Kata-Kata Yang Tidak Didengar

Miefa Mohar / June 11, 2018, 13:06:46 pm

Yang normal juga belum tentu didengari. Apatah lagi, aku. Hamba yang hina.

***

Hari ini aku bangkit dengan semangat yang belum pernah pudar dari misi kelmarin. Aku ingin meneruskan satu-satunya misiku dalam hidup ini. Segera aku bersiap rapi. Pakaianku diseterika licin, tidak berkedut walau seinci. Rambutku sisir rapi, minyak rambut disapu sedikit. Wangian yang ku pinjam dari abangku, dengan pemurahnya aku mencalitkan di pergelangan tangan, di kawasan berdekatan nadi. Aku berdiri menghadap cermin. Pagi ini, pasti. Tersenyum yakin.

Aku berjalan melewati lorong-lorong kecil yang menghubungkan kediaman sempitku dengan dunia luar yang maha luas. Mentari pagi mengintai di balik binaan batuan yang tinggi menjulang. Aku tersenyum padanya. Selamat pagi, ku ucap. Seolah-olah mendengar ucapanku, mentari itu makin galak menaikkan dirinya agar dapat dilihat. Silau.

Kali ini langkah kakiku dibawa menghala ke deretan kedai-kedai yang baru saja di buka. Aku tersenyum pada mereka yang tidak pernah bertegur sapa denganku. Sampai sahaja di sebuah kedai usang, aku berhenti. Aku menyapa pemiliknya. Dia tersenyum dan menyapaku kembali.

Awal sekali kau membuka kedai hari ini? Aku bertanya.

Dia hanya tersenyum sambil tangannya tangkas mengelap cermin kaca yang menjadi penghalang antara dunia luar dan dunianya.

Di mana buku yang ku baca kelmarin? Soalku lanjut setelah soalanku tadi hanya dibalas dengan senyuman.

Dia berkerut memandangku sambil mengangkat kening mengisyaratkan soalan, apa?

Buku yang ku baca kelmarin. Dimana kau simpan? Aku bertanya lagi.

“Oh, di tempat biasa.” Jawabnya sambil menyambung mengelap cermin kaca. Aku masih ingin berbual tapi kelihatannya dia sibuk sekali. Tak mengapalah. Sebentar lagi aku akan menegurnya kembali.

Langkahku atur menuju sebuah rak yang menempatkan buku-buku kegemaranku. Buku yang bercerita tentang sejarah dunia dan politik. Tapi hari ini aku ingin menghabiskan pembacaanku tentang falsafah ringkas. Beberapa jam masaku dihabiskan di ruang sempit itu. Sesekali aku menoleh pada lelaki itu. Sibuk benar dia. Dari tadi, ada saja kerja yang dilakukannya. Aku menutup buku dan menuju kearahnya. Aku tahu dia perasan akan kewujudanku tapi sengaja berpura-pura sibuk.

Bang. Tegurku sambil menyentuh bahunya. Dia menoleh.

“Hah, ada apa?”

Saja nak duduk berbual. Boleh tak, bang? Aku meminta izin.

“Aku sibuk ni. Kau nak apa?”

Saya nak berbuallah, bang. Saya bosan di rumah. Buku pun saya dah habis baca. Jawabku berjela.

“Apa benda lah kau merepek ni, Amir.” Dia mengeluh dan meneruskan pekerjaannya.

Kenapa abang tak nak layan saya berbual? Sombong benar. Aku bertanya dalam nada yang sedih.

“Yang kau ni nak sedih-sedih dah kenapa? Pergi baca buku sana. Kacau aku je!”

Aku terpaku di situ. Kenapa? Kenapa lelaki ini tidak mahu melayanku? Tadi kulihat dia ramah saja dengan pelanggannya? Boleh saja dia tersenyum mesra dan melayannya dengan baik? Kenapa aku diherdiknya? Kenapa lelaki ini tidak berlaku adil padaku?

“Apa kau memekak kat situ Amir oi? Bising sajalah budak ni.” Terdengar lelaki penjaga toko buku itu melaung. Cepat-cepat aku duduk dan mengambil buku dari rak secara rawak. Terdengar derapan sepatu seperti sepatu mahal. Bukan sepatu lelaki itu, tentunya. Lelaki itu sudahlah sombong, miskin pula. Di herdiknya aku seperti aku tidak punya air muka. Aku masih menunduk seolah-olah benar-benar menekuni buku itu walhal aku sedang berceloteh seorang diri.

Bunyi sepatu itu sudah berhenti. Dari pandangan sisi mata kananku, sepasang sepatu hitam berkilat berhenti di hujung lorong rak itu. Muncungnya tajam menghala ke arahku. Satu-persatu langkahnya diatur membentuk irama merdu terhasil dari cumbuan tapak sepatunya dengan lantai kayu. Aku memejamkan mata, menghayati irama yang menenangkan itu. Tapi, ia hanya sebentar cuma. Derapan itu terhenti sekali lagi. Ku buka mata dan melihat di sebelah kananku, sepatu itu berhenti. Aku mendongak. Seorang jejaka tampan, berusia mungkin lebih tua dariku 5 tahun. Dia tersenyum. Aku bingkas bangun dan menepuk punggung, membuang debu yang tiada kerana lelaki sombong itu sangat rajin membersihkan kedai usangnya. Dia memegang bahuku dan mengarahkan aku duduk kembali seperti tadi. Aku teragak-agak namun apabila melihat dia sudah melabuhkan punggungnya yang bersalut seluar berjenama mahal, aku turut duduk dan bersandar perlahan di rak buku.

