KEMENJADIAN ANAK DI EIDULFITRI

Fadli Othman / June 16, 2018, 08:06:11 am

Hari Raya Eidulfitri merupakan hari kita meraikan kemenangan. Kemenangan yang kita bina hasil didikan di bulan Ramadhan. Tidak kira apa status kita pasti 1 Syawal merupakan momen yang terindah dalam kehidupan seorang insan.

Bagi yang telah berkeluarga, anak anak merupakan penyeri dan kunci hidupnya Raya ibu dan ayah. Tanpa mereka, mungkin pengisian 1 Syawal seakan akan tidak lengkap dan kurang meriah.

Rata-rata di sekolah, sebelum cuti sekolah panjang tempoh hari, program penutupan bulan Ramadhan telah diadakan. Kebanyakkan pengisiannya pasti mengisarkan tentang adab dan cara menyambut Hari Raya. Pasti, ini sangat penting agar murid murid tahu cara menyambutnya.

Namun itu tidaklah memadai. Ibu bapa wajib pasakkan kembali atau memperingati lagi agar anak-anak ini dapat mengamalkan adab sopan sepanjang Hari Raya.

Inilah kemenjadian murid. Hasil kemenjadian murid bukan hanya di sekolah sahaja. Tetapi ibu bapa perlu memainkan peranan yang sangat penting dalam pembentukkan sahsiah seseorang anak.

Di Hari Raya ini kunjung mengunjung merupakan adat yang utama. Terutama di Malaysia. Akan ramai tetamu yang hadir ke rumah dan tidak kurang hebatnya kita dan keluarga ziarah sanak saudara dan rakan taulan.

Anak-anaklah yang paling gembira ketika ini. Waktu inilah ‘nakal’nya muncul. Naluri seorang anak mahukan perhatian. Maka hal ini perlu diperhalusi dan ibu bapa perlu bijak menanganinya.

Jom, saya kongsikan 3 perkara yang perlu dipesan oleh ibu bapa kepada anak anak.

1. Salam Bersalaman

Adat ini merupakan adat kebiasaan. Malah salam bersalaman ini juga disarankan oleh Rasulullah S.A.W. Sehinggakan Rasulullah S.A.W bersabda pada sebuah hadis mahfumnya, diampunkan dosa dua orang yang bersalaman selagi mana tidak terpisah salah satunya.

Menjadi kebiasaan juga, ibu bapa akan meminta anak-anak bersalaman dengan orang yang lebih tua. Ini menandakan nilai murni bagi menghormati golongan yang lebih tua di Malaysia terutamanya.

Namun, sejak akhir-akhir ini kita dihujani dengan pelbagai isu. Terutama masalah jenayah seksual kanak-kanak, Pedofilia.

Bukan ingin serkap jarang. Tetapi sudah tiba masanya kita mengajar anak-anak kita dengan siapa boleh bersalam dengan siapa tidak boleh bersalaman. Ini merupakan langkah awal bagi mengajar cara pergaulan sesama masyarakat.

Ibu bapa perlu mengetahui batas batas sentuhan sesama saudara mara. Ilmu ini perlu diturunkan dan diajar kepada anak-anak.

Ekstrem ?

Jumud ?

Oh, tidak sama sekali. Tetapi inilah saranan awal agar anak-anak kenal dengan siapa dia boleh bersentuhan dengan siapa tidak boleh bersentuhan.

2. Duduk diam / jangan terlampau aktif

Sebelum menziarahi rumah sanak saudara atau jiran tetangga, ibu bapa perlu peringatkan anak-anak dari rumah lagi. Adab sopan dan tingkah laku yang baik perlu diterapkan.

Malam hari raya atau malam sehari sebelum ziarah hari raya, ibu atau bapa perlu adakah sesi ‘sharing’ bersama anak-anak. Jelaskan adab-adab di rumah tetamu.

Sekiranya ibu bapa perlu memperbesarkan mata di rumah orang, besarkanlah mata. Agar signal ini menjadi amaran kepada anak-anak. Kita faham naluri anak suka ‘explore’ segalanya untuk mengetahui lebih lanjut. Lebih-lebih lagi di rumah orang.

Maka, ibu bapa perlu tegas sedikit dalam perkara ini, agar nama ibu bapa dapat dijaga dengan baik.

3. Makan dengan sopan.

Sifat pemakan dan ingin mencuba merupakan sikap anak-anak. Lebih-lebih lagi makanan yang sangat digemarinya seperti coklat dan kuih muih rangup.

Ibu bapa perlulah memerhati dan menasihati anak-anak agar adab makan dijaga. Semasa makan menggunakan sudu pastikan bunyi sudu dan pinggan tidak kerap kedengaran.

4. Mendoakan tuan rumah.

Selalunya apabila ingin pulang dari kunjungan pasti anak-anak yang paling gembira. Sebab apa ? Mereka akan perolehi duit raya. Sehinggakan ada antara anak-anak kita mengungkapkan “nak duit raya !”

Aduh, malunya air muka sebagai ibu bapa!

Maka ibu bapa perlu mulakan dahulu. Apa salahnya sewaktu salam berpisahan kita doakan tuan rumah.

“Semoga panjang umur, murah rezeki”

“Semoga Allah berkati kalian sekeluarga”

Doa-doa ini mudah. Tidak perlu nak angkat tangan dan sejadah. Hanya ungkapan sahaja.  Ajarlah anak-anak dari rumah lagi. Dengan harapan apa sahaja yang keluar dari mulut ibu bapa dan anak anak merupakan sesuatu yang bermakna.

Ini lebih bermakna.

4 langkah ini, adalah langkah asas dannbiasa kita lakukan. Pada Hari Raya ini, kita terapkan kepada anak-anak kita agar kemenjadian murid yang mereka perolehi di sekolah dapat diperkasakan seterusnya menjadi anak yang soleh dan solehah.

Semoga Eidulfitri kali ini merupakan ‘sekolah’ realiti untuk anak-anak kita.

MOHD FADHLI BIN OTHMAN

GURU SK JUBLI INTAN RENGGAM