Kebaikan Yang Membiak

Afdholul Rahman Che Ani / August 5, 2017, 23:08:12 pm

Ada sesuatu yang meneguhkan hati-hati orang beriman ketika terus konsisten melakukan kebaikan.

Kadangkala, kebaikan tak berbalas langsung dengan kebaikan. Nabi menyebut 1 berbalas 10, tetapi sukarnya meyakini 10 itu kerana kita barangkali tidak dapat melihat dengan mata kasar kita sendiri bagaimana 1 itu berkembang biak.

Masakan tidak, yang selalu dialami, beri 1 menjadikan kita hilang 1.

Tetapi, di atas jalan iman, ia memberi makna berbeza, bahawa memberi 1 beerti kita telah menambahkan 10 nilai ke atas diri kita, bahkan mungkin lebih. Kita tidak melihatnya dengan mata kasar, tetapi kita melihatnya dengan mata hati.

1 berkembang 10, ia boleh jadi sebuah ganjaran langsung, ia boleh jadi sebuah kebaikan yang membiak menumbuhkan lebih banyak kebaikan, ia boleh jadi penutup kepada pintu-pintu kecenderungan kepada maksiat.

 

Mengimani Dengan Penuh Keikhlasan

Al-Bukhari menulis Sohihnya dalam keadaan yang tidak mudah. Di saat kereta berair-cond belum tercipta, di saat belum ada teknologi seperti gadjet mahupun internet di zamannya, maka berkelana menempuh panas sejuk padang pasir serta bersusah payah adalah jalan untuk sampai kepada tujuan menulis kitab sohihnya itu.

Sesungguhnya ummat berhutang kepada usaha keras al-Bukhari, yang hari ini dengan usahanya itu, kita menikmati kemudahan mencari hadis-hadis sohih dalam Sohihnya. Kita mungkin tidak perlu menghadapi lagi kesusahan semisal Al-Bukhari yang harus pergi bermusafir bertemu orang-orang yang memiliki hadith sohih di pelbagai tempat, tinggal hanya membuka kitab dan mencari sahaja.

Di mata kasar, kita barangkali melihat ganjaran kebaikan al-bukhari itu telah menyebabkan ummat mempunyai rujukan hadis yang kukuh sebagai sumber syariah. Itu sahaja sudah besar. Namun ada yang lebih besar dari itu, iaitu kelahiran silsilah ulama’-ulama’ hadis yang turut juga menjejak langkah semisal Al-Bukhari dalam mengumpul dan membukukan hadis, tinggal lagi berbeza dari segi manhaj.

Satu kebaikan yang Bukhari lakukan, telah membiakkan kebaikan-kebaikan yang berantai. Dari dirinya, lahir beberapa orang imam besar dalam bidang hadis yang bukan sekadar imam, bahkan kitab-kitab sunan mereka menjadi rujukan utama ummat.

Itu semua tidak datang dengan bersahaja tanpa keyakinan dan amal. Usaha Al-Bukhari untuk mengumpulkan hadis-hadis ini bukanlah hal yang mudah, namun itu tidak mematahkan kesungguhannya dalam meneruskan usahanya.

Akhirnya, 1 kebaikan, bukan sekadar berbalik ganjaran kepada dirinya, tetapi menumbuhkan kebaikan-kebaikan yang lain.

 

Kelahiran Generasi Solahuddin

Dr Majid Irsan Kilani menulis di dalam bukunya, Hakaza Zoharo Jil Solahuddin Wa Hakaza Adatil Quds (Begini Terlahirnya Generasi Solahuddin Dan Beginilah Kembalinya Al-Quds) tentang kelahiran generasi keluarga Ayyubiyah yang hebat seperti Imaduddin Zanki, Nuruddin Zanki dan Solahuddin Ayyubi.

Ia bukan kelahiran hasil pentarbiyahan setahun 2 tahun.

Tetapi ia adalah proses panjang yang bermula sejak zaman Al-Ghazali lagi.

Ia adalah kebaikan yang membiak.