Nama siapa? Dia bertanya. Aku teruja melihat dia berbicara denganku.

Amir. Nama abang siapa? Aku memulangkan soalan.

Nama kita sama. Amir juga. Kau baca buku apa itu? Dia mengintai buku di tanganku. Aku tersedar lalu menggeleng-geleng.

Tidak, aku tidak membaca buku ini. Sekadar melihat-lihat. Lalu buku itu aku letakkan kembali di tempatnya.

Jadi, kau suka membaca?

Suka. Tadi aku baru saja habiskan sebuah buku falsafah ringkas.

Falsafah ringkas? Ahli falsafah manakah yang menjadi kegemaranmu?

Aku tidak gemarkan mana-mana ahli falsafah.

Mengapa?

Bagiku, mereka terlalu degil. Aku tidak diajar oleh abangku untuk degil seperti itu. Aku diajar untuk mengikut peraturan. Setelah membaca buku tentang mereka, aku bersetuju apabila abangku mengatakan bahawa orang yang degil itu mudah ditimpa bencana. Nah, lihat saja apa yang terjadi pada Socrates.

Aku suka cara pemikiranmu. Pasti kau tidak mudah terpengaruh, bukan?

Mungkin.

Jadi, tadi mengapa kau berceloteh seorang diri?

Lelaki penjaga toko buku ini. Sombong sekali hari ini. Kebiasaanya dia rajin melayan saya berbual.

Apa kau tidak bersekolah?

Tidak. Kata abangku, sukar untuk menyekolahkanku. Tapi banyak yang ku pelajari di kedai usang ini. Aku gemar membaca. Aku pernah bersekolah dahulu tapi hanya seketika.

Apa kau gembira berbual denganku?

Ya, kau baik sekali. Mengapa tiba-tiba kau muncul? Adakah kau seorang malaikat yang di hantar Tuhan?

Bukan, aku manusia biasa yang Tuhan telah pilih untuk bertemu denganmu bagi mengubat laramu. Kebetulan, aku mampu memahamimu.

Benar, tidak ramai yang mampu memahamiku. Terima kasih. Keberadaanmu disini amat menyenangkan.

Aku tidak boleh lama. Tempat kerjaku berada 15 minit perjalanan dari sini. Aku hanya singgah untuk membeli majalah edisi bulan ini.

Adakah kau akan mampir lagi ke sini?

Jarang sekali. Tapi, jika kau mahu, aku akan datang lagi. Setiap hari.

Tolonglah datang setiap hari. Aku senang sekali berbual denganmu. Aku terasa didengari dan difahami.

Aku juga senang berbual denganmu. Cara fikirmu pasti unik. Nanti kita bertemu lagi ya. Oh, sebelum itu, aku ingin menghadiahkan sebuah buku untukmu. Mahumu yang mana?

Tiada sesiapa pernah menghadiahkanku buku! Ternyata, kau malaikat sebenarnya. Aku ingin memiliki lebih banyak buku tentang falsafah ringkas.

Ayuh, aku bayarkan bukumu.

 

Kami berjalan beriringan menuju kaunter. Lelaki sombong itu yang khusyuk menyelak akhbar meletakkan akhbarnya di tepi dan menyedekahkan senyuman pada malaikat berbentuk manusia itu.

“Senyap saja kau di sana, Amir? Kau buat apa?” dia bertanya dalam nada menyindir.

“Dia berbual dengan saya. Ni, saya bayar untuk majalah dan buku ini sekali.” Not berwarna hijau bertukar tangan.

“Wah, dah ada rakan baharu ya, Amir. Lepas ni takda lah kau sibuk menagih perhatian aku. Hahaha.” Riang sekali wajahnya sambil jemari kurusnya ligat menekan punat di mesin kekira dan memulangkan baki pada lelaki budiman itu tadi. Aku hanya diam menyaksikan transaksi bersulamkan sindiran itu.

Nanti kita jumpa lagi. Baca buku ini baik-baik dan duduk saja di rumah. Di luar ini ramai manusia yang tidak berhati luhur. Ujar lelaki budiman itu sambil melihat sekilas pada lelaki sombong di belakang kaunter itu.

Aku menghantar pemergian lelaki itu dengan pandangan sehingga jasadnya hilang dari pandangan.

Aku berpaling pada lelaki sombong itu. Tangan kiriku menunjuk pada diriku sendiri dan kemudian menunjukkan isyarat ingin pamit terlebih dahulu. Dia hanya mengangguk malas. Aku faham kesukaran untuk berkomunikasi denganku. Tapi aku tersenyum puas.

Hari ini misi aku tercapai. Aku telah di dengari!