Kenapa Biarkan Rumah Anda Jadi Kubur?

Afdholul Rahman Che Ani / August 13, 2017, 23:08:30 pm

Bagi kebanyakan orang, rumah adalah kediaman untuk mendapatkan perlindungan, tempat berteduh dari cuaca yang pelbagai, tempat rehat dan tempat tidur.

Tetapi, bagi seorang muslim, sebuah rumah itu lebih besar maknanya dari itu.

Kita dapati hari ini banyak rumah yang bermasalah. Berlaku sumbang mahram dalam rumah. Setiap hari berlaku pergaduhan dan perselisihan faham yang tak pernah sudah antara ahli keluarga tambah di antara suami isteri. Anak-anak ingkar dan benci kepada ibu ayah.

Dan pelbagai lagi kekacauan yang berlaku di dalam rumah muslim. Akibatnya, rumah tidak lagi benar-benar menjadi tempat perlindungan dan tempat mencari ketenangan untuk diri.

Benar, kita tak nafikan ada faktor-faktor lain yang boleh menyebabkan berlakunya masalah ini. Namun, alangkah baiknya kalau kita dapat perbaiki salah satu faktor utama ini, iaitulah faktor rumah yang tidak ‘ada’ Allah di dalamnya.

 

Apa Yang Kita Isi Dalam Rumah Kita?

Sesetengah kita mungkin tidak begitu ambil berat apa yang diisi di dalam rumahnya. Maksud saya, pengisian aktiviti yang kita buat bersama ahli keluarga atau orang rumah kita.

Rumah hanya dijadikan tempat balik tidur, makan minum, rehat, menonton televisyen dan itu sahaja.

Rumah kita hanya jadi rumah yang mampu berteduh fizikal, tetapi jiwa dan hati tidak mampu berteduh di dalamnya. Kita mungkin temui kemahuan fizikal di rumah kita, tetapi kita tidak temui kepuasan dan kebahagiaan jiwa di dalamnya.

Balik rumah, bergaduh.

Balik rumah, masam muka.

Balik rumah, serba serbi rasa tak kena.

Barangkali kita perlu muhasabah semula, apa yang kita isi dalam rumah kita?

 

Jadikan Rumahmu Sebagai Mihrab Ubudiah

Saat Bani Israil diuji kesempitan dan ketakutan dalam peribadatan kepada Alllah, mereka datang mengadu kepada Nabi Musa a.s. Mereka bimbang jika solat mereka dilihat oleh Firaun, lalu mereka akan dihukum.

Maka Allah s.w.t. berkata kepada mereka : “Dan jadikanlah rumah kalian (tempat solat) menghadap kiblat serta dirikanlah solat.” [Yunus : 87]

Allah s.w.t. memerintahkan mereka agar menjadikan rumah mereka sebagai tempat beribadat dan di situ dapat menghilangkan rasa takut dalam diri mereka serta mereka dapat meneruskan ubudiah kepada Allah s.w.t.

Al-Maududi dalam Tafhimul Quran membawa satu ibrah lain dari ayat ini iaitulah Allah s.w.t. seakan-akan mahu mereka menjadikan rumah mereka sebagai pusat perkumpulan orang agar spirit berjemaah dan berkumpulan itu dapat terus dibangunkan melalui solat berjemaah di rumah-rumah mereka.

Demikianlah bagaimana kesan kekuatan sebuah isi rumah itu apabila bukan hanya batu-bata saja dibangunkan, bukan hanya dekorasi cantik saja yang menjadi perhatian, tetapi ia dijadikan sebagai stesyen ibadah dan mihrab ubudiah kepada Allah azza wajalla.

Apakah rumah kita menjadi pusat untuk jiwa-jiwa ahli keluarga kita balik mencari ketenangan hakikinya dari Allah s.w.t.? Apakah rumah kita menjadi pusat untuk anak-anak kita menemukan makna kekuatan imannya?

 

Rumah Yang Bagaikan Kuburan

Dengar dan baca hadith ini betul-betul :

لاَ تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنَ الْبَيْتِ الَّذِى تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ

“Janganlah jadikan rumah kalian seperti kuburan karena syaitan itu lari dari rumah yang di dalamnya dibacakan surat Al Baqarah.” (HR. Muslim no. 1860)

 Rumah yang tidak dibacakan Al-Quran itu umpama kubur !

Yakni, tempat orang-orang mati. Tiada cahaya. Gelap. Suram. Rasa sempit.

Sebab itu, hidupkanlah rumah kita dengan ibadah. Dengan solat. Dengan Al-Quran. Dengan zikir. Semua itu akan menerangi rumah kita, menerangi jiwa-jiwa orang yang mendiami rumah.

Jangan kita isi dengan muzik. Jangan isi dengan movie sahaja. Jangan asyik dengan menonton televisyen sahaja.

Sampai-sampai kita tak peduli apakah anak isteri kita solat, apakah ahli keluarga kita boleh membaca Al-Quran, apakah hari-hari yang telah berlalu dalam hidup keluarga kita diredhai oleh Allah. Kita tak ambil kisah ke mana langkah kaki anak isteri kita keluar. Siapa yang mereka bawa masuk ke rumah. Ke rumah siapa mereka pergi.

Jangan demikian. Bila terjadi demikian, segeralah ubah dan perbaiki. Jika kita biarkan, jiwa-jiwa yang mendiami rumah itu boleh mati, jauh dari Tuhan dan pelbagai masalah kekeluargaan boleh timbul.

 

Penutup : Ajak Ahli Keluarga Bersama

Latih ahli keluarga untuk solat berjemaah bersama. InsyaAllah, lebih mudah untuk kita pantau anak-anak kita berbanding kita sekadar tanya dia solat atau belum.

Luangkan masa dalam sehari untuk duduk membaca Al-Quran bersama anak-anak. Ambil masa sama ada selepas Maghrib atau selepas Isya. Sekejap pun jadi. Asalkan anak-anak memahami dan sedar usaha ibu ayahnya dalam mendekatkan mereka dengan Al-Quran.

Ibu ayah jangan hanya pandai menyuruh. Duduk dan buatlah bersama anak-anak. Ini kadangkala, ibu ayah nak anak-anak jadi hafiz, tetapi ibu ayah tak jaga solat. Ibu ayah pun tak baca Al-Quran. Ibu ayah perlu jadi contoh untuk anak-anak.

Ajaklah ahli keluarga kita bersama dalam menghidupkan spirit ketaatan kepada Allah di dalam rumah. Jadikan rumah sebagai mihrab ubudiah, InsyaAllah syaitan pun susah nak menghasut dan mendekati ahli rumah.

Jangan biarkan rumah kita jadi sarang maksiat apalagi kuburan yang tidak disinari cahaya Al-Quran. Jadikan rumah kita mihrab ubudiah, InsyaAllah, Allah bantu kita dan keluarga kita temui makna bahagia di dunia dan akhirat.