Al-Ghazali adalah ulama’ besar di zamannya. Dikenali dengan kehebatannya dalam Usul Fiqh melalui kitabnya Al-Mustasfa, juga kitab falsafah dan jawab balasnya ke atas falsafah melalui kitab Maqasid Falasifah dan Tahafut Al-Falasifah.  Ketika Al-Ghazali mengajar di madrasah An-Nizhamiah yang merupakan sebuah madrasah waqaf di bawah kerajaan Nizam Mulk pada ketika itu, berlaku pertembungan yang sangat dahsyat antara mazhab-mazhab yang ada. Antara 2 mazhab besar ketika itu yang terlibat dalam pertembungan ini adalah mazhab Syafie Asyairah dan Hanabilah Ahlul Hadis.

Pertembungan yang berlaku sehingga menyebabkan berlaku peristiwa berdarah sesama mereka ini telah menyebabkan suasana beragama menjadi keruh. Orang memasuki madrasah untuk belajar agama, bukan lagi kerana ikhlas ingin memperbaiki diri, tetapi kerana ingin mencari dalil untuk menewaskan mazhab yang satu lagi, atau mencari posisi-posisi dalam kerajaan.

Itu belum dikira rakyat yang memang berada dalam suasana kesusahan pada ketika itu sehingga diriwayatkan ada yang kebuluran lalu memakan daging saudaranya sendiri.

Al-Ghazali pada ketika itu telah mengambil untuk beruzlah, mengasingkan dirinya ke Syam. Beliau mahu keluar dari kerosakan yang ada itu buat sementara waktu untuk membersihkan hatinya, untuk membersihkan jiwanya dari keinginan-keinginan rosak yang kuat mempengaruhi suasana di Baghdad ketika itu.

Lama Al-Ghazali beruzlah. Dalam tempoh beruzlah, beliau hanyalah seorang tukang sapu yang tidak mahu dikenali orang.

Pulang dari beruzlah, sekitar hampir 10 tahun, maka terhasillah karya agungnya Ihya’ Ulumuddin. Karya itu telah tersebar luas ke serata dunia, dibaca oleh ramai orang. Bahkan, Al-Ghazali sendiri telah menubuhkan madrasahnya sendiri sepulang dari uzlahnya itu untuk beliau mulakan sendiri sistem pendidikan yang lebih baik, yang jauh dari taasub mazhab, sikap ghuluw dan melampau sesetengah pengikut mazhab dan masalah-masalah lain.

Jalan beliau ini telah diikuti oleh banyak gerakan-gerakan dakwah berbentuk tariqah selepas itu, yang akhirnya menghasilkan jundi hebat semisal Nuruddin Zanki dan Solahuddin Al-Ayyubi. Kehidupan mereka sendiri banyak dipengaruhi oleh unsur kezuhudan hasil dari pembawaan suasana pendidikan yang dibawa oleh jalan Al-Ghazali ini.

Berapa ratus tahun lamanya, barulah muncul Solahuddin selepas Al-Ghazali. Namun, kebaikan yang mendasar dari keikhlasan dan keyakinan di atas jalan iman, ia membuahkan hasil yang berkembang biak, tidak hanya terhad untuk diri kita semata-mata hasilnya.

 

Penutup : Melabur Sekarang

Barangkali tidak ramai dapat melihat hal ini.

Namun para ulama’ kita telah menunjukkan hasil pelaburan mereka dalam hal ini kepada kita.

Untuk melabur, perlu ambil risikonya, sakit peritnya. No pain no gain.

Meskipun hasil pelaburan kita mungkin tidak dapat kita nikmati sendiri di zaman kita, namun sebenarnya ia adalah satu kebaikan yang besar apabila generasi selepas kita zaman-berzaman terus menerus dapat menikmatinya.

Yakin dengan Allah s.w.t. Yakin yang Allah tidak pernah mensia-siakan amal kebaikan kita.

Beramallah dengan ikhlas kerana Allah di jalan Allah.