Teringat siapa tu? Dah siap ke belum?” Ayahku bertanya.

 

“Hehe, saja senyum, sudah abah.” Aku membalas lembut.

 

“Jom, kita makan dulu lepas tu baru abah hantar balik ke kolej, okay?” Ayahku memberi cadangan.

 

“Baik, abah!” Aku mengangguk laju. Pakaian-pakaian segera disusun dan dimasukkan ke dalam beg.

 

Beg aku segera diambil dan langkah kami terus disusun meninggalkan bilikku.

 

Jawapan kini sudah ditemui.

 

Sekarang wahai pemimpin, ianya bergantung kepada diri kita sendiri untuk memaknai jawapan ini dan menentukan destinasi kepimpinan yang kita ingini!

 

Syukur aku dapat berkenalan dengan individu-individu ini. Terima kasih!

 

Samsung Galaxy J7 ku terus dimasukkan ke dalam poket seluarku.

 

Mutiara-mutiara ini akan aku terus simpan.

 

 

“Kepimpinan lebih banyak dipraktiskan melalui tingkahlaku dan akhlak berbanding perkataan.”

(Harold S. Geneen)